Thursday, August 25, 2011

MENGENAL TUHAN MELALUI LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar Dalam Suluhan Ilmu Makrifat
(Petikan dari kitab Kasyaf al Haq oleh Tuan Guru Hj Mohd Yusoff Che WooK)




Mengikut pengertian bahasa, perkataan laila bermaksud malam manakala perkataan qadar pula bermaksud mubarakatin (keberkatan) atau saat yang diperingati. Jika kedua dua perkataan itu digabungkan, ianya membawa maksud lailatul qadar iaitu malam keberkatan atau malam yang diperingati.


Mengikut tafsiran ilmu makrifat, perkataan laila merujuk kepada jahil, manakala perkataan qadar pula merujuk kepada berilmu (alim). Jika kedua dua perkataan tersebut digabungkan, ianya membawa maksud iaitu dari bersifat seorang yang jahil kembali bertukar kepada seorang yang alim yang berilmu. Iaitu terbuka hijab pintu hatinya daripada seorang yang tidak mengenal Allah, ianya berubah kepada seorang yang mengenal Allah swt. Saat mengenal Allah itulah yang dikatakan saat keberkatan dan saat saat yang tidak akan di lupakan buat selama lamanya.


Ia juga membawa maksud, daripada suasana gelap zulmat, hitam kotor dan jahil fasiq hatinya dari ilmu makrifat, bertukar kepada suasana yang gemilang sirna cahaya keberkatan yang amat terang benderang hatinya setelah mendapat ilmu mengenal Allah. Daripada bersifat jahil bertukar kepada sifat mengenal dirinya dan bertukar kepada mengenal Allah. Dari asalnya bersifat fasik(tidak mengenal Allah), kini bertukar dan berubah kepada seorang yang bersifat alim(mengenal Allah). Inilah pengertian malam lailalatul qadar yang sebenar.


Kebanyakkan dari kita bila sebut sahaja malam lailatul qadar, yang mereka ingat hanya keajaiban pada bulan Ramadan. Seumpama air perigi kering akan menjadi penuh(melimpah). Pokok kayu kayan akan jadi tunduk(rebah) menyembah bumi dan macam-macam lagi perkara pelik-pelik dan sebagainya. Sedangkan intisari daripada maksud lailatul qadar itu, sebenarnya adalah bermaksud; “dari sifat seorang yang buta matahatinya bertukar kepada cerah mata hatinya kerana memandang dan mengenal Allah swt.” Menurut Imam Asy Syarani,menterjemahkan erti dan makna lailatul qadar itu sebagai “suasana hati”. Berkata beliau lagi:

“Apabila engkau ingin hati mu hidup, iaitu hidup yang tidak ada matinya sesudahnya lagi, maka keluarkanlah engkau dari menyandarkan harapan kepada makhluk. Matikan hawamu dan iradatmu. Di waktu itulah engkau mulai akan diberi oleh Allah hidup yang sejati, hidup yang tak ada mati sesudahnya lagi. Kaya yang tak ada miskin sesudahnya lagi. Pemberian yang tak ada henti-hentinya lagi. Lalu diangkat nilai engkau dalam hati hamba-hambaNya. Sehingga engkau tidak akan sesat untuk selama lamanya”

Apakah erti hidup yang tiada mati sesudahnya? Artinya adalah merujuk kepada ilmu mengenal Allah. Sesudah kita berjaya sampai kepada tahap ilmu mengenal Allah, ilmu itu akan hidup di dalam hati hati kita selama lamanya, yang tidak akan ada kesudahannya dan tidak akan pernah padam dan terhapus selama lamanya. Wajah Allah inilah yang akan kita bawa, sampai hari kiamat dan hari menghadap Allah swt. Apabila kita telah berjumpa dengan ilmu mengenal Allah, ingatan hati kita kepada Allah tidak akan pernah terlupus walaupun sesaat, walaupun ketika jasad sedang tidur.

Sesudah kita mengenal Allah (mendapat lailatul qadar) iktikad atau pegangan hati kita, akan berubah sepenuhnya, daripada bersifat gelap kepada terang, daripada bersifat mati bertukar kepada hati yang sentiasa hidup. Yang tetap hidup dan tiada mati itu, adalah ingatan kita kepada Allah, ianya akan tetap hidup dihati kita, yang tidak akan ada matinya, bukan bermakna tidak mati jasad, tetapi tidak mati ingatan kita kepada Allah. Bagi yang mendapat lailatul qadar, ia juga tidak akan sesat selamanya.


Apabila ingatan kita kepada Allah tidak pernah mati dan tidak pernah padam, disitulah segala kebesaran Allah akan dapat kita miliki dan menjiwainya dengan penuh pengertian. Pengertian itu nantinya akan terzahir keluar, sehingga melimpah ruah. Rasanya seumpama kita ini kaya, yang kekayaan itu, tidak akan menemui jalan kemiskinan. Kelazatan zhauq yang tidak pernah menemui jalan luntur, iaitu kaya dengan sifat sabar, taat, patuh, tawakkal, taqwa dan sebagainya. Pemberian kekayaan seumpama itu akan berterusan dan berpanjangan hidupnya di dalam hati hati kita, selagi akal bersifat waras terhadap Allah.


Inilah intisari maksud lailatul qadar yang sebenarnya. Perjalanan dari bersifat gelap menuju kepada yang bersifat terang. Dari bersifat mati ingatan bertukar kepada bersifat ingatan kepada Allah sentiasa hidup. Ingatan kepada makhluk dengan sendirinya akan mati dan terpadam. Mati hawa nafsu. Mati kehendak dan mati keinginan selain Allah. Mati harapan kepada makhluk, bertukar harapan kepada Allah. Dari bersifat sayangkan makhluk, menuju bersifat sayangkan Allah. Menurut Ar Rumi pula, menterjemahkan lailatul qadar itu sebagai; “Diri yang telah terjual” Berkata lagi beliau; “Allah telah membeli jiwa kita,untuk Dia. Bayarannya adalah syurga. Sebab itu tidak seorang pun yang dapat membelinya dan menawarnya sampai akhir zaman. Suatu barang yang tidak boleh di jual dua kali”


Bagi yang mendapat lailatul qadar, diumpamakan dirinya telah terjual dan telah tergadai kepada Allah. Setelah kita serahkan dan mengembalikan diri kita kepada Allah, ianya tidak lagi boleh diambil balik. Setelah pertama kali dijual, ia tidak boleh dijual buat kali kedua. Inilah kedudukan iktikad atau pegangan hati orang makrifat, yang tidak ada duanya berbanding Allah. Sekali kita berserah diri kepada Allah, jangan hendaknya berpatah balik. Pupuklah hati supaya buah tawakkal dan buah berserah boleh bertambah dengan subur.


Bagi yang mengenal Allah (yang mendapat anugerah lailatul qadar)mereka tidak akan berpaling lagi dari Allah. Walaupun didatangi musibah, penyakit, kemiskinan, dan kepayahan hidup, mereka tidak akan berpaling dari berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Tidak ada lagi erti kecewa dan erti penyesalan dihati mereka yang mengenal Allah. Hatinya kepada Allah tetap utuh dan tidak mudah terpesong dengan kekayaan dan kemewahan. Mereka sedar yang diri mereka telah dibeli oleh Allah dan kita telah menjualkannya kepada Allah. Akad jualbeli, antara kita dengan Allah telah dikira selesai. Segala sifat, kelakuan, asma dan zat yang mendatang di atas diri kita ini, dianggap telah terjual dan bukan lagi menjadi milik kita. Semua sifat yang mendatang, telah dianggap seumpama anugerah dari Allah kepada kita, kita ini tidak ubah seperti pelakon yang cuma sekadar melakonkan saja dari apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.


Oleh itu terimalah segalanya dengan ucapan terima kasih atau syukur. Inilah pengertian lailatul qadar menurut kacamata ilmu makrifat. Kita sebenarnya telah mati dan telah menjual sifat perangai, sifat jasad, sifat nama dan sifat zat kita kepada Allah. Jual sifat ego, sifat marah, tinggi diri, dengki, tamak harta dunia, putus asa dan sebagainya. Kita serahkan segala galanya ke atas kebijaksanaan Allah, Allahlah yang menentu dan mengatur kehidupan kita.


Firman Allah;

“Turun malaikat dan roh padanya, dengan izin Tuhan mereka membawa dari tiap-tiap perintah.”(
Al qadar :4)


Roh kita telah ditugaskan bagi membawa perintah Allah. Di antara perintah itu, adalah supaya roh membawa segala sifat anggota pancaindera, perangai yang dilakukan oleh anggota. Nama yang di panggil anggota dan zat roh itu sendiri supaya dapat dikembalikan semula hak Allah kepadaNya. Bermula lailatul qadar itu, adalah disaat diri kita di jual dan diserahkan kembali kepada Allah. Dengan ini jugalah bermulanya sejarah diri(roh)kita telah dibeli dan terjual kepada Allah. Iaitu disaat kita mengenal roh dan mengenal Allah.



Malam lailatul qadar juga, lebih dikenali sebagai malam seribu bulan(1000 bulan). Seribu bulan itu bermaksud terang benderang, seumpama malam yang gelap gelita telah diterangi, disuluh dan telah ditemani oleh seribu biji bulan, cuba bayangkan betapa terangnya bumi ini, apabila ianya diterangi dan disuluh oleh seribu biji bulan. Begitulah terangnya hati mereka yang mendapat cahaya lailatul qadar Allah dengan hanya membaca sepotong ayat dari ayat-ayat Allah, barakahnya seumpama hati kita telah diterangi dan disuluh oleh seribu bulan. Cuba bayangkan nilaian kematangan akal semasa berumur satu tahun, dibandingkan akal mereka yang berumur seribu tahun. Inilah kelebihan dan kematangan akal bagi yang mendapat malam lailatul qadar (malam seribu bulan). Secara tiba-tiba boleh mengubah akal yang jahil dalam sekelip mata kepada akal yang berilmu, Mengenal Allah.


