Saturday, January 12, 2013

Syarat Ber-Tharekat



Muhyiddin Ibnul Arabi dalam kitabnya Futuuhatul Makkiyah menjelaskan tentang syarat_syarat orang yang memasuki thareqat adalah sebagai berikut:

*
Qashdun Shakhihun; tujuan yang benar. Orang yang berthariqat itu harus bertujuan yang benar, yaitu bermaksud melakukan sifat ubudiyah; penghambaan diri kepada Allah yang Haq dan menunaikan haqqur rububiyyah. Bukan tujuan menghasilkan keramat atau pangkat, dan juga tidak mengharapkan pembagian-pembagian yang bersifat nafsu, seperti dipuji dan sebagainya.
*
Sidqun Shariihun; yaitu kesungguhan yang jelas. Artinya, murid harus membenarkan ataumempunyai kepercayaan bahwa sang guru itu mempunyai sirrul khususiah yang bisa menyampaikan sang murid kehadhirat ilahiyah.
*
Adabun Mardhiyyah; yaitu tatakrama yang diridhai, artinya orang yang masuk thariqat itu harus melakukan tatakrama yang diridhai syara` seperti menghormati orang sederajat dan orang yang diatasnya, belas kasih kepada orang yang di bawah, serta insaf, adil, tegas terhadap diri sendiri dan tidak mementingkan diri sendiri.
*
Ahwaalun Zakiyyatun; tingkah laku yang bagus. Artinya, orang memasuki thariqah itu tingkah lakunya serta ucapannya sesuai dengan syariat Nabi Muhammad saw.
*
Hifdzul Hurmati; menjaga kehormatan, kemulyaan. Artinya, orang memasuki thariqah itu harus mengagungkan sang guru baik ketika hadir maupun ghaaib, ketika sang guru masih hidup atau sesudah wafatnya dan juga memulyakan ahlul Islam, berusaha membuat mereka tahan akan penderitaan, menyabarkan hati keras mereka, mengagungkan orang yang di atasnya dan belas kasih orang yang di bawahnya.
*
Husnul Hidmat; pelayanan yang baik. Artinya, orang yang masuk thariqah itu harus membaikkan pelayanannya terhadap sang guru dan saudara se-Islam, dan juga membaikkan diri dalam berhidmat kepada Allah swt., melakukan segala perintah dan menjauhi larangan-Nya. Inilah tujuan teragung dalam thariqat
*
Rof`ul Himmah; meluhurkan kemauan. Artinya, orang yang masuk thariqat bukan karena mengharap dunia dan akherat, tetapi menginginkan marifat khususiyah pada Allah swt.
*
Nufuudzul Azimah; kelestarian maksud atau niat. Artinya, orang masuk thariqat itu haruslah melestarikan maksudnya dalam melakukan tariqat, sebab hal itu akan menghasilkan ma`rifat khassah akan Allah swt.


Adapun maksud melakukan thariqat itu adalah melakukan tatakrama lahir dan bathin. Imam Abul Hasan Asy-Syadzili mengatakan: “Ada 4 hal yang menjadi tatakrama ahli thariqat. Karena itu apabila seorang ahli thariqat tidak memenuhi empat macam tatakrama ini, jangan dianggap sebagai ahli thariqat.


Adapun empat hal tersebut adalah :

1.Menjauhi orang-orang yang ahli aniaya
2 Memulyakan ahli akherat
3.Menolong orang yang dalam kemelaratan
4.Melakukan shalat 5 waktu berjama`ah

Sumber : Kitab : Ad-Durorul Muntatsirah Hadratusy Syaikh Hasyim Asy`ari

Monday, January 7, 2013


http://www.angelfire.com/journal/suluk/button2.gifTingkat-tingkat Jiwa Dalam Mendapatkan Ilmu

Ketahuilah bahawa ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam seluruh jiwa manusia dan semuanya sesuai untuk menerima seluruh ilmu. Kalau suatu jiwa itu terluput dari mendapat habuannya, tidak lain hanya kerana suatu sebab yang mendatang, menimpa ke atasnya dari luar. Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud:

"Dijadikan manusia dalam keadaan suci, kemudian dirosakkan mereka oleh syaitan-syaitan". 
dan sabdanya lagi yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang dilahirkan adalah dilahirkan dalam keadaan semulajadi".
Jiwa berakal(Al-Nafsul Naathoqah) manusia memang layak untuk menerima pencaran jiwa keseluruhan(Al-Nafsul Kulliyah) di atasnya dan bersedia untuk menerima gambaran-gambaran yang dapat difahami oleh aqal(Ma'quulah) dengan kekuatan kesucian aslinya dan kemurniaannya yang asal. Tetapi sebahagiannya menderita sakit dalam dalam dunia ini diserang oleh berbagai penyakit yang menyebabkan tiada dapat mencapai hakikat-hakikat, manakala sebahagiannya masih dalam keadaan kesihatan yang asal tanpa sakit dan rosak dan sentiasa bersedia(untuk menerima ilmu) selagi masih hidup.

