Friday, February 10, 2012

SIAPA GURU YANG SESAT LAGI MENYESATKAN?

GOLONGAN SESAT LAGI MENYESATKAN?

Perkara-perkara yang menghalang si Salik sampai kepada Allah Taala, antaranya ialah :

1. Syirik khafi - iaitu syirik yang tersembunyi, dengan mengatakan semua perbuatan makhluk itu adalah terbit daripada makhluk tanpa daripada Allah Taala. Sedangkan pada hakikatnya segala perbuatan itu semuanya terbit daripada Allah Taala. Semua perbuatan makhluk itu seolah-olah alat perbuatan Alalah Taala. Maha suci Allah Taala mengadakan sesuatu dengan alat.

2. Riak - ertinya menunjuk-nunjuk ibadatnya kepada orang lain atau ada udang di sebalik batu selain daripada Allah Taala meskipun syurga.

3. Sum’ah - ertinya memberitahu ibadahnya yang ikhlas kerana Allah Taala kepada orang lain untuk mendapatkan sanjungan dan kemuliaan.

4. Ujub - ertinya memperbesar dan memperbanyakkan ibadahnya, padahal ia lupa bahawa perbuatannya itu adalah nikmat daripada Allah Taala.

5. Suqud - oleh sebab wukuf maal ibadah ertinya terdinding dan terhenti kerana memandang ibadat yang di lakukannya itu daripada dirinya tanpa melihat bahawa perbuatannya itu adalah nikmat daripada Allah Taala.

6. Hujub - ertinya terdinding kepada cahaya, perhiasan, dan keelukan ibadatnya kerana setiap amal ibadat mempunyai cahaya perhiasan, dan keelukkannya. Maka si Salik hanya berhenti setakat itu sahaja kerana memandang perhiasan dan keelukan amal ibadatnya. Malahan ia berasa gembira dengan amal ibadatnya itu sehingga lupa kepada Allah Taala.

Tegasnya, si Salik tidak akan terlepas daripada perkara-perkara yang berbahaya itu melainkan dengan syuhud dan memandang bahawa semua perbuatan itu terbit daripada Allah Taala.



MARTABAT SAMPAI KEPADA ALLAH TAALA

Berkata Syeikh Ibnu Ibad (rh) dalam Kitabnya, Syarah Hikam Ibnu A’thaillah, “Orang-orang yang mempunyai jalan yang menyampaikannya kepada Allah Taala diberi isyarat untuk sampai kepada ilmu hakiki Allah Taala. Kearah ilmu hakiki Allah Taala inilah kesudahan orang-orang Salik dan perjalanan orang-orang yang sampai ke arah-Nya. Maha Tinggi Allah Taala daripada sampai kepada mafhum antara segala Zat-Nya.”

Berkata Hadhrat Junaid ra):”Bagaimanakah boleh sampai kepada yang tidak ada padanya sebab (jalan) dan nazar (perasaan hati) maka jauh sekali. Inilah sangkaan, yang menghairankan kecuali apa yang dianugerahkan oleh Tuhan yang Latif sekira-kira tidak ada pendapat, tidak ada kesamaran dalam hati dan tidak tersekat fikiran, melainkan isyarat yakin dan tahkik iman juga.”

Berkata Siddik Al-Akhbar (ra) : “Lemah daripada mendapatkan pendapat , itulah pendapat Tuhannya.”

Berkata Saiyidul A’riffin (Penghulu Orang-Orang A’rif), Hadhrat Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhahu : “ Tiap-tiap apa yang terlintas dan tercita-cita dalam khayalanmu dan tergambar dalam hatimu itu binasa, maka Allah Taala itu bersalahan dengan yang demikian itu.”


Berkata pula Syeikh Abu Ja’far bin Muhammad bin Abdullah As-Suhrawardi (rh), “Ketahuilah sesungguhnya sampai dan bersampai-sampaian itu mempunyai beberapa martabat sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh beberapa orang Syeikh terhadap kedua-duanya itu. Setiap orang yang sampai kepada ketenangan yang meyakinkan dengan jalan zauq dan wijdan(cara kekuatan batin) itu mempunyai satu martabat, daripada martabat-martabat sampai. Kemudian bersalah-salahan martabat mereka itu.”

Ada di antara martabat orang yang mendapatkan Allah Taala dengan cara mengikut jalan afa’al iaitu satu martabat yang ada pada tajalli af’al. Maka ia fana’kan perbuatannya dan perbuatan yang lain kerana berhenti bersama perbuatan Allah Taala dan terkeluarlah ia pada ketika itu daripada berurusan dan berikhtiar. Inilah salah satu martabat daripada martabat-martabat sampai.

