Sunday, October 24, 2010

CETUSAN ALMARHUM PADUKA BAGINDA TOK AYAH SHEIKH MAHMUD LANAI QEDAH




Kami bersyukur kehadrat Allah Ta`ala yang telah memberi taufik dan hidayahnya serta azam yang kuat untuk kami menyempurnakan hasrat yang terpendam bagi menyalin semula, akan kata-kata wasiat serta pesanan Allahyarham Ayahanda Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Osmani, semasa hayatnya dan liku-liku perjalanan Allahyarham semasa hidupnya. Beliau adalah seorang tokoh ulama’ yang sarat dengan ilmu, warak dan tawadhu’. Kisah beliau mendapat perhatian dari seorang tokoh ulama’ yang terkenal pada zaman tersebut, iaitu Tuan Guru Syeikh Othman Jalaluddin, pengasas Madrasah Manabil `Ulum di Penanti, Bukit Mertajam diberi gelaran atau dikenali sebagai Lebai Salam.

Sebaik sahaja Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 28 Safar 1400H bersamaan 16 Januari 1980M ketika usianya 81 tahun, kami asyik teringat kepada wasiat dan pesanannya. Katanya, “Ketahuilah bahawa punca anak-anak Adam itu jadi sesat dalam Aqidah, Syariat, Akhlak, Pengor-banan Diri dan Harta ialah kerana mereka tiada berusaha duduk di atas noktah, permulaan langkahan di atas ilmu dan amalan hidup mereka mengikut Syariat, Tariqat, Hakikat kaedah asal kejadian manusia sebagai Khalifah ke atas dunia; punca mereka tiada mengenali diri mereka sendiri mengikut asal susunan kedudukan manusia baik dan jahat dalam ilmu dan amal di sisi Allah Ta`ala, serta mereka tiada pula mempusakai ilmu dan amal melalui wasilah dan rabitah dari mereka yang sekira-kira soleh pada babnya”.

Maka ramailah manusia diakhir zaman ini yang mengaku Islam tetapi laksana buih, hanya sedikit yang mengambil pengertian makna makni yang tersurat dan tersirat dari ucapan Dua Kalimah Syahadah itu mengikut aliran fahaman Ahli Sunnah. Maka dengan sebab itu ramai yang tiada dapat beza antara intan dan kaca, lalu berleluasalah kesalahan khurafat menjadi amalan harian, sehingga kerja buat mereka menjadi sia-sia, yang mana jahil tersesat dengan kejahilannya manakala yang berilmu pula tersesat dengan ilmunya.

Sebab itulah bagi orang-orang soleh yang ahli pada babnya, mereka ini asyik berusaha memisahkan hati mereka dengan ilmu supaya tercapai cita-citanya untuk musyahadah akan Allah Ta`ala melalui lidah, anggota dan hati. Serentak dengan itu mereka menyalin pakaian Akidah, Syariat, Akhlak, Pengorbanan Diri dan Harta bercontohkan kepada baginda Nabi Muhammad Rasullullah S.A.W. sepenuhnya. Pada bab ini dinasihatkan supaya setiap murid itu mesti berada di atas aliran kefahaman Ahli Sunnah serta menerima dengan yakin, mewarisi Amalan Kalifah Pusaka Wali Agama Islam.

Dan adalah diharap juga kepada seluruh pembaca dan ulama` yang arif pada babnya hendaklah bersama-sama memperbetul yang tiada betul, mentasheh apa yang tiada soheh samada huruf, kalimah, ayat yang menjadi isi kandungan risalah ini di atas jalan taqwa serta memohon keredhaan Allah S.W.T.

Diolah dan Disusun Oleh,
Haji Idris Bin Haji Mahmud Nasri.


NOMBOR PK : 2090 MALAYSIA


GERAKAN ABJAD MELAYU JAWI MALAYSIA

yang diperkenalkan oleh Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani adalah sebagai ganti nama kepada nama asal Amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam dan amalan ini beliau terima daripada gurunya Sheikh Yusuf Kenali dan menerima Latihan Langkahan Hulubalang Rohani/Jasmani daripada gurunya Sheikh Muhammad Taib bin Tuan Guru Sheikh Abdul Rahman Jabat. Adapun sebab beliau memperkenalkan di atas nama Gerak Seni Silat Abjad ini mengikut cerita beliau sendiri ialah kerana pada masa itu beliau melihat sendiri akan kedudukan umat Melayu Islam yang terumbang ambing mencari perlindungan setelah Negara menghadapi kelompok perkaum- an hasil percatuan parti, politik, pertubuhan-pertubuhan suka-rela, badan-badan masyarakat dan orang perseorangan sehingga berlakunya pertumpahan darah yang dikenali dengan peristiwa 13 Mei 1969, dan pada ketika itu lahirlah berbagai-bagai ajaran syirik, khurafat dan bid’ah (dikehendakki di sini ialah bidaah dholalah haram yang menjadi murtad dan munafiq atau bidaah dholalah karahah yang menjadi zalim dan fasik) yang berlaku secara berleluasa dalam masyarakat umat Melayu Islam di Negara kita.

Tersebut di dalam kitab Manhalush Shafi karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani bahawa tiada perkara yang lebih besar daripada bahaya kufur melainkan bahaya bid’ah yang dilaknat oleh Allah S.W.T. akan orang-orang yang berbuat akan dia”. Seperti mana sabda Nabi S.A.W.:
ِ
Maksudnya:

“Barangsiapa mengada-ngadakan sesuatu pekerjaan yang tiada ia pada agama, maka Allah S.W.T. melaknat keatasnya”.