Jiwa-jiwa yang sihat ialah jiwa-jiwa Kenabian(Al-Nufus Al-Nubuwiyah) yang bersedia untuk menerima wahyu dan bantuan(pertolongann atau penguatan dari Allah), berkuasa untuk melaksanakan penyelongkaran dalam Ilmu kejadian dan kebinasaan, kerana jiwa-jiwa itu adalah kekal dalam kesihatan aslinya dan tidak berubah Mazrajnya oleh bencana penyakit. Oleh itu Ambiya' adalah menjadi para doktor-doktor jiwa dan menjadi para penyeru makhluq supaya menyucikan semulajadi mereka.

Ada pun jiwa-jiwa yang sakit dalam dunia yang hina ini terdiri dari beberapa tingkat:

1. Jiwa-jiwa yang sedikit sahaja dikesani oleh penyakit yang menimpa dan sedikit sahaja awan kelupaan menyeliputi lintasan-lintasan fikiran mereka. Mereka berusaha dalam pengajian dan mencari kesihatan asli. Dengan ini hilanglah penyakit mereka dengan pengubatan yang mudah. Tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengajian sahaja.

2. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia dan berusaha dalam pengajian itu. Mereka mencari kesihatan asli, maka hilanglah penyakit itu dengan pengubatan yang mudah dan tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengingatan.

3. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia, berusaha mendapatkan ilmu dan membetulkan dalam seluruh zaman mereka, sedangkan mereka tidak faham sedikit pun kerana rosak mazraj mereka, sebab mazraj ini bila rosak tidak akan dapat diubati lagi.

4. Jiwa yang mengingat dan lupa, cuba melatihkan diri (dengan beramal untuk mengembalikan ingatan itu) tetapi tiada berdaya. Mereka hanya mendapat Nur yang sedikit dan pancaran yang malap.

Perbezaan-perbezaan ini timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu terhadap dunia dan tenggelam di dalam dunia ini menurut kuat dan lemahnya seperti orang sihat bila ia sakit dan orang sakit bila ia sihat. Bila masalah ini telah terurai, akan timbullah jiwa-jiwa itu dengan Ilmu Laduni dan akan mengetahui bahawa mereka memang Alim(mengetahui) pada awal semula jadinya dan murni pada permulaan ciptaannya. Sedangkan mereka menjadi jahil itu adalah kerana sakit yang dideritai ketika bersama dengan jasad yang tebal ini dan ketika tinggal dalam rumah yang kotor dan tempat yanng gelap.

Bahawa jiwa-jiwa itu belajar untuk mendapatkan ilmu yang tidak ada, bukanlah menciptakan aqal yang luput, malah belajar itu adalah merupakan usaha jiwa-jiwa tersebut untuk mengembalikan ilmu asal lagi instintif(berdasarkan naluri bukan dihasilkan oleh taakulan atau ajaran) dan menghilangkan penyakit yang timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu kepada kekotoran jasad dan segala yang berhubung dengan kepentingan jasad.

Seorang bapa yang pengasih lagi penyayang kepada anaknya, bila ia mengarahkan perhatiannya kepada soal menjaga anak sahaja, ia akan lupa segala urusan yang lain dan masanya penuh dengan soal membicarakan anak sahaja. Begitu juga jiwa, kerana terlampau memperhitungkan kepentingan kerangka(jasad) ini dan tenggelam di dalam lautan tabiat dengan sebab lemah dan pengasingannya. Ia memerlukan pelajaran sepanjang usianya untuk mengingatkan kembali apa yang telah dilupakan dan untuk mendapatkan semula apa yang telah luput. Pengajian ini tidak lain dari hanya pengembalian jiwa kepada jauharnya dan pencungkilan apa yang berada dalam hati nurani kepada tindakan untuk menyempurnakan zatnya dan mencapai kebahagiannya.

Bila suatu jiwa telah lemah dan tidak dapat kembali kepada hakikat Jauhariahnya, hendaklah ia berguru pada seorang yang pengasih lagi Alim dan memohon pertolongan daripadanya supaya ia menolong dalam mencapai cita-citanya, seperti seorang sakit yang tidak tahu cara mengubati penyakitnya sedangkan ia berusaha menyembuhkannya. Ia terus menemui doktor yang pengasih, menerangkan hal dirinya dan meminta supaya mengubatinya.

