Monday, January 7, 2013


Keterangan Mengenai Jiwa Dan Ruh Insani
Ketahuilah bahawa Allah Taala menjadikan manusia ini terdiri daripada dua suatu yang berbeza iaitu:
  • Jisim yang gelap, tebal, termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan (Al-Kun Wal-Fasad) yang tersusun, bersifat ketanahan yang tidak dapat melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
  • Jiwa Jauhari yang tunggal yang bercahaya, mencapai, bertindak lagi menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat (alat-alat dalam badan manusia baik yang bersifat ruhaniah seperti Ruh Haiwani, Ruh Tobie dan lain-lain atau bersifat jasmaniah seperti otak dan bahagian-bahagiannya dan lain-lainnya.
Allah Taala menyusun jasad-jasad dari bahagian-bahagian makanan dan menjaganya dengan bahagian-bahagian zat makanan yang lebur menyerap ke dalam jasad, menyediakan asas, menyempurnakan anggota-anggota penting, menentukan anggota-anggota kaki dan tangan dan melahirkan jauhar jiwa dari urusan yang tunggal, sempurna menyempurna lagi memberi faedah.
Bukanlah saya(Imam Ghazali) maksudkan 'jiwa' itu kekuatan untuk mendapatkan makanan;
  • bukan kekuatan yang menggerakkan syahwat (Al-Nafsu) dan kemarahan;
  • bukan kekuatan yang berada dalam jantung(Al-Kolbu) yang melahirkan hidup, menimbulkan rasa dan gerak dari jantung kepada seluruh anggota, kerana kekutan ini dinamakan 'Ruh Haiwani'.
Rasa, gerak, syahwat adalah dari tentera Ruh Haiwani ini.
Kekuatan mendapatkan makanan yang berada dan menguruskan dalam hati(Al-Kabad) dinamakan 'Ruh Tobie.' Pencernaan dan penolakan adalah daripada sifat-sifatnya. Kekuatan merupa, melahir, menyubur dan lain-lain kekuatan tobie semuanya menjadi khadam-khadam bagi jasad dan jasad pula adalah khadam kepada Ruh Haiwani, kerana jasad menerima kekuatan-kekuatan dari Ruh Haiwani dan bekerja menurut geraknya.
Sebenarnya yang saya maksudkan dengan 'JIWA' itu ialah JAUHAR YANG SEMPURNA LAGI TUNGGAL (Al-Jauhar Al-Kamil Al-Mufrad) yang kerjanya hanya
  • mengingat
  • menghafaz
  • memikir membeza dan
  • mengamat-amati; juga
  • menerima segala ilmu dan
  • tidak jemu-jemu menerima rupa-rupa abstrak yang bersih dari benda.
Jauhar ini adalah ketua segala ruh dan raja. Segala kekuatan semuanya berkhidmat kepada jauhar ini dan menjunjung perintahnya. Jauhar ini tidak lain tidak bukan dari JIWA BERAKAL (Al-Nafs An-Naathokoh) yang diberikan berbagai-bagai nama. Para ahli falsafah menamakan jauhar ini sebagai JIWA BERAKAL(Al-Naf An-Naathokah).Al-Quran menamakannya sebagai JIWA YANG TENANG(Al-Nafsul Mutomainnah). Al-Quran juga menamakannya sebagai RUH URUSAN (Al-Ruh Al-Amri). Ahli Tasauf menamakannya sebagai QALBU(Al-Qalbi). Perbezaan cuma pada segi nama-nama sahaja tetapi ertinya satu, tidak ada perselisihan. Oleh itu 'QALBU' dan 'RUH' pada kita juga 'YANG TENANG' semua nama-nama itu adalah bagi 'JIWA BERAKAL' (Al-Nafs Al-Naathokoh). Jiwa berakal ialah 'Jauhar yang Hidup', 'aktif', lagi mencapai kalau disebut Ruh Mutlak atau Qalbu. Maksudnya ialah jauhar ini juga.

Ahli-ahli Tasauf menamakan 'Ruh Haiwani' pula dengan nafsu. Syarak juga memberikan pengertian yang sama sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Musuh engkau yang paling ketat ialah nafsu engkau".

Baginda bersabda lagi dengan maksud:

"Nafsu engkau ialah yang terletak di antara dua pihak".

Perkataan nafsu yang dimaksudkan oleh syarak di sini ialah kekuatan 'syahwaaniah' dan kemarahan kerana kedua-duanya muncul dari jantung yang terletak di antara dua pihak(dari tubuh manusia).

Bila kamu telah faham dan mengetahui perbezaan nama-nama itu ternyatalah bahawa para pengkaji memberikan nama yang bermacam-macam terhadap Jauhar yang bernilai ini dan mengemukakan pendapat-pendapat yang berbeza. Para ahli Ilmu Kalam yang pandai dalam debat menganggap jiwa itu sebagai suatu jisim dan menyatakan bahawa ia adalah jisim yang halus sebagai tantangan bagi jisim yang tebal ini. Mereka hanya melihat perbezaan di antara ruh dan jasad dari segi kehalusan dan ketebalan sahaja.
Sebahagian dari mereka menganggap ruh sebagi 'aradh. Sebahagian daripada ahli-ahli kedoktoran cenderung ke arah pendapat ini. Ada pula yang menganggap darah sebagai ruh.