Ada pula di antara mereka diberhentikan pada maqam haibah (gerun), dibukakan hati mereka untuk menilik Jalal dan Jamal Allah. Inilah tajalli dengan jalan sifat iaitu salah satu martabat daripada martabat-martabat sampai.

Sesetengah mereka ada yang naik kepada maqam fana yang mengandungkan maqam fana’dalam batinya dengan beberapa nurul yaqin dan musyahadah. Oleh itu wujudnya terpilih dalam syuhudnya dan inilah salah satu bahagian daripada tajalli zat yang ada pada segala orang Khawas (segala Wali Allah) yang terdiri daripada orang-orang Muqarrabin. Inilah salah satu martabat daripada martabat-martabat sampai , dan yang teratas daripada martabat haqqul yaqin. Di dunia ini perkara sedemikian sekejap mata sahaja oleh sebab mesra Nur Musyahadah pada anggota badan hamba termasuklah roh, hati, nafsu dan sehingga seluruh tubuh badannya. Inilah martabat-martabat sampai yang paling tinggi.

Kesimpulannya martabat-martabat sampai kepada Allah Taala itu ada empat martabat :

Pertama : Sampai kepada martabat menjadi hamba Allah Taala yang sebenarnya iaitu orang yang ikhlas mengerjakan ibadat untuk Allah Taala dengan kehendak sendiri tanpa sebab yang lain, seperti diperolehnya yaqin dan zauq.

Kedua : Martabat sampai kepada af’al Allah Taala iaitu orang yang menilik sesungguhnya segala perbuatan itu terbit daripada Allah Taala dan hamba itu memfana’kan perbuatan dirinya dan yang lain.

Ketiga : Martabat sampai kepada sifat Allah Taala iaitu orang yang melihat sesungguhnya tidak ada yang hidup, hanya Allah Taala sahaja.

Keempat : Martabat sampai kepada Zat Allah Taala iaitu orang yang memusyahadahkan, sesungguhnya tidak ada yang maujud itu hanya Allah Taala sahaja.




RAHSIA ILMU ALLAH TAALA, DILARANG MEMBUKANYA

Ketahuilah sesungguhnya segala Ilmu Faqir yang tersebut dalam risalah ini adalah rahsia yang amat halus dan perkataan yang digunakan pun amat dalam. Tidak ada sesiapapun yang dapat memahaminya kecuali ulamak yang rasikh (yang dalam dan teguh ilmunya) atau pengertian lain yang tetap terdahulu cahayanya daripada perkataannya kerana ilmu yang Faqir ini adalah rahsia Nabi-nabi dan wali-wali Allah yang diwarisi oleh mereka yang mengamalkan apa yang di amalkan oleh nabi-nabi yang lain yang teristimewa serta mengerjakan perkara yang diketahuinya. Seperti firman Allah Taala :

Ertinya “Segala misalan itu kami misalkan kepada seluruh manusia dan tidak ada yang memahaminya melainkan orang-orang yang alim. (Surah Al-Ankabut : ayat 43).

Tidak dibenarkan oleh undang-undang syara’ menyatakan, membukakan, dan menzahirkannya kepada orang yang bukan ahlinya kerana akal mereka itu tidak sampai kea rah pengetahuan tersebut. Sebagaimana sabda Nabi (saw) :

Ertinya, “ Kami golongan Nabi-nabi diperintahkan oleh Allah Taala kepada kami semua supaya berkata kepada semua manusia mengikut keupayaan penerimaan akal mereka. Lagi pun kalau akal mereka tidak sampai ke arah memahaminya, maka sudah tentu mereka akan menimbulkan fitnah ke atas kami.”

Sabda Nabi (saw) lagi :

Ertinya, “ Sesetengah ilmu itu keadaannya seperti mutiara yang tersimpan dalam hidangan perut ibunya, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya melainkan orang-orang yang berilmu dengan Allah.”


Orang-orang yang berilmu dengan Allah (Al-A’limuna Billah) itu ialah orang-orang yang mengenal Zat Allah, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan segala perbuatan-Nya malah ilmu mereka beserta dengan Allah Taala dan mengamalkan apa yang diketahuinya tanpa mencederakannya walau sedikitpun.




OLEH : SYEIKH MUHAMMAD NAFIS IDRIS AL – BANJARI
Di petik dari Kitab “Mutiara Yang Indah”, siri ilmu tasawuf Ad-Darun Nafis. Kupasan tentang keesaan af’al, keesaan asma’, sifat-sifat dan Zat Allah Taala yang maha Suci