Kita pernah menyaksikan seorang Alim menderita suatu penyakit yang tertentu seperti sakit kepala dan dada, menyebabkan lari ilmu dari jiwanya. Ia lupakan segala maklumatnya dann ingatannya terhadap segala apa yang didapatinya dulu menjadi keliru dan tertutup. Bila ia sihat kembali, hilanglah lupanya itu dan kembalilah jiwa mengingati maklumatnya, lalu teringatlah semula apa yang telah dilupainya semasa sakit.

Dari sini kita dapat mengetahui bahawa ilmu-ilmu itu tidaklah binasa, sebenarnya ia dilupakan. Perbezaan antara "Mahwun" ertinya "sapu" dan "Nasyan" ertinya "lupa" ialah sapu itu ertinya binasa ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan, manakala lupa ialah kekeliruan di antara ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan itu. Seperti awan yang mendung atau awan yang menutup sinar matahari dari pandangan orang bukan seperti jatuh matahari yang ertinya perpindahan matahari dari atas bumi menuju ke bawah bumi.

Perhatian penuh jiwa dalam pengajian bermakna menghilangkan penyakit dari jauhar jiwa supaya ia kembali kepada apa yang telah diketahui pada awal-awal semulajadi dan telah dikenalinya pada awal kesuciannya.

Bila anda telah mengetahui sebab dan maksud pengajian dan hakikat jiwa dan jauharnya, maka ketahuilah bahawa jiwa yang sakit adalah memerlukan pengajian dan pengorbanan usia dalam mendapatkan ilmu-ilmu. Ada pun jiwa yang kurang sakit dan sedikit sahaja penyakitnya, kecil merbahayanya, tipis awan mendungnya, sedangkan mazrajnya sihat; maka ia tidak memerlukan penambahan pengajian dan kepenatan yang lanjut. Malah dengan sedikit Nazhor(Tilik) dan fikir sudah cukup untuk memulihkan kembali asalnya, sampai kepada permulaan dan hakikatnya, melihat rahsia-rahsia jiwa dan mencungkil apa yang ada di dalam dari kekuatan kepada tindakan serta menjadikan apa yang tersembunyi di dalamnya sebagai pakaian untuknya.
Dengan ini lengkaplah dia dan sempurnalah keadaannya. Ia mengetahui banyak perkara dalam waktu yang singkat dan menggambarkan maklumat dengan teratur baik. Ia menjadi Alim(mengetahui), sempurna lagi dicekapi (Mutakallimah: maksudnya dicapai dari sebelah hijab atau dengan kata lain, mendengar suara dari Alam Hakikat atau Alam Ketuhanan tingkat Wahidiah atau Al-Aqlul Kulli yang memberikan ajaran-ajaran).

Ia mengambil cahaya dari pengarahan terhadap Jiwa-Jiwa keseluruhan (Al-Nafsul Kuliyyah) dan Jiwa-Jiwa Keseluruhan ini pula melimpahkan cahayanya ke atas Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'ie). Kedua-dua jiwa ini hampir serupa keadaan dipandang dari segi kerinduan kepada asal. Ia(jiwa-jiwa yang kurang sakit) memutuskan urat-urat dengki dan umbi dendam dan meninggalkan keutamaan dan perhiasan-perhiasan dunia. Bila jiwa-jiwa telah sampai kepada tingkat ini, sesungguhnya ia telah mengetahui, selamat dan berjaya. Inilah yang dikehendaki untuk semua orang.


Ringkasan Fasal Di Atas

Setelah mengemukakan tentang cara-cara mendapatkan ilmu dari fasal sebelum ini, Imam Ghazali memberikan perhatian yang khas kepada cara Ilham. Inilah yang menjadi tujuannya dalam kitab Al-Risaalatulli Duniyyah ini; iaitu cara-cara yang masih dibuka pintunya oleh Allah Taala untuk manusia mengambil ilmuNya iaitu Ilmu Laduni.

Tetapi sebelum daripada menerangkan cara-cara mendapatkan ilmu dengan Ilham itu, Imam Ghazali telah menerangkan terlebih dahulu tingkat-tingkat jiwa untuk menentukan jiwa yang bagaimanakah keadaannya dapat mencapai ilmu dengan cara Ilham tersebut. Ia membahagikan jiwa kepada dua bahagian iaitu;
  • Jiwa yang sihat seperti jiwa Nabi-nabi dan
  • Jiwa yang sakit yang terbahagi pula kepada empat(4) iaitu;
    • 1. Jiwa yang sedikit sahaja dikesani penyakit, dapat diubati dengan mudah dan mendapat Ilmu Laduni dengan mudah.
    • 2. Jiwa yang agak berat penyakitnya, dapat diubati dengan mudah tetapi memakan masa yang lanjut untuk mendapatkan Ilmu Laduni.
    • 3. Jiwa yang berat penyakitnya, memakan waktu yang lanjut untuk mengubati dan memakan waktu yang lanjut pula untuk mendapatkan Ilmu Laduni.
    • 4. Jiwa yang sangat berat penyakitnya, walaupun diubati dengan cara beramal tetapi tidak sembuh seperti asal lagi. Hanya mendapat pancaran Nur yang malap sahaja.
Cara mengubat jiwa yang sakit itu ialah dengan menemui seorang guru yang pengasih lagi Alim. Maksudnya seorang guru dalam ahli dalam Ilmu Tasauf

