Sunnah Babi
Entah mengapa pada hari itu punggung terasa berat untuk
bangun dari sof kerana lazimnya setelah habis mendirikan 2 rakaat solat Jumaat
saya akan terus bangun tanpa mengaminkan doa imam untuk mendirikan solat sunat
awwabin sebelum terus keluar dari masjid. Saya terus mengaminkan doa imam
sambil mata memerhatikan gelagat sebilangan jemaah yang bergegas untuk keluar
dari masjid. Agak panjang juga doa imam dan terasa sia-sia pula saya
mengaminkan doa beliau kerana saya tidak faham apa yang didoakannya disebabkan
beliau berdoa dalam bahasa arab. Saya ikutkan juga. Kemudian setelah habis doa
dibaca imam maka saya terus bangun sambil bersalam-salaman dengan beberapa
jemaah dan terus mendirikan solat sunat 2 rakaat. Usai solat, hati terasa
seperti berat pula untuk meninggalkan masjid maka saya memanjang-manjangkan
wirid yang disulami tasbih, tahmid dan takbir.
Entah kenapa.. hati masih terasa berat untuk meninggalkan
masjid lalu saya teruskan duduk sambil membaca surah al-Mulk. Usai surah
al-Mulk dibacakan, barulah badan terasa ringan untuk bangun dan terus saya
menghalakan kaki untuk keluar dari masjid yang ketika itu tidak banyak pun
jemaah yang masih berada dalam masjid.
Tiba-tiba bahu kanan saya ditepuk seseorang dari belakang
dan disentapnya sehingga membuatkan langkah kaki saya terhenti. Bahu terasa
sakit. Saya menoleh dan mendapati seorang lelaki melayu berusia sekitar 40an
dengan jambangnya bersulam dengan warna merah yang mungkin diinai, berserban
dengan lilitan yang agak besar, berjubah dan sedang memegang kayu sugi dengan
tangan kanannya. Mukanya serius memandang saya.. bola matanya meliar tepat
diarahkan ke muka saya macam mencari sesuatu. Kemudian beliau melintangkan
lengan kirinya dibelakang badan saya dan terus membisikkan sesuatu.
“Kenapa kamu membawa sunnah babi ke dalam masjid ini?”
Terkejut besar saya mendengar kata-kata lelaki itu..
berderau darah saya. Kasar sungguh sikapnya dan tidak padan langsung dengan
penampilannya. Kemudian beliau berkata lagi..
“Bukankah babi itu tidak memakai serban.. kenapa kamu
membawa sunnahnya kemari.. ketempat suci ini? Bukankah terlebih baik jika kamu
memakai serban yang menjadi sunnah nabi, berjubah dan bersugi seperti nabi
daripada kamu memakai seperti apa yang kamu pakai sekarang ini!”
Saya masih terkejut dengan sikapnya dan darah masih
berderau. Kaki terasa menggeletar. Telinga terasa panas dan mulut seolah-olah
terkunci.
“Ini apa?”
Tanya beliau sambil menarik baju T-Shirt biru lusuh dan
seluar yang sedang saya pakai.
“Ini baju T-Shirt pemberian orang dan ini seluar slack hitam
yang juga pemberian orang”.
“Ini pakaian kaafiir!” bentak beliau.
“Hanya orang kafir sahaja yang berpakaian dengan pakaian
sebegini!”.
Berderau lagi darah saya mendengar kata-katanya. Kalau tadi
derauannya kerana terkejut namun sekarang derauannya kerana marah.
Sekonyong-konyong berlalu dihati ingatan supaya beramal dengan tawhid Asma maka
fahamlah saya bahawa saya kini sedang berhadapan dengan al-mutakabbir. Nah..
tiba-tiba sahaja saya kedatangan zawk. Bergetar seluruh kulit dibadan dan
terasa bulu roma mengembang diseluruh badan. Nyaman sekali rasanya sehingga
singa garang berserban yang sedang memegang kayu sugi yang berada dihadapan
saya kini saya pandang tak ubah macam seekor lipas sahaja. Hati mulai tenang.
Maka benarlah Allah apabila berfirman yang bermaksud “Ingatlah! Dengan
mengingati Allah hati akan tenang” [ar-Ra’d:28]. Kemudian dengan pantas
saya berdoa didalam hati dengan doa para malaikat yang bermaksud “Maha suci
Engkau (Allah), tidak ada yang kami ketahui melainkan apa-apa yang Engkau
ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana” [al-Baqarah:32]. Terus sahaja saya membuka mulut untuk membidas
kata-kata lelaki itu.