Mereka semua merasa puas hati dengan pendapat mereka kerana dipengaruhi oleh kecantikkan pandangan dan mereka 'TIDAK BERUSAHA' mencari bahagian ketiga sedangkan sebenarnya ada tiga bahagi iaitu Jisim, Aradh dan 'Al-Jauhar-Al-Mufrad'. Ruh Haiwani ialah jisim yang halus seolah-olah lampu bernyala terletak dalam kaca jantung. Jantung yang dimaksudkan di sini ialah rangka sanubari yang tergantung pada dada manusia. Hidup adalah lampu tersebut,
  • Darah ialah minyaknya,
  • Rasa dan gerak merupakan nurnya,
  • Syhwat ialah kepanasannya,
  • Kemarahan ialah wapnya,
  • Kekuatan mencari makanan yang berada di dalam hati merupakan khadam atau penjaganya dan wakilnya.
Ruh ini terdapat pada segala binatang. Ruh ini tidak menerima ilmu dan tidak mengetahi soal yang berhubung dengan alam dan tidak mengetahui hak-hak Pencipta Alam. Ia hanya merupakan khadam yang terikat. Ia mati bersama dengan matinya badan. Jika bertambah darah, padam lampu itu kerana bertambah kepanasan dan sebaliknya jika berkurangan darah, ia akan padam juga kerana bertambah kesejukan. Padamnya menjadi sebab bagi matinya badan. Tidak ada 'khitob Tuhan' iaitu (perkataan-perkataan Tuhan yang lazim yang dihadapkan kepada orang-orang mukallaf berhubung dengan perbuatan-perbuatan mereka) dan tidak ada 'takhlif' (pemikul tanggungjawab yang diamanahkan dari Allah melalui hukum syarak yang lima) tuan punya syarak terhadap ruh ini. Kerana inilah segala binatang tidak termasuk ke dalam makhluk-makluk yang menerima 'khitob' dengan hukum-hukum syarak.

Manusia sebenarnya 'ditakhlif' dan 'dikhitob' kerana suatu makna yang lain terdapat padanya sebagai suatu tambahan yang dikhaskan untuknya. Maknanya ialah pada manusia ada 'JIWA YANG BERAKAL' (Al-Nafs-An-Naatokoh), 'RUH URUSAN'(Ruhul-Amri) dan 'JIWA YANG TENANG'(Al-Nafsul Muthomainnah).

Ruh ini bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh', kerana ia datang dari urusan Allah Taala sebagaimana firmannya yang bermaksud:

'Katakanlah hai Muhammad bahawa Ruh itu adalah urusan Tuhanku.
(Surah Al-Israk ayat 85)

Allah berfirman lagi yang bermaksud:

'Hai Jiwa yang Tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redho dan diredhoi." (Surah Al-Tahrim ayat 12)

Urusan Allah bukanlah berupa jisim dan bukan pula 'aradh', malahan ia adalah suatu kekuatan 'ILAHIYAH' seperti 'AKAL YANG PERTAMA' (Al-'Aklul-Awal), Luh dan Qalam. Kekuatan Ilahiyah adalah Jauhar-Jauhar Tunggal yang bukan dari benda, malah ia merupakan sinar-sinar abstrak yang dapat difahami oleh akal (Ma'quulah). Bukan boleh dirasa. Apa yang kita sebut sebagai ruh dan Qalbu adalah dari Jauhar-Jauhar itu. Ia
  • tidak rosak
  • tidak layu
  • tidak binasa
  • tidak mati bahkan;
  • ia terpisah dari badan dan menantikan perkembaliaan pada hari kiamat
sebagaimana yang dinyatakan dalam syarak dan telah disahkan dalam ilmu-ilmu 'HIKMIAH' (Falsafah) dengan alasan-alasan yang tidak dapat ditolak lagi. Buktinya yang nyata menunjukkan bahawa 'RUH YANG BERAKAL' bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh, malah ia adalah JAUHAR yang sabit(nyata) lagi kekal tiada binasa. Di sini rasanya tidak perlu lagi kita menyebut alasan-alasan dan membentangkan dalil-dalil kerana telah dibuat dan disebut orang. Sesiapa yang mahu mengesahkannya silalah tatap kitab-kitab yang baik mengenai ilmu ini. Cara kita memberi huraian dalam risalah ini bukanlah dengan mengemukakan alasan, malah dengan berpegang pada apa yang telah dialami menerusi 'PENGLIHATAN YANG YAKIN DAN PENGLIHATAN IMAM.' Allah Taala ada menghubungkan ruh kepada urusan dan kadang-kadang kepada 'IZAH'Nya(zat yang tiada boleh dicapai dengan akal dan fikiran) dengan firmanNya yang bermaksud:

'Dan Aku(Allah) tiupkan padanya ruh dariKU' (Surah Al-Hijr ayat 39).

dan firmanNya lagi yang bermaksud:

'Katakanlah (hai Muhammad) bahawa roh itu adalah urusan tuhanku' (Al-Israk ayat 85)

dan firmanNya lagi yang bermaksud:

'Lalu kami tiupkan padanya dari roh kami.'(Surah Al-Tahrim ayat 12)

Bila roh itu dihubungkan oleh Allah Taala kepada diriNya tentulah ia bukan jisim atau A'radh kerana rendah tingkat kedua-duanya, selalu berubah-ubah dan cepat hilang serta akan rosak. Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:

"Roh-roh adalah sebagai tentera yang lengkap"

dan dalam sabda Baginda yang lain lagi Beliau menyatakan:

"Roh para syuhadah terletak dalam bayang-bayang burung-burung hijau."

Begitu juga dengan A'radh tidak kekal selepas hilangnya jauhar kerana A'radh tidak boleh berdiri dengan zatnya sendiri. Manakala jisim menerima peleburan kembali sebagaimana asalnya sebelum penyusunan dari benda (Al Madah) dan rupa seperti yang tersebut dalam kitab-kitab (kitab-kitab falsafah).

Setelah kita mengetahui ayat-ayat, hadis-hadis dan alasan-alasan akal, ketahuilah kita bahawa ruh itu adalah JAUHAR MUFRAD YANG SEMPURNA (Al-Jauharul Mufrad Al-Kamil) hidup dengan zatnya, baik dan buruknya agama adalah datang daripadanya, manakala ruh Tobie dan Ruh Haiwani dan kekuatan badaniah seluruhnya daripada tentara Jauhar Mufrad Yang Sempurna ini.
Jauhar ini menerima rupa-rupa maklumat dan hakikat maujudah (sesuatu yang wujud di alam ini) dengan tidak diganggui oleh ain-ain dan peribadinya kerana jiwa berkuasa mengetahui hakikat manusia tanpa melihat peribadi (manusia) itu sendiri; begitu juga ia mengetahui malaikat dan syaitan-syaitan dengan tidak perlu melihat peribadi-peribadi mereka. Ini adalah kerana kedua-dua jenis makhluk itu tiada dapat dicapai oleh deria-deria kebanyakan orang.

