Siapakah Al Hasyimi
Sebuah hadis meriwayatkan tentang Al- Hasyimi
“Panji-panji Hitam keluar dan menyerang as-Sufyani. Di tengah-tengah pasukan itu adalah Pemuda dari Bani Hasyim yang di tangan kirinya berkibar bendera pasukan, manakala di hadapannya adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi.”
Menurut hadis di atas, Al-Hasyimi merupakan pemegang panji-panji hitam. Panji-panji hitam adalah si...mbolik kepada pasukan imam mahdi. Panji-panji hitam secara fizikalnya merupakan bendera yang digunakan pasukan Rasulullah saw semasa memerangi kaum kuffar. Pada panji-panji hitam tertulis kalimah La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah. Panji-panji ini tidak kelihatan lagi sesudah zaman para sahabat ra.
Panji-panji hitam adalah simbol bagi pasukan Imam Mahdi. Asalnya ia dibawa oleh Pemuda Bani Tamim yakni Syuaib Bin Saleh. Sebenarnya Al-Hasyimi adalah salah seorang pengikut Pemuda Bani Tamim. Hadis menyebut “dihadapannya ialah Syuaib Bin Saleh” menunjukkan bahawa Pemuda Bani Tamim merupakan pemimpin kepada Al-Hasyimi.
Al-Hasyimi dikatakan sebagai pemuda dari Bani Hasyim. Bani Hasyim merupakan kabilah arab yang paling dihormati dikalangan masyarakat Arab Jahiliyah. Nabi kita Muhammad saw merupakan ahli keluarga Bani Hasyim. Jadi Al-Hasyimi merupakan keturunan orang yang mulia yang bersangkut paut dengan Nabi Muhammad saw. Al-Hasyimi sudah pasti merupakan orang terpilih yang lahir dari keturunan yang mulia.
Ciri Fizikal Al-Hasyimi
Said Abu Uthman telah meriwayatkan kepada kami dari Jabir dari Abi Jaa’far Ra katanya
“Akan keluar seorang pemuda dari Bani Hasyim, ditapak tangan kanannya ada tahi lalat dari Khurasan bersama-sama dengan panji panji hitam, bersamanya juga ada Syuaib bin Soleh. Dia memerangi golongan As Sufyani dan mengalahkan mereka”
Al Walid dan Rusydain telah meriwayatkan kepada kami dari Ibni Lahia’h dari Abi Qubail dari Abi Rauman dari Ali Kwj katanya
“Akan keluar panji-panji hitam memerangi golongan As Sufyani, dikalangan mereka ada seorang lelaki dari Bani Hasyim yang mempunyai tahi lalat pada bahu kirinya, mereka dipimpin oleh seorang lelaki dari Bani Tamim yang digelar Syuaib bin Soleh, mereka akan mengalahkan golongan As Sufyani”
Imam Sayuti telah meriwayatkan dari Saidina Ali Kwj katanya
“Akan keluar panji-panji hitam memerangi golongan As Sufyani, padanya ada seorang pemuda dari Bani Hasyim yang ditapak tangan kirinya ada tahi lalat, yang dipimpin oleh seorang lelaki dari Bani Tamim yang digelar syuaib bin Soleh, mereka mengalahkan golongan As Sufyani”
Tiga hadis di atas menceritakan tentang ciri-ciri fizikal Al-Hasyimi
Hadis pertama menceritakan bahawa Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di tapak tangan kanannya mempunyai tahi lalat. Hadis ini sampai sanadnya kepada Jabir dari Abi Jaa’far Ra. Hadis ketiga yang bersanad dari Saidina Ali kwj menyebut bahawa tahi lalat tersebut berada di tapak tangan kirinya. Hadi-hadis ini mungkin kelihatan bercanggah. Kemungkinan Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di kedua-dua tapak tangan tetapi yang pasti tahi lalat di tapak tangan merupakan ciri khas Al-Hasyimi.
Hadis kedua yang bersumber dari Saidina Ali kwj pula menyebut ciri lain pada Al-Hasyimi iaitu tahi lalat di bahu kirinya. Jadi sumber dari saidina Ali kwj menyebutkan bahawa Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di bahu kiri dan tapak tangan kiri. Ciri ini merupakan penanda yang membuktikan sesiapa yang mengaku dirinya Pemuda Bani Hasyim mestilah mempunyai penanda ini untuk membuktikan kebenarannya.
Namun ketiga-tiga hadis ini membenarkan hadis pada bab 1 bahawa Al-Hasyimi dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim menentang As-Sufyani.
