Rasulullah SAW di dalam rumah kediamannya 
: 
Kehidupan Rasulullah SAW di dalam rumah 
kediamannya terbahagi kepada dua masa :
- Masa yang pertama sewaktu di Mekah. 
 
- Masa yang kedua sewaktu di Madinah. 
 
Di dalam kedua-kedua masa itu ada banyak 
perbezaannya serta banyak pula terdapat pahit gentir dan suka 
dukanya.
Adapun sewaktu di Mekah baginda tinggal 
sehingga sampai kepada umur dua puluh lima tahun dalam keadaan teruna, tidak ada 
rumah yang khusus untuknya di mana baginda di kala meningkat umur enam tahun 
dibawa oleh bondanya ke Madinah untuk menziarahi ibu saudaranya dari suku kaum 
Bani An-Najar dan ikut serta bersama-samanya pengasuhnya Ummu Aiman Al-Habsyiah. 
Baginda tinggal bersama-sama bondanya dan pengasuhnya di Madinah selama sebulan 
kemudian balik pula ke Mekah, apakala di Abwa' iaitu satu tempat di antara Mekah 
dan Madinah bondanya meninggal dunia dan dikebumikan di situ. Dan baginda 
diambil alih penjagaannya oleh Ummu Aiman dan dibawa balik kepada datuknya Abdul 
Muttalib selepas lima hari dari kematian bondanya. Maka datuknya terus menerima 
dengan memberi layanan yang istimewa mengatasi anak-anaknya. Pada ketika itu 
satu hamparan permaidani diletakkan di bawah bayangan Kaabah khusus untuk Abdul 
Muttalib sebagai menghormatinya dan tidak ada seorang pun baik dari kalangan 
keluarganya mahu pun dari bangsawan Quraisy yang berani duduk di atasnya malah 
mereka sentiasa menjaga dan mengawas hamparan itu dan baginda Rasulullah SAW 
semasa masih kanak-kanak lagi apabila tiba di sisi Kaabah terus duduk di atas 
hamparan itu lalu diketepikan oleh bapa-bapa saudaranya (anak kepada Abdul 
Muttalib sendiri) maka apabila datuknya Abdul Muttalib melihat tindakan itu lalu 
mengarahkan bapa-bapa saudaranya supaya membiarkan baginda duduk di atas 
hamparan itu kerana datuknya merasa satu penghormatan kepada dirinya dan 
berharap agar baginda akan sampai kepada kemuncak kemuliaan yang belum pernah 
dicapai oleh bangsa Arab sama ada sebelum atau selepasnya. Dan sesudah itu 
mereka tidak menghalang baginda lagi sama ada ketika datuknya hadir atau 
tidak.
Kemudian apabila baginda meningkat umur 
delapan tahun datuknya Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan di waktu datuknya 
sakit tenat beliau telah berpesan dan memberi wasiat kepada Abu Talib bapa 
saudara baginda supaya memelihara baginda maka Abu Talib menerimanya dengan 
penuh kasih sayang sehingga tempat tidur baginda disediakan di sampingnya dan 
diberi makanan-makanan yang istimewa dan sebaik-baiknya.
Pada satu ketika 
sedang Abu Talib mengemaskan kenderaan dan bersiap sedia untuk keluar berniaga 
di negeri Syam baginda bergantung kepada bapa saudaranya hendak ikut sama dan 
umur baginda pada ketika itu baru dua belas tahun maka Abu Talib merasa kasihan 
kepada baginda lalu membawanya bersama dan berjanji tidak akan berpisah buat 
selamanya. Maka apabila selesai urusan perniagaan di Syam baginda balik semula 
ke Mekah, selepas beberapa tahun kemudian. Rasulullah SAW keluar pula ke negeri 
Syam untuk berniaga bagi kali keduanya dan selepas itu Abu Talib berkata kepada 
baginda "Wahai anak saudaraku. Aku sudah tua dan tidak ada lagi sesuatu barang 
untuk diperniagakan dan seterusnya memberitahu kepada baginda bahawa di sana ada 
terdapat Khadijah yang menghantar orang-orang berniaga dengan modalnya dan 
diberi upah dan sebagainya di mana ramai yang mendapat manfaat daripadanya dan 
jika engkau pergi berjumpa dengannya nescaya beliau (Khadijah) akan mengutamakan 
engkau daripada orang lain kerana kejujuran dan kebaikan engkau telah pun ada 
dalam pengetahuan Khadijah. Maka jawab baginda diharap semoga pihak Khadijah 
menghantar utusan kepadaku bersabit dengan perkara itu.
Percakapan dan 
dialog di antara Abu Talib dengan baginda itu sampai kepada pengetahuan Khadijah 
lalu dihantar utusan kepada baginda dengan tawaran lebih sekali ganda daripada 
yang telah diberi kepada orang lain. Ini adalah kerana telah terbukti kepada 
semua pihak tentang kejujuran, kebaikan dan akhlak yang mulia yang telah 
ditunjukkan oleh baginda semasa bersama-sama bapa saudaranya berniaga di 
Syam.
Setelah mendapat tawaran itu baginda 
memberitahu kepada bapa saudaranya. Maka bapa saudaranya berkata "Itu adalah 
merupakan rezeki kurniaan Allah kepada engkau".
Maka keluarlah 
baginda bersama-sama Maisarah orang gaji Khadijah yang ditugas khas untuk 
membuat perhatian yang teliti di atas segala urusan dan pekerjaan baginda SAW 
serta membuat laporan kepada Khadijah.
Muhammad SAW telah 
menjalankan urusan perniagaan dengan baik serta dapat membawa balik keuntungan 
yang sangat banyak dan lantaran itu Maisarah telah melaporkan dan menceritakan 
kepada Siti Khadijah apa yang dilihat semasa dalam perjalanan dan juga 
kebijaksanaan serta kejujuran baginda dalam menjalankan urus 
niaganya.
Maka Siti Khadijah 
pun tertarik hati kepada Muhammad SAW dan memutuskan untuk mengambil satu 
langkah dengan menghantar salah seorang temannya yang sangat dipercayai iaitu 
Nafisah bt Manbah berjumpa Muhammad bagi membayangkan hasrat hatinya serta ingin 
mengetahui apa pula pandangan dan pendapat Muhammad.
Nafisah : Wahai 
Muhammad apakah yang menghalang engkau dari berkahwin ?.
Muhammad : Aku tak dapat apa benda pun 
untuk perbelanjaan kahwin.
Nafisah : Jika itu pendapat jaminan dan 
ditambah pula dengan kecantikan-kecantikan harta dan kemuliaan apa kata engkau 
?
Muhammad : Siapa dia 
?
Nafisah : 
Khadijah.
Muhammad : Macam mana caranya 
?
Nafisah : Itu 
urusanku.
Muhammad : Aku bersetuju.
Tidak syak lagi 
bahawa Muhammad tidak mengeluarkan kata-katanya yang terakhir itu melainkan 
setelah baginda juga terasa seperti mana Khadijah tertarik kepadanya dan saling 
timbang menimbang dan menghormati di antara sama lain.
Betul Siti Khadijah 
lebih tua dari Muhammad akan tetapi itu bukan menjadi penghalang dan tidak 
memberi apa-apa erti jika dibandingkan dengan kecantikannya dan lain-lain 
keistimewaan yang boleh menarik hati baginda kepadanya. Muhammad dan Khadijah 
telah kemukakan perkara ini kepada bapa saudara masing-masing dan semua pihak 
bersetuju dan merestuinya. Seterusnya berlangsunglah perkahwinan di antara 
Muhammad dengan Khadijah dengan dihadiri dan disaksikan oleh pembesar-pembesar 
Quraisy. Siti Khadijah mengarahkan pelayan-pelayannya supaya memukul gendang dan 
menari seraya berkata kepada Muhammad supaya menyuruh bapa saudaranya 
menyembelih unta dan beri makan kepada orang ramai (mengadakan kenduri kahwin) 
bapa saudara baginda Abu Talib sangatlah gembira dan sukacita dengan perkahwinan 
itu serta bersyukur kepada Allah yang telah menghilangkan daripadanya perasaan 
resah dan gelisah selama ini.
Rumah Kediaman 
yang pertama bagi Muhammad SAW.