Maka pada ketika itu telah melihatlah oleh beliau akan berbagai-bagai macam ragam ilmu, amalan wirid dan jampian yang diada-adakan yang tiada pada asal agama, sebab telah menyangka mereka itu dengan jahilnya bahawa boleh memberi bekas oleh segala sesuatu yang lain daripada Allah Ta`ala dengan waham dan khayal yang fasiq, dengan istidraj Allah Ta`ala akan mereka itu bahawa boleh memberi manfaat akan dia supaya mencapai kehendak mereka itu akan perkara mencarik adat di dalam perkara agama bagi mereka itu, antara perkara-perkara yang diada-adakan ialah umpama lahirnya beberapa kumpulan yang mengadakan kaedah atau petua mengikut logik akal (tahsinul aqli) antaranya :

a. Mengadakan Petua atau satu kaedah bersumpah atau Mubai’ah bertujuan mencari kekuatan atau hikmah yang mencarik adat.
b. Mengadakan petua atau kaedah yang disertakan dengan pantang larang yang menepati hukum syara’ samada harus atau haram.
c. Mengadakan petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan sesuatu perkara hikmah luar biasa atau mencarik adat.
d. Mengadakan petua atau kaedah yang mesti berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampian doa, azimat, tangkal dan lain-lain yang zahir semata-mata atau berpegang kepada mana-mana I’tiqad Qadariah, Jabariah, 25 Mu’tazilah atau istilah baru sekularisme, orientalisme, kapitalisme dan sosialisme.
e. Mengadakan sesuatu perkara yang tiada tahu akan asal usulnya dari mana, di mana dan ke mana

Menyedari betapa gemarnya kehendak umat Melayu kepada kekuatan dan kebenaran Islam itu sendiri sepertimana firman Allah Ta`ala:

Mafhumnya:

“Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasullullah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya”. (Al-Hasyar ayat 7)

Gerak Seni Silat Abjad diperkenalkan adalah sebagai ganti nama kepada Amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam, yang diwarisi daripada gurunya Sheikh Yusuf Al-Kenali Al-Kelantani, serta menerima latihan Ilmu Rahsia dan Petua Hikmah Langkahan Hulubalang Khalifah Allah, daripada gurunya Sheikh Muhammad Taib bin Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jabat yang berwasilah rabitah kepada Nabi Muhammad S.A.W. iaitu yang sampai kepada Hakikat Tauhid serta yang sah i’tiqadnya dan muafakat pula i’tiqadnya itu bagi Ahli Sunnah dan berjalan pada zahirnya dengan Syariat yakni muafakat pada zahir dengan Syariat Muhammadiah dan batin pula dengan Tariqat Ahmadiah yang dikehendaki di sini ialah perjalanan yang mengikut perjalanan yang bercontoh dengan Nabi Muhammad S.A.W. hingga merdeka ia daripada segala barang yang lain daripada Allah dan kepada Allah Ta`ala jua.

Adapun bagi setiap mereka yang bersilat itu ataupun bagi sesiapa yang mempelajari Gerak Seni Silat Abjad mestilah menerima talqin ucapan Dua Kalimah Syahadah serta mem-fardhukan Islam ke atas diri bertujuan memelihara segala anggotanya pada gerak dan diam barang yang di antaranya dan di antara suruhan Allah Ta`ala.

Maka lahirlah kekuatan ke atas dirinya bagi menjaga maruah agama, diri, keturunan, harta benda dan tanah air. Maka bagi setiap persilat itu sudah tentu ia tolak atau buang akan lima perkara yang diada-adakan, yang tiada pada asal agamanya umpama lima perkara yang telah disebut terdahulunya dan ia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh tumpuan menegakkan lima perkara berikut:

a. Iman yang teguh serta beradab mukmin.
b. Sejahtera diri, keluarga, masyarakat dan tanah air.
c. Melazimkan ihsan pada rohani jasmani di setiap tempat, waktu dan masa.
d. Menjadi umat yang diterima.
e. Mati dalam kebajikan (husnul khatimah).

Dan hendaklah ia melazimkan akan lima perkara:

a. Membuat kaifiat adab sebelum melaksanakan apa-apa kerja atau amalan atau latihan.
b. Mengambil langkahan Sunnah atau langkahan hulubalang mempertahankan diri.
c. Membaca Al-Quran, solat sunat, puasa sunat atau apa-apa zikir, wirid yang telah disusun oleh ‘ulama muk-tabar yang ahli pada babnya sebagai zikir taqarrub.
d. Membaca Al-Fatihah hadiah sebagai tabarruk.
e. Menghadiri majlis pengajian agama Islam dengan rupa mengajar, belajar, mendengar, muzakarah, muta-la’ah, muraja’ah dengan mereka yang ahli pada babnya sekiranya ada masalah yang dihadapi atau di musykili.