Satu golongan ahli tasauf berkata bahawa ' Qalbu ' mempunyai dua mata, serupa juga dengan dua mata bagi jasad ini. Jasad dapat melihat benda-benda yang zahir dengan mata-mata zahir dan Qalbu melihat hakikat dengan mata akal. Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:

'Tiada ada seorang hambapun melainkan Qalbunya mestilah mempunyai dua mata.'

Dengan kedua-dua mata ini dapatlah dicapai apa yang ghaib. Bila Allah Taala hendak memberikan kebaikan kepada hambanya, ia bukakan dua mata Qalbunya supaya dapat melihat sesuatu yang ghaib dari pemandangan mata lahirnya. Roh ini tidaklah mati dengan matinya badan kerana Allah Taala menyerunya supaya kembali kepadaNya dengan firmanNya yang bermaksud:

'Kembalilah kepada Tuhanmua' (Surah Al Fajr Ayat 28).

Sebenarnya ruh ini hanya bercerai dan berpaling dari badan. Oleh kerana berpaling ini maka kakulah segala yang bersangkut dengan kekuatan-kekuatan Haiwaniah dan Tabii'yah. Maka diamlah yang bergerak itu dan dikatakan kepada yang diam itu, ialah MATI.

Ahli-ahli Thorikat atau ahli Tasauf lebih banyak berpegang pada roh dan Qalbu dari berpegang pada peribadi. Apabila roh itu dari urusan Allah Taala, maka beradanya dalam badan adalah sebagai orang dagang. Mukanya mengarah pada asalnya dan tempat datangnya. Ia dapat mengambil faedah-faedah dari pihak asalnya lebih banyak dari apa yang ia dapat dari pihak peribadi bila ruh itu kuat dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.

Bila anda mengetahui ruh adalah Jauhar Mufrad dan mengetahui pula jasad memerlukan ruang dan A'Radh maka selain dari ini tidak ada lagi melainkan Jauhar. Ketahuilah bahawa Jauhar ini tidak menempati pada sesuatu tempat dan tidak mendiami pada sesuatu ruang. Bukanlah badan adalah ruang bagi ruh dan bukan pula tempat bagi Qalbu malahan badan adalah alat ruh, alat Qalbu dan kenderaan jiwa. Zat ruh sendiri tidak bersambung dengan bahagian-bahagian badan dan tidak berpisah daripadanya bahkan ia menhadap kepada badan, memberi faedah dan melimpah kepadanya.

Mula-mula lahir nur ruh pada otak kerana otak tempat kenyataan yang khas.
  • Pada bahagian depannya ia menjadi penjaga
  • Pada bahagian tengahnya ia menjadi menteri dan pentadbir
  • Pada bahagian belakangnya ia menjadi perbendaharaan. Ahli perbendaharaan dan seluruh bahagian manjadi kakitangan dan kenderaan
  • Roh Haiwani menjadi khadam
  • Roh Tobie menjadi wakil
  • Badan menjadi kenderaan
  • Dunia menjadi medan
  • Hayat menjadi barang (modal)
  • Gerak menjadi perniagaan
  • Ilmu menjadi keuntungan
  • Hari akhirat menjadi matlamat dan tempat pulang
  • Syarak menjadi jalan dan cara
  • Terhadap jiwa pendorong kejahatan (nafsu Amarah) menjadi penjaga dan pemerhati
  • Terhadap jiwa pengkritik (nafsu Lawamah) ia menjadi penyedar.
  • Pancaindera menjadi pengikut-pengikut dan pembantu.
  • Agama menjadi penghalang
  • Akal menjadi mahaguru
  • Rasa pancaindera menjadi murid
  • Ar-Robh (Allah) menjadi pemerhati
Jiwa dengan sifat-sifat ini bersama dengan alat-alat ini tidak mengarah kepada peribadi yang tebal ini dan tidak berhubung dengan zatnya, malahan ia mengarah kepada Tuhannya dan Tuhannya memerintahkannya supaya mengambil kesempatan mendapatkan sesuatu yang berguna hingga kepada satu tempoh yang tertentu.

Oleh itu ruh tidaklah menumpukan pemerhatian ke arah memikirkan yang lain dalam masa perjalanan (hidup di atas dunia) ini, melainkan berusaha mencari ilmu untuk menjadi perhiasan di dalam negeri akhirat. Ini adalah kerana perhiasan harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia sahaja sebagaimana mata menumpukan pemerhatian ke arah mendengar suara-suara, lidah siap sedia untuk menyusun kata-kata, Ruh Haiwani tunduk kepada keenakkan marah, Ruh Tobie cintakan kelazatam makan dan minum, maka ruh yang tenang (AL-Ruh Al-Muthomainnah) ertinya Qalbu tidak menghendaki apa-apa selain daripada ilmu dan tidak gemarkan sesuatupun selain daripada ilmu. Ia belajar dan belajar sepanjang usianya. Ia menghiasi dirinya dengan ilmu dalam seluruh zaman hingga waktu bercerainya dari badan. Jika ia menerima sesuatu yang lain daripada ilmu, maka penerimaannya ini cuma untuk kepentingan badan, bukan untuk kepentingan dirinya dan kecintaan asalnya. Bila anda telah mengetahui hal ehwal ruh, kekalannya yang berterusan, kecintaannya dan pemerhatiannya kepada ilm