“Tuan, seseorang itu tidak sekali-kali akan menjadi kafir
kalau hanya memakai pakaian dari hasil karya orang-orang kafir sebaliknya
kekafiran seseorang itu dinilai dari sudut aqidahnya sama ada betul atau tidak
ia beriman kepada ketunggalan Allah dan kerasulan Muhammad bin Abdullah bin
Abdul Muthalib”.
“Aahh.. cara berpakaian kamu ini sudah cukup menjadi bukti
kekafiran kamu!”
Saya senyum saja melihat keletah lelaki itu dan ingin benar
saya menutup mulutnya itu dengan satu hujah yang tidak dapat dipatahkannya
lagi. Maka saya terus berhujah.
“Baiklah tuan, saya akan buktikan kepada tuan bahawa cara
berpakaian saya ini adalah bukti keimanan saya kepada Allah dan penolakkan tuan
atas cara berpakaian saya ini adalah bukti kekafiran tuan terhadap Allah”.
“Bagaimana boleh jadi macam tu pula?.. aaahhh tak kisahlah.
Cepatlah buktikan!”
“Begini, saya nak bertanya pada tuan, siapakah yang
menyiapkan pakaian saya ini?”
“Tentulah orang kafir laknatullah!”
“Baiklah.. siapa pula yang mengilhamkan kepada orang kafir
itu sehingga dapat mereka menghasilkan pakaian yang saya pakai ini?”
Beliau terdiam.
“Bukankah Allah yang telah memberi ilham kepada mereka dan
sudah tentulah tiada siapa yang Maha berilmu selain Allah yang memberi ilham
kepada mereka. Maka pada hakikatnya pakaian yang saya pakai ini adalah hasil
karya agung Allah Ta’ala yang bersesuaian dengan hukumnya yang Ia zahirkan
melalui tangan-tangan orang kafir. Perhatikan baik-baik, adakah tuan mendapati
ada pada mana-mana aurat saya yang terdedah?”
Beliau masih senyap seolah-olah nafasnya sudah terhenti.
Matanya pun tidak berkelip. Entah apa yang difikirkannya. Saya meneruskan
kata-kata.
“Maka saya memakai pakaian ini adalah atas iman saya yang
mengimani bahawa pakaian ini adalah dari hasil karya agung Tuhan saya tetapi
tuan pula memandang pakaian yang saya pakai ini adalah dari hasil karya orang-orang
kafir maka yang sebenarnya aqidah tuan telah bersalah-salahan dengan aqidah
Ahlussunnah wal Jamaah. Kesalahan tuan dari sudut aqidah ialah tuan telah
meletakkan pada orang-orang kafir itu mempunyai ilmu yang dengannya dapat
mencipta hasil karya sendiri. Maka iktiqad ini adalah kafir. Tidakkah tuan tahu
bahawa kaenat pada quwwah dan tabiatnya tidak sesekali dapat mendatangkan
bekas?”
Lelaki itu masih senyap dan merenung lantai. Kemudian beliau
menukar topik.
“Tetapi apa yang kamu pakai ini tidak mengikut sunnah
Rasulullah!”
Walaupun ucapannya tegas tetapi tidak sekeras tadi.
“Baiklah tuan, saya ingin bertanya.. sunnah Rasulullah kalau
mengikut hukum taklifi terbahagi kepada berapa bahagian?”
“err..emm..emm.. apa itu hukum taklifi? Saya tak pernah dengar
pun!”
“Baiklah lupakan dulu fasal hukum taklifi. Sunnah Rasulullah
terbahagi kepada tiga iaitu sunnah muakkadah, sunnah zaidah dan sunnah yang
tergolong dalam kategori Mustahab, Adab dan Fadhilah. Perbuatan Rasulullah yang
bersifat kebiasaan yang dilakukan baginda dengan sifatnya sebagai manusia
seperti makan, minum, berjalan, tidur dan berpakaian adalah bersifat sebagai
pelengkap dan dianggap sebagai kebaikan-kebaikan mukallaf yang tergolong dalam
kategori sunnah mustahab. Orang yang tidak mengikuti Rasulullah dalam melakukan
sunnah mustahab tidak dianggap sebagai orang yang berbuat jahat dan tercela
kerana hal-hal tersebut tidak termasuk syariat Rasulullah. Maka beginilah
ketetapan yang dibuat oleh ulama fiqh.”