KATA-KATA WASIAT

Banyak barang tiruan dalam pasaran,
Barang asli dalam rumah ahli,
Dapat beza dalam majlis tandingan,
Datang benar hancur binasa yang bathil,
Benar tetap benar, bathil tetap bathil,
Datanglah kepada kami jika mahu barang yang asli,
Tiada menjadi korban pengorbanan,
Tiada dimahkotakan pahlawan,
Nafsu tujuh rupa tujuh martabat,
Taulannya di luar diatas, rupanya baik atau jahat,
Tiap-tiap bergerak ditanya guru asal,
Dosa pahala dikira melaluinya,
Tiada guru syaitan mengaku jadi guru,
Ahli Sufi palsu berbagai ragam ratib jampian,
Lumrah insan kalah pakai menang beli.

Wahai Saudara,

Pesananku jadikan kepercayaan dan jaminan,
Jalan segera dekat selamat,
Terima dan amal wasilah rabitah asal barang yang seumpamanya,
Tiada bicara barang mana permainan atau aurad lisan jangan menyimpang daripada jalan,
Pasti pangkat yang sama atau yang lebih tinggi,
Hadir majlis pengajian mahir serta beramal ilmu asas,
Mengaku murid bagi Muhyiddin, Khidir dan Rasullullah,
Tiada perlu takut, syak, zhon dan waham walau diatas barang mana alasan,
Yang demikian wasilah rabitah a`la hadratutullah,
Setiap waktu masa berjalan,
Pertolongan segera daripada kejip mata selagi tiada maqtuq
Semua cair beku jadi bala tentera taat serta sujud,
Jika lautan api dihadapan,
Lautan bisa di kanan,
Lautan salji beracun di kiri,
Ribut taufan melanda dari belakang,
Air bah keluar dari bawah,
Gunung masyriq Maghrib di atas kepala,
Musuh disegenap jihak menerpa,
Bilangan mereka seumpama pasir di pantai buih di laut,
Jangan gentar tiada mudharat walau apa kelakuan,
Jadi sia-sia hancur binasa sebelum kejip mata,
Tiada hisab umpama biasa di akhirat,
Walau beberapa banyak dosa tiada taubat,
Maha nyata berkat keagungan mereka melimpah rata-rata,
Bertuah selagi berpegang teguh tiada lekang mengaku murid bagi mereka,
Pekerjaannya Pekerjaan mereka ialah pekerjaan Allah,
Tiap-tiap lulus baginya lulus bagi mereka,
Al-kaun dan mukawwin kepercayannya
Hidup merdeka bahagia sepanjang masa,
Jika cuba jahat adab walau dalam apa jua,
Akan dikaram dalam lautan angan-angan tipu daya syaitan,
Mati seumpama sekam padi dimakan api atau garam kena air mutlak.
Maqtu’ wasilah dengan mereka dan maha agung,
Semua pemberian dirampas iman dicabut,
Selagi tiada dirujuk dan memperbaharui talqin dan taubat nasuha,
Tiada kurnia seperti ini daripada rabbul ‘alamin,
Melainkan yang mengaku murid,
Menjalani jalan mereka dan hilang mazmumah.

AULIYA’ ALLAH TA`ALA

Qutub Iaitu Ketua
Ialah satu perkataan yang dibuat panggilan kepada sese-orang itu yang dia juga sentiasa berada di dalam perhatian Allah Ta`ala pada setiap masa dan zaman, dia itu yang dianu-gerahkan oleh Allah Ta`ala akan Ilmu Laduni. Dia dapat bergerak ke segenap penjuru alam seperti roh atau nyawa seseorang itu bergerak keseluruh anggota badannya. Pergera-kan itu secara zahir ataupun secara batin.
Adapun neraca yang dapat dibuat pertimbangan dengan-nya iaitu pengetahuan secara Laduni itu. Pengetahuan itu adalah mengikut pengetahuan Allah Ta`ala. Maka dengan itu apa yang dikatakan dan apa yang diteroka olehnya adalah benar dan berlaku.
Qutub ini bukan hanya seorang sahaja malah ia banyak dan ia adalah mengikut pergantian banyaknya jenis wali dan mengikut pergantian zaman dan dia juga dinamakan dengan Al-Ghaus.

QUTUB AL-AQTHAB
Ketua Dari Segala Ketua
Ialah satu perkataan yang dibuat panggilan daripada batin kenabian Muhammad S.A.W., tiada penyudah bagi kewalian dan tiada Qutubul Aqtab melainkan tertentu kepada bathin kenabian Muhammad S.A.W. sahaja. Dialah juga yang dinamakan Qutbiyatul Kubra iaitu qutub yang teragung.

WALI AL-AUTAD
Paku/Paku Alam
Ialah satu panggilan ibarat untuk empat orang wali yang berada pada empat penjuru alam, Autad Utara, Autad Selatan, Autad Timur, Autad Barat. Tiap-tiap seorang dari mereka mempunyai tugasnya masing-masing di bahagian yang tersebut dan salah seorang dari mereka adalah dari Wali Qutub (ketua).

WALI BUDALA/AL-ABDAL
Ganti
Ialah satu panggilan ibarat untuk sembilan orang wali yang kesemuanya mempunyai kesempurnaan dan kelebihan yang tetap dalam musyahadah akan Alah Ta`ala. Mereka telah keluar dan lepas dari garis-garis waham dan khayal. Kata setengah ulama`, mereka sebanyak empat puluh orang, mana-kala setengah ulama` yang lain pula mengatakan mereka ini sebanyak tiga puluh orang dan salah seorang daripada mereka adalah Wali Qutub (ada seorang ketua). Andaikata sekiranya mati salah seorang daripada mereka, maka kematiannya tidak dapat diketahui oleh manusia awam (kebanyakan) dan Allah Ta`ala akan menggantikan pula dengan yang lain tiada dijadi kurang.