Teori Ilmu Tasauf
Pengertian Ilmu yang digunakan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali dalam sebuah kitabnya yang bernama Al-Risalatul-liduniyyah adalah seperti berikut :
  • http://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIFAL-ULUM AL-MAKTASABAH yang bermaksud ilmu-ilmu yang didapati dengan mencurahkan usaha seperti belajar dan membuat kajian. Dengan kata lainnya ialah ilmu-ilmu yang didapati dengan senang (Al-Ulum Al-Dhoruriyah) maksudnya ilmu-ilmu yang didapati dengan mudah sahaja menerusi salah satu daripada anggota-anggota pancaindera seperti rasa manis melalui lidah, mendengar suara melalui telinga dan lain-lainnya.
  • http://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIFIlmu GHAIBI LADUNI atau lebih ringkasnya disebut sebagai ilmu laduni yang membawa maksud secara hurfinya 'ILMU KESISIAN' iaitu ilmu disisi tuhan. Sama dengan ILMU ALLAH atau ILMU TUHAN.
Sesetengah ahli ilmuan Islam memberikan atau menggunakan berbagai-bagai istilah lain yang sama maksudnya dengan ilmu LADUNI ini dalam usaha mereka untuk mengemukakan pendekatan ilmu masing-masing. Antaranya ialah seperti berikut :
  • Ilmu Batin
  • Ilmu Qalbi
  • Ilmu Mukasafah
  • Ilmu Asyror
  • Ilmu Maknun
  • Ilmu Hakikat
  • Ilmu Makrifat
  • Ilmu Tasauf
Telah banyak ulama-ulama atau ilmuan zohir terkelincir kerana mereka membantah dan menidakkan ilmu laduni ini. Kita lihat bagaimana satu catatan hal tersebut yang dikemukakan oleh Iman Ghazali yang mengatakan:

" Seorang daripada kawan-kawanku telah menceritakan kepadaku mengenai seorang alim yang mengingkari ILMU GHAIBI LADUNI yang menjadi pegangan pemimpin-pemimpin tasauf dan tumpuan ahli-ahli thorikat yang berpendapat bahawa ilmu laduni adalah lebih kuat dan lebih tepat dari ilmu-ilmu yang didapati dengan usaha yang didapati dengan belajar. Kawanku juga mengatakan bahawa orang alim itu berkata bahawa aku fikir tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang boleh memperkatakan tentang ilmu yang sebenar dengan fikiran semata-mata tanpa belajar dan tanpa usaha-usaha untuk mendapatkannya. Aku (Ghazali) berkata seolah-olah orang itu tidak tahu tentang cara-cara untuk mendapatkan ilmu dan tidak tahu pula kerja ' JIWA INSANI ', KEMURNIAANNYA DAN CARA-CARA PENERIMAAN DARI ALAM GHAIB DAN ILMU ALAM MALAKUT."

Berkata lagi Imam Ghazali.....

Sesungguhnya mereka yang hanya menganggap ilmu kalam seperti fekah , tafsir dan sebagainya sebagai satu-satunya ilmu yang mampu diperolehi oleh manusia adalah merupakan mereka yang telah menyimpang dari method hakikat kerana Al-Salmi ( Abdul Rahman Muhammad bin Al-Husain bin Musa Al-Azdi Al-Salmi seorang ahli tasauf, ahli sejarah, ahli hadis dan hadis tafsir yang telah menulis sebuah kitab tafsir yang bernama 'Aqa'ik Al-Tafsir/ Wafat tahun 1021=412 Hijrah) telah mengumpulkan sesuatu dalam tafsirnya yang diambil dari kata-kata orang-orang muhaqiqin, sedangkan kata-kata itu tidak tersebut dalam semua kitab tafsir yang ada. Kata Ghazali lagi . Ahli tafsir tepi jalan ini seolah-olah tidak tahu :
  • Bahagian-bahagian ilmu
  • Perincian-perinciannya
  • Tingkat-tingkatnya
  • Kenyataan-kenyataannya dan
  • Batin-batinnya.
Memang sudah menjadi adat bahawa orang-orang yang jahil dalam sesuatu akan mengingkari sesuatu itu dan orang yang tersebut itu tidak pernah merasai MINUMAN HAKIKAT dan tidak mengetahui mengetahui mengenai tentang Ilmu Laduni.


Definisi Ilmu Dan Kegunaannya

Ketahuilah bahawa ILMU(Pengetahuan) ialah konsep(tasawwur) jiwa berakal yang tenang(Al-Nafsunathokhotul Muthomainnah) terhadap hakikat-hakikat sesuatu (hakho-ikul-asyaai) dan rupa-rupanya(suuraha) yang bersih dari benda-benda dengan 'ainnya(a'yaanaha), kualiti-kualitinnya(kaifayaataha), kuantiti-kuantitinya(kamayaataha), jauhar-jauharnya(jawaaharoha), dan zat-zatnya(zawaataha), kalau ia adalah tunggal (mufrad).

A'LIM ialah orang yang mengetahui ialah orang yang meliputi, mencapai, lagi mempunyai konsep; manakala "MA'LUM" (apa yang diketahui) ialah zat sesuatu yang terukir ilmunya pada jiwa.
Kemuliaan ilmu itu menurut ukuran kemuliaan maklumat dan darjah seseorang alim itu adalah menurut darjah ilmunya. Tidak ragu-ragu lagu bahawa di antara maklumat yang paling utama, paling tinggi, paling mulia dan paling besar ialah Allah Pencipta, Al-Haq yang tunggal, ilmu yang berhubung dengannya, ilmu tauhid adalah ilmu yang paling utama, paling besar dan paling sempurna. Ilmu ini adalah sesuatu kepastian. WAJIB mengetahuinya atas sekalian yang berakal sebagaimana sabda rasulullah SAW. yang bermaksud:

"Menuntut ilmu adalah fardu atau tiap-tiap orang Islam".

Dan baginda rasulullah menyuruh mencari ilmu ini dengan sabdanya yang bermaksud

"Carilah ilmu meskipun dinegeri Cina".