Begitulah nilai terangnya hati mereka yang mendapat anugerah lailatul qadar. Dari bersifat lalai bertukar kepada yang bersifat ingat kepada Allah. Dari berilmu syariat ,akan bertukar kepada hati yang berilmu makrifat. Bagi mereka yang buta mati hatinya, walaupun dengan kehadiran seribu bulan dan sejuta bintang sekalipun, akal dan hati mereka akan tetap berada dalam kegelapan. Manakala bagi mereka yang mengenal Allah(mendapat anugerah lailatul qadar), walau alam tidak diterangi bulan dan tidak diterangi sekalipun, hati mereka sudah cukup terang oleh cahaya Allah (cahaya makrifat kepada Allah). Inilah pengertian lailatul qadar mengikut suluhan makrifat.


Kisah bagaimana Saidina Umar Al Khatab memeluk Islam. Pada zaman Rasulullah, ada seorang hamba Allah, yang terkenal dengan ganas dan bengisnya, telah pergi untuk membunuh Baginda Rasulullah. Di dapati adik perempuan kandungnya dan suaminya sendiri telah memeluk islam secara diam-diam, bertambah marah dan lebih membakar hatinya untuk membunuh Baginda Rasulullah. Beliau telah mendatangi rumah adiknya dengan tujuan mencari Baginda Rasulullah, bila tiba ke rumah adik perempuannya, didapati adik dan suaminya sedang membaca sesuatu. Beliau cuba merampasnya dengan tujuan ingin membuang potongan bacaan itu, tetapi dihalang oleh adiknya, sehingga beliau terpaksa bersikap kasar dengan menampar pipi adiknya sehingga terjatuh. Dengan terjatuh adiknya tadi, sehingga terlepas cebisan potongan ayat dari gengamannya. Lalu dirampas dan dicubanya untuk membacanya. Setelah membaca, beliau pun menangis, bergenang air mata, bercucuran jatuh membasahi pipinya. Secara tiba tiba didatangi suasana yang luar biasa, dari bengis bertukar baik, dari panas bertukar sejuk dan dari jahil bertukar alim. Dalam masa sesaat, suasananya telah berubah dan mengubah hatinya yang gelap itu, seumpama diterangi oleh seribu bulan. Dengan hanya sepotong ayat sahaja, telah membuka pintu hatinya secara mendadak, dari hatinya bersifat panas, kini kembali bertukar menjadi sejuk.


Ayat itu telah meresap ke dalam lubuk dada yang membuatkan hatinya berubah secara tiba-tiba. Lalu beliau bertanya “di mana Muhammad sekarang? Bawa aku kepadanya!Aku akan masuk Islam”. Itulah kisah Umar bin Al khattab (Panglima Islam yang tersohor) Saidina Umar merasa hatinya telah di pukul oleh ayat berkenaan. Inilah hakikat lailatul qadar yang membawa perubahan yang mendadak, kenikmatan dan keberkatan secara tiba tiba bagi menggambarkan dan menunjukkan maksud lailatu qadar yang sebenar.


Dengan hanya sekelip mata, beliau sudah dapat merasai dan menikmati keberkatan lailatul qadar, sudah dapat mengubah sifat kerohaniannya. Inilah yang dikatakan hari lailatul qadar, iaitu hari yang di peringati. Hari yang indah dan saat-saat yang paling bersejarah dan yang paling diingati dalam kehidupan seseorang insan menuju Allah swt.

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR



Terjadinya lailatul qadar di malam-malam ganjil itu lebih memungkinkan daripada malam-malam genap, sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
(HR. Bukhari )


Semua sedia maklum mengenai malam Lailatul Qadar. Tetapi bilakah berlakunya malam Lailatul Qadar tersebut? Malam Lailatul Qadar berlaku pada salah satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan. Berikut pula merupakan petua mencari malam Lailatul Qadar oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama :

Malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadan.
Malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadan.
Malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadan.
Malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadan.
Malam Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadan.


Tanda-tanda malam Lailatul Qadar ialah :

- Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas.

- Siangnya cahaya matahari warnanya pucat.

- Pada malam itu malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba. Sama-samalah kita memeriahkan suasana 10 malam terakhir Ramadan. Mudah-mudahan kita dapat kurniaan Allah yang kelebihannya pahalanya melebihi 1000 bulan atau
sama dengan 83 tahun kita beramal. Insyallah. Semoga Ramadan kali ini penuh bermakna.


Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadhan.


---------------------------------------------------------------------------------------------------


Alhamdulillah, aku telah menemui malam yang penuh barokah itu. DIA telah sudi memperkenalkan diriNya kepadaku. Aku lemah Ya Allah, aku hina, aku daif , aku faqir, sesungguhnya aku tiada daya dan upaya melainkan dengan daya upaya Mu dan Rahmat mu Ya Allah.


Dan sesungguhnya KekasihNya juga sudi mengunjungiku di malam penuh barokah itu dan mengijazahkan akan daku amalan-amalan atau Anak Kunci Pembuka Khazanah Langit Dan Bumi dan pengiktirafan Rasulullah untukku dengan Amalan Para Ariffin.


Syukur Ya Allah

Tuesday, August 9, 2011

AMALAN BIDAAH DALAM BULAN RAMADHAN


UTUSAN MALAYSIA : RABU 10 OGOS 2011
Oleh MOHD. RIDUAN KHAIRI


Amalan sunat vs fardu



Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. - Gambar hiasan

---------------------------------------------------------------



BULAN Ramadan adalah musim menuai keuntungan. Begitu banyak hadiah dan ganjaran yang Allah tawarkan khusus pada bulan ini. Kata seorang sarjana Islam abad ke-8 Ibnu Rajab al-Hanbali: "Barang siapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barang siapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi."

Antara amalan-amalan sunnah yang banyak Nabi lakukan pada bulan Ramadan termasuklah memperbanyakkan bacaan al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam dengan solat terawih, menjamu orang berbuka puasa dan beberapa amalan lain yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun, dalam ghairah umat Islam mengerjakan amalan sunat, ada juga yang memandang sepi amalan-amalan wajib. Kadang-kala dek kerana ghairah bersedekah di masjid atau di surau, ada juga yang terlepas pandang kepada sedekah yang wajib kepada isteri, anak-anak dan kedua orang tua.

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, "Wajib mendekatkan diri pada Allah dengan melakukan hal-hal wajib sebelum yang sunnah. Mendekatkan diri pada Allah dengan perkara yang sunnah bisalah dianggap sebagai ibadah jika yang wajib dilakukan." (Majmu'ul Fatawa 17/133)

Mengabaikan solat fardu dan mengutamakan solat terawih

Prof Dr. Ibrahim Amir ar-Ruhaili dalam sebuah khutbah di Masjid Dzun Nurrain membawakan penjelasan yang tuntas.

Masalah lain yang perlu diperhatikan, iaitu amalan fardu. Amalan yang paling wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan ialah: mendirikan solat lima waktu dengan berjemaah di masjid (bagi laki-laki), dan berusaha sekuat tenaga tidak tertinggal takbiratul ihram.

Telah dihuraikan dalam suatu hadis yang sahih, barang siapa yang melaksanakan solat 40 hari bersama imam dan sempat mendapat takbiratul ihram, ditulis baginya dua jaminan surat kebebasan, (iaitu) bebas daripada api neraka dan munafik.

Seandainya kita, ternyata termasuk orang-orang mufarrith, iaitu amalannya tidak banyak pada bulan puasa, maka setidaknya kita memelihara solat lima waktu dengan baik, dikerjakan secara berjemaah di masjid, serta berusaha sesegera mungkin berangkat ke masjid sebelum tiba waktunya. Sesungguhnya, menjaga amalan fardu pada bulan Ramadan merupakan ibadah dan taqarrub yang paling agung kepada Allah.

Tambah beliau lagi, sungguh sangat mengharukan, tatkala kita mendapati orang yang bersemangat melaksanakan solat tarawih, bahkan hampir-hampir tidak pernah tinggal, namun pada saat yang sama, ternyata dia tidak menjaga solat lima waktu dengan berjemaah. Terkadang lebih memilih tidur, sehingga melewatkan solat wajib, dengan dalih persiapan untuk solat terawih?! Demikian ini merupakan kebodohan dan pelecehan terhadap kewajipan!

Menurut Dr. Ibrahim, mendirikan solat lima waktu bersama imam lebih baik daripada mengerjakan solat terawih.

Bukan bererti kita memandang remeh terhadap solat terawih. Tetapi, seorang Muslim itu seharusnya menggabungkan kedua-duanya. Iaitu memberikan perhatian khusus terhadap hal-hal yang fardu (solat lima waktu) terlebih dahlu, baru kemudian melangkah menuju amalan sunat seperti solat terawih.

Mengejar jumlah ayat

Satu contoh lain yang ketara tergesa-gesa dalam beramal ialah ketika membaca al-Quran. Umat Islam berlumba-lumba membaca al-Quran dengan banyak pada bulan Ramadan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian ketika membaca al-Quran, ini kerana tuntutan membaca al-Quran bukan sekadar membaca sahaja, sebaliknya dibaca dengan tartil. Seperti kata Allah dalam al-Quran yang bermaksud: dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (Muzammil: 4).