WALI AN-NUJABAK
Yang Terpuji Dan Yang Termulia
Ialah satu panggilan ibarat kepada orang yang berperibadi mulia, dia berperangai dengan perangai ketuhanan ‘Akhlak Ilahiyah’ ertinya perangainya sudah dijamin dan diakui oleh Allah Ta`ala iaitu akhlak ‘mahmudah’. Mereka bertugas menanggung beban makhluk dan bencana mereka. Andainya satu mala petaka yang diturunkan atau yang akan diturunkan kepada makhluk, maka merekalah orang yang pertama berdoa kepada Allah Ta`ala supaya bencana itu diangkat dan dihindarkan. Mereka terdiri daripada manusia yang berperibadi mulia serta mendapat Ma’rifah (pengenalan) yang bersih.
Mereka tiada mengharap kepada yang lain dan hati mereka tiada memandang kepada yang lain hanya kepada Allah Ta`ala semata-mata. Mereka ini bekerja memerahkan tenaga dengan doa dan sebagainya adalah untuk kepentingan orang lain, bukan untuk diri mereka dan mereka terkenal dengan banyak sabar dan redha.

WALI AN-NUQABAK
Ketua Kecil @ Jawatankuasa
Iaitu satu panggilan ibarat daripada orang yang sudah keluar daripada tekanan nafsu keji (amarah bissu’) disebabkan oleh kuat mujahadah, banyak beribadat, zuhud dan mengo-songkan hati daripada memandang adanya usaha tenaga sendiri. Bilangan mereka ini ialah sebanyak tiga ratus orang dan mereka terkenal dengan banyak tawakkal kepada Allah Ta`ala di dalam segala urusan. Tiap-tiap satu nama wali itu masing-masing mempunyai Qutub (Ketua). Andainya mati sa-lah seorang dari semua jenis wali-wali itu, maka Allah Ta`ala ganti dengan yang lain pula yakni hilang seorang, ganti seorang dan begitulah berkekalan seterusnya, tetapi tiada seorang pun yang tahu atau kenal wali ini melainkan sesama mereka sahaja.

AL-IMAMAIN
Dua Imam/Dua Ikutan
Mereka ini ialah dua orang sahaja. Mereka bertugas selaku setiausaha yakni yang satu bertugas di pihak kanan Qutub dan yang satu lagi bertugas di pihak kiri Qutub.
Adapun yang di pihak kanan Qutub tugasnya ialah sentiasa melihat pada alam malakut (alam ghaib) dan dialah yang menggantikan Qutub dalam urusan yang bersangkut paut dengan alam di sebelah sana.
Adapun yang disebelah kiri Qutub itu tugasnya sentiasa melihat memerhati alam syahadah (alam nyata/alam kebendaan) dan dialah sebagai pengganti Qutub di dalam urusan yang bersangkut paut dengan alam di sebelah sini.

RIJAL AHLILLAH
Lelaki Yang Terpuji/Ketua Daerah
Iaitu satu panggilan ibarat kepada orang yang telah keluar dari tingkatan nafsu keji (amarah bissu’) disebabkan oleh kuat mujahadah, zuhud dan banyak beribadat serta mengkosongkan hati daripada memandang adanya usaha tenaga dirinya. Rijalullah ini bilangannya ialah sebanyak tujuh puluh ribu orang dan mereka terkenal dengan banyak tawakkal kepada Allah Ta`ala. Segala urusan dan setiap mereka mempunyai Wilayah atau Daerah masing-masing yakni setiap satu Rijalullah satu Daerah baginya. Nama Rijalullah ini dipanggil Qutub Wilayah tetapi tiada seorang pun yang tahu atau kenal Rijalullah ini melainkan sesama mereka sahaja.

PENGERTIAN WALI
Iaitu mereka yang diperintahkan segala pekerjaan dan alamat wali itu ialah mereka yang lemah lembut lidahnya, baik perangainya, manis mukanya, murah nafsunya, sedikit perbantahannya, menerima keuzuran orang yang salah kepadanya dan sempurna kasih sayang atas segala makhluk Allah Ta`ala. Kata Muhammad Ibnu Sahl Ibnu Athoillah Rahimahullah Ta`ala alamat wali itu empat perkara:
a. Memelihara Sir antaranya dan diantara Allah Ta`ala.
b. Memelihara segala anggotanya daripada barang yang antaranya dan diantara suruhan Allah Ta`ala.
c. Menanggung kesakitan barang yang diantaranya dan diantara segala makhluk Allah Ta`ala.
d. Meraikan segala makhluk atas kadar bersalah-salahan akal mereka itu.

SIAPA KEKASIH ALLAH
Bahawasanya harus diketahui bahawa segala wali itu ada empat maqam atau pangkat:
a. Pangkat pengganti Nabi (Khilafah An-Nubuwwah)
Mereka ini terdiri daripada golongan ‘Ulama.
b. Pangkat pengganti Rasul (Khilafah Ar-Risalah)
Mereka ini terdiri daripada golongan wali-wali Abdal.
c. Pangkat pengganti Ulul ‘Azmi (Ulul ‘Azmi)
Mereka ini terdiri daripada golongan wali-wali Autad.
e. Pangkat pengganti Ulul Isthifa’ (Ulul Isthifa’)
Mereka ini terdiri daripada golongan wali-wali Qutub.