Orang-orang yang mempunyai ilmu tauhid ini adalah yang paling utama di antara ulama-ulama lain. Sebab inilah Allah Taala menyebut mereka ini secara istimewa pada tingkat yang tertinggi sebagaimana firmannya yang bermaksud:

"Allah telah terangkan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia yang berdiri dengan keadilan dan disaksikan oleh malaikat dan ahli-ahli ilmu."(Surah Al-Imran, ayat 18).

Oleh itu ulama-ulama ilmu tauhid secara umumnya adalah Nabi-nabi, selepas mereka barulah ulama-ulamayang menjadi ahli waris Nabi-nabi. Ilmu Tauhid ini meskipun mulia dan sempurna pada dirinya, ia tidak menolak lain-lain ilmu, malah ia tidak akan terdapat tanpa bahan-bahan yang banyak dan bahan-bahan ini tidak kan teratur jika tidak dari pertolongan berbagai-bagai ilmu seperti ilmu-ilmu langit dan falak-falak(astronomi dan kosmologi) dan ilmu seluruh ciptaan. Dari Ilmu Tauhid lahir pula ilmu-ilmu lain seperti yang akan kami(Imam Ghazali) akan sebutkan bahagian-bahagiannya pada tempat-tempatnya.

Ketahuilah bahawa ilmu itu sendiri adalah mulia tanpa memandang kepada aspek ma'lum, hingga ilmu sihir adalah mulia pada dirinya meskipun ianya palsu. Ini adalah kerana ilmu lawanya kejahilan dan kejahilan adalah dari kelaziman-kelaziman kegelapan dan kegelapan termasuk dalam lingkungan diam dan diam itu hampir dengan tidak wujud. Kepalsuan dan kesesatan termasuk dalam bahagian ini. Oleh itu kejahilan itu hukumnya adalah hukum tidak wujud, manakala ilmu hukumnya adalah hukum wujud dan wujud itu lebih baik daripada tidak wujud. Hidayah kebenaran dan cahaya semuanya termasuk dalam lingkungan wujud. Apabila wujud lebih tinggi daripada tidak wujud maka tentulah ilmu lebih tinggi daripada kejahilan, kerana kejahilan serupa dengan kebutaan dan kegelapan, manakala ilmu serupa dengan penglihatan dan cahaya. TIDAKLAH SAMA ORANG BUTA DENGAN ORANG YANG MELIHAT, juga tidaklah sama gelap dengan cahaya. Allah Taala telah menerangkan mengenai ini dengan firmannya yang bermaksud;

"Katakankanlah(hai Muhammad) adakah sama mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu?".(Surah Az-Zumar ayat 9).

Berdasarkan perbandingan di atas dapatlah pula dikatakan bahawa KEJAHILAN adalah dari kelaziman-kelaziman jisim, manakala ILMU adalah daripada sifat-sifat JIWA. Oleh itu JIWA LEBIH MULIA DARIPADA JISIM.

Ilmu terbahagi kepada beberapa bahagian yang banyak. kita akan menyatakan satu persatu dalam fasal yang lain, sedangkan seorang alim mempunyai berbagai-bagai cara untuk mendapatkan ilmu itu juga kami akan sebutkan dalam fasal yang lain. Yang perlu bagi anda sekarang selepas mengetahui keutamaan ilmu ialah mengetahui bahawa JIWA YANG MERUPAKAN LUH SEGALA ILMU DAN TEMPATNYA. Jisim bukanlah sesuai untuk tempat ilmu kerana jisim adalah terbatas dan tidak dapat dimuati oleh banyak ilmu, malah ia hanya dapat menanggung ukiran-ukiran dan gurisan-gurisan sahaja, sedangkan JIWA MENERIMA ILMU TANPA SEMPIT, SESAK, JEMU DAN HILANG. Sekarang kita akan memperkatakan tentang jiwa secara ringkas.

http://www.angelfire.com/journal/suluk/fairyku.gif
Ringkasan Fasal Di Atas
Imam Ghazali memulakan perbincangannya dengan memberikan pengertian tentang "ILMU". Kemudian beliau menyatakan bahawa kemuliaan ilmu itu terletak kepada kemuliaan "maklumat". Jika maklumat mulia maka ilmu itu pun turut mulia. Di antara semua maklumat, maka Allah Taala lah yang paling mulia. Sebab itu ilmu yang membicarakan tentang Allah Taala adalah ilmu yang paling tinggi dan mulia. Ilmu ini ialah Ilmu Tauhid.

Pengajian Kitab Hikam 
WARIDAT RUHANIYYAH DAN NAFHATUL ILAHIYYAH

http://www.angelfire.com/journal/suluk/Colorbar.gif
http://www.angelfire.com/journal/suluk/tangan.gifSambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)
 
Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut,  kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya

Keterangan 

Untuk memudahkan kefahaman kita,  elok rasanya kita susun kembali kalam hikmah di atas menjadi;
Tidak akan terjadi sesuatu yang dikatakan Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut yakni secara tiba-tiba atau secara mendadak.  Kedatangan Warid secara tanpa di sangka-sangka ini adalah bertujuan untuk memelihara daripada mendakwa hamba-hambaNya kerana telah bersungguh-sungguh mengadakan persiapan(sanggarahanya) bagi menerima sesuatu Warid.

Secara kasarnya dapatlah kita fahami kalam hikmah di atas adalah ditujukan kepada sesuatu yang berkaitan kehaibatan kedatangan sesuatu Kurnia Allah Taala yang disebutkan sebagai Warid sehingga langsungnya boleh menghapuskan pelbagai sangkaan dan khayalan sehingga menyanggah dakwaan seseorang hamba.
Apakah yang dimaksudkan dengan Waridat Ilahiyyah  atau di tempat lainnya disebut sebagai Warid Ilahi ini?  Apakah pula kehaibatan dan keistimewaannya sehingga menafikan campur tangan dari hamba-hambaNya?..
Bagi mengetahuinya,  kita lanjutkan perbincangan ini dengan mengikuti.........