Ilmu Laduni ini sebenarnya ialah ilmu yang telah ada sejak awal semulajadi pada jiwa manusia. Kejahilan terjadi kerana kesakitan yang dideritai jiwa ketika bersama dengan jasad. Oleh itu bila penyakit itu diubati, jiwa kembali sihat seperti asalnya dan dapatlah kembali Ilmu Laduni yang telah dilupakan itu.


http://www.angelfire.com/journal/suluk/tangan.gifFasal yang seterusnya ialah bahagian yang terakhir yang menjadi matlamat dari Kitab Al-Risaalatulil Duniyyah karangan Imam Ghazali. Sila ikutilah perbincangan seterusnya tentang



Ketahuilah bahawa
"ILMU LADUNI" itu adalah penyerapan Nur Ilham yang terjadi selepas penyempurnaan (JIWA) sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Demi satu jiwa serta Yang Menyempurnakannya" (Surah Al-Syams:7). Perkembalian (kepada asal) ini adalah dengan tiga cara:

1. Mempelajari semua ilmu dan mengambil sebahagian yang lebih besar dari kebanyakannya. (Penjelasannya: ialah dengan mempelajari dasar-dasar semua ilmu, kemudian kebanyakan dari ilmu-ilmu ini hendaklah diketahui pula sebahagian yang lebih besar dari kandungan. Katakanlah lebih daripada 50%).

2. Latihan yang benar dan Murraqobah yang betul, kerana Nabi SAW. pernah menunjukkan kepada hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Siapa yang beramal dengan apa yang telah diketahuinya, Allah akan mempusakakan Ilmu mengenai apa yang belum diketahuinya". Bersabda lagi Nabi SAW. yang bermaksud: "Siapa yang menyerahkan dirinya untuk Allah (beramal) selama 40 pagi, Allah Taala melahirkan mutiara-mutiara hikmah dari Qalbu ke atas lidahnya".

3. Berfikir; bahawa jiwa itu bila beramal (menerusi ilmu-ilmu yang dipelajari) dan berlatih (beramal) dengan (keadah) ilmu kemudian berfikir mengenai maklumat menurut syarat-syarat berfikir, akan dibuka kepadanya pintu ghaib seperti seorang ahli perniagaan yang menyelenggarakan hartanya dengan syarat-syarat(yang ditentukan untuk) penyelenggaraan, akan dibuka kepadanya pintu-pintu keuntungan. Bila ia melalui jalan yang salah ia akan jatuh di dalam kerugian. Begitu juga seorang pemikir itu, bila ia menempuh jalan yang betul ia akan menjadi seorang yang bijaksana dan terbuka saluran dari Alam Ghaib dalam Qalbunya; lalu ia menjadi seorang Alim yang sempurna, beraqal, berilham lagi mendapat pertolongan (dari Allah) sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud: 

"Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun".

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan kepadanya Nur, nescaya tidak ada baginya sebarang Nur". (Surah An-Nur:40)

Dan Allah yang menjadi Wali orang-orang Mukmin, Selawat dan Salam ke atas Sayyidina Muhammad dan Ahli Keluargnya dan Sahabatnya. Cukuplah Allah yang menjadi Wakil. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Besar. Bermula segala puji-pujian itu bagi Allah Seru Sekelian Alam.





http://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIFCara dan Kaedah Mendapatkan Ilmuhttp://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIF

Ketahuilah bahawa ilmu manusia didapati menerusi dua jalan iaitu;
      • 1. Pengajian Insani dan
      • 2. Pengajian Rabbani
Jalan Yang Pertama

Jalan pertama adalah jalan yang termaklum dan saluran yang dapat dirasa, diakui oleh sekelian ahli akal.
Adapun Pengajian Rabbani terbahagi kepada dua bahagian iaitu;
  • Mendapatkan ilmu dengan pengajian dan;
  • Mendapatkan ilmu dari dalam iaitu dengan memenuhkan masa dengan berfikir.
Berfikir dari batin sama dengan pengajian pada lahir.
Pergajian adalah pengambilan faedah seorang peribadi(Al-Syakhos) dari seorang peribadi bahagian(Al-Syakahosul-Juz'ii) manakala
Berfikir adalah pengambilan faedah suatu Jiwa(Al-Nafs) dari Jiwa Keseluruhan (Al-Nafsul-Kulli). Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul-Kulli) lebih kuat kesannya dan lebih kuat pengajarannya dari sekelian ulama-ulama dan para ahli akal.

Ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam umbi sekelian jiwa secara kekuatan, seperti benih dalam bumi dan seperti geliga pada dasar lautan atau dalam benda galian.

Pengajian ialah menuntut keluar sesuatu dari kekuatan kepada tindakan(Minal Quwwati Ila Fi'li) dan Mengajar ialah mengeluarkan sesuatu itu dari kekuatan kepada tindakan.
Maka jiwa pelajar adalah serupa dengan jiwa pengajar dan hampir di antara keduanya dalam nisbah; seorang Alim dipandang dari segi memberi faedah seperti seorang petani dan seorang pelajar pula dari segi mengambil faedah seperti tanah dan ilmu yang mana adalah ketika dalam kekuatan adalah seperti benih dan ketika dalam tindakan adalah seperti tumbuh-tumbuhan. Bila sempurna jiwa pelajar, ia menjadi sebagai pokok yang berbuah atau seperti geliga yang keluar dari dasar lautan.

Bila kekuatan-kekuatan badaniah dapat menguasai jiwa, pelajar itu perlu menimbakan pengajiannya, memperlanjutkan waktu, memikul kesulitan-kesulitan, kepenatan dan berusaha dalam mencari faedah. Bila Nur Akal menguasai atasa sifat-sifat perasaan, seorang penuntut tidak memerlukan pengajian yang banyak. Hanya dengan sedikit berfikir atau sesaat berfikir ia mendapat faedah-faedah yang tiada didapati oleh jiwa yang kaku dengan pengajian selama setahun. Oleh itu setengah orang mendapat ilmu-ilmu dengan pengajian dan setengah pula dengan berfikir.

Pengajian memerlukan pula kepada berfikir, kerana manusia tiada dapat mempelajari segala sesuatu baik berupa bahagian-bahagian dan keseluruhan-keseluruhan, juga tidak dapat mempelajari semua maklumat, bahkan sebahagiannya is dapat dengan pengajaian dan sebahgiannya pula didapati dengan berfikir. Kebanyakan ilmu-ilmu teorikal dan ilmu-ilmu teknikal diruntun keluar oleh jiwa-jiwa para Hukama'(bijak pandai) dengan
  • kemurnian zihin
  • kekuatan fikiran dan
  • ketajaman agakan mereka dengan tidak menambahkan pengajian.
Andaikata manusia tidak menghasilkan sesuatu menerusi berfikir dari maklumat pertama nescaya pincanglah masa untuk manusia(bagi mendapatkan sesuatu) dan nescaya tidak akan hilang kegelapan kejahilan dari Qalbu-qalbu manusia; kerana jiwa tiada berkuasa mengetahui seluruh persoalannya sendiri baik yang berupa bahagian atau keseluruhan menerusi pengajian; malah sebahagiannya ia dapati dengan pengajian dan sebahagiannya pula ditarik keluar dari hati nurani dengan kemurnian fikiran.

Inilah cara yang biasa terjadi di kalangan para ulama dan cara inilah yang menimbulkan kaedah-kaedah segala ilmu hingga seorang arkitek tidaklah belajar seluruh apa yang diperluinya dalam sepanjang usiannya, malah ia belajar garisan-garisan kasar ilmunya dan kandungan-kandungannya; kemudian ia menarik keluar(sesuatu) dan mengqiaskan(menghubungkan) antara satu dengan yang lain. Begitu juga seorang doktor tidak dapat belajar penyakit-penyakit setiap orang dengan perinciannya, juga tidak boleh belajar tentang ubat-ubat untuk mereka; malah ia berfikir tentang maklumat secara umum dan menyelaraskan dengan tiap-tiap seorang menurut keadaan tubuhnya. Juga seorang ahli nujum, ia hanya belajar ilmu nujum secara umum sahaja, kemudian ia berfikir dan memberikan bermacam-macam ketetapan.

Begitu juga ahli feqah dan seorang sasterawan dan seterusnya begitu juga yang terjadi dalam kalangan para pereka barang-barang perusahaan, seorang pembuat alat bunyian iaitu gambus dapat mereka(mencipta) dengan fikirannya, manakala yang lain menghasilkan dari alat itu suatu alat yang lain pula. Begitu juga seluruh barang-barang perusahaan; baik untuk keperluan badan atau untuk keperluan jiwa pada mulanya didapati menerusi pengajian dan buat seterusnya dia dapati menerusi fikiran. Apabila terbukalah pintu fikiran pada jiwa, ketahuilah dia cara jalan berfikir dan cara menggunakan agakan untuk mencapai tujuan. Maka Qalbu seseorang menjadi lega dan terbukalah mata dalammnya, lalu keluar apa yang ada di dalam jiwanya dari kekuatan kepada tindakan tanpa penambahan usaha pencarian dan kepenatan yang berlanjutan.