Bahawasanya harus diketahui juga susunan pemerintahan para-para Auliya`(ahli rohani) ini tiada adalah kurangnya dengan susunan pemerintahan dunia ini malahan lebih teguh dan kuat lagi kerana lantaran pada alam rohani lebih banyak musuh-musuh daripada alam kenyataan ini.

Pemerintahan mereka juga mempunyai Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Setiausaha-Setiausaha, Wakil-Wakil dan Ahli Jawatankuasa. Masing-masing mereka menyusun tugas men-dirikan dunia bumi sebagai sebuah Negara. Mereka ini menjual diri, harta, tenaga, masa dan hidup mereka seluruhmya dan juzu’-juzu’nya kepada Allah Ta`ala dan Rasulnya Nabi Muham-mad S.A.W sebagai Pengorbanan untuk Melaksanakan dan Menegakkan Kedaulatan Kerajaan Iman, Islam, Ihsan, Pengor- banan Diri dan Harta bagi menjaga kemuliaan (maruah) Agama Islam, Diri, Keturunan, Harta Benda dan Tanah Air mengikut ajaran Allah Ta`ala di atas muka bumi Allah Ta`ala yang fana ini.

Begitulah susunan pemerintahan Auliya’ Allah Ta`ala (para-para ahli rohani) yang terdiri dari Qutubul Aqtab, Autad, Abdal, Nujabak, Nuqabak, Imamain dan Rijalullah. Mereka semua menyusun untuk mentadbir serta mentarjihkan segala tariqat dan mentashih segala wirid, jampian serta doa dan susunan langkahan dan usaha kerja buat makhluk manusia semuanya untuk menunaikan hak-hak kehambaan ke arah mengenal dan musyahadah akan Allah Ta`ala dalam semua tempat dan zaman dan mentadbirkan dunia bumi sebagai sebuah negara terlaksana sepenuhnya di dalamnya, masyara-katnya, kedaulatan kerajan Iman Islam Ihsan Pengorbanan Diri dan Harta kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Mereka sentiasa mengawasi gangguan-gangguan yang datang daripada musuh-musuh hati yang terdiri daripada maha-raja nafsu dan profesor iblis yang sentiasa mencari peluang untuk merubahkan kota akal dan hati jiwa.

Kita atau sesiapa juga akan dapat mencapai akan nikmat kelazatan di dalam musyahadah akan Allah Ta`ala sekiranya kita mahu untuk mencapainya. Akan tetapi percayalah bahawa nikmat kelazatan musyahadah akan Allah Ta`ala itu tiada dapat digambarkan oleh pengetahuan semata-mata dan tiada dapat dilukis oleh mana-mana pena dan tiada dapat diisyaratkan oleh apa-apa perkataan.

Sesungguhnya ia akan dapat dirasai oleh sesiapa yang telah berusaha untuk sampai kepadanya (musya-hadah akan Allah Ta`ala) itu dengan perasaan dalam ilmu dan amalnya kerana tiada diperolehi akan ilmu pengetahuan yang banyak itu dengan tiada belajar.

Inilah perkara yang pernah dibangkitkan oleh Imam Al-Ghazali dengan katanya: “hakikat ini jika aku nyatakan kepada mereka, maka mereka akan memberi ta’wil kepadaku, dengan ta’wil kafir, yakni mereka tiada akan percaya”.

Sebab itu Imam Al-Ghazali berkata kepada muridnya sebagai tolol, lantaran muridnya bertanya kepadanya tentang hakikat ini, akan tetapi beliau telah membuat perbandingan semula dengan mengata- kan bahawa bukankah tolol namanya jika seseorang itu berta-nya tentang bagaimana kelazatan jima’, kerana jika hendak tahu
bukanlah hakikat hendaklah dirasai dengan sendiri, sebab jika diberitahu itu
kelazatan namanya, bahkan ia hanyalah se-kadar pengetahuan sahaja, sedang orang yang mengetahui itu tiada sama dengan orang yang pernah merasai.
Ya! Jika sekiranya seseorang itu telah putus azamnya untuk sampai ke situ (musyahadah kepada Allah Ta`ala), insya Allah ia akan dapat merasainya.

Akan tetapi dengan adanya pada diri syarat berikut:
Hendaklah ia menjalani tariqat, iaitu jalan yang telah dilalui ahli sufiah yang muktabar yang benar-benar soleh dan mempu-nyai wasilah dan robitah kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W. semata-mata.

Andainya kita telah menjalani tariqat yang telah dipelajari dari guru yang mempunyai susunan wasilah yang muktabar dalam ilmu dan amalan robitah kepada Rasullullah S.A.W. serta dengan adanya susunan zikir-zikir dan wirid-wirid yang tertentu, maka bererti kita telah mempunyai perhubungan dengan guru dikalangan ahli Sufi yang mempunyai wasilah mengikut susunan sufiah kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Mereka itu yang akan memandu muridnya untuk sampai kesana. Murid amat perlu kepada guru untuk mengasuhnya dan membimbingnya kerana pada perjalanan itu banyak sekali musuh-musuh yang akan mengganggu. Maka perhubungan dengan gurunya yang ahli pada babnya itulah yang dikatakan tawassul.

