Wasiat
Hang Jebat
(Ini
adalah sebahagian daripada teks ucapan Hang Jebat yang pada awalnya dianggap
hilang terbakar di dalam kapal Belanda “Le Fluer” ketika dalam perjalanan dari
Melaka ke Bengkulen. Teks ini telah saya temui secara tidak sengaja ketika saya
membuat kajian ilmiah di University of Leiden pada tahun 1992 – teks asal masih
tersimpan di dalam arkib University of Leiden)-Aminuddin Yahaya
“Wahai orang-orang
Melaka, apabila kamu merasa tidak puas hati atau tidak berkenan akan sesuatu
maka hendaklah kamu memberitahu kepada anak isteri kamu, kaum keluarga kamu,
sahabat taulan kamu, jiran tetanga kamu, orang-orang kampung kamu. Janganlah
hendaknya tidak ada orang yang tidak kamu beritahu akan rasa geram hati kamu
dan amarah kamu itu.
Maka hendaklah kamu kumpulkan anak bini kamu, sanak-saudara kamu, sahabat taulan kamu, jiran tetangga kamu, orang kampung kamu, kumpulkan semua orang-orang Melaka dan bawalah berita itu hendaknya ke Lubuk China hingga ke Tanjung Tuan hingga ke Linggi hingga hendaknya sampai ke Rembau Labu dan Lukut dan hendaknya sampailah berita ini hingga ke Seri Menanti.
Bawalah berita
ini kepada Jakun dan Biduanda, Semelai dan Sakai agar hendaknya mereka sama
mendengar kematian Tun Hukum dibunuh Raja Melaka difitnah Sang Kitul Kerala
difitnah Sang Linggam anak cucu Nina Manikam. Hendak-hendaknya mereka akan
bersama kita menyumpit yang jahat membuluh yang zalim.
Wahai
orang-orang Melaka pada malam ini di atas Bukit China maka berjanjilah kita
semua dan ingat mengingatilah kita semua bahawasanya kematian Tun Hukum itu
akan membawa bencana ke atas negeri Melaka.
Wahai-orang
Melaka apabila kamu merasa tidak puas hati maka kamu beraraklah dan berjamonglah
beramai-ramai menuju ke istana. Maka hendaklah kamu mengepung istana dan jika
sekiranya di jalan kamu bertemu sesiapa sahaja maka ajaklah mereka datang
bersama-sama untuk pergi mengepung istana. Jika sekiranya kamu bertemu Juak dan
Sida istana maka hendaklah kamu duduk bicara menerangkan angkara yang amarah
kamu yang amat sangat terhadap raja.
Hendaklah kamu
membawa gendang dan palu agar raja yang sentiasa beradu akan bangun dan
bertanya apakah angkara orang Melaka dimalam hari hingar dan bising. Apakah
angkara hingar dan bising mengganggu beta yang sedang nyenyak beradu.
Wahai
orang-orang Melaka berkumpul dan beraraklah kita pada malam ini ke istana.
Amarah kamu itu adalah amarah aku juga. Amarah aku itu adalah amarah seluruh
roh di Bukit China. Amarah kamu itu adalah amarah cucu-cicit Penghulu Tanjung
Keling. Amarah kamu ini adalah amarah cucu-cicit Wan Empok Wan Melini anak
cucu-cicit dari Bukit Seguntang Mahameru.
Wahai
orang-orang Melaka pada malam ini panglima kita telah segak siaga anak cucu-cicit
Penghulu Sidata Tanjung Keling, anak cucu-cicit Hang Li Po dan Panglima Besar
Tun Bersih. Bersama-sama sebahulah kamu wahai orang-orang Melaka.
Inilah
janji aku kepada kamu wahai orang-orang Melaka, bukan janji aku untuk menjadi
raja bukan janji aku untuk menjadi tuan. Di atas Bukit China ini seperti Musa
di atas Bukit Sinai seperti Isa di atas Bukit Zaiton inilah aku Jebat anak
cucu-cicit Wan Empok Wan Melini dari Bukit Seguntang Mahameru asal usul
keturunan aku Raja Suran yang turun ke laut anak cucu kepada Iskandar
Zulkarnian maka marilah kita bersama-sama mengepung istana raja Melaka.
Akulah Jebat
yang akan diingat hendak-hendaknya oleh seru sekelian alam dengan kata-kata
Raja Adil Raja Di Sembah Raja Zalim Raja di Sanggah. Marilah kita bersama-sama
berarak pada malam ini dan ketika ini dengan obor jamong dan pelita mengepung
Istana Raja.”