Syaikh Soleh Fauzan al-Fauzan, seorang ulama besar semasa ketika ditanya tentang maksud tartil menjawab, "Membaca al-Quran dengan tartil tidak cepat dan tidak pula terlalu memanjangkan madnya, seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang berlagak menjadi ulama dan yang mengaku pandai tajwid, ini bukan tajwid, ini bukan tajwid! Ini seperti menyanyi."

Pendapat ini senada dengan apa yang disebutkan oleh Imam Nawawi rahimahullah, "Ulama sepakat makruh membaca al-Quran dengan cepat dan berlebih-lebihan. Mereka mengatakan membaca satu juz al-Quran dengan tartil lebih utama daripada membaca dua juz al-Quran dengan waktu yang sama tanpa tartil."

Ini merupakan beberapa contoh kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh orang yang ghairah beramal. Namun sayangnya amal tanpa ilmu dan tanpa mengikut petunjuk Nabi akan menjadi sia-sia dan tidak mendapat pahala daripada Allah SWT.

Semoga Allah selalu memberi petunjuk, bimbingan, taufik dan hidayah kepada orang-orang yang ikhlas menuntut ilmu dan beramal kerana Allah SWT.

PENYIKSAAN PARA SAHABAT BERTERUSAN

Susunan SITI AINIZA KAMSARI (Utusan Malaysia Rabu 10 Ogos 2011)


Tidak salah berbaik-baik dengan Yahudi tetapi dengan berhati-hati kerana Rasulullah sendiri pernah terkena dengan kelicikan kaum ini. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------

DALAM peristiwa Ar Raji ini, turut menyaksikan tidak sahaja Zaid bin Datsinah yang terkorban dan syahid, malah seorang lagi rakannya, Khubaib bin Adi yang ditawan musuh turut syahid.

Apa yang dilalui oleh Khubaib sebelum dibunuh ditangan orang Quraisy adalah lebih teruk daripada apa yang dialami oleh Zaid.

Sebelum beliau dibunuh, dikatakan Khubaib telah diseksa dengan begitu kejam ketika ditawan dan ditahan oleh Al Harits bin Amir bagi membalas dendam atas kematian Uqbah bin Al Harits di Perang Badar dahulu.

Begitu teruk sekali Khubaib diseksa sehingga pada suatu hari beliau berkata kepada orang yang menyeksanya itu; "Orang yang terhormat tidak akan bertindak sebegini kejam terhadap orang yang ditawannya, apa tah lagi tawanannya itu bakal dibunuh tidak lama lagi."

Kata-kata Khubaib telah berjaya membuatkan orang yang menyeksanya itu terdiam dan berhenti daripada menzaliminya.

Malah mereka mula melayan Khubaib dengan penuh hormat kerana selama ditawan itu Khubaib tidak pernah melawan, apatah lagi memaki hamun atas segala layanan buruk dan penyeksaan yang dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada hari yang ditetapkan hukuman mati yang akan dijatuhkan ke atasnya, lalu Khubaib pun dibawa keluar dari Kota Mekah dengan hampir kesemua para pembesar Quraisy dan penduduk Mekah turut mengiringi Khubaib bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut.

Tetapi sebelum hukuman bunuh itu dijalankan, Khubaib meminta untuk mendirikan solat sebagai permintaan beliau yang terakhir sebelum dibunuh.

"Tinggalkan saya sebentar kerana saya hendak mengerjakan solat sebelum hukuman dijalankan," kata Khubaib.

Semua yang hadir memenuhi permintaan Khubaib itu dan mereka meninggalkannya sendirian. Selepas selesai Khubaib mengerjakan solat dua rakaat itu, maka persiapan pun dilakukan untuk menyalib Khubaib sebagai hukuman mati yang bakal meragut nyawanya.

(Sesetengah riwayat mengatakan Khubaib mati di tali gantung)

Khubaib pun berkata; "Demi Allah, sekiranya tidak kerana aku bimbang, kamu akan menyangka aku sengaja melengah-lengahkan solat kerana takut mati dibunuh, nescaya aku menambah dan memperbanyakkan solatku ini."

Lalu dengan air mata yang berlinangan di pipinya, sebelum hukuman dijalankan ke atasnya Khubaib sempat berdoa; "Ya Allah, hitunglah bilangan mereka yang hadir pada hari ini bagi menyaksikan kematianku ini, bunuhlah kesemua mereka ini, jangan Engkau tinggalkan seorang pun daripada mereka ini hidup!

"Ya Allah, Ya Tuhanku, sampaikanlah berita mengenai kami ini kepada Rasul Engkau, Muhammad kerana tiada beliau mengetahui akan nasib menimpa kami sehingga Engkau Ya Allah menyampaikannya."

Malah dikatakan juga Khubaib sempat bersyair, iaitu antara bait-bait dalam syairnya itu;

Bergenang air mataku tiada mencurah,

Tiada peduli andaiku dibunuh sebagai muslim,

Di sebelah mana jua tubuhku terbaring,

Semua itu di sisi Allah jika Dia mahu,

Diberkatinya semua sendi daging yang bakal hancur remuk ini...

Sesudah itu, Khubaib pun dibunuh oleh orang upahan Quraisy di tengah-tengah kawasan lapang di luar Kota Mekah yang ditonton oleh orang ramai itu.

Maka seorang lagi mati syahid kerana iman yang kental mempertahankan agama Allah tanpa mudah menyerah kalah dengan segala macam tawaran dan umpan.

Menurut cerita, Allah menurunkan juga wahyu, ayat al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa pembunuh Zaid bin Datsinah dan Khubaib bin Adi ini.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan antara sebahagian manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA. (al-Baqarah: 207).

Sebelum ini, sebelum tewas terkena anak panah daripada pihak musuh, Ashim bin Tsabit yang mengetuai misi dakwah enam sahabat ini, sempat juga melaungkan sebuah syair dengan semangat berapi-api, iaitu;

Mati itu hak dan hidup itu adalah mati. Tiap-tiap sesuatu yang sudah diputuskan oleh Allah, tentu akan datang kepada seseorang dan orang itu pasti akan kembali juga kepada-NYA...

Monday, July 25, 2011

USULUDDIN : SEBELUM DAN SESUDAH BERTARIKAT

oleh Fakir Amal

Perlunya belajar Ilmu Usuluddin terlebih dahulu sebelum memperdalamkan ilmu Tariqat dan Ilmu Haqiqat kerana di khuatiri kita akan tersasul atau tersalah dalam I’tiqad kita. Kalau I’tiqad sudah sesat segala ibadat kita akan hancur sehancur-hancurnya. Bahaya inilah yang paling dibimbangi oleh Ulama sufi dahulu kala dan zaman sekarang dan banyak kita saksikan segala macam fitnah yang berlaku di kalangan orang yang kononnya ahli tariqat atau ahli makrifat atau ahli haqiqat atau ahli wushul atau ahli irfan dan segala macam nama yang muluk-muluk lagi mencetuskan kerosakan pada ilmu Tariqat itu sendiri.

Dalil Pertama:

Adapun dalil kepentingan mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin khusus bagi mereka yang ingin memperdalamkan ilmu Tariqat dan ilmu haqiqat ialah :

Kata Syeikh Daud Al Fathani :

“Maka apa ‘kufur’ yang terlebih besar dari kufur ini? Dan apa fikah(pemahaman atau aliran pemikiran) daripada fikah ini yang membawa kepada zindiq dan mulhid.Maka sebab yang demikian kerana jahil ia akan hukum Ilmu Usuluddin dan jahil akan I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tiada kenal apa yang wajib bagi Allah dan apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Allah , maka segala ibadatnya (akan menjadi) debu yang berterbangan, kerana ibadat dan taat itu terhenti di atas sah I’tiqad iaitu sah iman dan Islam. Maka tiada sah sekelian ibadat dan taat maka dimana beroleh ia dapat ‘taraqqi’ daripada satu maqam kepada satu maqam ? Maka jika tiada ada taraqinya betapa dapat fana’ dan betapa dapat zauknya dan wajdan? Maka betapa ia dapat haqiqat maka jadi sekelian yang dikatakan ini DAKWA jua dan segala yang menyalahi yang keluar pada tangannya itu,j ika ada, dinamakan ‘istidraj’ jua maka tiada dinamakan karamah. Seperti kata Syeikh Muhammad Fadhlullah di dalam Tuhfatul Mursalah.

Dan setengah daripada pekerjaan yang mustahil pada aqal dan pada syara’ ialah sampai seseorang kepada maqam yang di namakan ‘Wahdatul Wujud’ orang yang tiada menjalani dengan syariat dan tariqat maka ia dapat haqiqat yang demikian itu adalah DUSTA dakwanya dan orang yang dakwa SYAITAN. Dan segala perkataannya itu tiada dapat zauk(Yang haq) dan hanya khabaran jua. Dan dimana ada boleh ia dapat zauq pada orang sesat di dalam ‘bahrun zindiq’ dan ikhwan syaithan’. Maka inilah yang ada banyak pada akhir zaman dinamakan DAJJAL seperti yang di sabdakan di dalam hadis nabi s.a.w. : “Tiada berdiri hari qiamat hingga keluar tiga puluh Dajjal dahulu”.Na’uzubillahi min dzalik”

Daripada Kata Syeikh Daud Al fathani ini dapatlah di simpulkan begini:

a. Memahami Ilmu Haqiqat terutama Ilmu yang melibatkan pengalaman keruhanian iaini musyahadah, zauk, wajdan, mukasyafah dan membicarakan Ilmu usul tahqiq atau Usul Haq kesemuanya mestilah terlebih dahulu memahami dan memperteguhkan pemahaman Ilmu Usuluddin supaya I’tiqad kita selamat dan tidak tergelincir dari mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kalau belum mantap dan mahir dalam Ilmu Usuluddin tinggalkan dulu darihal membicarakan Ilmu Haqiqat apatah lagi memperdalaminya kerana dibimbangi salah fahaman yang di terimanya. Bila salah fahaman maka salah pula tindakannya. Bila salah tindakannya maka Bid’ah jadinya. Bila Bid’ah jadinya neraka datang menggaru.

b. Kegelinciran dalam I’tiqad adalah sesuatu yang amat besar! Jika I’tiqad tidak sah atau diragui kebenarannya maka segala ibadat zahir mahupun batin akan hancur seperti debu yang berterbangan tiada nilai langsung! Cakapnya tinggal dakwaan saja atau pengakuan saja tetapi sebenarnya dia sebenarnya dusta samada dusta pada orang lain mahupun dirinya sendiri. Tak perlu lagi nak berbicara soal-soal yang hebat-hebat misalnya musyahadah, muqabalah, mukafahah, makrifat ,l aduni, Ahdiah, Lata’yin atau macam-macam istilah sufi yang muluk-muluk itu kerana ianya tak lebih pada khabar(cerita) saja.