Rumah kediaman yang 
pertama bagi Muhammad SAW ialah rumah Siti Khadijah bt Khuwailid isteri pertama 
baginda di lorong 'Atarin Mekah berhampiran dengan Masjid Al-Haram yang 
mengandungi empat bilik :
1.      
Satu bilik untuk anak-anak 
perempuan baginda.
2.      
Satu bilik untuk baginda 
bersama Khadijah.
3.      
Satu bilik untuk baginda 
beribadat.
4.      
Satu bilik lagi di sebelah luar 
untuk tetamu.
Baginda tinggal di 
rumah tersebut sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah dalam keadaan yang 
tenang dan dapat menumpukan kepada apa yang diminatinya selama ini banyak 
mengasingkan diri dan berfikir dengan dibantu oleh Khadijah lebih-lebih lagi 
bila mana baginda merasa gentar dan terkejut apabila menerima wahyu yang pertama 
dan balik ke rumah dalam keadaan yang terkejut seraya berkata kepada Khadijah 
sesungguhnya aku rasa bimbang ke atas diriku tetapi Khadijah dapat mententeram 
dan menenangkan perasaan baginda dengan kata-katanya yang masyhur seperti mana 
yang terdapat dan termaktub dalam Sohih Bukhari "
والله لا يخزيك الله أبدا اءنك لتصل الرحم وتؤدي الأمانة وتحمل الكل 
وتقري الضيف وتعين على نوائب الحق
Maksudnya : Demi 
Allah. Allah tidak akan menghina engkau sama sekali, sesungguhnya engkau akan 
menghubungi silaturahim , menyempurnakan amanah, memikul beban dan 
tanggungjawab, memuliakan tamu dan menolong orang yang mempunyai hak terkena 
zalim.
Kemudian Khadijah terus pergi berjumpa 
sepupunya Waraqah B Naufal dan menceritakan kepadanya berita suaminya. Maka 
Waraqah menjawab dengan satu jawapan yang menggembirakan. Iaitu apa yang dilihat 
oleh Muhammad SAW ialah ketua Malaikat (Jibril) seperti mana yang telah 
diturunkan ke atas Nabi Isa dan Nabi Musa dan dengan itu rasa sejuklah hati 
Khadijah dan mulai saat itu beliau (Khadijah) beriman dengan dakwah suaminya dan 
ianya merupakan orang yang pertama percaya dan beriman dengan Muhammad SAW. Satu 
ketika Khadijah berharap dan meminta kepada Muhammad supaya memberitahunya 
apabila dikunjungi Jibril. Maka apabila Muhammad memberitahu kepadanya Siti 
Khadijah berkata kepada Muhammad : Bangunlah duduk di atas paha kiri aku maka 
Muhammad lakukan seterusnya berkata Khadijah : Adakah engkau nampak dia lagi ? 
Jawab Muhammad : Ya lalu Khadijah pun membuang tudung kepalanya dan bertanya 
lagi kepada Muhammad. Maka jawab Muhammad : Sekarang aku tak nampak dia lagi. 
Khadijah selanjutnya berkata : Gembiralah sesungguhnya itu adalah Malaikat dan 
bukan syaitan.
Dengan kejadian itu bertambah kuat 
keyakinan dan keimanan Siti Khadijah terhadap dakwah dan perjuangan suaminya 
serta sentiasa berada di sampingnya memberi segala bantuan dan sokongan. Segala 
susah payah dan pahit getir sama-sama dirasai dan ketika tekanan Quraisy dan 
kepungannya bertambah kuat sehingga disekat bekalan makanan, air dan sebagainya. 
Siti Khadijah tidak menghiraukan itu semua malah terus bersabar di samping 
suaminya, kaum kerabat dan anak-anak perempuannya. Dan oleh kerana kepungan 
Quraisy itu memakan masa yang panjang menyebabkan Siti Khadijah jatuh sakit dan 
tidak lama selepas itu Khadijah meninggal dunia pada sepuluh hari bulan Ramadhan 
tahun yang ke sepuluh dari kebangkitan Rasulullah SAW dalam usia enam puluh lima 
tahun.
Sudah ditakdirkan Allah selepas 
kehilangan Khadijah dan di tahun yang sama bapa saudara baginda Abu Talib pula 
meninggal dunia dan oleh kerana dua kejadian sedih berlaku dalam tahun yang sama 
ke atas Rasulullah SAW maka tahun itu dikenali dengan tahun sedih ('Am 
AlAhzan). 
Kecemasan yang telah berlaku di rumah 
Khadijah
Telah berlaku dalam kehidupan Rasulullah 
SAW di rumah Khadijah dua kejadian cemas yang hampir serupa 
:
Yang pertama kecemasan putus 
wahyu.
Selepas turunnya wahyu yang pertama 
firman Allah : 
اقْرَأْ 
بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ , خَلَقَ اْلإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ 
, اقْرَأْ وَرَبُّكَ اْلأَكْرَمُ , الَّذِي 
عَلَّمَ بِالْقَلَمِ , عَلَّمَ اْلإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ 
. 
Yang bermaksud : Bacalah wahai Muhammad 
dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia mencipta manusia dari 
sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang amat pemurah yang mengajar manusia 
melalui pena dan tulisan Dia ajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya. 
Telah terputus wahyu dan berhenti kunjungan Jibril seketika sehingga dikenali 
pula dengan zaman putus wahyu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa masa putus 
wahyu itu ialah dua tahun dan setengahnya pula tiga tahun. Tetapi yang 
sebenarnya tidak memakan masa yang panjang bagaimana yang telah diriwayatkan 
oleh Ibnu Abbas iaitu paling lama empat puluh hari saja dan pendapat ini ada 
mempunyai alasan yang teguh dan kuat dan di sebaliknya pula tersembunyi hikmah 
dan rahsia. Sesungguhnya telah berlaku ke atas Rasulullah SAW satu perasaan yang 
menakutkan ketika mula-mula didatangi Malaikat dan perasaan itu amat berkesan 
pada dirinya, maka adalah menjadi hikmah Ilahi membiarkan beberapa ketika 
berlalu selepas ujian pertama sehingga boleh menghilangkan perasaan cemas dan 
takut serta menetapkan hatinya semula bagi membolehkan Rasulullah SAW membuat 
persediaan untuk menerima wahyu dan risalah seterusnya.
روى 
البخاري أن جابر بن عبد الله الأنصاري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله 
عليه وسلم وهو يحدث عن فترة الوحي في حديثه :
بينما 
أنا أمشي إذ سمعت صوتا من السماء فرفعت بصري فإذا الملك الذي جاءني بحراء جالس على 
كرسي بين السماء والأرض فرعبت منه فرجعت فقلت دثروني دثروني فأنزل الله تعالى 
:
يَا 
أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ , قُمْ فَأَنذِرْ , وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ , وَثِيَابَكَ 
فَطَهِّرْ , وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ , وَلاَ تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ 
, وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ . المدثر 7-1 
Maksudnya : Telah 
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Jabir Bin Abdullah Al-Ansari RA berkata 
sabda Rasulullah SAW sambil menceritakan berkenaan dengan turun wahyu seraya 
berkata dalam ceritanya sedang aku berjalan-jalan aku telah terdengar suara yang 
datang dari arah langit maka aku tengok ke atas maka tiba-tiba kelihatan 
Malaikat yang telah datang kepadaku semasa di gua Hira' dahulu sedang duduk di 
atas kerusi di antara langit dan bumi maka aku terasa takut lalu aku balik ke 
rumah sambil berkata selimutkan aku selimutkan aku maka pada ketika itu turunlah 
firman Allah Taala yang bermaksud : Wahai orang yang berselimut bangunlah serta 
berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia dan akan Tuhammu hendaklah 
engkau agungkan dan ingatlah kebesaranNya dan pakaianmu hendaklah engkau 
bersihkan dan segala kejahatan hendaklah engkau jauhi dan janganlah engkau 
memberi sesuatu dengan tujuan hendak mendapat lebih banyak daripadanya dan bagi 
menjalankan perintah Tuhanmu hendaklah engkau bersabar terhadap tentangan 
musuh.
Kemudian selepas kejadian itu wahyu pun 
terus turun tidak terhenti-henti lagi.
Yang kedua  
Kecemasan yang berlaku semasa putus wahyu.