Jalan Yang Kedua.

Pengajian Rabbani terbahagi kepada dua bahagia iaitu;

1. Yang Pertama : Pencampakan Wahyu.

Jiwa itu bila telah sempurna zatnya,
  • maka hilanglah kekotoran-kekotoran tabiat dan kecemaran loba dan angan-angan.
  • Terpisahlah pandangan daripada syahwat keduniaan,
  • putus hubungan dari cita-cita yang tidak abadi,
  • mengarahkan mukanya kepada pencipta dan penjadiNya,
  • bergantung kepada kemurahan penciptaan dan
  • berpegang pada kurniaan faedah daripadaNya dan limpahan NurNya.
Manakala Allah Taala pula
  • dengan keelokkan 'InayahNya mengarahkan kepada jiwa itu secara keseluruhan,
  • memandang kepadanya secara pandangan Ilahi dan
  • menjadikan sebagai Luh,
  • menjadikan Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul Kulli) sebagai Qalam dan
  • menuliskan pada Luh itu seluruh ilmu,
ketika ini Akal Keselurahan (Al-'Aqlu Kulli) menjadi sebagai guru dan Jiwa Suci (Al-Nafsul Qudsiah)[Jiwa suci ialah Jiwa Kenabian yang telah sempurna zatnya] sebagai pelajar, lalu terdapatlah semua ilmu pada jiwa itu dan terukir padanya seluruh rupa tanpa pengajian dan fikiran. Ini dibuktikan kebenarannya oleh firman Allah Taala kepada Nabi SAW. yang bermaksud;

Dan Ia(Allah) telah mengajarkan engkau apa yang engkau tidak tahu. (Surah Al-Nisaa';113)

Oleh itu ilmu para Nabi lebih mulia tingkatannya dari ilmu seluruh makhluk, kerana ia didapati terus dari Allah Taala tanpa perantaraan atau wasilah.Sila klik di sini untuk keterangan lanjut mengenai proses penurunan wahyu dan maksud istilah-istilah jiwa yang tersebut di atas.

Ini dapat dlihat contohnya dari kisah kisah Nabi Adam AS. dan malaikat, Malaikat adalah belajar sepanjang usia mereka dan menerusi berbagai jalan mereka mendapat banyak ilmu hingga mereka menjadi makhluk yang paling mengetahui, sedangkan Adam AS. tidaklah Alim, kerana ia tidak pernah belajar dan tidak pernah menemui seorang guru. Para malaikat melahirkan kesombongan dan takbur mereka dengan berkata;
"Padahal kami bertasbih dengan memuji-mujiMu dan memuliakanMu(Allah)" {Surah Al-Baqarah;30}.

dan berkata bahawa kami mengetahui hakikat-hakikat segala suatu. Maka Adam AS. pun kembali kepada penciptanya, mengeluarkan Qalbunya dari sifat-sifat makhluk dan mengarahklan permintaan tolongnya kepada Allah Taala, lalu Allah mengajarkannya seluruh Nama;

"Kemudian Ia bentangkan tanda-tanda itu kepada malaikat seraya berfirman: Beritahulah kepadaKu nama-nama benda ini jika kamu adalah benar!" {Surah Al-Baqarah;31}.

Maka malaikat pun merasa kecil di samping Adam, merasa kurang ilmu mereka dan pecahlah kepala kesombongan mereka lalu karam dalam lautan kelemahan;

"Mereka berkata Maha Suci Engkau tidak ada ilmu kami melainkan apa yang telah diajarkan kepada kami" {Surah Al-Baqarah; 32}.

Allah berfirman lagi dengan maksud;

"Hai Adam!.. beritahulah mereka (malaikat) nama-nama benda itu". {Surah Al-Baqarah;33).

Adam AS pun memberitahu kepada mereka beberapa ilmu yang terpendam dan beberapa perkara yang tersembunyi.

Dari ini jelaslah bagi orang-orang yang berakal bahawa Ilmu Ghoibi yang tercetus dari jiwa ialah lebih kuat dan lebih sempurna dari ilmu-ilmu yang didapati dengan usaha(Al-Uluumul Maktasabah). Ilmu Wahyu ini menjadi pesaka Nabi-Nabi dan kepunyaan Rasul-Rasul. Allah telah menutup pintu wahyu ini sejak dari zaman penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Ia adalah Rasul Allah SAW. dan Nabi yang penghabisan. Ia adalah manusia yang paling mengetahui, orang Arab dan 'Ajam yang paling fasih. Nabi SAW pernah bersabda yang bemaksud;

"Akulah yang paling tahu di antara kamu dan yang paling takutkan Allah Taala".