Sebagaimana kita ingin menemui sultan, sedangkan kita adalah orang kampung yang tiada tahu akan peraturan dan adat istiadat istana, maka pada ketika itu amatlah perlu kita kepada seorang pemimpin yang boleh membawa kita untuk menemui sultan tersebut dan jika sekiranya tiada orang untuk memandu, nescaya banyaklah masalah pada perjalanan itu serta berkemungkinan akan ditimpa halangan buruk yang boleh menyebabkan tiada sampai kita kepada menyatakan hasrat atau tiada dapat mengadap sultan tersebut.

Sekiranya seseorang itu mempunyai keazaman yang kuat untuk bermujahadah kepada Allah Ta`ala, sudah tentu ia akan mencari jalan yang sebenarnya yang boleh menyampaikan ia kepadanya dan ketika itu ia akan berusaha dengan sepenuh tenaga yang ada padanya untuk mencapainya dengan mengambil jalan yang paling selamat. Maka usaha pisah untuk mencapainya itulah yang dinamakan murid.

Dari sinilah seseorang murid itu akan menempuh ber-bagai-bagai percubaan dan merasai berbagai-bagai kelakuan serta melazimi beberapa perkara untuk menjalankannya seperti mengetahui dengan sebenar-benarnya kaedah-kaedah yang telah ditetapkan umpamanya taubat, zuhud, tawakkal, qana’ah, sabar, fana dan lain-lain lagi perkara yang mesti diikuti dan dilalui oleh seseorang murid itu.

PENGERTIAN MURID

Murid atau Salik ertinya ialah yang berjalan atau yang berkehendak. Apabila dikatakan Murid atau Salik, maka pada istilah ahli sufiah ialah orang yang dikurniakan oleh Allah Ta`ala untuk berusaha pisah-pisah akan hatinya buat menjalani kepadanya dan untuknya. Sebab itu orang yang ingin sampai hatinya kepada musyahadah akan Allah Ta`ala hendaklah melatih hatinya dengan menafikan segala kemahuan yang dibangsakan kepada dunia kebendaan.

Kemudian langsung menyembunyikan dirinya untuk beribadah, berzikir dan sebagainya bagi menyampaikan dirinya kepada Allah Ta`ala secara zauq (perasaan) dan tiada lagi secara pengetahuan iaitu beredar-edar ia disekitar Allah itu tiada ada menyerupai suatu kuasa dan lain-lain lagi sedangkan secara zauq (perasaan) tiada ada padanya, akan tetapi bagi mereka yang menjadi murid itu telah mengikuti apa yang telah diterangkan oleh Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta`ala Anhu dan mereka itu (murid) telah merasai apa yang dinamakan Bab Al-Asma’ iaitu merasai akan kelazatan dalam zikrullah, usaha dan latihan mereka itu (murid) untuk musyahadah kepada Allah Ta`ala dengan melalui kenikmatan berzikir, beribadat serta pisahan hati.

MAJZUB @ MURAD

Seperkara lagi yang perlu kita ketahui bahawa ada juga setengah manusia yang diangkat terus sampai ke sana dengan semata-mata limpah kurnia Allah Ta`ala. Tiada dengan pisahan usaha dan tiada pula dengan bimbingan gurunya (ahli-ahli kerohanian) yang tertentu. Orang itu dinamakan majzub ataupun murad, perbandingannya ialah seperti ia di temui oleh sultan itu sendiri dengan memegang tangannya lalu membawa kehadapannya tetapi orang ini selalunya akan menerima kesukaran atau kepayahan tatkala menurun nanti. Andainya ia tiada mengawasi, maka ia akan menerima bencana ketika ia bermohon diri kelak.

PENGAKUAN

Pengakuan saya sendiri selaku penulis tiada pernah merasai segala-galanya itu dan boleh dikatakan saya juga ketinggalan kiranya kerana kelazatan zikir pun belum dirasai inikan pula kelazatan musyahadah akan Allah Ta`ala, akan tetapi walaupun demikian saya yakin akan Allah Ta`ala maha luas rahmatnya dan sama-samalah kita berusaha dan berdoa supaya kita ini menjadi murid kepada mereka (ahli-ahli kerohanian) yang benar-benar soleh serta nyata wasilah dan robitah dengan ilmu dan amalnya yang menyampaikan tambatan hati muridnya kepada Baginda Nabi Muhammad Rasullullah S.A.W. dan diterima akan kita menjadi muridnya serta berada di dalam jamaahnya buat selama-lamanya. Amin ya Robbal a`lamin.

KELAKUAN MENJALANI DIRI

Oleh itu marilah kita membicarakan fasal kelakuan yang mesti dilalui dan percubaan yang harus di tempuhi serta yang mesti dialami dan dilalui oleh seseorang murid yang ingin sam-pai kesana untuk menjadi kekasih Allah Ta`ala.
Di samping itu kita juga perlu mengetahui akan syarat-syarat bagi seseorang murid itu untuk menjalani diri kepada Allah Ta`ala. Ketahuilah bahawa segala tunjang bagi mencapai kebahagian dunia dan akhirat itu adalah berpusing di sekitar sejauh mana bagi seseorang murid itu membina taqwa.

Taqwa adalah asas dan pokok serta jalan atau permulaan pekerjaan ibadat dunia dan akhirat. Sesungguhnya kebajikan dan kebaikan dunia dan akhirat tiada akan dapat dicapai begitu juga dengan kejahatan dan kebinasaan tiada akan dapat ditolak melainkan dengan adanya taqwa.