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula segala Waridat Ilahiyyah itu hadiah daripada Allah Taala dan Tuhfatun(Kurnia Pembukaan) Keramat;  dipermuliakan dengan dia akan segala hambaNya.  Maka tiada ada ia pada gholibnya melainkan dengan terkejut supaya jangan mendakwa akan dia dan melihat akan diri mereka itu ahli baginya kerana wujud segala Warid mereka itu.

Keterangan 

Waridat Ilahiyyah itu ialah satu hadiah Kurniaan Allah Taala yang bangsa Ketuhanan yang juga sesuatu Kurnia Pembukaan Keramat yang datang dan melimpah ke atas hati/jiwa seorang hamba yang dipilihNya tanpa sesuatu kerana atau sebab.  Ia datang bukan untuk meluluskan kehendak hamba dan kehadirannya pula cara datangnya ia dengan  tiba-tiba .  Datang secara mengejut dan tidak disangka-kan;   itulah gholib atau kebiasaannya.  Kekuatannya sehingga meluluskan sesuatu yang mencarik adat atau terkeluar daripada jalan yang teradat oleh akal.  Semata-mata sebagai satu Manifestasi AgungNya,  MuliaNya dan EsaNya Zat itu untuk dilimpahkan kepada "kekasih"Nya.   Ianya merupakan satu hadiah kurniaan untuk mempermuliakan seorang hamba di sisiNya.  Sedikitpun tidak bertalian atau berhubungan dengan pilihan,  kehendak dan usaha dari seorang hambaNya.  Yang Menjadi milik MutlaqNya;  dan beruntunglah mereka-mereka yang berada di bahagian ini.

Antara hal Waridat Ilhaiyyah ini ialah seumpama tarikan yang langsung dari Allah Taala yang mencabut pandangan mata hati seorang hamba daripada lalai menilik akuan (benda-benda alam dan kejadian alam)  kepada Memandang(Syuhud) kepada Yang Mengatur Segala Urusan atau lain-lain pembukaan Nama(Asma),  atau lain Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi.

Demikianlah sebahagiannya;   bagaimana Allah Taala memperkenalkan(Menzhohirkan dan Membatinkan) DiriNya kepada hamba-hamba pilihanNya. Ada ulama yang mengatakan proses ini dinamakan Pengalaman Hakikat yang menghasilkan Makrifat.  Dinamakan juga sebagai Ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada Ketuhanan) atau Ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal.  Tidak ada jalan atau persiapan yang boleh memastikan seseorang akan memperolehinya

Maka anugerah besar ini pada gholib atau kebiasaannya akan datang secara mendadak tanpa disentuh oleh apa-apa persiapan seorang hamba.  Bila tiba-tiba datangnya,  maka terjauhlah hamba yang berkenaan dari wujudnya lagi pelbagai dakwaan palsu.  Tidak akan ada sama sekali dakwaan-dakwaan seperti
  • kerana kuatnya Mujahadah dan amal-taatku;
  • kerana hatiku memang bersih dan bersedia untuk menerimanya;
  • kerana hal-ahwalku sudah melayakkan aku menjadi ahli-ahli yang memiliki Warid itu
  • kerana tidak kerana istimewanya aku,  maka mana mungkin Warid itu dikurniakan padaku.
Wajah-wajah dakwaan ini pula tidaklah semestinya secara terang dan nyata terluncur dari lisan seseorang,  tetapi bahkan boleh muncul dari dalam tilikan dan kecenderungan hati hamba.
Jadi....jika difahami antara maksud kalam hikmah di atas,   seseorang yang mengaku bahawa mereka telah mendapat anugerah Warid Ilahiyyah ini dengan punya pelbagai kelebihan dan keistimewaan,  maka camkanlah yang  mereka-mereka ini adalah adalah dakwa yang tertipu dengan sangkaan dan khayalan mereka.

Tegasnya hamba yang menerima kehadiran Warid yang tiba-tiba ini,  adalah seorang yang telah siap terpelihara daripada sebarang dakwaan itu dan ini kerana;

"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu,  maka hilanglah bintang-bintang Petunjuk,  hilanglah Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak hancur".

Ingin ditegaskan lagi sekali;

"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu,  maka hilanglah bintang-bintang Petunjuk,  hilanglah Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak hancur".


Melanjutkan lagi perihal ini,  kita ikuti

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis yang selanjutnya;

Dan adalah segala Tuhfatun Allah Taala dan HadiahNya itu Maha Suci daripada dikeranakan dengan sesuatu pekerjaan dan dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala amal;  tetapi iaitu semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya pada segala hambanya supaya jangan sebut mereka itu.

Keterangan 

Perlu disedari adalah segala jenis Tuhfatun Allah atau Kurnian Pembukaan Ketuhanan ini adalah merupakan satu keramat atau keistemewaan yang boleh mencarik adat.
  • Bukan kerana diajar atau belajar
  • Bukan kerana kecerdikan dan kepintaran
  • Bukan kerana banyaknya zikir
  • Bukan kerana sempurnanya amal taat
  • Bukan kerana itu atau ini
Bahkan  HadiahNya itu Maha Suci daripada dikeranakan dengan sesuatu pekerjaan dan dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala amal. yakni Kurnia Allah Taala itu Maha Suci daripada sesuatu sebab atau kerana atau apa-apa persembahan dari hamba.

Pembukaan bangsa Ketuhanan yang melimpahkan mereka dengan cahaya hakiki yang menjadikan mereka sebagai ahli Makrifat dengan TuhanNya adalah semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya  yakni semata-mata kerana KemurahanNya dan Limpah KurniaNya daripada Rahmat Kasih SayangNya untuk seorang hamba.  Semata-mata bertujuan supaya jangan sebut mereka itu yakni  menjauhkan hamba-hambaNya daripada mendakwakan sesuatu dengan dirinya.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kerana inilah kata Kailani r.a;
Bermula Warid Ilahi itu
  • tiada datang ia dengan didakwa;
  • dan tiada datang atas suatu perkara;
  • dan tiada datang atas suatu waktu yang makhsus(tertentu);
  • dan tiada hilang dengan suatu sebab(dosa maksiat);
bersalahan dengan segala jalan Syaithoni(mencarik syara').