Kcemasan ini 
berlaku dalam masa yang singkat sahaja tidak lebih daripada tiga 
hari.
روى 
في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم اشتكى فلم يقم للتهجد ليلتين أو ثلاثا 
فجاءت امرأة  وهي أخت أبي سفيان  فقالت متهكمة : يا محمد ماأرى شيطانك الا قد 
تركك لم أره قربك منذليلتين أو ثلاثا فأنزل الله عزوجل :
وَالضُّحَى 
, وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى , مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى , وَلَلآخِرَةُ 
خَيْرٌ لَّكَ مِنَ , الأُولَى , وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى , أَلَمْ 
يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى , وَوَجَدَكَ ضَالاًّ فَهَدَى , 
وَوَجَدَكَ عَائِلاً فَأَغْنَى , فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلاَ 
تَقْهَرْ ,وَأَمَّا السَّائِلَ فَلاَ تَنْهَرْ , 
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ . سورة الضحى 11-1 
Ertinya : Bahawa Rasulullah SAW telah 
demam. Maka baginda tidak bangkit sembahyang sunat tahajud selama dua atau tiga 
malam maka datanglah seorang perempuan iaitu saudara kepada Abu Sufian sambil 
berkata sebagai menyindir wahai Muhammad aku tak kelihatan syaitan menghampirimu 
sejak dua atau tiga malam. Maka turunlah firman Allah taala yang bermaksud 
:
1.      
Demi waktu 
Dhuha.
2.      
Dan malam apabila ia sunyi 
sepi.
3.      
Bahawa Tuhanmu wahai Muhammad 
tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci kepadamu sebagaimana yang dituduh oleh 
kaum musyrik.
4.      
Dan sesungguhnya kesudahan 
keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada 
permulaannya.
5.      
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan 
memberi kepadamu kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat sehingga 
engkau redha dan berpuashati.
6.      
Bukankah Dia mendapati engkau 
yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan ?.
7.      
Dan mendapati engkau 
tercari-cari jalan yang benar lalu Dia memberikan pertunjuk dengan wahyu 
Al-Quran.
8.      
Dan didapati engkau miskin, 
lalu Dia memberikan kekayaan ?.
9.      
Oleh itu adapun anak-anak yatim 
maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.
10.  
Dan adapun orang-orang yang 
meminta bantuan maka janganlah engkau tengking 
herdik.
11.  
Dan adapun nikmat Tuhanmu maka 
hendaklah engkau sebut-sebutkan sebagai menzahirkan 
kesyukuran.
Surah ini 
diturunkan untuk menghiburkan hati dan memberi semangat kepada Nabi Muhammad SAW 
yang sedang berdukacita kerana wahyu telah terputus dalam satu peringkat masa 
yang singkat  sepertimana yang dijelaskan di atas.
Anak-anak 
baginda dengan Siti Khadijah
Baginda SAW dikurniakan anak dengan Siti 
Khadijah seramai enam orang, dua lelaki dan empat perempuan. Kedua-dua anak 
lelaki itu ialah yang pertama bernama Al-Qasim ana sulung baginda dilahirkan 
sebelum baginda dibangkit menjadi Rasul dan dengannya baginda SAW dipanggil Abal 
Qasim dan dapat dipelihara sehingga boleh berjalan tetapi meninggal dunia semasa 
masih kecil. Anak kedua bernama Abdullah dilahirkan selepas baginda menerima 
wahyu dan meninggal dunia dalam usia yang masih kecil 
juga.
Ada pun anak-anak 
perempuannya ialah seramai empat orang iaitu Zainab, Raqiah, Umi Kalthum, 
Fatimah RA. Kesemuanya dilahirkan sebelum Nabi dibangkit menjadi 
Rasul.
1. 
Zainab
Zainab ialah anak perempuan baginda yang 
pertama dilahirkan ketika baginda berusia tiga puluh tahun iaitu selepas lima 
tahun baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan sempat memeluk Agama Islam dan 
berhijrah ke Madinah selepas peperangan Badar. Dan telah berkahwin dengan Abil 
'As sepupu sebelah ibunya.
Islah telah 
memisahkan di antara Zainab dengan suaminya Abi 'As apabila Zainab memeluk agama 
Islam dan Abil 'As kekal dengan agama syiriknya tetapi Rasulullah SAW tak 
berupaya pada peringkat awalnya untuk mengasingkan di antara keduanyan 
sehinggalah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.
Abul 'As B. 
Ar-Rabi' suami Zainab telah ikut bersama-sama kaum kafir Quraisy dalam 
peperangan Badar dan telah ditawan bersama-sama tawanan perang yang lain dan 
dibawa ke Madinah dan apabila ahli-ahli Mekah menghantar utusan untuk menebus 
tawanan perang masing-masing maka Zainab pun turut menghantar utusan untuk 
menebus Abul 'As suaminya dengan memberi rantai tengkuknya yang telah diberikan 
oleh bondanya Siti Khadijah semasa perkahwinan dengan Abi 'As dulu. Apabila 
Rasulullah SAW melihat rantai itu lalu baginda rasa kasihan yang amat sangat 
kepada Zainab lalu bersabda kepada para sahabatnya. Jika kamu fikir boleh 
membebaskan tawanan perang Zainab tanpa bayaran maka hendaklah kamu lakukan. 
Jawab para sahabat, ya boleh wahai Rasulullah lalu Abil 'As pun dibebaskan dan 
diberi balik rantai tengkuk Zainab kepadanya. Dan seterusnya baginda memberitahu 
Abil 'As bahawa pembebasannya itu adalah dengan syarat pihak Abil 'As melepaskan 
Zainab datang ke Madinah. Syarat ini diterima oleh Abul 'As dimana beliau 
sebaik-baik saja sampai balik ke Mekah terus menyuruh Zainab bersiap untuk pergi 
bersama-sama ayahandanya di Madinah dan Zainab pun tidak membuang masa terus 
bersiap-siap dengan mengemaskan segala barang-barang keperluannya dan keluarlah 
ianya dari rumah suaminya menuju ke Madinah dengan satu kenderaan yang 
disediakan kepadanya oleh Kinanah B. Ar-Rabi' iaitu adik beradik suaminya dan 
ini tidak dipersetujui oleh orang-orang Quraisy lalu dikejar dari belakang dan 
dilontar dengan lembing dan terkena kenderaan Zainab dan terjatuh Zainab yang 
sedang hamil ke atas batu pejal sehingga gugur kandungannya. Walau macam mana 
pun Zainab dapat meneruskan perjalanannya dan mulai dari hari itu kedua-duanya 
tinggal berasingan. Abul 'As di Mekah manakala Zainab di Madinah sehinggalah 
Abul 'As memeluk Islam dan datang ke Madinah dan dikahwinkan semula oleh 
Rasulullah SAW dengan Zainab dalam tahun yang ke tujuh hijrah dan setahun 
kemudian Zainab pun meninggal dunia kerana kesan dari penyakit guguran yang 
menimpanya semasa terjatuh dari kenderaannya dalam perjalanan ke Madinah 
dahulu.
2. 
Raqiah.
Raqiah dilahirkan semasa baginda berusia 
tiga puluh tiga tahun iaitu selepas berkahwin dengan Khadijah delapan puluh 
tahun. Pada mulanya Raqiah dikahwinkan dengan Utbah B. Lahab dan Umi Kalthum 
berkahwin dengan Utaibah B. Lahab, perkahwinan ini berlaku sebelum Muhammad 
diutus menjadi Rasul. Maka manakala turun ayat :
تَبَّتْ 
يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
Surah Al-Lahab ayat 
1. Maksudnya : Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Ayat 
ini turun selepas Nabi Muhammad SAW memberi ingatan dan amaran kepada kaum 
kerabat baginda apabila turun ayat
وَأَنذِرْ 
عَشِيرَتَكَ اْلأَقْرَبِينَ
214. As-Syu'ara' yang bermaksud dan berilah peringatan serta 
amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat yakni hendaklah kamu terlebih dahulu 
mengajak dan menyeru kaum kerabatmu yang dekat memeluk agama Islam. Abu Lahab 
pun memerintah kedua-dua anaknya Utbah dan Utaibah seupaya menceraikan kedua-dua 
anak perempuan Rasulullah Raqiah dan Umi Kalthum. Lalu mereka terus menceraikan 
kedua-dua isteri mereka dan kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya belum lagi 
bersatu. Kemudian Raqiah telah berkahwin dengan Uthman Ibn 'Affan di Mekah dan 
berhijrah ke Habsyah dan pada satu ketika putus berita keduanya dari pengetahun 
Rasulullah SAW sehingga diberitahu kepada baginda oleh seorang perempuan yang 
datang dari Habsyah bahawa beliau ada melihat kedua-duanya di Habsyah lalu Nabi 
bersabda "
صحبهما 
الله أن عثمان أول من هاجر بأهله بعد لوط
Maksudnya : Allah 
telah menemani kedua-duanya. Sesungguhnya Uthman ialah orang yang pertama 
berhijrah bersama-sama keluarganya selepas Nabi Luth. Raqiah meninggal dunia di 
Madinah sewaktu Nabi sedang berperang di Badar.