Ilmunya lebih sempurna, lebih mulia dan lebih kuat, kerana ia dapati ilmu ini dari Pengajaran Rabbani dan ia tiada sekali-kali berkecimpung dalam Pengajian dan Pengajaran Insani. Allah Taala berfirman dengan maksudnya;

"Ia telah diajar oleh kekuatannya bersangatan". {Surah Al-Najm;05}.


2. Yang Kedua : Ilham.

Ilham ialah pemberitahuan oleh Jiwa Keseluruhan (Al-Nafsul Kulliah) kepada Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'iyah) manusia menurut kadar kemurnian, penerimaan dan kekuatan persediaan.

Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.

Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus(Lathif). Terjadinya demikian kerana ilmu-ilmu seluruhnya adalah terterap lagi dimaklumi dalam Jauhar Jiwa Keseluruhan Yang Pertama(Jauharul Nafsul Kulliyatul Uula) yang mana beradanya(jauhar ini) dalam jauhar-jauhar Abstrak Yang Pertama Lagi Mutlak (All-Jawaahirul Mujarridatul Awwaliyatul Mahdhoh) dinisbahkan kepada Akal Pertama(Al-Aqlu Awal) adalah serupa dengan nisbah Hawa kepada Adam AS.http://www.angelfire.com/journal/suluk/tangan.gifSila klik di sini untuk perincian lanjut mengenai maksud istilah-istilah jiwa yang tersebut di atas.

Sesungguhnya telah nyata bahawa Akal Keseluruhan(Al-Aqlul Kulli) adalah lebih mulia, lebih sempurna, lebih kuat dan lebih hampir dengan Allah Taala daripada Jiwa Keseluruhan(Al-Nafsul Kulliyah) adalah lebih teguh, lebih halus dan lebih mulia daripada seluruh makhluk. Dari limpahan Akal Keseluruhan tercetusnya Ilham. Wahyu adalah pakaian Nabi-Nabi dan Ilham adalah hiasan Wali-Wali.

Mengenai Ilmu Wahyu(Ilmu Nabawi) pula sebagaimana Jiwa bukannya Akal, orang Wali bukannya Nabi, maka begitu juga Ilham bukannya Wahyu. Ilham adalah lemah dibandingkan dengan Wahyu, tetapi lebih kuat dibandingkan dengan mimpi-mimpi(mimpi yang benar), sedangkan ilmu(Ilham atau Ilmu Laduni) adalah ilmu Nabi-Nabi dan Wali-Wali.

Adapun Ilmu Wahyu hanya khas untuk Rasul-Rasul, terbatas setakat mereka sahaja seperti Ilmu Nabi Adam dan Nabi Musa AS., Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. dan Rasul-Rasul yang lain. Perbezaan di antara "Kerasulan" dan "Kenabian" terletak pada bahawa
  • "Kenabian" itu ialah penerimaan jiwa suci akan hakikat-hakikat maklumat dan ma'quulah dari Jauhar Akal Yang Pertama dan
  • "Kerasulan" ialah menyampaikan maklumat dan ma'quulat itu kepada orang-orang yang mahu mengambil faedah dan yang mahu menerimanya.
Kadang-kadang ada persesuaian untuk menerima pada jiwa seseorang, tetapi tidak mungkin hendak disampaikan kerana ada halangan atau sebab yang tertentu.
Ilmu Laduni adalah untuk ahli Kenabian dan Kewalian bersama, sebagaimana yang terjadi pada Nabi Khaidir AS. Hal ini ada tersebut dalam firmanNya yang bermaksud;

"Dan Kami telah ajarkan ilmu dari sisi Kami". {Surah Al-Kahfi;65}

Berkata Amir Mukminin Ali bin Abi Talib Karramallaha Wajhu ;

"Aku memasukkan lidahku ke dalam mulutku(mengunci mulutku) lalu terbuka dalam Qalbuku seribu pintu ilmu, tiap-tiap pintu terdapat seribu pintu pula", seterusnya ia berkata, "Andaikan disuratkan kepadaku suatu bantal dan kududuk di atasnya nescaya ku dapat menghukumkan ahli Taurat dengan Taurat mereka dan ahli Injil dengan Injil mereka dan ahli al-Qur'an dengan Qur'an mereka".

Ini adalah tingkat yang tiada dapat dicapai dengan Pengajian Insani semata-mata malah dapat dicapai dengan kekuatan Ilmu Laduni. Berkata lagi Sayyidina Ali lagi dalam menceritakan tentang Kitab Taurat Nabi Musa AS., bahawa syarah kitab ibi dapat dibawa dengan empat puluh ekor unta, katanya;

Jika diizinkan Allah mensyarahkan makna-makna Surah Al-Fatihah(sahaja) nescaya aku dapat melaksanakannya hingga sampai seperti itu juga". ertinya 40 bebanan unta.
Kebanyakan, keluasan dan kebukaan dalam ilmu ini tdak terjadi, melainkan ilmu itu adalah Laduni, Ilahi lagi tinggi.