PENGERTIAN TAQWA

Taqwa adalah satu wasiat iaitu satu pesanan dari Allah Ta`ala kepada manusia seluruhnya. Manusia dahulu, sekarang dan akan datang serta banyak lagi keterangan dari ayat-ayat Allah Ta`ala yang telah memberi jaminan kepada orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah dalam Surah hujurat ayat 13.
ْ
Mafhumnya:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah Ta`ala itu adalah orang yang lebih taqwa kepadanya”.

Allah Ta`ala telah menjadikan ukuran serta membuat penilaian kemulian seseorang itu diatas kekuatannya, tiada pada keturunannya, tiada pada harta kekayaan, tiada dengan ilmu, tiada dengan kemegahan atau tiada dengan segala perkara yang pernah dibuat penilaian oleh kebanyakan manu-sia pada zaman ini. Sebab itu kemulian yang dibina di atas asas taqwa ianya tiada boleh dirosakkan dan tiada dapat dijejaskan oleh pemutaran zaman atau perubahan masa.

Bagi memastikan seseorang murid itu menjadi seseorang yang benar-benar bertaqwa, ia mestilah meninggalkan segala jenis dosa, serta menghalangkan diri dari segala jenis kema-huan nafsu disamping mengawasi diri daripada tipu daya syaitan.

KEMAHUAN NAFSU

Andainya seseorang murid itu sentiasa menurut kemahuan nafsunya, maka sampai bila pun dia tiada akan dapat kebahagiaan kerana mengikut kemahuan nafsu adalah pokok bagi segala kejahatan dan kebinasaan. Inilah yang paling ditakuti oleh Rasullullah S.A.W sepertimana di dalam sabdanya yang bermaksud: “seperkara yang paling ditakuti sekali pada umatku ialah mengikut kemahuan nafsu, panjang angan-angan. Kerana pada mengikuti kemahuan nafsu itu adalah menjadi sebesar besar dinding diantara hamba dan Allah S.W.T dan panjang angan-angan adalah melupakan hari pembalasan”.

Dan tipu daya syaitan adalah merupakan perkara kedua yang mesti diawasi kerana dialah sebagai pendukung nafsu. Syaitan dapat masuk menyelinap kedalam badan manusia seperti nafsu juga sepertimana yang diterangkan oleh nabi Muhammad S.A.W didalam sabdanya yang bermaksud: “sepertimana keinginan nafsu yang bercampur dengan darah daging dan urat nadi manusia, maka demikianlah juga syaitan itu dapat berjalan mengikut aliran darah serta bergerak masuk kedalam daging seterusnya kejantung hati manusia”.

Jadi, untuk mengawasi dan menjaga kedua-dua musuh itu dan untuk mendapat hakikat taqwa yang sebenarnya, maka perlulah bagi murid itu berada pada ketiga-tiga jalan ini.

JALAN MENUJU KEPADA ALLAH S.W.T

Pertama : Syariat Kedua : Tariqat Ketiga : Hakikat
Maka ketiga tiga jalan ini yang mesti menjadi landasan utama bagi seseorang murid itu (iaitu orang yang berjalan untuk sampai menuju kepada Allah S.W.T).

Ahli-Ahli Kerohanian atau Ulama`-Ulama` Sufi Muktabar telah membuat perbandingan tentang ketiga-tiga perkara itu dengan katanya:

“Syariat adalah seperti kapal dan tariqat itu adalah seperti lautan manakala hakikat itu adalah seperti permata yang dicari”.

Maka sesiapa sahaja atau mana mana murid yang mahu dan berkehendakkan kepada permata tersebut, maka terpak-salah ia mengharungi lautan seperti menempuh gelombang ombak dan bahtera atau kapal adalah pokok utama yang mesti disediakan bertujuan untuk mengharungi lautan yang besar itu.

Demikianlah juga bagi mana-mana murid atau sesiapa sahaja yang mahukan Hakikat untuk sampai kepada Makrifah Allah, maka terpaksalah mengharungi Lautan Tariqat dan tiada dapat berada di Lautan Tariqat melainkan setelah sempurna syariatnya. Maka, marilah kita mempelajari apakah dia Syariat, Tariqat Dan Hakikat yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.

PERTAMA : SYARIAT

Syariat ialah mengikutkan agama Allah S.W.T iaitu Islam sepertimana yang dibawa datang awal oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan erti kata menunaikan segala perintah dan suruhannya dan menjauhi serta meninggalkan segala larangannya.
Maka di dalam perkara menunaikan segala perintah inilah menjadi sebab menentukan hukuman keatas manusia dan jin didalam Islam apabila sempurna akal, sihat ceria, terima seruan Nabi Muhammad S.A.W dan sampai had taklif syara’ (baligh) wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan menyem-purnakan rukunnya, syarat serta sahnya dan mengetahui ia akan perkara-perkara yang membatalkannya bagi memfardhu-kan Islam keatas dirinya untuk memelihara serta menjaga kemuliaan (Maruah) Agama Islam, Diri, Keturunan, Harta Benda Dan Tanah Air.

Sepertimana firman Allah S.W.T:

Baqarah ayat 138
Mafhumnya:

“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam)! Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadanya jualah kami beribadat”.