3. Umi 
Kalthum
Umi Kalthum dilahirkan lebih kurang 
setahun selepas Raqiah dan apabila Rasulullah SAW turun dari rumahnya menuju 
rumah Abu Bakar As-Siddiq untuk menemani baginda ke gua Thur dan seterusnya 
berhijrah ke Madinah hanya Umi Kalthum dan Fatimah sahaja yang ditinggal di 
rumah dalam keadaan yang cemas dan gelisah tiada ada yang menjaga keduanya 
selain Allah. Kemudian tibalah Zaid b. Harithah untuk menemani Umi Kalthum dan 
Fatimah berhijrah ke Madinah, dan setelah kakaknya yang sangat dikasihi Raqiah 
meninggal dunia beliau berkahwin dengan Uthman b. Affan dalam tahum yang ke 
sembilan hijrah.
4. Fatimah 
Az-Zahra'
Keluarga Rasulullah SAW telah menyambut 
bayi perempuan (Fatimah) lima tahun sebelum Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul 
iaitu setelah sepuluh tahun baginda berkahwin dengan Siti Khadijah dan Fatimah 
meripakan anak bongsu perempuan, beliau tinggal tetap di rumah ayahandanya 
sehinggalah berpindah ke Madinah bersama-sama kakaknya Umi Kalthum dan 
dikahwinkan dengan Ali b. Abi Tholib dalam tahun yang ketiga hijrah selepas 
peperangan Uhud dan Fatimah menjadi anak kesayangan baginda dan sekalian 
keluarganya. Rumah kediaman Fatimah terletak berhampiran dengan rumah baginda 
Rasulullah dan apabila baginda Rasulullah hendak musafir, rumah Fatimah yang 
akhir dijenguk oleh baginda dan begitu juga sekembalinya baginda dari musafir 
rumah Fatimah yang mula-mula dilawatinya selepas sembahyang dua rakaat di 
Masjid. Kemudia baginda mengunjungi rumah-rumah isterinya selepas itu sabda Nabi 
SAW " 
فاطمة 
بضعة مني فمن أغضبها أغضبني
Yang bermaksud : 
Fatimah adalah sebahagian dariku maka sesiapa yang melakukan perbuatan yang 
menyebabkan kemarahannya maka sesungguhnya ia melakukan perbuatan yang 
menyebabkan kemarahanku. 
Keadaan kehidupan 
Fatimah bersama Ali tidak boleh dianggap sebagai orang yang senang lenang malah 
boleh dikatakan hampir kepada kesusahan dan miskin. Ada hadis yang diriwayatkan 
dalam Musnad Al-Imam Ahmad dan Bukhari dan Muslim daripada Ali maksudnya : 
Bahawa Fatimah pernah mengadu tentang kesusahan buat kerja sendiri dan pernah ke 
rumah ayahandanya untuk mendapat khadam tetapi tak berhasil lalu ia memberitahu 
Saidatina Aisyah, maka apabila tiba baginda Rasulullah ke rumahnya Aisyah pun 
menceritakan tentang kedatangan Fatimah dan tujuannya lalu baginda pun terus 
pergi ke rumah Fatimah dan pada ketika itu Fatimah dan suaminya Ali mula masuk 
tidur dan apabila terdengar ketibaan ayahandanya Fatimah terus bangkit lalu 
baginda berkata tak payahlah duduklah di situ seraya bersabda 
"
ألا 
أعلمكما خيرا مما سألتماني , قلنا بلى قال كلمات علمنيهن جبريل . إذا أخذتما 
مضاجعكم من الليل فكبرا ثلاثا وثلاثين وسبحا ثلاثا وثلاثين واحمدا ثلاثا وثلاثين 
فهو خير لكما من خادم.
Yang bermaksud : 
Tidakkah kamu setuju aku ajar kepada kamu satu perkara yang lebih baik daripada 
apa yang diminta oleh kamu berdua ? 
Jawab Fatimah dan 
Ali : Ya benar. Sabda Nabi ialah beberapa kalimah yang telah diajarkan kepada 
aku oleh Jibril. 
Yang bermaksud : 
Apabila kamu mula mengambil tempat tidur di waktu malam hendaklah kamu baca 
takbir (Allahu Akbar) tiga puluh kali dan bertasbih (Subhanallah) tiga puluh 
kali dan bertahmid (Alhamdulillah) tiga puluh kali maka ianya lebih baik bagi 
kamu berdua daripada mendapat seorang khadam. Selepas itu kehidupan mereka boleh 
dikatakan bahagia saling bantu membantu di antara satu sama lain serta 
dikurniakan Allah anak lelaki dan perempuan iaitu Hasan, Husin, Muhsin, Zainab 
dan Umi Kalthum. 
Pada permulaannya 
sewaktu anak sulungnya lahir mereka namakan Harb maka apabila Rasulullah SAW 
tiba baginda minta hendak tengok bayi yang baru lahir dan bertanya kamu beri 
nama apa ? Mereka menjawab Harb, sabda Rasulullah SAW (بل 
هو حسن) yang 
bermaksud : Bahkan ianya bernama Hasan begitu juga kelahiran Husin dan Muhsin 
tetapi Muhsin meninggal dunia semasa kecil lagi. Rasulullah memang 
bermanja-manja dan bermain-main dengan mereka. Pernah dilihat kanak-kanak 
tersebut memijak-mijak dada baginda dan lagi dilihat pada satu ketika sewaktu 
Rasulullah sedang sujud dalam sembahyang Hasan dan Husin naik atas bahu baginda 
maka baginda terus sembahyang dengan berhati-hati serta memanjangkan masa sujud 
kerana bimbang takut mereka terjatuh, malah pernah juga berlaku sewaktu baginda 
di atas mimbar maka tiba-tiba Hasan dan Husin muncul di hadapan baginda lalu 
baginda turun dari mimbar mendukung kedua-duanya seraya berkata : 
صدق 
الله العظيم (إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ)
Surah Al-Taghabun 
ayat 15. Yang bermaksud : Benar firman Allah yang Maha Besar sesungguhnya harta 
benda kamu dan anak-anak kamu itu menjadi ujian. Dan apabila saja baginda 
terdengar cucu-cucunya menangis terus memanggil Fatimah sambil bertanya apakah 
yang menyebabkan mereka menangis ? Dan sambung lagi sabdanya :"Tidakkah kamu 
tahu bahawa tangisan mereka itu menyakiti aku". 
Fatimah meninggal 
dunia di samping Saidina Ali dan anak-anaknya di Madinah selepas enam bulan 
daripada wafat ayahandanya Rasulullah SAW. 
Masa-masa yang 
akhir di rumah baginda di Mekah 
Kehilangan Khadijah 
meninggalkan kesan yang berat dan menyedihkan di dalam jiwa dan perasaan 
baginda. Maka sebab itu baginda telah merasa dukacita yang amat sangat di dalam 
hatinya. Keadaan ini mendapat perhatian dari salah seorang Muslimat iaitu 
Khawlah bt Hakim yang telah datang menemui baginda seraya berkata 
:
Khawlah : Wahai 
Rasulullah SAW , adakah tuan hamba tak mahu berkahwin lagi 
?
Rasulullah : Dengan 
siapa ?
Khawlah : 
Terpulanglah kepada kehendak Rasulullah sama ada anak dara atau 
janda.
Rasulullah : Siapa 
dia anak dara dan siapa dia janda ?