Keterangan 

Menurut keterangan Ahli sufi di atas,  Warid Ilahi itu ialah;
  • tiada datang ia dengan didakwa yakni Yang datang tanpa didakwa oleh yang menerimanya.  Jika ada dakwa-dakwaan,  maka itu bukanlah Warid Ilahi yang sebenar.  Bersih daripada sebarang pandangan.
  •  tiada datang atas suatu perkara yakni Yang datang kerana adanya sesuatu perkara seperti segala persiapan seperti amalan atau ibadat-ibadat yang tertentu atau kerana sesuatu hal-ahwal seseorang hamba.  Ia boleh datang kepada seorang pelacur, penjenayah,  pembunuh atau kepada seorang abid atau seorang murid atau seorang guru atau sesiapa sahaja.
  • tiada datang atas suatu waktu yang makhsus yakni Yang tidak akan datang mengikut sesuatu tempoh waktu yang tertentu mengikut sebarang jangkaan dan kiraan seseorang hamba.  Ia boleh hadir sewaktu maksiat,  sewaktu bala,  sewaktu taat atau sewaktu nikmat.  Lebih umum lagi ia boleh datang pada waktu sedar,  pada waktu tidur,  pada waktu berjalan,  berlari atau bila-bila masa sahaja Yang DikehendakiNya.
  • tiada hilang dengan suatu sebab yakni Yang tidak akan hilang dengan sebab sesuatu dosa atau maksiat,  aib,  atau cela atau kecuaian seorang hamba.
Tegasnya Warid Ilahi ini ada kehebatan dan keistmewaan yang tersendiri sebagaimana di atas.  Dan ianya tidak sama dan bersalalahan sekali dengan jalan-jalan Syathoni.  Boleh datang dalam keadaan yang mencarik adat dan bertentangan dengan  kebiasaan hukum adat.

Pada seorang Salik,  mereka sepatutnya memerhati dan betul-betul memahami jalan-jalan Warid itu,  agar dapat dibezakan mana yang baik dan mana yang jahat,  yang mempedayakan dan menyesatkan.  Untuk itu,  marilah sama-sama kita jelujuri pula berkenaan dengan jenis-jenis Warid yang ada mengikut pengkelasan ulama Sufiah.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka segala Warid itu empat perkara;
  • Pertama,  Warid Ilahi
  • [Kedua,  Warid] Malaki
  • [Ketiga,  Warid] Nafsani dan
  • [Keempat,  Warid] Syaithoni.

Keterangan 

Maka Warid Ilahi itu iaitu datang daripada Hadirat Al-Ghaib.  Maka tiada ia melainkan dengan terkejut iaitu tiada tersalah ia selama-lamanya

Warid jenis yang pertama ini ialah sebagaimana yang sedang kita bincangkan seperti di atas.  Ia datang daripada Hadirat Al-Ghaib yakni tanpa sebarang wasitah atau sesuatu sebab yang menengahinya.  Semata-mata dari limpah kurniaan Ilahi.  Dalam keterangan di atas,  disebut bahawa Warid yang datang dengan tiba-tiba ini tidak akan tersalah selama-lamanya yakni menyentak atau menarik si penerima kepada bimbingan dan petunjuk ke arah jalan "kebenaran"  jalan yang Haq dan kepada kesempurnaan Agama dan Tauhidnya.  Warid ini akan menyingkirkan si hamba daripada pandangan yang rendah dan sebarang persekutuan sehingga membersihkan mereka daripada sifat berjahat adab daripada sebarang dakwaan hamba.

Dan [Warid] Malaki itu iaitu tiap-tiap barang yang dalamnya kebajikan.  Dan dinamai ia akan Ilham.

Warid jenis yang kedua ini pula merujuk kepada apa yang dikatakan sebagai Ilham atau Ilmu Laduni.  Warid Malaki atau Ilham atau Ilmu Laduni ini adalah yang juga datang secara terus dari Allah,  tanpa kerana sesuatu sebab dari hamba.  Dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang terpilih yang terdiri daripada para Aulia dan Sholihin.  Warid jenis ini akan memberikan kekayaan Ilmu kepada yang menerimanya.  Segala kemusykilan yang didatangkan kepadanya dapat dijawab dan dihurai dengan jelas tanpa menimbulkan sebarang keraguan lagi;  sedangkan dirinya tidak pernah belajar atau diajar mengenai perkara-perkara tersebut.  Tidakkah ini boleh kita katakan inilah sebenar-benarnya ahli ilmu atau Ulama kerana mereka mendapat Ilmu Secara Terus dari Allah?

Dengan kerana ini,  Kehadiran Warid Malaki ini  membawa pelbagai kebajikan untuk hamba yang menerimanya;   bahkan kepada mereka yang hampir dan mereka yang meyakini tindak-tanduk dan perkataan mereka.
  • Dilimpahkan dengan pelbagai petunjuk yang mampu menghuraikan teka-teki dan kesamaran lautan hikmah dan makna di sebalik  Kalam Allah dan Hadis Rasulullah SAW.
  • Menyedarkan dirinya dan yang lain dari mabuk dunia dan kurungan dirinya kepada mengingati dan mengenali TuhanNya.
  • Mengajak dan membimbing manusia daripada Persekutuan dalam Pegangan dan Pandangan.
Semata-mata kebajikan;  tiada lainnya.   Warid Malaki ini datang dengan membawa semata-mata kebajikan untuk hamba-hambaNya yang terpilih sebagai satu Rahmat untuk Semesta Alam..