Inilah mertabat ghurur(tipudaya) yang tidak disedari dari kalangan keruhanian yang menyangka diri mereka adalah sufi seperti yang diceritakan oleh Imam Al Ghazali dalam bab Al Kasyfu wat Tabyin fi Ghururil Khalqi Ajma’in dalam Ihya’ Ulumiddin bahawa dalam kelompok ketiga dari kalangan orang yang ingin bersufi itu bahawa:

“Mengaku mempunyai ilmu mukasyafah(ilmu yang tersingkap segala hijab) dan mampu musyahadah dengan Allah Ta’ala melampaui maqam-maqam sufi, wushul(telah sampai ke darjat makrifat) dan menetapi haqiqat penyaksian,wushul sampai dekat. Padahal mereka ini tidak pernah wushul kepada Allah Ta’ala kecuali hanya kata-kata lisan dan nama saja.” Dan kata Imam Al Ghazali lagi:”Mereka ini mengaku dirinya telah sampai kepada Allah Ta’ala dan tergolong orang-orang muqarrabin(orang yang hampir dengan Allah Ta’ala).Padahal di sisi Allah Ta’ala tak lebih dari pengkhianatyang mungkar dan munafik”.

Marilah kita memohon keampunan dan Rahmat dari Allah Ta’ala supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang di murkai Allah. Berlindung kita dengan Allah Ta’ala daripada segala kejahatan yang dijadikanNya.

c. Tiada boleh sampai kepada mertabat haqiqat sebelum menjalani syariat dan tariqat mengikut yang di sepakati dalam sunnah perjalanan kaum sufi. Dan haram berguru kepada seseorang yang belum sempurna keempat-empat perkara iaini Syariat,Tariqat ,Haqiqat dan Makrifat mengikut segala adab dan kawaid kaum sufi.

d. Untuk memahami I’tiqad yang benar itu semestinyalah mempelajari Ilmu Usuluddin bagi Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibangsakan kepada Imam Abu Hassan Asy’ari dan Abu Mansur Maturidi sepertimana yang ditulis oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Pehin Dato Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz dalam buku Aqidah Ahlus Sunnah Waljamaah m/s 36 jilid 1 bahawa:

“Berkata Imam Tajuddin As Subki yang kembali ke rahmatullah pada tahun 771 hijrah dalam Syarah Aqidah Ibni Al Hajib : ‘Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah pada masa sekarang(pada masanya) ialah pengikut-pengikut Al Imam Al Asy’ari yang mati tahun 324 hijrah dan pengikut-pengikut Al Imam Abu Mansur Al Maturidi yang kembali ke rahmatullah pada tahun 332 hijrah’ ”.


Dalil Kedua:

Perlu dilihat dari sudut kepentingan Ilmu Usuluddin dan kedudukannya terlebih dahulu dan setelah jelas tentang kedudukannya maka nyatalah betapa perlunya ilmu ini dalam perjalanan atau suluk kita ke makrifatullah.

Adapun Ilmu Usuluddin ini adalah ilmu yang paling asas sekali, tanpanya seseorang itu tak akan mengenal Tuhannya. Dan bilamana Tak kenal bagaimana nak menyembahNya?

Lihat mabadi Ilmu Usuluddin. Bahawa kedudukannya adalah usul bagi agama dan segala ilmu yang lain berpunca dari ilmu ini! Dalam kitab Risalah Tauhid di sebut :

“Nisbahnya dengan ilmu yang lain ialah ilmu yang dibangsakan kepada agama Islam yang paling utama(pokok) sekali. Dan kelebihannya iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain. Dan juga kerana Ilmu Usuluddin(Ilmu Tauhid) ini jadi asal bagi segala ilmu-ilmu yang lain yang wajib diketahui dan lagi kerana mulia maudhu’nya(perbahasannya) iaitu Zat Tuhan dan Rasul. Dari itu jadilah ia semulia-mulia ilmu.”

Masakan kita kata Ilmu Usuluddin ni tak penting atau pun bolehkah kita memperkecilkan dia semata-mata kita sudah memperdalami Ilmu Haqiqat atau Ilmu Zauk? Sebenarnya tak faham ilmu haqiqat masih boleh dimaafkan tapi awas kalau tak faham atau tak belajar ilmu Usuluddin buruk padahnya!
Bahkan ada setengah kitab Usuluddin dalam membicarakan tentang mabadi(pembukaan atau sari kata) Ilmu ini seperti yang tercatit di dalam kitab Peta Aqidah Tauhid jilid pertama yang di susun oleh Imanuddin Yahya bagi Pasentren Islam Al Ansar Tanjung Pura Langkat bahawa:

“Bahawa tiada ditimbang amalan seseorang jika seseorang itu tiada mempelajari iaini jahil akan Ilmu Tauhid(Ilmu Usuluddin) ini”.

Faqir percaya semua bersetuju akan kepentingannya TERUTAMA bagi mereka yang nak terjun ke alam tariqat, haqiqat dan makrifat. Tiada alasan, soal tidak memadai dengan mempelajari Usuluddin tanpa memperkayakan dengan ilmu tariqat dan haqiqat itu persoalan kedua tetapi nak memperemehkan kepentingan Ilmu Usuluddin Faqir dalam apa keadaan sekalipun tidak bersetuju.

Faqir juga mengharapkan kita insya’allah lebih berhati-hati dalam persoalan membicarakan maratib ilmu(Tertib ilmu).

Jangan sampai kita memperemehkan atau memperbandingkan (mengikut fikiran nafsu samar kita) ilmu-Ilmu Islam sampai kadang kala terlancut perkataan ‘Ilmu hak tu tak sampai kemana’ atau ‘sekadar ilmu kulit sahaja’ dijauhkan Allah daripada kita bersikap demikian. Itu tanda kita jahil adab.

Sebenarnya semua ilmu tak kira asalkan ilmu itu dibenarkan syara sementelah ilmu yang dituntut syara maka wajib kita mencintainya nisbah melihat keindahan ciptaanNya.

Dalil Ketiga

Dalam Buku Ilmu Tasauf karangan Ulama Diraja Ustaz Muhamad Samman Khati yang di susun oleh Saudara Mokhtar Petah menjelaskan kepada kita bahawa wajib bagi orang yang ingin terjun ke dalam dunia keruhanian (Tariqat). Mesti mempelajari dan mahir dalam bidang Usuluddin supaya tidak sesat dalam perjalanannya kerana syaitan sentiasa berusaha merosak kan I’tiqad si salik supaya hancur segala amalannya.


Dalil Keempat

Dalam Kitab Sirrus Salikin bagi karangan Syeikh Abdus Samad Al Falimbani Jilid Ketiga ada menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu berbai’ah tariqat terlebih dahulu mursyidnya mengajar akan taubat dan ilmu fardhu ‘ain iaitu Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqah dan Ilmu Tasawuf maka barulah ia ditalkinkan dia akan tariqat.Apatah lagi bukan terus belajar haqiqat !!
Faqir menyambung kata Syeikh Daud Al Fathani bahawa:

“Betapa ia dapat Ilmu haqiqat padahal Ilmu Usul belum ia tahu dengan baik dan ilmu syariat yang zahir tiada dapat ia faham pada pekerjaan ibadat yang fardhu dan sunat dan sah dan batalnya istimewa pula ia mengetahui ilmu Tariqat. Maka takut diri tiada ada orang yang berkepercayaan pada agamanya pada Usuluddin , ilmu yang zahir lagi mudah maka apa pula kita percayakan dia pada ilmu haqiqat yang tiada sempurna kepadanyamelainkan dengan ‘suluk’ pada guru yang mursyid lagi yang washil ilallahi Ta’ala dengan zauk dan wajdan yang di dapatnya dengan syuhud dan a’yan dan tiada lagi berkehendak kepada dalil dan burhan”.

Kesan dan akibat jika Ilmu Usuluddin diabaikan atau tiada mahir dalam persediaan untuk menjalani Ilmu Tariqat dan ilmu Haqiqat.

a. Dikhuatiri akan menyebabkan fahaman pegangan I’tiqad terkeluar dari mazhab yang diredhai iaitu mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara tidak disedari dan mengakibatkan terkeluar daripada kaedah sunnah kaum sufiah sepertimana dikatakan oleh Qutubul Ariffin Al Kabir Syeikh Abdul Aziz al Dabbagh r.a. dengan katanya :

“Tidak akan terbuka (dari selindung hijab) kepada seorang hamba melainkan jika ia berada dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada seorang wali Allah dari aqidah selainnya.”