Khawlah : Adapun 
anak dara ialah Aisyah bt Abu bakar manakala janda ialah Saudah bt 
Zum'ah.
Rasulullah : 
Pergilah buat tinjauan.
Dalam tinjauan 
Khawlah beliau mula-mulanya telah menemui Ummu Ruman.
Khawlah : Wahai 
Ummu Ruman, Allah akan memberi kebaikan dan keberkatan kepada 
engkau.
Ummu Ruman : Apa 
dia itu ?
Khawlah : 
Rasulullah ada menyebut Aisyah.
Ummu Ruman : Aku 
setuju tetapi tunggu dulu kata Abu Bakar.
Maka apabila 
perkara itu dikemukakan kepada Abu Bakar beliau berkata apakah boleh baginya 
sedangkan Aisyah anak saudaranya. Lalu Khawlah pun terangkan hal itu kepada 
Rasulullah SAW maka sabda Nabi maksudnya : Katakanlah wahai Khawlah kepada Abu 
Bakar engkau (Abu bakar) saudaraku (Nabi) dan aku saudara engkau di dalam Islam 
dan anak perempuan engkau boleh berkahwin dengan aku. Sebaik-baik sahaja Khawlah 
mendengar jawapan dan sabda Nabi itu, beliau terus memberitahu kepada Abu Bakar 
maka Abu Bakar pun berkata kepada Ummu Ruman bahawa Mut'im bin Adi pernah 
menyebut Aisyah untuk anak lelakinya dan demi Allah Abu Bakar tidak pernah 
mungkir janji sama sekali.
Lalu Abu Bakar pun 
terus pergi berjumpa Mut'im yang kebetulan ada bersama-samanya isterinya 
bertanya hal budak-budak itu ? Mut'im meminta pendapat isterinya maka isteri 
Mut'im menjawab, jika dikahwinkan anak kami dengan Aisyah akan terkeluarlah ia 
dari agamanya dan terpengaruhlah dengan agama engkau wahai Abu Bakar. Maka Abu 
Bakar hadapkan pertanyaan kepada Mut'im. Apa pendapat dan pandangan engkau ? 
Mut'im menjawab isteriku telah berkata bagaimana yang kami telah dengar sekejap. 
Dengan jawapan itu terlepaslah Abu Bakar dari ikatan janji dan seterusnya 
memberitahu Khawlah supaya menemui Rasulullah SAW untuk memberitahu baginda akan 
persetujuannya dan bolehlah melamar Aisyah.
Khawlah seterusnya 
berkata : Sesudah itu aku pergi berjumpa Saudah bt Zum'ah lalu berkata 
:
Khawlah : Allah 
akan memberi kebaikan dan berkat ke atas kamu wahai 
Saudah.
Saudah : Apa dia 
itu ?
Khawlah : 
Rasulullah mengutus aku supaya datang meminang engkau 
untuknya.
Saudah : Aku setuju 
tetapi kenalah minta kebenaran bapa aku terlebih dahulu.
Lalu Khawlah pun 
berjumpa bapa Saudah seraya berkata 
Khawlah : Selamat 
pagi wahai Zum'ah (ucap selamat secara orang jahiliah).
Zum'ah : Siapa 
engkau ?
Khawlah : Saya 
Khawlah bt Hakim.
Zum'ah : Selamat 
datang dan apa tujuan kamu datang ?
Khawlah : Muhammad 
b. Abdullah b. Abdul Muttalib hendak datang meminang Saudah anak perempuan 
engkau.
Zum'ah : Beliau 
(Rasulullah) seorang yang mulia tetapi apa kata Saudah ?
Khawlah : Saudah 
setuju.
Zum'ah : Bolehlah 
beliau datang.
Maka selepas itu 
datanglah Rasulullah SAW dan berkahwin dengan Saudah serta hidup bersama sebagai 
suami isteri, sebulan selepas berkahwin dengan Saudah Rasulullah SAW berkahwin 
pula dengan Aisyah.
Rumah yang kedua 
di Madinah.
Apabila Rasulullah 
SAW sampai di Madinah baginda bawa masuk barang-barang kelengkapan ke rumah Abi 
Ayub Al-Ansari dan tinggal di situ selama tujuh bulan dan dari situlah baginda 
mula merancang dan melaksanakan tiga projek :
1. Projek yang 
pertama membina Masjid.
Rasulullah SAW pada 
peringkat awalnya sembahyang di mana-mana sahaja apabila masuk waktu-waktunya, 
maka sebab itu baginda berhasrat untuk membina sebuah masjid jami' bagi 
kemudahan umat Islam berjemaah bersama-samanya, lalu baginda pun memberitahu 
kepada masyarakat Bani An-najar. Dengan sabdanya : 
يا 
بني النجار ثامنوني - أي اذكرو إلى ثمنه لأشتريه منكم  بحائطكم أي 
بستانكم.
Bermaksud : Wahai 
kaum Bani An-najar sebutlah harga kebun kamu supaya dapat aku 
membelinya.
Permintaan 
Rasulullah itu disambut baik oleh kaum Bani An-Najar dengan memberitahu baginda 
bahawa mereka bersedia memberi percuma kepada Rasulullah. Tetapi Rasulullah 
enggan menerima tapak masjid secara percuma sehingga baginda membelinya. 
Kemudian barulah dibina di atasnya masjid.
Dan ditapak itu ada 
pokok-pokok tamar, rumah-rumah runtuh dan perkuburan orang-orang musyrikin. Maka 
baginda mengerahkan supaya digali dan dipindah kubur membersih dan merata tanah 
serta menebang pokok-pokok tamar dan dijadikan tiang masjid. Kemudian baginda 
mengerahkan pula supaya mengumpul tanah-tanah liat. Dan seterusnya masjid pun 
didirikan dengan batang tamar sebagai tiang. Tanah liat dijadikan dinding dan 
daun tamar dijadikan atap. Pembinaan itu dijalankan secara gotong royong oleh 
semua umat Islam yang berada di Madinah. Diriwayatkan oleh Bukhari dari 
Saidatina Aisyah RA. Maksudnya : Bahawa baginda sendiri mengangkat tanah liat 
(batu bata) di peringkat permulaannya (meletak batu asas) sebagai menggalak dan 
mendorong mereka membinanya. Seorang sahabat bernama Ammar bin Yasir membawa dua 
keping bata. Satu untuknya dan satu lagi untuk Rasulullah lalu Nabi bersabda 
selepas menggosok belakangnya dan menyapu debu di tubuhnya 
:
للناس 
أجر ولك أجران
Yang bermaksud : 
Bagi orang yang lain mendapat satu pahala dan bagi engkau mendapat dua 
pahala.
2. Projek yang 
kedua membina rumah
Sesudah selesai 
membina masjid baginda mula membina dua buah rumah berhampiran dengan masjid dan 
bahan binaannya sama seperti mana bahan binaan masjid iaitu tanah liat, batang 
tamar dan daun-daunnya. Rumah pertama untuk isterisnya Aisyah, rumah kedua untuk 
isterinya Saudah bt Zum'ah kemudian baginda menambah bilik-bilik bilamana 
keadaan memerlukan.
Apabila rumah siap 
dibina baginda pun berpindah dari rumah Abi Ayub Al-Ansari yang ditumpanginya 
itu ke rumah baginda yang baru dibinanya.
3. Projek yang 
ketiga membawa anak-anak dan isteri-isterinya dari 
Mekah.
Setelah menetap di Madinah baginda telah 
menghantar Zaid bin Harithah dan Aba Rafi' ke Mekah manakala Abu Bakar pula 
telah mengutus Abdullah bin Arit supaya membawa anak-anaknya dan isteri 
masing-masing dari Mekah ke Madinah.
Maka Zaid bin Harithah dan Abu Rafi' 
telah membawa bersama-samanya Fatimah, Umi Kalthum, Saudah bt Zum'ah, Usamah bin 
Zaid dan Ummu Amin. Manakala Abdullah bin Arit pula telah membawa keluar 
bersama-samanya Ummu Ruman dan ibu kepada Abu Bakar serta Aisyah dan saudaranya 
Asma' dan dengan ketibaan mereka rumah Madinah pun telah mula didiami secara 
berkeluarga di mana Saudah bt Zum'ah sebagai suri rumah. Kemudian disusuli pula 
oleh Siti Aisyah dan seterusnya diikuti oleh isteri-isteri yang lain (sembilan 
orang).
