Tuesday, November 13, 2018

ZAMAN KEMATIAN HATI.


Diriwayatkan bahawa Imam Sufyan al-Tsauri rahimahullah (wafat 161 Hijrah) pernah berkata ;
يأتي على الناس زمان تموت فيه القلوب ، وتحيا الأبدان
'Akan datang kepada manusia suatu zaman yang ketika itu hati-hati manusia menjadi mati sementara badan-badan mereka masih hidup.'
[Hilyah al-Awliya', Abu Nuaym]

Inilah zamannya, apabila manusia mungkin berbicara dengan fasih akan pelbagai ilmu dan hujah, namun jiwanya jauh daripada Allah dan kosong daripada nikmat ukhuwah dan taqwa.
Benarlah kata seorang dari salaf,
ان اقواما موتى تحيا القلوب بذكرهم وان أقواماً أحياء تعمى الأبصار بالنظر إليهم
“Betapa banyak orang yang telah mati (iaitu mereka yang soleh) dapat menghidupkan hati dengan mengingati mereka dan sungguh betapa pula ada orang yang masih hidup namun dapat membutakan mata hati kita dengan hanya melihat kepada mereka." [Sifatus Sofwah, Ibn Jauzi]


ZAMAN YANG BURUK

Berkata seorang tabien yang bernama Imam Abu Hazim Al-Asyja'iy rahimahullah (wafat 100 hijrah) ;
إذا كنت في زمان ترضى فيه من العلم بالقول، ومن العمل بالعلم، فأنت في شرّ زمان وشر أناس
Apabila kamu berada dalam zaman yang mana manusia menerima bahawa ilmu itu cukup dengan sekadar ucapan dan memiliki ilmu itu pula dianggap sudah cukup sebagai beramal.Maka sesungguhnya kamu berada dalam zaman yang paling buruk bersama dengan manusia yang paling teruk.
[Tarikh Dimasyq, Ibn Asakir]

1. ترضى فيه من العلم بالقول
Menerima dan meredhai bahawa ilmu itu cukup dengan sekadar ucapan, maksudnya orang menganggap bahawa menjadi seorang yang berilmu bermaksud dia boleh bercakap tentang agama.
Sedangkan para salaf dahulu, menganggap seseorang yang berilmu ialah mereka yang sudah mengamalkan ilmunya, bukan sekadar pada ucapan tetapi ilmu ialah apabila kamu takut pada Allah dan beramal dengan apa yang kamu tahu.

Inilah yang disebut oleh salaf seperti yang diriwayatkan daripada Imam Fudhail bin Iyadh rahimahullah yang menyebutkan bahawa;
لا يزال العالم جاهلاً بما علم حتى يعمل به, فإذا عمل به كان عالما
‘Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya maka barulah dia menjadi seorang yang benar-benar alim. [Iqtidha' al-'ilm al-'Amal, Khatib al-Baghdadi]


2. ومن العمل بالعلم
Menerima dan menganggap bahawa amal itu sudah cukupi dengan sekadar memiliki ilmu.Maka kita akan mendapati bahawa orang sudah berpuas hati dengan mengetahui sesuatu perkara tetapi tidak mengamalkannya.

Mereka menganggap bahawa memiliki ilmu itu sudah merupakan amalan dan mencukupi.Sedang hadith yang sahih menyebut bahawa tidaklah akan berganjak kedua kaki anak adam pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya tentang empat perkara dan salah satunya ialah ;
وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ
‘Dan tentang ilmunya, apakah yang sudah dia amalkan? [Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban]

Kita sedang berada dalam zaman yang disebutkan oleh Imam Abu Hazim RA ini!