Maka akan terjadilah penyelewengan yang menyeret orang lain kekancah zindiq akibat kecuaian ini. Justru itu lahirlah bermacam-macam fahaman yang pelik-pelik sesat lagi menyesatkan misalnya yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani dalam Kitab Sirrul Asrar dan Tuhfatur Raghibin bagi Syeikh Muhammad Arsyad yang menyatakan puak sesat dalam kaum yang ingin bersufi. Perkara-perkara salah I’tiqad ini adakalanya berhubung dengan ketuhanan adakalanya berhubung dengan kenabian adakalanya berhubung dengan sam’iyat iaini perkara-perkara ghaib yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w. contohnya

Berkaitan Ketuhanan:

i. Mengi’tiqad Tuhan dan hamba bersatu.
ii. Mengi’tiqad Allah Zat dan hamba sifatNya.
iii. Mengi’tiqad diri adalah dari Nur Tuhan.
iv. Mengi’tiqad dirinya Allah.
v. Mengi’tiqad Allah bertempat dan berpihak.
iv. dll yang seumpama dengannya yang bercanggah dengan fahaman Ahlus
Sunnah Wal Jamaah.
.
Berkaitan kenabian:

i. Mengi’tiqadkan ada nabi selepas nabi Muhammad.
ii. Mengaku diri sudah jadi nabi atau dirinya diresapi ruh Nabi
Muhammad.
iii. Menafikan kenabian Muhammad zahir yang maklum dan menetapkan
sebenar nabi adalah Muhammad awal saja iaini nur saja
iv. Nabi melakukan dosa.
v. mertabat wali mahsum macam nabi.
vi. dll yang seumpama dengannya.
.
Berkaitan perkara² Sam’iyat:

i. Akhirat sebenar tiada tapi akhirat sebenar di dunia ini.
ii. Kiamat sebenar adalah kiamat diri dan kiamat alam sebenarnya tiada.
iii. Mengaku Imam Mahdi atau jadi tentera-tenteranya dan cofirm jadi
ahli syurga.
iv. Neraka sebenarnya tiada Cuma ada pada istilah saja begitu jugalah
syaitan ,syurga, loh, arasy dan sebagainya kesemuanya ujud dalam
istilah saja tiada hakikatnya.
v. dan lain-lain I’tiqad yang seumpama dengannya.

Kesemua di atas tadi adalah contoh-contoh I’tiqad yang sesat lagi menyesatkan yang tiada boleh di pegang dalam menjalani jalan tariqat .(boleh rujuk Risalah Tasawuf Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal sebagai panduan berhubung dengan I’tiqad yang sesat bagi yang nak bersufi).

b. Tertipu di alam malakut iaini alam keruhanian

Bilamana tiada punya ilmu yang cukup terutama Ilmu Usuluddin(tak terkecuali Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf sekurang-kurangnya kadar fardhu ‘ain) maka syaitan dan jin(makhluk halus) akan mudah memperdayakan dan dah banyak terjadi. Apabila seseorang berada di alam ini segala macam tipudaya berkumpul di sini. Apa yang faqir di beritahu bahawa pokok persoalan tipudaya di alam ini ialah untuk merosakkan niat dan I’tiqad bagi orang yang menempuh di alam ini. Sebab itu di samping ilmu yang mencukupi bimbingan Syeikh Mursyid yang kamil mukamil amat penting di sini. Di alam malakut ini seseorang akan di buka sesuatu yang ajaib, indah(di sisi alam rendah) tapi penuh prasangka dan apabila prasangka sudah terkena maka title diri pun menjelmalah.

Mulalah dah mengaku sultanul Auliya, Wali Quthub, Wali abdal, Ghaus tak kurang juga versi nusantara panglima hitam, Panglima Berantai, Hang Tuah, Tuk janggut, Daeng Prani, Daeng Selili dan macam-macam lagi yang kadangkala menakutkan menggayatkan orang yang mendengarnya mungkin juga tak lama lagi timbul pulak Osama Ben Laden di alam malakut. Dijauhkan kita oleh Allah Ta’ala akan terkena sangkaan dan di lindungnya di atas jalan syariatNya.

Ada juga yang percaya pada tanasukh iaini ruh wali menyelap ke dalam tubuhnya ini juga suatu bahaya yang merosakkan iman dan Tauhid kita kepada Allah Ta’ala. Manakala kalau fasal mimpi saja bagi yang menempuh alam ini bertambun banyak asyik-asyik mimpi , kadangkala dah kerana terlalu ta’asub dengan mimpi semua kerja buat dan usahanya pasti tunggu mimpi kerana di sangka mimpi tu ilham.

Alam ini juga selalu terjadinya kasyaf kauni iaini tersingkap baginya rahsia sesuatu benda(taraf keduniaan) atau apa saja pandangan yang di nisbah kepada bathin termasuk dalam hal perubatan, menilik(scan), nampak atau berfirasat akan hati atau sifat orang lain yang kesemuanya ini masih bukan tujuan tariqat yang sebenar dan bilamana seseorang terhenti pada hal-hal ini maka syaitan telah berjaya memesongkan tujuan dan niatnya dan akhirnya segala macam keupayaan zikir-zikir atau wirid-wirid atau muraqabahnya dapat di gunakan secara halus atas maslahat diri(keduniaan) cuma versinya saja bertukar atau datang di bisik akan hati kecil bahawa aku sudah kasyaf, aku sudah boleh scan hati orang, aku sudah boleh bantu orang lain jadi mungkin Allah dah lantik aku menjadi waliNya sebab semua permintaan aku sudah dimakbul Allah. Maka ujub pun datang menyelinap dalam hati kecil kita tanpa disedari habis segala amalan kita hancur sehancurnya. Mohon kepada Allah Ta’ala akan taufiq dan hidayahNya. Mengapa kita suka pada title atau suka membuat pengakuan? Lihat bagaimana sikap baginda Rasulullah s.a.w. bila dalam satu riwayat bahawa Allah Ta’ala bertanya kepada semua Ulul Azmi:

Wahai Nuh siapa kamu? Aku najiyallah(yang di lepaskan oleh Allah), Wahai musa siapa kamu? Aku kalamullah. Wahai Isa siapa kamu? Aku ruhullah(Yang dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam perut Siti Mariam tanpa bapa) Wahai Ibrahim siapa kamu? Aku Khalilullah (Teman bagi Allah) dan bila di tanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. Wahai Muhammad siapa kamu ? maka jawab baginda s.a.w. Ana yatim( aku anak yatim tiada ibu dan ayah).

Baginda seorang nabi yang paling tinggi mertabatnya dan tiada yang paling atas mertabatnya di sisi Allah Ta’ala melainkan hanya baginda seorang tapi terlalu merendah diri jauh dari inginkan sebarang gelaran tapi kita baru boleh berzikir sikit baru boleh sholat sunnat terbuka di alam malakut saja dah terkejut dan terus mabuk dengan pengakuan demi pengakuan. Itu tandanya syaitan dah tipu kita supaya kita leka dengan sanjungan orang ,suka dengar pujian orang itulah suma’ah namanya iaini penyakit hati yang menyerang kita tanpa kita ketahui akibat cuai belajar ilmu tasawuf dan usuluddin.
Mudah saja kalau kita nak ukur diri kita sendiri caranya ialah bilamana kalau orang puji kita atau orang sayang kita atau orang angkat kita apa agaknya rasa hati kecil kita ? rasa syok dak, rasa bangga ke, rasa lega ke kalau ada berdegup rasa-rasa ini itu tanda jangan harap kita boleh terselamat di alam malakut ni kerana pengaruh dunia dan maslahat diri masih menebal atau menyorok di dalam sanubari kita. Sebab itu niat dan Tauhid mesti tepat , padu dan murni samada ilmunya , amalnya ataupun halnya.


Suatu masalah.

Nanti ada yang berhujjah pulak mengapa Syeikh Abdul Qadir Al Jilani mengaku dia nya sultanul Auliya dan kewaliannya amat tinggi sehingga dikatakan leher para wali di bawah kakinya? Soal Syeikh Abdul Qadir Jilani itu soal lain dan ada cerita lain dan tak boleh di anggap takabur. Soalnya apakah kita ni dah sama taraf dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani ke ?
Bagaimana ibadatnya, ilmu nya samada muamalahnya mahupun mukasyafahnya, mujahadahnya, wara’nya ukur lah dulu baru boleh pasti! Yang faqir risau air kaki Syeikh Abdul qadir jilani pun belum sama taraf dengan kita lagi apatah lagi nak di ukur dengan ilmunya, amalnya dan sebagainya.(maaf bahasa agak kesat) Maka berpijaklah bumi yang nyata. Akuilah kelemahan dan kedhaifan kita itu lebih baik untuk kita dari kita daripada mengaku benda yang kita sendiri tiada di beri ilmu tentangnya.

Ingatlah segala maqam yang di kejar, title, ilmu kiramah ibadat kita masih belum ada jaminan kita selamat di sisi Allah Ta’ala sedangkan Allah hanya menjamin orang yang benar-benar ikhlas terhadapNya. Dan sesungguhnya ikhlas itu rahsia Allah Ta’ala dan segala ibadat yang diterima Allah Ta’ala di akhirat nanti hanyalah ibadat yang ikhlas maka siapakah boleh mendakwa di sini (di dunia ini) bahawa dia sudah ikhlas? Sebab itulah orang yang mengaku itu dan ini seolah-olah telah ketahui amalannya sudah makbul apa benarkah dia? Gunakanlah aqal dan timbangan syara’ supaya kita tidak ta’asub buta ! Wallahu’alam.


Masalah kedua.

