Tuesday, August 28, 2018

Kisah Pemuda Tauhid Menentang Hantu-Syaitan Pokok

KENAPA SESETENGAH TOKGURU/USTAZ/PERAWAT ISLAM GAGAL MENUNDUKKAN SYAITAN JIN....

Di dalam Kitab “ TALBIS IBLIS “ ( Tipu-Daya Iblis ) hasil karangan Al-Imam Ibnul Jauzi ( 510H - 597H ) , Bab : III , mukasurat : 23 – Terbitan : Dar Ibn Khaldun , Iskandariah , Mesir ada menyatakan sebuah kisah ( bukan hadist ) :

Suatu ketika dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh ramai manusia . Maka datanglah seseorang lelaki yang marah dengan perbuatan syirik orang ramai itu dengan kapaknya menuju ke arah pokok itu . Tiba-tiba muncullah syaitan yang menjelma sebagai seorang manusia biasa lalu menghalangnya .

“ Apa tujuanmu ke mari ? “ ; tanya orang ( syaitan ) yang menghalang itu .

Jawab lelaki yang memegang kapak itu : “ Aku mahu menebang pokok yang disembah oleh manusia ini kerana ia adalah perbuatan menyekutukan ( syirik ) ALLAH “ .

“ Apa masalahnya jika pokok ini terus disembah oleh orang ramai “ ; tanya syaitan itu lagi .

Si lelaki itu tetap mahu meneruskan niatnya .

Syaitan pun memujuk dengan katanya : “ Apakah engkau hidup dengan selesa sekarang ? . Begini sahajalah . Tak payahlah engkau menebang pokok ini . Dan sebagai imbalannya , setiap kali engkau bangun daripada tidur , di tepimu telah tersedia dua dinar ( duit emas ) “ .

Lelaki itu bertanya lagi : “ Hai , bagaimana mungkin aku mendapatkannya ? “ .

“ Tak mengapa . Aku yang akan sediakannya setiap kali kau bangun daripada tidurmu “ ; ujar Sang Syaitan yang melihat pujukannya sudah berjaya .

Keesokan hari , lelaki itu memang mendapati ada dua dinar di tepi bantalnya apabila dia tersedar daripada tidurnya . Namun , selepas itu ( lusa ) , tidak ada lagi dua dinar sebagaimana dijanjikan sebelum itu .

Lelaki itu pun naik marah lalu bergegas menuju ke pokok itu untuk menebangnya . Tiba-tiba muncullah syaitan sekali lagi dengan rupa sebagai seorang manusia biasa .

“ Apa lagi kamu mahu ? “ ; tanya syaitan .

“ Aku mahu menebang pokok ini kerana marah dengan perbuatan manusia mensyirikkan ALLAH “ ; jawab pemuda itu .

Syaitan pun berkata : “ Kau penipu ! . Sebenarnya bukan kerana ALLAH , tetapi kau datang kerana mahukan dua dinar yang aku janjikan kepada engkau sebelum ini . Engkau tak akan dapat menebang pokok ini “ .

Lalu bertambah marahlah lelaki itu . Maka terjadilah pergaduhan di antara lelaki itu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang manusia biasa . Lelaki itu dihempas ke bumi dan hampir sahaja syaitan itu meragut nyawanya .

Lalu syaitan itu pun berkata : “ Tahukah engkau aku ini sebenarnya adalah SYAITAN ? ….. Pada mulanya dahulu engkau datang betul-betul marah dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Sebab itu aku tidak mampu mengalahkanmu . Namun pada hari ini , engkau datang dengan marah bukan lagi kerana ALLAH , tetapi kerana tidak mendapatkan dua dinar itu , maka aku berjaya kalahkan engkau “ .


Kesimpulan ringkasnya ialah : IKHLAS + YAKIN + TAWAKKAL + HUSNU ZHON = TAUHID = Senjata Paling Menakutkan Iblis – Syaitan – Jin .