Hubungan Al-Hasyimi dengan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim
Kata Al Walid
“Telah sampai kepada aku bahawa Al Hasyimi adalah saudara sebapa dengan Imam Mahdi, kata sebahagian ulamak, dia anak saudara Imam Mahdi dan kata sebahagian yang lain, dia tidak mati tetapi berundur ke Mekah setelah kekalahan itu, bila muncul Imam Mahdi dia keluar semula”
Riwayat di atas menunjukkan Al-Hasyimi merupakan ahli keluarga Imam Mahdi itu sendiri. Al-Hasyimi bersaudara dengan Imam Mahdi di sebelah bapa. Hubungan persaudaraan ini kurang jelas samada mereka merupakan satu generasi atau berbeza generasi. Al-Walid menyatakan bahawa Al-Hasyimi merupakan satu generasi manakala dia mengetahui ulamak lain mengatakan bahawa Al-Hasyimi berbeza generasi.
Istilah saudara merupakan sesuatu yang abstrak. Dalam bahasa Arab ‘saudara’ boleh dipakai untuk adik-beradik, sepupu, dan anak saudara dan ke bawah. Sama seperti perkataan ‘bapa’ yang boleh merujuk kepada bapa kandung, pak cik juga datuk dan moyang. Yang pasti hubungan persaudaraan Al-Hasyimi dan Imam Mahdi bersambung pada sebelah bapa.
Sebuah hadis yang lain menyebut
“Kemudian secara diam-diam At-Tamimi (Pemuda Bani Tamim) menuju ke Baitulmaqdis. Dalam perjalanannya menuju ke Syam, dia menyerahkan jemaahnya kepada Al-Hasyimi. Ketika itu At-Tamimi berkata (kepada Al-Hasyimi), “Wahai anak bapa saudaraku, al-Mahdi akan berada di Makkah setelah kota Madinah runtuh.” Kemudian jika Al-Mahdi muncul, maka Al-Hasyimi juga muncul.”
Hadis ini menceritakan bahawa Imam Mahdi, Pemuda Bani Tamim dan Al-Hasyimi merupakan saudara. Pemuda Bani Tamim memanggil Al-Hasyimi sebagai ‘anak bapa saudaraku’. Jadi Pemuda Bani Tamim boleh jadi merupakan sepupu Al-Hasyimi. Namun istilah ‘anak’ dalam bahasa arab juga abstrak kerana ia boleh merujuk kepada anak, cucu, cicit dan sebagainya. Kaum Yahudi sendiri digelar ‘anak-anak israel’ walaupun mereka bukan anak nabi yaakub (Israel). manusia dipanggil ‘anak-anak Adam’ walaupun kita bukan anak kandung Adam. Apa yang penting ialah Imam Mahdi, Pemuda Bani Tamim dan Al-Hasyimi mempunyai tali persaudaraan.
Al-Hasyimi merupakan Ahlul Bait
Ada atsar menyebut
“Sebelum al-Mahdi muncul, akan ada seorang lelaki dari keturunan Nabi SAW keluar dari Timur, sambil menyandang pedang di bahunya selama 18 tahun. Dia membunuh, mengamuk dan(seterusnya) menuju ke Baitulmaqdis. Namun dia mati sebelum sampai ke sana.”
Atsar lain menyatakan
“Sebelum al-Mahdi (muncul), al-Hasyimi keluar untuk berperang selama 18 bulan. Dia akan menuju Baitulmaqdis tetapi tidak sampai ke sana”
Abdullah bin Amrwan telah meriwayatkan kepada kami dari Al Haitsam bin Abdul Rahman daripada orang yang menceritakan kepadanya dari Saidina Ali bin Abi Thalib RA katanya
“Akan keluar seorang lelaki sebelum Imam Mahdi dari ahli keluarganya di Timur, dia memikul pedang di atas bahunya selama lapan bulan, dia berjuang dan menuju ke Baitul Maqdis tetapi dia meninggal dunia sebelum sampai ke Baitul Maqdis”
Dalam atsar pertama tidak disebut siapa keturunan Nabi saw yang mengamuk namun meninggal sebelum sampai ke Baitul Maqdis. Atsar kedua memyebutkan bahawa Al-Hasyimi merupakan orang yang keluar berperang. ‘Menyandangkan pedang di bahu’, ‘membunuh’, dan ‘mengamuk’ lebih kepada ayat alternatif berkenaan perang. Atsar dari Saidina Ali menyebut tentang lelaki dari ahli keluarga Imam Mahdi yang keluar berperang. Lelaki dimaksudkan layak ditujukan kepada Al-Hasyimi kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan Imam Mahdi. Tiada hadis merekodkan hubungan kekeluargaan antara Pemuda Bani Tamim dengan Imam Mahdi secara langsung. Ketiga-tiga Atsar bersetuju bahawa lelaki yang berperang mestilah mati sebelum sampai di Baitul Maqdis. Atsar kedua menjelaskan bahawa yang mati sebelum tiba di Baitul Maqdis ialah Al-Hasyimi. Jadi boleh disimpulkan bahawa Al-Haysimi merupakan ahlul bait nabi saw.