Timbul pula satu dakwaan bahawa berkawan dengan makhluk halus iaini jin atau khadam atau muakal ayat adalah satu kiramah juga. Ini adalah merupakan suatu ‘gejala’ atau tipudaya di alam malakut ini akibat daripada tak menguasai ilmu Usuluddin(darihal bab perkara-perkara yang menyalahi adat).

Bukannya semua di alam malakut ini boleh kita terima sewenang-wenangnya. Memang ada pendapat ulama berpendapat bersahabat dengan jin itu hukumnya harus TETAPI ada syarat-syaratnya dan bagi murid yang hendak dan sedang berjalan menuju makrifat dengan sebenar-benar makrifat kepada Allah Ta’ala maka HARAM dia bersahabat dengan jin walau apa jenis jin pun (walau kembarnya sekalipun) bahkan layan pun tak boleh kerana jin itu sendiri ada jazbahnya(tarikan) yang tersendiri yang mana jazbahnya itu amat bertentangan sekali dengan jazbah fillah (untuk makluman lanjut sila baca Buku Mengenal Diri dan Wali Allah karangan Ustaz Mustapha al Jiasi anak murid Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal Syeikh Mursyid Tariqat Ahmadiah dalam bab Keramat Khadam).

Ada juga yang berpendapat bahawa bersahabat dengan makhluk halus itu adalah suatu kiramah atau anugerah dari Allah. Pendapat ini tidak benar kata Syeikh Abdul Wahab Asy Sya’roni di dalam kitab Yawaqitu wal Jawahir yang dinukil dari kitab Tuhfatur Raghibin :

“Bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan jin itu sangat keji. Barangsiapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan jin daripada sekedudukan dengan ulama maka orang itu sangat jahil. Kerana yang ghalib atas jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasiq. maka orang yang beraqal berlari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan dia(jin) seperti liar ia bersahabat dengan orang fasiq”.

Dan kata Syeikh Mahyuddin Ibnu Arabi dalam kitab Al Futuhat yang faqir nukil dari kitab Tuhfatur Raghibin iaitu :

“Adalah orang yang sekedudukan dengan jin itu tiada beroleh ilmu akan Allah kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat Nya”.

Dan di jelaskan lagi oleh kitab yang sama (Tuhfatur Raghibin) :

“Dan terkadang menyangka oleh yang sekedudukan dengan dia (jin) itu bahawa segala perkara yang dikhabarkan oleh jin daripada barang yang berlaku di dalam alam itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkanya itu adalah bathil. Dan hanya adalah yang kesudahan jin kepada manusia itu bahawa di beri tahu akan segala khasiat segala tumbuh-tumbuhan, dan khasiat batu dan kahsiat isim dan huruf maka iaitu dibilangkan daripada Ilmu Kimiya jua iaitu ilmu yang di cela syara’ “.


Ini menunjukkan dakwaan bersahabat atau bersekedudukan dengan jin (makhluk halus) sebagai karamah adalah suatu kesilapan besar! Sudahlah menjadi hijab dalam perjalanan makrifat kemudian di ajar pula ilmu-ilmu yang menyebabkan kita akan bertambah jauh dari Allah Ta’ala. Adakah ilmu ini (ilmu yang di ajar oleh jin atau makhluk halus) di panggil laduni, waridat, ilham atau mukasyafah? Pohon kita kepada Allah Ta’ala mudah-mudahan di simpangkan dari fahaman ini.!

Sebab itu biar kita di pimpin oleh Syeikh Mursyid yang arif lagi alim benar(alim syariat dan alim haqiqat) atau istilah lain ‘tahu benar’ barang yang haq dan bathil darihal alam malakut ini.

Ada juga mengkiaskan bagaimana Nabi Sulaiman a.s. boleh bersahabat dengan jin mengapa kita tak boleh? Ini adalah kias yang tidak kena pada tempatnya. Jangan samakan mukjizat dengan diri kita yang penuh dengan noda dan dosa. Itu adalah suatu kesilapan yang amat besar !

Para ambiya adalah ma’sum dan mereka di kurniakan mukjizat dengan bermacam-macam yang hanya Allah Ta’ala saja Yang Maha Mengetahui akan hikmahnya. Memadailah kita mengikut akan barang yang nyata dalam syariatNya jangan cuba untuk menyeluk lebih jauh tanpa bimbingan guru yang aribillah.
Jangan taasub dengan mazhab tariqat sahaja.

Di antara gejala ‘sempit fikiran’ dan perkara yang di larang ialah ta’asub pada wasilah atau mazhab tariqat. Pengertian taasub pada wasilah ialah bermaksud kasihnya terhadap tariqatnya sehingga membawa cedera pada Tauhid dan ubudiyyahnya. Sehingga ada yang mendakwa bahawa hanya tariqatnya saja yang paling top, paling hampir, paling berkesan bahkan di dakwanya tariqat merekalah yang paling suci dan tiada tariqat yang paling hebat kecuali tariqatnya saja.

Inilah akibatnya apabila penguasaan ilmu di abaikan sewaktu sebelum bertariqat atau mengabaikan proses menuntut ilmu dikala sesudah bertariqat. Pemahaman kepada mazhab jamaah tariqat yang sempit menyebabkan fitnah akan merobek di dalam perjalanan kita.

Kembalilah kepada asas ilmu Tasawuf yang menuntut kepada tawadhu’ dan kerendahan diri yang benar. Jangan adakalanya kita sebagai yang menjalani ilmu tariqat itu di satu masa terlalu merendah diri tetapi di satu masa pula terlalu taasub dan meninggi diri seolah-olah orang lain seperti ‘katak keredek’ yang tiada dapat apa-apa habuan rahmat Allah Ta’ala.

Janganlah kita anggap kasyaf yang ada pada kita (kononnya) sudah menyebabkan kita memandang rendah pada orang yang tiada bertariqat atau golongan awam kerana ketahuilah kasyaf yang semacam itulah yang akan membawa kita kepada bahaya ujub dan penyakit terkena sangka yang bathil. Apa yang faqir di ajar bahawa sifat orang kasyaf ini amat tawadhu lagi begitu menyembunyikan pandangan kasyafnya. Tidak di hebahkannya bahkan lagi tersingkap kasyaf maka lagi jahil dia sabit tenggelam dalam Kebesaran Allah Ta’ala.

Secara lazimnya ahli tariqat yang sempit fikiran dan ditimpa ta’asub buta merasakan kasyaf yang didapatnya itu sudah sampai pada kemuncaknya dan yang paling malang sekali di yakinkan bahawa kasyaf itu melebihi dari usul kaum sufi iaitu Al Quraan dan Sunnah.

Sehingga ada puak yang melampau dalam dapatan ruhani mereka sehinggakan seolah-olah mereka sudah sampai sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. sampai. Alangkah malangnya dipohon lindung daripada Allah Ta’ala akan puak ini.
Sebenarnya ketahuilah bahawa Tariqat secara umumnya ialah jalan mengenal Allah Ta’ala atau jalan menuju kepada kehampiran(qurb) kepadaNya dengan mendapat redha dan kasihNya. Adapun Ulama sufi menjelaskan bahawa jalan menuju kepada Allah Ta’ala itu terlalu banyak dan ada yang mengibaratkan sebanyak bilangan nafas makhluk. Ini bermakna terlalu banyak dan tiada di hinggakan! Bayangkan betapa banyaknya jalan yang menyampai kepadaNya. Dan ada ulama mengatakan seumpama sebanyak jari jejari yang menghubung kepada satu titik pusat dan ini bermakna terlalu banyak tariq atau cara yang menyampai kepadaNya. Dan ada orang yang Allah Ta’ala sampaikan ke hadratNya tanpa melalui jalan mazhab tariqat (yang khusus) iaini tanpa syeikh. Mungkin saudara akan terkejut ! Memang benar kata faqir. Sebab itu faqir kata ilmu Allah Ta’ala Maha Luas bukan seluas fikiran kepala kita jadi jangan ta’asub buta pada wasilah!

Ini dinyatakan di dalam kitab Ad Durun Nafis yang Di karang oleh Syeikh Muhammad Nafis Bin Idris Al Banjari :

“Syahdan maqam inilah (iaini maqam Wahdatul af’al) yang mula-mula ia anugerahkan Allah Ta’ala kepada orang yang salik(yang belajar setingkat demi setingkat di bawah pengawasan Mursyid) atau kepada orang yang lainnya iaitu seperti orang yang majzub umpamanya dan erti orang yang majzub itu di ambil Allah Ta’ala dengan terkejut serta dirinya tahu akan mengenal ZatNya dan SifatNya dan asmaNya dan af’alNya daripada tiada mengerjakan ibadat dan tiada talqin daripada guru dan tiada ijazah masya’ih.”

Ini bermakna harus bagi Allah Ta’ala memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk di perkenalkan DiriNya dengan jalan majzub atas sifat Kehendak dan Pemurah dan PengasihNya. Sepertimana Firman Allah Ta’ala:

“Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki dan memberi hidayah siapa yang dikehendaki”.

Inilah yang dinamai sebagai ‘Kurnia’ iaitu sesuatu yang di dapat bukan dengan jalan ikhtiar tetapi atas kehendak dan pilihan Allah Ta’ala sendiri. Manakala jalan usaha untuk menujunya iaitu dengan ibadat amal dan bimbingan Guru di namai akan ‘anugerah’ Allah Ta’ala atas ikhtiarnya di dalam taat. Cumanya orang yang majzub itu khusus dan bukan umum dan bukan sunnah untuk di ikut secara lazim(biasa). Dan akhirnya orang yang majzub itu sendiri akan kembali menjadi salik.