Di rumah yang sangat sederhana inilah 
baginda menginap dan dari sinilah Rasulullah SAW menyampaikan risalah Allah, 
Menunaikan segala titah perintah-Nya. Berjihad dan 
berjuang di jalan yang lurus dan benar demi kebaikan kemanusiaan tanpa jemu dan 
takut. Dari situlah juga terpancarnya iman dan tersebarnya Islam ke dalam jiwa 
yang bersih dan hati yang tenang.
Dalam tahun yang ketujuh hijrah raja 
Muqaiqis telah menghadiahkan kepada Rasulullah SAW seorang perempuan bernama 
Mariah Al-Qibtiah dan tinggal di 'Aliah (kampung di pinggir Madinah) yang 
dikenali sekarang dengan nama Masyrabah Ummu Ibrahim dalam sebuah rumah dalam 
kebun kurma. Maka dalam tahun kedelapan hijrah Mariah Al-Qibtiah ini telah 
melahirkan anak Rasulullah bernama Ibrahim tetapi umurnya pendek meninggal dunia 
dalam tahun ke sepuluh hijrah.
Kehidupan Rasulullah secara berkeluarga 
bolehlah dibahagikan kepada empat peringkat:
1.      
Peringkat pertama : Kehidupan 
Rasulullah semasa remaja sebagai seorang teruna sehingga sampai umur dua puluh 
lima tahun.
2.      
Peringkat kedua : Baginda hanya 
bersama seorang isteri sejak dari umur dua puluh lima tahun sehingga kepada umur 
lima puluh tiga tahun.
3.      
Peringkat ketiga : Bersama-sama 
beberapa orang isteri di antara umur lima puluh lima hingga enam puluh 
tahun.
4.      
Peringkat keempat : Tidak lagi 
berkahwin lain bermula dari umur enam puluh sehingga baginda wafat dalam usia 
enam puluh tiga tahun.
Perkahwinan 
di peringkat ketiga 
Peringkat yang 
ketiga bermula dari tahun yang kedua hijrah di mana banyak berlaku peperangan 
dengan kaum kafir Quraisy dan lain-lain kabilah Arab. Maka ramailah dari 
golongan lelaki terkorban (Mati Syahid) dan di masa inilah Rasulullah telah 
berkahwin beberapa kali yang mana jika dipandang dan ditilik secara sepintas 
lalu agak ganjil juga, tetapi bagi mereka yang memahami keadaan yang sebenar 
berlaku pada masa itu perkara seperti itu menjadi kebiasaan saja dan tidak ada 
apa bangkangan dan bantahan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengetahui 
bahawa apa yang mendorong kepada Rasulullah melakukan demikian adalah 
semata-mata kerana kasihan belas dan timbang rasa dan bukan kerana hendak 
bersedap-sedap dan berseronok-seronok. Apa lagi masa itu merupakan semangat 
hidup atau mati bagi perjuangan Islam kerana Madinah menjadi sasaran musuh dari 
segenap penjuru.
Cuba kita tinjau 
sepintas lalu dari segi sejarah dan siasah yang menyebabkan baginda berkahwin 
setiap satu dari isteri-isterinya. Setiap isteri ada sebab-sebab yang khusus 
baginya di samping sebab-sebab lain secara amnya.
Di antara 
sebab-sebab dan hikmah secara amnya baginda berkahwin lebih dari satu selepas 
hijrah dalam usia yang sudah lanjut di samping tanggungjawab yang b erat 
menyempurnakan risalah Allah dan menghadapi tentangan musuh dan tidak berkahwin 
sebelum semasa muda remaja dan dalam keadaan yang senang. Adalah semata-mata 
untuk mendidik ummah serta menunjuk contoh teladan yang baik dalam mempergauli 
perempuan dengan penuh keadilan dan bijaksana di samping dapat mengeluarkan 
mahaguru-mahaguru perempuan untuk mengajar golongan wanita hukum-hukum syarak 
yang khusus untuk wanita yang mana baginda sendiri malu untuk menyebutnya di 
hadapan wanita dalam sesetengah perkara yang betul-betul khusus bagi wanita 
begitu juga kebanyakan wanita malu untuk bertanya baginda dalam perkara-perkara 
tersebut seperti hukum-hukum mandi wajib, menyuci dan 
sebagainya.
عن 
عائشة رضي الله عنها أن امرأة من الأنصار سألت النبي صلى الله عليه وسلم عن غسلها 
من المحيض فأمرها كيف تغتسل ، ثم قال "خذي فرصة ممكسة فتطهري بها ، قالت : كيف 
أتطهر بها ؟ قال : تطهري بها ، قال سبحان الله تطهري قالت عائشة فاجتذبتها إلي فقلت 
تتبعي بها أثر الدم .
Maksudnya : Dari 
Saidatina Aisyah R.A bahawa seseorang perempuan dari kalangan Ansar bertanya 
Rasulullah SAW berhubung dengan cara hendak mandi untuk menyuci dari darah haid 
maka Rasulullah SAW mengajarnya bagaimana cara mandi. Kemudian Rasulullah SAW 
bersabda : Ambillah sedikit kapas yang disapu dengan sedikit minyak atar maka 
bersucilah dengannya. Bertanya lagi perempuan itu, bagaimana ? Sabda Rasulullah 
Subhanallah bersucilah lalu aku (Saidatina Aisyah) menarik perempuan itu dekatku 
serta memberitahu kepadanya bahawa kapas itu dimasukkan ke dalam saluran 
farajnya untuk mengetahui apakah masih ada lagi kesan 
darahnya.
Sudah menjadi 
kebiasaan bagi wanita-wanita Islam bertanya isteri-isteri Rasulullah SAW segala 
masalah dan kemusykilan mereka dan telah menjadi tempat rujukan dan fatwa 
kalangan wanita selepas wafatnya Rasulullah. Malah lebih dari itu golongan 
lelaki juga merujuk kepada mereka dalam kebanyakan hukum-hukum agama terutamanya 
yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan.
Ringkasnya kesemua 
isteri Rasulullah setelah wafatnya baginda menjadi guru dan mufti kepada 
perempuan-perempuan dari umatnya malah bagi lelaki dalam perkara-perkara yang 
tidak dapat diketahui selain dari mereka berhubung dengan hukum-hukum syarak. 
Hukum-hukum kekeluargaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kenabian dan 
merekalah sebagai contoh dan ikutan yang baik dalam kerja-kerja kebajikan dan 
sebagainya.
Sebab-sebab yang 
khusus bagi setiap isteri selain dari 
Khadijah
1. Saudah Bt. 
Zamah R.A.
Di antara hikmah Rasulullah SAW memilih 
Saudah Bt Zamah menjadi isterinya ialah kerana beliau dari kalangan mukminat 
yang berhijrah meninggalkan keluarganya dan jika beliau kembali kepada 
keluarganya akan diseksa dan dipaksa keluar dari Islam maka Rasulullah 
mengambilnya bagi menjamin kedudukannya. Di samping itu dengan perkahwinan itu 
juga akan mengeratkan perhubungan dengan golongan Bani Abd Syams dan sebagai 
penghormatan kepada golongan Bani An-Najjar kerana ibunya As-Syumus Bt. Qais B. 
Zaid Al-Ansari itu dari keturunan Bani Adi B. An-Najjar.
2. Aisyah Bt. Abu Bakar As-Siddiq 
R.A
Sesungguhnya 
perkahwinan Rasulullah dengan Saidatina Aisyah R.A merupakan satu penghormatan 
yang paling istimewa untuk seorang sahabat baginda yang utama iaitu Abu Bakar 
As-Siddiq R.A dan sebagai tanda kasih mesra di antara keduanya yang telah 
terjalin begitu lama sejak sebelum Islam lagi dan ianya juga merupakan 
sebesar-besar pemberian dan sebaik-baik jalan bagi perkembangan 
risalahnya. 
3. Hafsah Bt. 
Umar B. Al-Khattab R.A
Hafsah sebelumnya menjadi isteri kepada 
Hasan Bin Hirafah yang ikut sama dalam peperangan Badar dan meninggal dunia di 
Madinah selepas peperangan tersebut. 
