Tuesday, August 9, 2011

AMALAN BIDAAH DALAM BULAN RAMADHAN


UTUSAN MALAYSIA : RABU 10 OGOS 2011
Oleh MOHD. RIDUAN KHAIRI


Amalan sunat vs fardu



Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. - Gambar hiasan

---------------------------------------------------------------



BULAN Ramadan adalah musim menuai keuntungan. Begitu banyak hadiah dan ganjaran yang Allah tawarkan khusus pada bulan ini. Kata seorang sarjana Islam abad ke-8 Ibnu Rajab al-Hanbali: "Barang siapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barang siapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi."

Antara amalan-amalan sunnah yang banyak Nabi lakukan pada bulan Ramadan termasuklah memperbanyakkan bacaan al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam dengan solat terawih, menjamu orang berbuka puasa dan beberapa amalan lain yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun, dalam ghairah umat Islam mengerjakan amalan sunat, ada juga yang memandang sepi amalan-amalan wajib. Kadang-kala dek kerana ghairah bersedekah di masjid atau di surau, ada juga yang terlepas pandang kepada sedekah yang wajib kepada isteri, anak-anak dan kedua orang tua.

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, "Wajib mendekatkan diri pada Allah dengan melakukan hal-hal wajib sebelum yang sunnah. Mendekatkan diri pada Allah dengan perkara yang sunnah bisalah dianggap sebagai ibadah jika yang wajib dilakukan." (Majmu'ul Fatawa 17/133)

Mengabaikan solat fardu dan mengutamakan solat terawih

Prof Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili dalam sebuah khutbah di Masjid Dzun Nurrain membawakan penjelasan yang tuntas.

Masalah lain yang perlu diperhatikan, iaitu amalan fardu. Amalan yang paling wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan ialah: mendirikan solat lima waktu dengan berjemaah di masjid (bagi laki-laki), dan berusaha sekuat tenaga tidak tertinggal takbiratul ihram.

Telah dihuraikan dalam suatu hadis yang sahih, barang siapa yang melaksanakan solat 40 hari bersama imam dan sempat mendapat takbiratul ihram, ditulis baginya dua jaminan surat kebebasan, (iaitu) bebas daripada api neraka dan munafik.

Seandainya kita, ternyata termasuk orang-orang mufarrith, iaitu amalannya tidak banyak pada bulan puasa, maka setidaknya kita memelihara solat lima waktu dengan baik, dikerjakan secara berjemaah di masjid, serta berusaha sesegera mungkin berangkat ke masjid sebelum tiba waktunya. Sesungguhnya, menjaga amalan fardu pada bulan Ramadan merupakan ibadah dan taqarrub yang paling agung kepada Allah.

Tambah beliau lagi, sungguh sangat mengharukan, tatkala kita mendapati orang yang bersemangat melaksanakan solat tarawih, bahkan hampir-hampir tidak pernah tinggal, namun pada saat yang sama, ternyata dia tidak menjaga solat lima waktu dengan berjemaah. Terkadang lebih memilih tidur, sehingga melewatkan solat wajib, dengan dalih persiapan untuk solat terawih?! Demikian ini merupakan kebodohan dan pelecehan terhadap kewajipan!

Menurut Dr. Ibrahim, mendirikan solat lima waktu bersama imam lebih baik daripada mengerjakan solat terawih.

Bukan bererti kita memandang remeh terhadap solat terawih. Tetapi, seorang Muslim itu seharusnya menggabungkan kedua-duanya. Iaitu memberikan perhatian khusus terhadap hal-hal yang fardu (solat lima waktu) terlebih dahlu, baru kemudian melangkah menuju amalan sunat seperti solat terawih.

Mengejar jumlah ayat

Satu contoh lain yang ketara tergesa-gesa dalam beramal ialah ketika membaca al-Quran. Umat Islam berlumba-lumba membaca al-Quran dengan banyak pada bulan Ramadan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian ketika membaca al-Quran, ini kerana tuntutan membaca al-Quran bukan sekadar membaca sahaja, sebaliknya dibaca dengan tartil. Seperti kata Allah dalam al-Quran yang bermaksud: dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (Muzammil: 4).

Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan, seorang ulama besar semasa ketika ditanya tentang maksud tartil menjawab, "Membaca al-Quran dengan tartil tidak cepat dan tidak pula terlalu memanjangkan madnya, seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang berlagak menjadi ulama dan yang mengaku pandai tajwid, ini bukan tajwid, ini bukan tajwid! Ini seperti menyanyi."

Pendapat ini senada dengan apa yang disebutkan oleh Imam Nawawi rahimahullah, "Ulama sepakat makruh membaca al-Quran dengan cepat dan berlebih-lebihan. Mereka mengatakan membaca satu juz al-Quran dengan tartil lebih utama daripada membaca dua juz al-Quran dengan waktu yang sama tanpa tartil."

Ini merupakan beberapa contoh kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh orang yang ghairah beramal. Namun sayangnya amal tanpa ilmu dan tanpa mengikut petunjuk Nabi akan menjadi sia-sia dan tidak mendapat pahala daripada Allah SWT.

Semoga Allah selalu memberi petunjuk, bimbingan, taufik dan hidayah kepada orang-orang yang ikhlas menuntut ilmu dan beramal kerana Allah SWT.