Fahamilah ini betapa luasnya rahmat Allah Ta’ala dan apa yang penting supaya kita belajar dan terus belajar supaya tidak menjadi sempit fikiran dan dijauhkan Allah Ta’ala dari menjadi orang yang ta’asub buta.

ILMU ROHANI, ILMU TASAWUF, ILMU HAKIKAT ADALAH SATU

Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah ilmu tasawuf atau dikatakan juga sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin. Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini kerana perbahasannya adalah mengenai roh.

Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita lihat perbincangan para ulama termasuk ulama moden, perkataan tasawuf itu diambil daripada bermacam-macam perkataan. Tetapi di sini saya hanya memilih salah satu daripadanya iaitu dari perkataan syifak’ ( ) bermakna bersih atau murni. Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan atau memurnikan roh (hati) atau nafsu. Agar dari dorongan hati yang bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan kemungkaran dan kesalahan.

Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu mengenai cara-cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan kesalahan. Bahkan kesalahan lahir ini berpunca dari kesalahan batin. Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah ia dikatakan ilmu tasawuf.

Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan ilmu batin? Ini kerana roh atau hati memang tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Ia adalah makhluk yang tersembunyi. Maka ilmu ini dinamakan ilmu batin kerana ia membahaskan tentang hati dan sifat-sifatnya yang memang tidak dapat dilihat dengan mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata batin.

Mengikut pandangan umum masyarakat sekarang, bila disebut ilmu batin, mereka menganggap itu adalah ilmu pengasih atau ilmu kebal. Orang yang belajar ilmu batin bermakna dia belajar ilmu kebal atau belajar ilmu pengasih. Sebenarnya orang itu belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang mana ilmu itu ada dicampur dengan ayat-ayat Al Quran. Kebal juga adalah satu juzuk daripada kebudayaan orang Melayu yang sudah disandarkan dengan Islam. Kalau kita hendak mempelajarinya tidak salah jika tidak ada unsur-unsur syirik. Tetapi itu bukan ilmu tasawuf atau ilmu kerohanian seperti apa yang kita bahaskan di sini.

Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil juga ilmu hakikat. Ini kerana hakikat manusia itu yang sebenarnya adalah rohnya. Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya. Yang menjadikan mereka mukalaf disebabkan adanya roh. Yang merasa senang dan susah adalah rohnya. Yang akan ditanya di Akhirat adalah rohnya. Hati atau roh itu tidak mati sewaktu jasad manusia mati. Cuma ia berpindah ke alam Barzakh dan terus ke Akhirat.

Jadi hakikat manusia itu adalah roh. Roh itulah yang kekal. Sebab itu ia dikatakan ilmu hakikat. Oleh yang demikian apabila kita mempelajari sungguh-sungguh ilmu rohani ini hingga kita berjaya membersihkan hati, waktu itu yang hanya kita miliki adalah sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji. Sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat terkeji sudah tidak ada lagi. Maka jadilah kita orang yang bertaqwa yang akan diberi bantuan oleh Allah SWT di dunia dan Akhirat. Kebersihan hati inilah yang akan menjadi pandangan Allah. Maksudnya, bila hati bersih, sembahyangnya diterima oleh Allah SWT. Bila hati bersih, puasanya diterima oleh Allah.

Bila hati bersih, perjuangannya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, wirid dan zikirnya diterima oleh Allah. Bila hati bersih, pengorbanannya diterima oleh Allah. Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan diterima. Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam bahawa walaupun kedua-dua amalan lahir dan amalan batin diperintahkan melaksanakannya tetapi penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini sesuai dengan Hadis yang bermaksud:

“Cukup sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertaqwa.”

Maknanya dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tetapi hati masih kotor. Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat sembahyang dari hati yang bertaqwa itu akan memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan, lahir dan batin.
Berdasarkan Hadis di atas, kita cukup bimbang kerana selama ini kita telah mengerjakan sembahyang, sudah lama berjuang, sedikit sebanyak sudah berkorban, sudah habiskan masa untuk berdakwah, sembahyang berjemaah, ikut jemaah Islamiah, yang mana ini semua adalah amalan lahir, rupa-rupanya Allah tidak terima semua amalan itu disebabkan hati kita masih kotor. Roh kita masih tidak bersih.

Oleh itu dalam kita menunaikan kewajipan yang lahir ini, jangan lupa kita memikirkan roh kita. Kerana roh yang kotor itulah yang akan mencacatkan amalan lahir, mencacatkan sembahyang, mencacatkan segala ibadah dan mencacatkan pahala seluruh kebaikan kita.

Cuba renung kembali Hadis yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW kepada Sayidina Muaz bin Jabal. (Hadis lengkap - lihat Bab 15)
Orang yang banyak amal ibadah, di langit yang pertama sudah tercampak amalannya. Kalaupun boleh naik, di langit yang kedua pula tersekat. Begitulah seterusnya di pintu-pintu langit yang lain hingga sampai ke pintu langit yang ketujuh, tersangkut lagi. Itu bagi orang yang beramal, masih tertolak amalannya. Bagaimana agaknya kalau orang yang tidak beramal langsung?

Mengapa amalan lahir itu tersangkut? Tersangkutnya amalan itu kerana ia ada hubungan dengan penyakit batin atau roh (hati) kita yang masih kotor. Orang yang mengumpat umpamanya, kerana hatinya sakit. Walaupun mengumpat itu nampaknya amalan lahir, mulutnya yang bercakap tetapi ia datang dari hati yang kotor. Sebenarnya hati itulah yang mengumpat. Hasad dengki, riyak, kibir, sombong dan sebagainya, itu semua amalan hati. Rupa-rupanya yang menghijab amalan lahir ini adalah mazmumah hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah dijaga kerana mazmumah hati inilah yang membatalkan pahala amalan-amalan lahir.

Ditegaskan sekali lagi, ilmu rohani adalah ilmu yang mengesan tabiat roh atau hati sama ada yang mazmumah atau mahmudahnya. Bukan untuk mengetahui hakikat zat roh itu sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala atau tidak akan dapat dibahaskan. Tetapi apa yang hendak dibahaskan adalah sifat-sifatnya sahaja supaya kita dapat mengenal sifat-sifat roh atau hati kita yang semula jadi itu. Mana-mana yang mahmudahnya (positif) hendak dipersuburkan dan dipertajamkan. Kita pertahankannya kerana itu adalah diperintah oleh syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul dan digemari oleh manusia. Mana-mana yang mazmumahnya (negatif) hendaklah ditumpaskan kerana sifat-sifat negatif itu dimurkai oleh Allah dan Rasul serta juga dibenci oleh manusia.

Oleh yang demikian, sesiapa yang memiliki ilmu tentang roh ini, mudahlah dia mengesan sifat-sifat semula jadi yang ada pada roh itu. Mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat ditumpaskan. Maka jadilah roh atau hati seseorang itu bersih dan murni.

Sedangkan hati adalah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dalam kerajaan diri ini sudah bersih, baik, adil, takut kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul, maka sudah tentu dia akan mendorong rakyat dalam dirinya iaitu anggota (jawarih) ini untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Mudah untuk membangunkan syariat dan Sunnah Rasulullah SAW serta mudah berbuat bermacam-macam bentuk kebaikan lagi.

Maka kebaikan anggota lahir inilah yang merupakan buah daripada kebersihan jiwa itu sendiri. Jadi kebersihan jiwa itulah pokok yang melahirkan kebaikan kepada tangan, mulut, mata, telinga, kaki dan seluruh tindakan lahir kita ini. Maka bila roh sudah baik, akan jadi baiklah seluruh lahir dan batin manusia. Bila baik lahir batin manusia, dia akan menjadi orang yang bertaqwa.

Bila dia telah menjadi orang yang bertaqwa, maka dia dapat pembelaan dari Allah sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Selagi belum menjadi manusia yang bertaqwa, tidak ada jaminan dari Allah akan dibela sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Kalau sekadar menjadi orang Islam, tidak ada jaminan dari Allah untuk dibela.

Dalam Al Quran, Allah tidak mengatakan akan membela orang Islam. Tidak ada satu ayat pun yang Allah berjanji hendak membantu orang Islam. Tetapi yang ada dalam ayat Al Quran mahupun dalam Hadis, Allah hanya membantu orang-orang mukmin yang bertaqwa. Jadi bila jiwa sudah bersih, maka akan bersih lahir dan batin, maknanya orang itu sudah memiliki sifatsifat taqwa. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al Quran:

Maksudnya: “Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)

Bila seseorang itu sudah dapat berbekal dengan sifat-sifat taqwa, maka dia akan dapat pembelaan dari Allah SWT. Pembelaan di dunia mahupun di Akhirat. Sebenarnya, di sinilah rahsia kejayaan dan kemenangan umat Islam. Juga rahsia kehebatan umat Islam hingga berjaya menumpaskan musuh-musuhnya sama ada musuh lahir mahupun musuh batin.

Bahaya Menolak Ilmu Rohaniah

Kalau diterima tuduhan-tuduhan dari sebahagian orang yang menolak tasawuf atau ilmu rohaniah atau ilmu zauk, ertinya kita telah menganggap syariat Islam itu hanya mengenai kehidupan lahir semata-mata. Seolah-olah tidak ada hubungan langsung dengan soal-soal batin seperti persoalan hati atau roh dan nafsu.

Ertinya sama ada sedar atau tidak, kita mengakui bahawa ajaran Islam itu sama sahaja atau setaraf dengan ajaran-ajaran isme atau ajaranajaran ideologi ciptaan manusia. Yang mana peraturan- peraturan atau hukum-hakamnya hanya mengenai kehidupan yang lahir. Yakni apa yang dapat dinilai oleh mata lahir semata-mata dan tidak ada hubungkait langsung dengan hati atau roh dan nafsu.