Memandang kepada 
Hafsah sebagai anak perempuan kepada seorang sahabat dan menteri baginda yang 
kedua maka baginda pun ingin menyamai Saidina Umar dengan Saidina Abu Bakar dari 
segi penghormatan berbesan dan tidak ada suatu yang boleh diberi balasan dalam 
masa hidup ini lebih baik dan tinggi dari berbesan. Maka lantaran itu baginda 
mengahwini Hafsah dan dengan demikian gembiralah hati Saidina Umar B. Al-Khattab 
R.A. 
4. Zainab Bt. 
Jahsy Al-Asadiah R.A
Sebagai menyahut perintah Allah 
Rasulullah telah mengahwinkan Zainab Bt. Jahsy dengan Zaid B. Harithah yang 
telah dimerdekan oleh baginda dan dijadikan anak angkatnya. Kemudian baginda 
dikahwinkan oleh Allah Taala dengan Zainab selepas diceraikan oleh Zaid kerana 
suatu hikmah yang mengatasi segala hikmah lain dalam perkahwinan baginda dengan 
isteri-isteri yang lain iaitu menghapuskan kepercayaan karut jahiliah yang masih 
berjalan sehingga dewasa itu. Bahawa anak angkat sama seperti anak sendiri 
diberi segala hak anak hatta harta pusaka dan sebagainya. Dan perkahwinan itu 
berlaku di tahun yang ketiga dan ada yang mengatakan di tahun yang kelima 
selepas hijrah. 
Apabila Allah 
menghendaki menghapuskan kepercayaan dan segala hukum karut jahiliah itu lalu 
Allah memerintahkan Rasulnya supaya mengahwinkan Zainab dengan Zaid dan Allah 
Taala memang mengetahui bahawa kedua-duanya (Zainab dan Zaid) tidak akan kekal 
lama. Rasulullah telah pergi menemui Zainab dan berkata : Sesungguhnya aku ingin 
kahwinkan engkau dengan Zaid B. Harithah dan aku telah berkenan Zaid untukmu. 
Maka jawab Zainab dengan berkata : Wahai Rasulullah aku tak setuju Zaid menjadi 
suami aku. Dan aku ini sepupu engkau dan aku tidak akan menerimanya. Maka 
berikutan dari itu turunlah ayat berikut : 
وما 
كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص 
الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا . الأحزاب أية 36 .
Yang bermaksud : 
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila 
Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara membuat pilihan 
sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah 
dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas 
nyata. 
Setelah itu Zainab 
pun menyatakan persetujuan lalu berkahwin dengan Zaid. Semasa mereka berdua 
hidup sebagai suami isteri, Zainab selalu mengeluarkan kata-kata kasar kepada 
Zaid dan membesar-besarkan dirinya, lalu Zaid pun pergi mengadu kepada 
Rasulullah dan meminta kebenaran dari Rasulullah untuk bercerai dengan Zainab 
maka jawab Rasulullah امسك 
عليك زوجك واتق الله yang bermaksudnya : Jangan cerai isterimu itu dan bertakwalah 
kepada Allah. 
Rasulullah memang 
mengetahui satu ketika nanti akan berlaku juga perceraian di antara Zaid dengan 
Zainab dan Allah akan mengharapkan baginda berkahwin dengan Zainab sesudah 
bercerai nanti sebagai menghapuskan kepercayaan karut jahiliah tentang bekas 
isteri anaknya sendiri. Tetapi Rasulullah menyembunyikan perkara itu dan tidak 
menerangkan kepada Zaid dan kepada sesiapa pun kerana dibimbang orang akan 
bercakap lebih-lebih lagi golongan musyrikin. Bahawa Muhammad berkahwin dengan 
isteri anaknya lalu turun Firman Allah : 
وَإِذْ 
تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ 
عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ 
وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ 
مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لاَ يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ 
فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ 
اللَّهِ مَفْعُولاً . الأحزاب اية 37
Yang 
bermaksud : Dan ingatlah wahai Muhammad ketika engkau berkata kepada orang yang 
telah dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Islam dan yang engkau juga berbuat 
baik kepadanya dengan memberi kemerdekaan. Jangan ceraikan isterimu itu dan 
bertakwalah kepada Allah sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang 
Allah akan menyatakan dan engkau pula takut kepada cacian manusia padahal Allah 
jualah yang berhak engkau takuti melanggar perintahnya. Kemudian setelah Zaid 
selesai habis kemahuannya terhadap isterinya dengan menceraikannya, Kami 
kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang 
beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak angkat mereka apabila 
anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya dan 
sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap 
berlaku. 
Dan dalam 
firman Allah زوجنكها yang bermaksud : Kami 
kahwinkan engkau dengannya, itu menunjukkan bahawa perkahwinan tersebut adalah 
dari Allah SWT sebagaimana yang disebutkan tentang hikmatnya dan bukan dengan 
kehendak dan kecenderungan Nabi SAW dan tidak berlangsung akad nikah seperti 
mana yang telah berlaku dengan isteri-isteri yang lain kerana perkahwinan Allah 
kepada Nabi lebih kuat dan mengatasi segala akad yang 
lain. 
5. 
Hindun Ummu Salamah Al-Makhzumiah R.A 
Bapanya 
dari keturunan Arab yang baik dan terkenal. Sebelumnya Hindun telah berkahwin 
dengan sepupunya Abdullah B. Al-Asad Al-Makhzumi dan ianya dari kumpulan 
orang-orangorang yang mula-mula memeluk agama Islam di mana beliau juga sepupu 
sebelah ibu dengan Rasulullah di samping menjadi saudara susu dengan baginda dan 
lagi beliau orang yang mula-mula berhijrah ke Habsyah bersama-sama dengan 
isterinya Hindun kemudian mereka balik ke Mekah dan berhijrah ke Madinah setelah 
banyak halangan dan dugaan ditempuhi. Abdullah suami Hindun meninggal dunia di 
Madinah kerana luka parah dalam peperangan Uhud dan Hindun sangat sayang kepada 
suaminya. Pada mulanya Abu Bakar dan Umar telah meminang belaiau tetapi beliau 
menolaknya. Lalu Nabi masuk meminangnya untuk baginda sendiri dan pada mulanya 
beliau menolak pinangan Rasulullah dengan alasan beliau sudah tua dan ramai anak 
yatim. Maka Rasulullah menjawab bahawa baginda lebih tua daripadanya dan 
anak-anak yatim itu terserahlah kepada Allah dan rasul-Nya. Lalu Hindun pun 
menyatakan persetujuannya dan berkahwin dengan Rasulullah 
SAW.
6. 
Juwairiah Bt. Al-Harith R.A
Juwairiah adalah salah seorang dari 
tawanan perang Bani Al-Mustaliq dan telah dapat kepada salah seorang Ansar maka 
Juwairiah hendak menebus dirinya dari tuannya lalu diletakkan harga yang sangat 
mahal memandang kepada bapanya orang besar dan ketua Kaum Bani Al-Mustaliq serta 
mampu membayarnya. Tetapi Juwairiah bimbang dan takut dari kesan dan implikasi 
harga yang keterlaluan itu. Lalu pergi mengadu kepada Rasulullah dan pada ketika 
itu baginda berada di rumah Siti Aisyah dan berkata kepada Rasulullah : Saya 
Juwairiah Bt. Al-Harith Abi Dirar ketua kaumnya dan aku telah ditimpa kemalangan 
di mana engkau lebih mengetahuinya. Sesungguhnya aku telah jatuh ke tangan 
seorang Ansar maka tak dapat tidak aku mesti menebus diriku. Sebab itu aku 
datang meminta pertolongan engkau. Maka sabda adakah engkau berkehendak yang 
lebih baik dari itu ? Berkata Juwairiah apa dia ? Sabda Nabi aku tebus engkau 
dan aku berkahwin dengan engkau. Tawaran ini diterima oleh Juwairiah. Maka 
apabila berita perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiah tersebar, golongan 
Ansar telah membebas tawanan perang dari Kaum Ban iAl-Mustaliq sebagai 
menghormati besan Rasulullah. Berikutan dari perkahwinan ini Rasulullah telah 
membina rumah yang khusus bagi Juwairiah berdekatan dengan rumah-rumah isterinya 
yang lain berhampiran dengan masjid.
7. 