Dan [Warid] Nafsani itu iaitu barang yang di dalamnya bahagian nafsu dan dinamakan ia Haajis(lintasan)

Warid Nafsani itu ialah sesuatu yang terdapat di dalamnya unsur-unsur nafsu yang berkecenderungan kepada ghairuLlah yakni sesuatu selain daripada Allah.  Kesannya Warid jenis ini ialah membawa seseorang kepada pelbagai sangkaan dan khayalan.  Sebab itulah dinamakannya sebagai Haajis atau lintasan(khotir).  Pemerhatian dan tumpuannya kepada sesuatu yang batil seperti  mengharapkan terbuka sesuatu yang ghaib atau mendapat keistemewaan-keistimewaan  tertentu atau mencari harga bagi hal-ahwalnya akan mengundangkan pelbagai lintasan yang terdiri daripada pelbagai sangkaan atau khayalan yang tidak sebenar.
  • Disangkakan dirinya dekat dengan Allah tetapi sebenarnya jauh
  • Disangkakan amal-taatnya sudah sempurna tetapi sebenarnya terlalu banyak aib,  cacat dan celanya.
  • Disangkakan telah mendapat makrifat tetapi sebenarnya jahil
  • Disangkakan dirinya telah menyempurnakan pelbagai adab tetapi jahat adab sebenarnya
  • Disangkakan telah Wushul ilaLlah(sampai kepada Allah) tetapi sebenarnya hanyalah khayalannya semata.
  • Dan lain-lain sangkaan yang merujuk kepada adanya harga amal dan dirinya.
Sama-samalah memohon perlindungan dengan Allah dari dibayangi oleh lintasan-lintasan dan tipu daya yang susah untuk dikenali ini.  Memang seronok dan menggembirakan kerana salah satu daripada sifat-sifat nafsu ialah berseronok dengan pelbagai khayalan dirinya.

Dan [Warid] Syaithoni itu iaitu barang yang membawa kepada segala jalan yang menyalah Haq Taala.  Dan dinamakan dia Waswas.

Yang keempat ini lagi teruk.  Dinamakan Warid Syaithoni kerana semata-mata mengheret seseorang kepada jalan yang sesat atau yang menyalah Haq Allah Taala.  Hasilnya tidak lain;   semata-mata meletakkan pemikiran dan kepercayaan seseorang di dalam kaedaan yang ragu-ragu.  Melumpuhkan keyakinan kepada Yang Haq dan mengheret seseorang untuk sama-sama sesat dengan mereka(Syaithon).  Sebab itu ianya dinamakan Waswas kerana bersimpang-siurnya bisikan dan bujukan syaitan dan iblis yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan seseorang hamba.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan tatkala ada memeliharakan Waridat itu daripada segala wajah hikmah,  maka memeliharakan dia(Warid) atas orang yang Ahli al-Khidmat.

Keterangan 

Apabila seseorang hamba yang sedar dan faham akan tiap-tiap hikmah yang terdapat di sebalik keadatangan Warid itu yakni tidak mendakwakan dirinya atau menyempurnakan segala kebajikan untuk dirinya dan hamba-hamba Allah yang lain,  maka mereka itu adalah yang terdiri daripada hamba-hambaNya yang menyempurnakan adab dan yang tahu menjaga adab-adab Warid Ketuhanan.
Hasilnya,  mereka akan dipeliharakan pula oleh Warid kurnia Allah Taala itu sebagai seorang yang disempurnakan(diahlikan) dirinya sebagai ahli al-Khidmat.
  • Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai seorang yang mengistiqamahkan segala sholat-sholat sunat di sebalik yang fardu.
  • Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai yang sentiasa berpuasa di siang hari.
  • Ada yang dipelihara untuk tetap kepada kedua-duanya sekali iaitu yang berpuasa di siang hari dan Qiyam di waktu malam;
  • Ada yang dipelihara untuk sentiasa basah lisannya dengan pelbagai bacaan al-Qur'an,  zikir dan wirid.
  • Ada yang dipelihara untuk tetap duduk sebagai seorang alim ulama yang membimbing manusia ke arah beragama sebagaimana semestinya;
  • Ada pula dipelihara untuk tetap sebagai seorang pejuang dan penegak agama  menentang kaum kafir
  • Ada pula yang dipelihara untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia yang sedia membantu dan menolong saudara-saudaranya dengan melupakan kepentingan diri.
Dan yang lain-lain lagi sebagaimana yang terzhohir dari peribadi abid,  zahid dan lain-lainnya.
Apa yang perlu difahami,  mereka adalah ahli-ahli Al-Khidmat yang berkhidmat kepada Allah mengikut kedudukan dan ketetapan dan cara masing-masing.
Ini perlu diingat.....kerana mereka ada keistimewaan dan ada kedudukannya yang tersendiri di sisi Allah.


Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan tertentulah bahawasanya orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu,  maka sungguhnya telah membinasakan hurmat[Warid yang dikurniakan itu].  Maka kerana demikian,  kata Muallif; (Sheikh Ibnu Atoillah As-Kandari)

Jika dari keterangan sebelumnya,  dihuraikan bagaimana seorang yang tahu menjaga hikmah-hikmah kedatangan sesuatu Warid sehingga membolehkan mereka diahlikan sebagai Ahli Al-Khidmat,  maka keterangan yang berikutnya adalah berkenaan dengan yang sebaliknya.

orang yang mengharuskan akan dia(Warid)  itu ialah merujuk kepada mereka yang "tidak memperwajibkan"  diri mereka untuk menjaga adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid.  Orang yang tidak menjaga dan memelihara(yakni tidak memperwajibkan dirinya) sesuatu Warid yang dikurniakan itu sesungguhnya telah membinasakan hurmat atau adab-adab sebagai seorang yang mendapat Warid.


Tok Pulau Manis sebagaimana berikut:

Maka kerana demikian,  kata Muallif; (Sheikh Ibnu Atoillah As-Kandari)
 
Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid;  dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada ghaib,  maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada makhluk.