Merbahaya sungguh jika kita menolak ilmu rohaniah ini. Tentu kita langsung tidak akan mempedulikan soal hati, nafsu dan hal ehwalnya. Tentu kita tidak akan ambil perhatian tentang kejahatan nafsu dan tidak anggap penting untuk membersihkan diri dan membuang sifat-sifat jahat tersebut. Sekaligus bererti, manusia tidak lagi bermujahadah untuk membaiki diri agar dapat memiliki sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan menumpaskan sifat-sifat mazmumah (sifat terkeji).

Untuk menghuraikan lebih terperinci lagi kita bawakan beberapa contoh. Umpamanya, selepas memiliki aqidah, mereka cukup hanya sekadar mempraktikkan Rukun Islam yang lima. Boleh jadi mereka suka juga menambah ibadah-ibadah sunat yang lain. Tetapi di waktu itu mereka tidak akan mempersoalkan lagi tentang soal khusyuk atau tidak, ikhlas atau tidak, riyak dan ujub atau tidak, megah dan sombong atau tidak. Mereka tidak akan ambil berat apakah mereka berbuat kerana nama dan kemasyhuran atau tidak. Apakah ada udang di sebalik batu dan sebagainya dalam mereka mengajar, belajar, berdakwah, berjuang, berkorban, memimpin, menutup aurat dan lain-lain lagi. Walhal inilah perkara yang paling penting yang mesti dijaga.
Begitu juga kalau dia meninggalkan yang haram, dia tidak akan ambil kira yang batin. Apa sebab ditinggalkannya? Adakah kerana takut ditangkap atau kerana takutkan Allah? Takut susah atau takutkan Allah. Takut malu atau takutkan Allah. Takut dihina orang atau takutkan Allah. Yang penting pada mereka, cukuplah perintah buat atau perintah tinggal itu ditaati sesuai dengan syariat. Soal-soal hati di waktu itu tidak usah diambil kira sangat. Peranan hati usah diambil kira lagi. Di waktu dia bertindak itu, kerana atau mengapa hati itu mendorong bertindak begitu, tidak diambil kira. Yang penting ianya sesuai dengan syariat lahir, itu sudah cukup baginya.

Kalau diibaratkan orang membeli buah, dibelinya kerana mempertahankan keelokan kulitnya sahaja tanpa memikirkan soal isinya. Apakah begitu tindakan kita pada realitinya bila kita membeli buah? Tentu tidak! Malanglah kalau kita menerima pandangan ini. Yakni fikir kulit sahaja, tanpa memikirkan isinya. Ini bererti kita menolak sabda Rasulullah dalam Hadisnya:

1. Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

2. Maksudnya: “Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Maka ketahuilah, itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Juga ia menolak sebahagian daripada ayat-ayat Al Quran.

1. Firman Allah: Maksudnya: “Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

2. Firman-Nya lagi: Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang-orang yang membersihkannya dan mendapat kecewalah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 9-10)

Seterusnya orang yang menolak ilmu rohaniah, mereka akan menafikan adanya ilmu laduni, ilham, kasyaf, firasat, kedatangan hatif ( ) dan pertolongan ghaib. Sedangkan perkara-perkara yang disebut tadi, selain daripada ada disebutkan dengan ilmiahnya di dalam Al Quran dan Hadis, ia juga telah menjadi pengalaman orang-orang soleh zaman dahulu sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab muktabar.

Begitulah wahyu Allah dan sabda Rasul-Nya serta hujah sejarah yang ada disebut di dalam kitab, yang menguatkan lagi hujah saya bahawa soal-soal roh atau hati dan nafsu ini mesti diambil kira. Kesimpulannya, pendapat-pendapat ulama yang menolak ilmu rohaniah ini sudah awal-awal lagi tertolak.

AWAL-AWAL AGAMA MENGENAL ALLAH

Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan. Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya ‘membawa Tuhan’ kepada para Sahabat dan memperkenalkan para Sahabat kepada Tuhan. Dalam majlis yang rasmi atau tidak rasmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, malahan pada setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.
Segala sifat-sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan, cukup sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.

Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya.

Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi. Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka.

Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolah-olah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum. Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.

Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan.Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanja-manja dengan Tuhan. Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. Ia ibarat air di kala dahaga. Ia ibarat makanan di kala lapar. Ia ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan.

Solat menjadi buah hati Rasulullah dan para Sahabat. Solat adalah kerehatan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: “Sembahyang adalah penyejuk mataku.”

Baginda juga pernah menyuruh Sayidina Bilal r.a. untuk azan dengan berkata:
Bermaksud “Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!”
Demikianlah kedudukan solat di hati Rasul dan para Sahabat. Tidak hairanlah mereka tenggelam di dalam solat. Mereka ‘mikraj’ di dalam solat. Tidak hairan juga, ketika solat, mereka lupa tentang dunia ini dan segala isinya sama ada yang berupa nikmat mahupun kesusahan. Mereka asyik dan masyuk dengan Tuhan dalam solat. Sayidina Ali k.w. lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya.
Solat mereka yang sebeginilah yang telah menjadikan mereka peribadi-peribadi agung. Agung keimanan mereka. Agung keyakinan mereka dan agung akhlak mereka. Allah kurniakan kepada mereka 3/4 dunia dan semua bangsa bernaung di bawah kekuasaan mereka. Mereka membawa kedamaian dan keselamatan. Mereka penuhi dunia ini dengan keadilan dan kebahagiaan.

Di sini kita sungguh-sungguh dapat melihat konsep pendidikan Rasulullah, iaitu awaludin makrifatullah. Awal-awal agama mengenal Allah. Para Sahabat dikenalkan kepada Allah hingga mereka menjadi orang-orang yang arifbillah, iaitu orang-orang yang sangat takut, cinta dan rindu kepada Allah dan orang-orang yang mabuk dengan Allah. Dalam keadaan begitulah baru mereka diperintah bersolat dan menegakkan syariat Allah. Keseluruhan perintah syariat yang beribu-ribu itu diturunkan di Madinah. Ia hanya memakan masa 10 tahun, berbanding memperkenalkan Tuhan yang satu itu yang memakan masa selama 13 tahun di Makkah.

Orang-orang yang menegakkan syariat Allah di Madinah itu sebenarnya ialah orang-orang yang takut, cinta dan mabuk dengan Tuhan. Orang-orang yang arifbillah. Hanya orang-orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat Allah. Yang mampu memperjuangkan agama Allah. Yang mampu berkorban ke jalan Allah. Itulah kelemahan umat Islam hari ini. Setakat tahu tentang Tuhan. Setakat ada ilmu tentang Tuhan. Setakat alimbillah. Tuhan masih di akal, belum di hati. Belum ada rasa bertuhan. Belum ada rasa kehambaan. Jauh sekali rasa takut rindu dan cinta pada Tuhan. Lebih-lebih lagi belum mabuk dengan Tuhan. Dalam pada itu, mereka disogok dengan solat dan syariat. Disuruh dirikan solat. Disuruh tegakkan syariat. Diperkenalkan hukum hudud dan sebagainya.

Orang yang belum kenal Tuhan dan orang yang tidak ada rasa takut dan cinta pada Tuhan, tidak akan mampu mendirikan solat dan menegakkan syariat. Kalau pun mereka berbuat, ia secara terpaksa. Buat kerja secara terpaksa memang pahit, sakit dan perit. Sukar untuk istiqomah.

Kenapa tidak dibawa Tuhan kepada mereka? Kenapa tidak perkenalkan Tuhan kepada mereka? Kalau manusia betul-betul kenal Tuhan, mereka tidak akan dapat mengelak diri dari jatuh cinta dan rindu kepada-Nya. Mereka tidak akan dapat mengelak diri dari mahu berbakti kepada-Nya untuk merebut cinta dan kasih sayang-Nya. Bagaimana boleh kita tidak sayang dan tidak jatuh hati kepada Allah yang begitu berbakti, begitu menjaga, begitu mengawasi dan memenuhi segala kehendak dan keperluan kita. Yang penuh kasih dan belas kasihan kepada kita. Yang menyayangi kita lebih dari ibu kita sendiri. Yang menjaga kita siang dan malam tanpa rehat dan tanpa tidur. Yang tidak pernah melupakan kita.

Marilah kita kembalikan manusia kepada Tuhan. Marilah kita perkenalkan Tuhan itu kepada manusia supaya manusia kenal akan Tuhan. Kerana awal-awal agama mengenal Tuhan. Selagi kita belum kenal Tuhan, selagi itu kita belum mampu untuk beragama atau untuk menegakkan agama.

Mengenal Tuhan itu tidak cukup sekadar tahu tentang Tuhan atau tahu tentang sifat-sifat Tuhan secara ilmunya, tetapi ialah merasakannya di hati. Hati rasa bertuhan, hati merasa Tuhan sentiasa melihat, hati merasa Tuhan itu Maha Mendengar, hati merasakan Tuhan itu berkuasa berbuat apa saja kepada hamba-Nya, hati merasakan Tuhan itu pengasih dan penyayang yang sentiasa mencurahkan rezeki kepada hamba-Nya.

Setelah hati ada rasa bertuhan, secara automatik hati akan dipenuhi rasa kehambaan, iaitu rasa lemah, rasa berdosa, rasa bergantung harap kepada-Nya. Hati rasa takut dan cinta dengan Tuhan sepertimana yang dirasakan oleh para Sahabat yang dididik oleh Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu
Awal-awal agama mengenal Allah - kenalkan Tuhan dahulu, baru kenalkan syariat-Nya.