Sofiah Bt Hayyi B. Akhtob Al-Israiliah.
Dalam 
tahun yang keenam hijrah Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Sofiah dari 
keturunan Nabi Allah Harun dan ianya dari golongan Bani Al-Nadhir dan telah 
ditawan selepas kematian suaminya dalam peperangan 
Khaibar.
Para 
sahabat telah memberitahu Rasulullah bahawa Sofiah tak sesuai bagi orang lain 
selain daripada baginda sendiri. Maka Rasulullah bersetuju dengan pendapat itu 
serta tidak mahu membiarkan Sofiah hidup dalam penderitaan dan dengan itu juga 
dapat membuat perhubungan silaturahim dengan kaum Bani Israel mudah-mudahan 
dapat meringankan sedikit sebanyak permusuhan mereka terhadap 
Rasulullah.
Imam 
Ahmad telah meriwayatkan bahawa baginda telah memberi kepada Sofiah pilihan 
selepas dibebaskan dari belenggu kehambaan hendak menjadi isterinya atau balik 
kepada kaum keluarganya, maka Sofiah memilih untuk menjadi isteri Rasulullah 
SAW.
8. 
Ummu Habibah Bt. Abi Sufian Al-Umawiyah 
R.A
Perkahwinan Rasulullah dengan Ummul Mukminin Habibah Bt Abi Sufian 
berlangsung dalam tahun ketujuh hijrah dan namanya yang sebenar ialah Ramlah. 
Sebelumnya Ramlah menjadi Isteri kepada Abdullah B. Jahsy dan telah berhijrah 
buat kali kedua bersama Ramlah ke Habsyah. Kemudian suaminya Abdullah masuk 
Kristian dan keluar dari agama Islam (murtad) dan mati di Habsyah manakala Ummu 
Habibah tetap tidak berganjak dari agama Islam. Maka Rasulullah telah menghantar 
Amru dan Umaiyyah A-Dhomiri kepada An-Najasyi untuk meminang Sofiah dan 
berkahwin dengan baginda secara wakil lalu An-Najasyi mengutus seorang gundik 
bernama Abrahah untuk memberitahu Ummu Habibah lamaran baginda itu itu dengan 
katanya (Abrahah) :
Sesungguhnya Raja telah bertitah bahawa Rasulullah memberi wakil 
kepadanya untuk mengahwinkan engkau dengan baginda maka hendaklah engkau pula 
memberi wakil kepada sesiapa dalam urusan perkahwinan engkau ini. Lalu Ummu 
Habibah bersetuju dan memberi wakil kepada Khalid B. Said B. Al-As B. Umayyah B. 
Abd Syams Ibn Abd Manaf dan seterusnya berlangsunglah perkahwinan baginda dengan 
Ummu Habibah dengan mas kahwin sebanyak empat ratus dinar mas di mana An-Najasyi 
telah membayarnya kepada Khalid dan setelah selesai akad nikah mereka pun mahu 
meninggalkan majlis lalu An-Najasyi bertitah : Tunggu dan duduk dulu kerana 
mengikut Sunnah Nabi-nabi apabila berlangsungnya perkahwinan mesti diadakan 
jamuan maka mereka pun dijemput ke satu majlis jamuan sempena dengan perkahwinan 
tersebut dan apabila selesai barulah mereka bersurai.
Ummu 
Habibah menyambung cerita, apabila mas kahwin diberi kepadanya lalu ia memberi 
kepada Abrahah lima puluh dinar tetapi Abrahah menolaknya. Kemudian pada 
keesokan hari Abrahah telah memberinya hadiah berupa minyak atar, kayu gaharu 
dan barang-barang makanan yang banyak maka aku bawa balik bersama-sama ku 
mengadap Rasulullah SAW. Dan dengan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Ummu 
Habibah itu boleh meredakan ketegangan baginda dengan musuh ketatnya Abi Sufian 
di samping tidak membiarkan Ummu Habibah sebagai seorang janda yang dihina di 
negeri asing setelah suaminya masuk Kristian.
9. 
Maimun Bt. Al-Harith Al-Hilaliah R.A
Di akhir tahun yang ketujuh hijrah 
Rasulullah telah berkahwin dengan Maimun Bt. Al-Harith dan namanya yang sebenar 
ialah Barrah tetapi dipanggil Maimunah. Saidatina Aisyah menyatakan bahawa 
Maimunah adalah yang paling takwa kepada Allah dari kalangan kami dan dialah 
yang menjadi orang perantaraan dalam hubungan silaturahim di antara kami 
sekalian dan orang yang pertama mendorong kepada perkahwinan ini ialah bapa 
saudara baginda Al-Abbas dan jika tidak ada apa-apa kebaikan dan muslahah sudah 
tentu bapa saudara baginda Al-Abbas tidak mengambil berat dan tidak mengesyorkan 
kepada baginda untuk berkahwin dengan Maimunah. Kesimpulannya : Bahawa baginda 
Rasulullah SAW mementing dan mengambil kira kemuslihatan dalam memilih setiap 
isterinya baik dari segi perundangan. Timbang rasa dan jaminan bagi janda-janda 
yang suami mereka gugur syahid dalam peperangan dan anak-anak 
yatim.
Berapa 
banyak pembesar-pembesar kabila tertarik kepada Rasulullah melalui perkahwinan 
di samping memberi pengajaran kepada pengikut-pengikutnya bagaimana cara 
menghormati perempuan serta berlaku adil terhadap mereka dan menetapkan hukum 
kekeluargaan dan sebagainya.
Jika 
sekiranya baginda hendak bersuka ria dan berseronok dengan cara berpoligami 
sudah tentu baginda akan memilih anak-anak dara yang cantik-cantik dan tidak 
mengambil perempuan-perempuan janda yang mempunyai anak dan 
sebagainya.
Berpoligami pada masa itu merupakan satu perkara yang tak dapat 
dielakkan malah ianya termasuk dalam perkara darurat disebabkan banyak lelaki 
gugur di medan perang dan perempuan-perempuan yang ditinggalkannya perlu 
mendapat perhatian dan jaminan hidup kerana sebilangan besar daripada 
keluarganya adalah dari golongan musyrikin.
Perkahwinan seperti ini adalah semata-mata untuk kebaikan dan 
kepentingan perempuan dan bukan untuk lelaki.
Polisi 
baginda dalam rumah tangganya.
Rasulullah SAW merupakan contoh utama 
dan ikutan yang paling baik dalam pergaulan dengan isteri-isterinya. Baginda 
bergaul dengan isteri-isterinya dengan cara yang baik, lemah lembut dan penuh 
rasa kasih sayang dan tanggungjawab serta berlaku adil dalam memberi nafkah, 
giliran dan sebagainya. Baginda sentiasa melawat mereka waktu pagi untuk memberi 
nasihat dan pengajaran manakala di sebelah petang pula untuk mengambil hati, 
menunjukkan kasih sayang dan bermuasyarah dengan baik dan pihak isteri-isteri 
baginda pula mereka berkumpul dengan baginda di rumah masing-masing. Baginda 
menjalankan sendiri tugas dan kewajipan rumah tangga dan menyempurnakan segala 
keperluan dengan tangan baginda sendiri. Berkata Saidatina Aisyah R.A bahawa 
Rasulullah SAW tak pernah memukul isterinya dan ditanya lagi apakah baginda 
lakukan semasa bersama-sama ahlinya di rumah kediamannya ? Jawab Saidatina 
Aisyah : Apabila masuk waktu sembahyang baginda berjemaah bersama dan baginda 
pernah menjahit sendiri kainnya, menampal kasutnya, menampung baldinya, memerah 
susu kambingnya dan berkhidmat untuk dirinya sendiri.
Demikianlah kehidupan Rasulullah SAW di dalam rumah kediamannya dalam 
rupa bentuk dan gambaran yang memancarkan cahaya yang sungguh terang dan jelas 
bagi dicontohi oleh umat manusia seluruhnya. Kehidupan yang tenang, sederhana 
dan penuh dengan budi pekerti dan adab sopan yang tinggi dan 
sebaik-baiknya.
اللهم 
صل على محمد النبي الأمي وأزواجه امهات المؤمنين وذريته وأهل بيته كما صليت على على 
إبراهيم وعلى أل إبراهيم إنك حميد مجيد.
وبالله 
التوفيق والسلام.