Bila Allah hendak menjadikan hambanya seseorang yang baik, Ia(Allah) menyingkapkan hijab di antara ZatNya dan jiwa yang menjadi Luh, lalu lahirlah pada jiwa itu sebahagian dari rahsia-rahsia yang terpendam dan tertulis makna-makna segala rahsia yang terpendam ini. Dengan ini dapatlah jiwanya mengucapkan rahsia-rahsia yang terpendam ini menurut kehendak kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Hakikat hikmah adalah diambil dari Ilmu Laduni, selagi seseorang itu tidak sampai kepada tingkat ini, tidak dpat dianggap sebagai seseorang yang HAKIM, kerana hikmah adalah dari kurniaan Allah Taala sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah;269 yang bermaksud;

"IA(Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki dan sesiapa yang dikurnia hikmah maka sesungguhnya(bererti) ia telah dikurniakan kebajikan yang banyak dan tidak akan ingat melainkan orang-orang yang berfikiran".

Ini adalah kerana orang-orang yang sampai kepada tingkat Ilmu Laduni tidak memerlukan penumpahan tenaga yang banyak untuk mendapatkan ilmu dan tidak penat dalam pengajian. Mereka belajar sedikit dan mengetahui banyak, berpenat sedikit dan beritirahat banyak.

Ketahuilah bila Wahyu itu telah terhenti dan pintu Kerasulan telah ditutup, manusia tidak perlu lagi kepada rasul-rasul dan menyebarkan agama baru., kerana segala yang berhubung dengan agama telah lengkap sempurna sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah;37 yang bermaksud;

:"Hari ini aku sempurnakan agama kamu untuk mu"

dan tidaklah bijak menambahkan lagi faedah tanpa hajat.

Ada pun pintu Ilham tidak tertutup, perbekalan Nur Jiwa Keseluruhan(Al Nafsu Kulliah) tidaklah terhenti, kerna berlanjutan keperluan jiwa-jiwa kepada penguatan, pembaharuan dan pengingatan. Manusia tidak memerlukan rasul-rasul, tetapi kerana mereka tenggelam dalam was-was dan syahwat mereka memerlukan pengingatan dan penyedaran. Oleh itu Allah Taala mengunci pintu Wahyu dan membuka pintu Ilham sebagi rahmatNya. Ia menyiap dan menyusun segala-galanya supaya manusia tahu bahawa Allah adalah lembut dengan para hambaNya. mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa hisab.


http://www.angelfire.com/journal/suluk/fairyku.gif
Ringkasan Fasal Di Atas

Sebelum ini telah diterangkan mengenai Ilmu Tasauf sebenarnya termasuk dalam jenis-jenis ilmu malahan Ilmu Tasauf itu mempunyai sifat-sifat yang lebih istimewa lagi berbanding dengan ilmu-ilmu lain. Dalam fasal ini Imam Ghazali akan menerangkan kepada kita bagaimana cara-cara dan kaedah untuk mendapatkan segala jenis ilmu itu.
Ia membahagikan cara-cara itu kepada dua(2) bahagian penting iaitu;
  • 1. Pengajian Insani dan
  • 2. Pengajian Rabbani
Pengajian Insani adalah dengan dua(2) cara pula iaitu;
  • 1. Dari Luar (Mendapatkan ilmu dengan pengajian biasa)
  • 2. Dari Dalam (Mendapatkan ilmu dengan berfikir hingga dapat dicungkil ilmu itu dari batin jiwa iaitu jiwa keseluruhan [An-Nafs Al-Kulli] atau [Al-Luh Al-Mahfuz], kemudian barulah ilmu itu terukir pada jiwa.
Pengajian Rabbani juga terbahagi kepada dua cara iaitu;
  • 1. Menerusi Wahyu dan
  • 2. Menerusi Ilham.
Kedua-dua cara ini lebih tinggi tingkatnya dari cara mendapatkan ilmu dari cara berfikir seperti yang dinyatakan di atas. Wahyu dan Ilham adalah datang dari Zat Allah dan akal keseluruhan (Al-'Aqlul Kulli) menerusi Jiwa Keseluruhan (Al-Nafs Al-Kulli), kemudian baru terukir pada jiwa.
Meskipun kedua-duanya mempunyai saluran yang sama, Wahyu itu lebih tinggi dari darjahnya daripada Ilham. Wahyu untuk Nabi-nabi dan Rasul-rasul manakala Ilham untuk Nabi-nabi dan Wali-wali Allah.
Ilmu yang didapati menerusi Ilham inilah dinamakan 'ILMU LADUNI'.
Pintu Wahyu telah tertutup sekarang dan pintu Ilham masih terbuka sebagai rahmat dari Allah.