Terkebil-kebil mata lelaki itu mendengar hujahan saya.
“Jadinya, cara berpakaian saya ini walaupun tidak mengikuti
cara berpakaian Rasulullah tetapi tidaklah ianya dicela agama dan tidak juga
saya berdosa kerana memakainya. Oleh itu, jika agama tidak mencela cara saya
berpakaian lantas mengapa tuan mencela cara saya berpakaian dengan celaan
bahawa saya membawa sunnah babi? Nampaknya tuan menilai cara saya berpakaian
bukan menurut hukum tetapi menurut nafsu!”
Kemudian saya menambah lagi.
“Tidakkah tuan pernah mendengar sabda Nabi yang bermaksud “Sesungguhnya
Allah tidak memandang paras rupa dan harta kamu tetapi Dia memandang kepada
hati dan amalan kamu”. Kenapa tuan terus melulu menilai saya berdasarkan
paras rupa dan pakaian saya?. Tidakkah tuan sendiri sedar bahawa sifat
melulu-lulu itu adalah sifat seekor babi?. Nah.. telah saya buktikan keimanan
saya dan kekafiran tuan maka silalah bangkang hujah saya!”
“Yelah.. yelah.. kamu tak bawa sunnah babi tetapi kamu tetap
tak pakai sunnah nabi!”.
Masih nak menegakkan benang basah. Walaupun sikapnya tidak
sekeras tadi namun wajah meluatnya terhadap saya begitu jelas kelihatan. Entah
mengapa beliau bersikap begitu. Mungkin begitulah gambarannya orang yang
berpenyakit hati.
“Tuan, jangan disempitkan pengertian sunnah nabi itu
sehingga hanya terhenti pada cara berpakaian nabi sahaja sedangkan sunnah nabi
itu ada yang bersifat zahir dan batin. Tuan tahu apa dia sunnah nabi yang batin
itu?”
“Hah.. apa dia?”. Tanya beliau sambil menjuihkan bibirnya.
“Sabar, usul periksa, rendah diri, berbaik sangka, berlapang
dada, menghormati orang lain dan semua sifat-sifat yang terpuji yang lain.
Err.. saya nak tanya tuanlah..”
“Hah.. tanyalah!” keras sahaja jawapannya.
“Apa pendapat tuan jika ada seekor babi yang memakai serban,
berjubah dan memegang kayu sugi.. adakah dengan berpakaian sebegitu dapat
disucikan dirinya yang bertaraf najis mughallazoh?”.
“Ehh.. mana boleh. Kalau dah najis tu najislah juga.. mana
boleh najis tu disucikan dengan menutupinya dengan pakaian!”
Tiba-tiba dia terdiam… terkedu. Agak lama juga dia senyap.
Saya tidak hiraukan apa yang sedang difikirkannya dan terus berhujah.
“Makanya tuan, tidak guna seseorang itu berserban dan
berjubah kalau hatinya masih belum disucikan. Laksana babi tadilah.. maka siapa
diantara kita yang membawa sunnah babi ke masjid ini.. tuan atau saya?”
Merah padam mukanya semerah warna jambangnya. Nafasnya
ketika itu turun naik seolah-olah dia mahu memukul saya. Cepat-cepat saya
bersuara.
“Tuan boleh saja memukul saya disini dan saya tidak akan
membalas tetapi sebelum saya dipukul, ingin saya menurunkan petua kepada tuan
untuk menyucikan hati kerana pada hati itu ada dua penyakit yang berbahaya yang
bisa merosakkan iman dan amal seseorang iaitu penyakit mazmumah dan penyakit
syirik. Caranya ialah basuh hati itu dengan air talqin bersumberkan dari telaga
tawhid kemudian sabunilah ia dengan sabun syuhud agar hati itu bersih dan
berbau wangi. Selepas itu gosokkanlah hati itu berulang-ulang dengan berus
mujahadah yang disulami menyabuninya dengan sabun syuhud maka pasti segala
kekaratan pada hati akan tertanggal. Kemudian sidailah hati itu diampaian
musyahadah agar ia disinari nur ma’rifah. Setelah hati disinari nur ma’rifah
maka hati pasti akan kering daripada penyakit mazmumah dan kesyirikkan”.
Kemudian saya terus berlalu dari situ dengan meninggalkan
lelaki itu yang masih termangu-mangu…………………