Tuesday, August 9, 2011

PENYIKSAAN PARA SAHABAT BERTERUSAN

Susunan SITI AINIZA KAMSARI (Utusan Malaysia Rabu 10 Ogos 2011)


Tidak salah berbaik-baik dengan Yahudi tetapi dengan berhati-hati kerana Rasulullah sendiri pernah terkena dengan kelicikan kaum ini. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------

DALAM peristiwa Ar Raji ini, turut menyaksikan tidak sahaja Zaid bin Datsinah yang terkorban dan syahid, malah seorang lagi rakannya, Khubaib bin Adi yang ditawan musuh turut syahid.

Apa yang dilalui oleh Khubaib sebelum dibunuh ditangan orang Quraisy adalah lebih teruk daripada apa yang dialami oleh Zaid.

Sebelum beliau dibunuh, dikatakan Khubaib telah diseksa dengan begitu kejam ketika ditawan dan ditahan oleh Al Harits bin Amir bagi membalas dendam atas kematian Uqbah bin Al Harits di Perang Badar dahulu.

Begitu teruk sekali Khubaib diseksa sehingga pada suatu hari beliau berkata kepada orang yang menyeksanya itu; "Orang yang terhormat tidak akan bertindak sebegini kejam terhadap orang yang ditawannya, apa tah lagi tawanannya itu bakal dibunuh tidak lama lagi."

Kata-kata Khubaib telah berjaya membuatkan orang yang menyeksanya itu terdiam dan berhenti daripada menzaliminya.

Malah mereka mula melayan Khubaib dengan penuh hormat kerana selama ditawan itu Khubaib tidak pernah melawan, apatah lagi memaki hamun atas segala layanan buruk dan penyeksaan yang dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada hari yang ditetapkan hukuman mati yang akan dijatuhkan ke atasnya, lalu Khubaib pun dibawa keluar dari Kota Mekah dengan hampir kesemua para pembesar Quraisy dan penduduk Mekah turut mengiringi Khubaib bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut.

Tetapi sebelum hukuman bunuh itu dijalankan, Khubaib meminta untuk mendirikan solat sebagai permintaan beliau yang terakhir sebelum dibunuh.

"Tinggalkan saya sebentar kerana saya hendak mengerjakan solat sebelum hukuman dijalankan," kata Khubaib.

Semua yang hadir memenuhi permintaan Khubaib itu dan mereka meninggalkannya sendirian. Selepas selesai Khubaib mengerjakan solat dua rakaat itu, maka persiapan pun dilakukan untuk menyalib Khubaib sebagai hukuman mati yang bakal meragut nyawanya.

(Sesetengah riwayat mengatakan Khubaib mati di tali gantung)

Khubaib pun berkata; "Demi Allah, sekiranya tidak kerana aku bimbang, kamu akan menyangka aku sengaja melengah-lengahkan solat kerana takut mati dibunuh, nescaya aku menambah dan memperbanyakkan solatku ini."

Lalu dengan air mata yang berlinangan di pipinya, sebelum hukuman dijalankan ke atasnya Khubaib sempat berdoa; "Ya Allah, hitunglah bilangan mereka yang hadir pada hari ini bagi menyaksikan kematianku ini, bunuhlah kesemua mereka ini, jangan Engkau tinggalkan seorang pun daripada mereka ini hidup!

"Ya Allah, Ya Tuhanku, sampaikanlah berita mengenai kami ini kepada Rasul Engkau, Muhammad kerana tiada beliau mengetahui akan nasib menimpa kami sehingga Engkau Ya Allah menyampaikannya."

Malah dikatakan juga Khubaib sempat bersyair, iaitu antara bait-bait dalam syairnya itu;

Bergenang air mataku tiada mencurah,

Tiada peduli andaiku dibunuh sebagai muslim,

Di sebelah mana jua tubuhku terbaring,

Semua itu di sisi Allah jika Dia mahu,

Diberkatinya semua sendi daging yang bakal hancur remuk ini...

Sesudah itu, Khubaib pun dibunuh oleh orang upahan Quraisy di tengah-tengah kawasan lapang di luar Kota Mekah yang ditonton oleh orang ramai itu.

Maka seorang lagi mati syahid kerana iman yang kental mempertahankan agama Allah tanpa mudah menyerah kalah dengan segala macam tawaran dan umpan.

Menurut cerita, Allah menurunkan juga wahyu, ayat al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa pembunuh Zaid bin Datsinah dan Khubaib bin Adi ini.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan antara sebahagian manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA. (al-Baqarah: 207).

Sebelum ini, sebelum tewas terkena anak panah daripada pihak musuh, Ashim bin Tsabit yang mengetuai misi dakwah enam sahabat ini, sempat juga melaungkan sebuah syair dengan semangat berapi-api, iaitu;

Mati itu hak dan hidup itu adalah mati. Tiap-tiap sesuatu yang sudah diputuskan oleh Allah, tentu akan datang kepada seseorang dan orang itu pasti akan kembali juga kepada-NYA...