Semua sedia maklum bahawa Imam Mahdi merupakan keturunan baginda saw. Jika Al-Hasyimi bersaudara dengan Imam Mahdi di sebelah bapa maka sudah tentu Al-Hasyimi merupakan keturunan Baginda Rasulullah saw.
Soal percanggahan tempoh berperang bukan rumit. Mungkin Lapan bulan merupakan tempoh berperang di sesuatu tempat, Lapan belas bulan di tempat lain. Lapan belas tahun mungkin jumlah tempoh peperangan yang ditempuh Al-Hasyimi.
Tempat asal Al-Hasyimi
Imam Suyuti telah meriwayatkan juga dari Dhamrah bin Habib dan guru-gurunya kata mereka
“As Sufyani menghantar tentera berkudanya sehingga sampai keseluruh Timur dari bumi Khurasan dan bumi Parsi, orang orang Timur bangun dan memerangi mereka dan berlaku pertempuran diantara mereka di beberapa tempat. Bilamana peperangan berpanjangan mereka berbaiah kepada seorang lelaki dari Bani Hasyim, mereka ketika itu di hujung Timur lalu dia membawa ahli Khurasan dibawah pimpinan seorang lelaki dari Bani Tamim yang mempunyai darah ajam yang digelar Syuaib Ibnu Soleh berkulit sawo matang dan berbadan sederhana”
Muhammad bin Abdullah At Tiharti telah meriwayatkan kepada kami dari Muawiyah bin Soleh dari Syuraih bin Ubaid dan Rasyij bin Saad dan Dhamrah bin Habib dan guru-guru mereka, kata mereka
“As Sufyani menghantar tenteranya keseluruh Timur di bumi Khurasan dan Parsi, orang-orang Timur bangun dan memerangi mereka dan berlakulah pertempuran di antara mereka di beberapa tempat, bilamana peperangan berpanjangan orang-orang Timur itu berbaiah kepada seorang lelaki dari Bani Hasyim yang datang dari hujung Timur, lalu dia membawa orang-orang Khurasan dibawah pimpinan seorang lelaki dari bani Tamim yang berdarah ajam, berkulit sawo matang, berjanggut nipis”
Hadis yang lain menyebut
“Sebelum (munculnya) al-Mahdi, as-Sufyani mengerahkan pasukan tenteranya sampai ke kawasan timur Khurasan dan Parsi. Mereka akan dilawan oleh penduduk Timur dan ramai (tentera as-Sufyani) yang terbunuh. Kaum dari Timur itu kemudian (bergabung dan) membaiat al-Hasyimi yang mana tangan kanannya memegang bendera. Allah memudahkan urusan dan jalannya. Kemudian dia keluar bersama-sama 5,000 orang penduduk Khurasan yang di bawah pimpinan Syuaib bin Saleh at-Tamimi, seorang bekas hamba berkulit kuning, berjanggut nipis dan tidak berjambang.
Hadis pertama dan kedua menyatakan bahawa Al-Hasyimi itu jelas datang dari hujung timur. Ketiga-tiga hadis menyetujui bahawa bangsa Timur berbaiat kepada Al-Hasyimi setelah diserang oleh As-Sufyani. Bangsa timur bersatu dibawah pimpinan Al-Hasyimi. Jadi Al-Hasyimi bukan sebarang orang bahkan dia merupakan pemimpin. Ada hadis lain menyebutkan hal ini.
“Sebelum Al-Mahdi, Al-Hasyimi akan menjadi penguasa”
Al-Hasyimi akan dilantik sebagai pemimpin bangsa Timur dan dia akan memimpin pengikut Pemuda Bani Tamim yang berada di Khurasan. Pemuda Bani Tamim pula jelas dinyatakan merupakan lelaki yang berkulit sawo matang atau kuning, berjanggut nipis, tidak berjambang dan berdarah ajam (bukan arab). Ciri-ciri pemuda bani tamim ini jelas menunjukkan ciri-ciri yang terdapat kepada bangsa yang tinggal di hujung Timur iaitu bangsa Melayu. Kerana Al-Hasyimi dan Pemuda Bani Tamim bersaudara, maka masuk akal bahawa hujung Timur merupakan Nusantara dan Al-Hasyimi juga berbangsa Melayu juga. Jadi Al-Hasyimi akan diangkat sebagai penguasa Nusantara.