Iaitu Syariat yang sampai pada Maqam Hakikat Tauhid serta yang sah i’tiqadnya itu bagi Ahli Sunnah dan berjalan pada zahirnya jalan Syariat yakni muafakat zahir dengan Syari-at Muhammadiah dan batinnya dengan Tariqat Ahmadiah (yang dikehendaki disini ialah perjalanan yang bercontohkan kepada Nabi Muhammad S.A.W pakaian zahir Uswatun Hasanah, Rahmatun Lil Alamin, Makarimul Akhlak, Khuluqil Adzim hingga merdeka ia daripada segala yang lain daripada Allah kepada Allah Ta`ala semata mata.

Setelah murid itu menjalani akan jalan Syariat, dan sekarang marilah pula kita mempelajari serta mengharungi Lautan Tariqat pula.

KEDUA : TARIQAT

Tariqat ialah bagi memilih jalan yang lebih selamat pada segala amalan dan segala pekerjaan serta meninggalkan perkara-perkara yang dianggap menjadi kesamaran seperti hendaklah kita memilih jalan Wara`. Wara` di sini bukanlah bererti seseorang itu asyik memegang tasbih sahaja sehingga tiada mahu ia berusaha dan bekerja sepertimana yang dikehen-dakki oleh Syariat akan tetapi Wara` yang dikehendaki di sini ialah sepertimana yang telah dijelaskan oleh ulama.

Imam Al-Ghazali telah membahagikan Wara` itu kepada empat bahagian iaitu:

a. Wara` Orang Kebanyakkan. Iaitu Wara’ bagi orang yang meninggalkan segala perkara yang diharamkan oleh Allah Ta`ala dan ini adalah Wara` orang yang sedang berada pada darjat Syariat.

b. Wara` Orang Yang Soleh. Iaitu Wara` bagi orang yang meninggalkan segala perkara yang samar-samar hukumnya (syubhat) perkara ini jika dikerjakan tidaklah menjadi salah bagi orang yang berada pada darjah Syariat akan tetapi menjadi salah bagi orang yang berada pada darjah Tariqat.

c. Wara’ Orang Yang Muttaqin (takut pada Allah Ta`ala) Iaitu Wara’ bagi orang yang meninggalkan barang yang tiada mengapa jika dikerjakan tiada jadi makruh dan tiada pula Khilafu Aula ini adalah kerana takut luput (hilang) barang yang diantaranya dan diantara Allah Ta`ala daripada nur dan cahaya yang berada pada mata hatinya.

d. Wara’ Orang Yang Siddiqin (orang-orang yang benar)
Iaitu Wara’ bagi orang yang meninggalkan segala perkara yang menyebabkan terasing diantaranya dan di antara Allah Ta`ala daripada segala jenis perkara yang membinasakan agama Allah Ta`ala dan hatinya.

KETIGA : HAKIKAT

Apabila seseorang yang menjadi murid itu sampai kepada tujuan makrifah Allah Ta`ala iaitu Musyahadah akan Nur Tajalli Allah. Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa Tajalli itu barang yang nyata bagi hati seseorang itu daripada cahaya Alam Ghaib dan di sana dia dapat faham hakikat segala perkara, seperti musyahadah akan Asma’ Dan Sifat dan juga Zat Allah Ta`ala dan dapat memahami rahsia Al-Quran dan mendapat yang tidak boleh dapat dengan usaha dan belajar.
Ketiga-tiga perkara itu tiada boleh terasing sama sekali iaitu Syariat, Tariqat Dan Hakikat kerana Tariqat Dan Hakikat tiada boleh betul dan boleh didapati dengan tiada adanya Syariat. Begitu juga dengan Syariat, tiada akan adanya nilai sekiranya tiada ada Tariqat Dan Hakikat.

Inilah sebabnya Ulama Muhaqqiqin berwasiat dengan katanya:

“Syariat dengan tiada adanya Tariqat adalah kosong manakala Tariqat dan Hakikat dengan tiada adanya Syariat adalah tiada sah”

Seorang yang beriman itu meskipun tinggi darjatnya dan dia sudah naik ke pangkat wali, maka tiada akan gugur daripa- danya undang-undang Syariat. Dia wajib melaksanakan setiap perkara yang difardhukan ke atas dirinya sepertimana yang ter-kandung dalam ucapan Dua Kalimah Syahadah.

Sesiapa yang menyangka bahawa apabila seseorang itu telah menjadi wali atau telah sampai hatinya kepada Hakikat Musyahadah akan Allah Ta`ala lalu digugurkan baginya segala undang-undang Syariat, maka sesungguhnya sangkaan yang demikian itu adalah sangkaan orang yang sesat dan ia menye-satkan pula orang lain.

Sesungguhnya Nabi-Nabi pun tiada gugur perintah Syara’ daripadanya, masakan pula wali-wali yang darjahnya lebih ren-dah daripada Nabi-Nabi ‘Alaihimus Solatu Wassalam itu sendiri.

====================================================================================

Sesungguhnya Allahyarham Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Osmani pernah mendatangi penulis di dalam mimpi selepas solat Istikharah selama 3 malam berturut-turut untuk mendapat petunjuk akan kebenaran ilmu ini. Kehadiran Tuan Guru bukan sahaja mengesahkan ILMU SILAT ini bahkan diri penulis juga. Al Fatihah untuk Allahyarham.

Sekian, wassalam.