Friday, July 15, 2011

TUHAN BARU DUNIA MODEN

Oleh : al faqir Walid asy-Syathari

Selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang dicipta dengan kalimah cinta, maka dengan cinta tersebut maka diciptaNya alam ini.

Berfirman Allah dalam hadis Qudsi :
“Aku (Allah) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau keranaKu.” (Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard. halaman 10)

Maka wujud kita dan semua dihadapan kita adalah kerana cinta Allah pada kekasihNya Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.

Justeru itu jangan kita sombong atau angkuh dengan kewujudan kita kerana tanpa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam, siapalah kita di sisi Allah. Kita tidak boleh mencapai cinta Allah tanpa cinta Rasul, kita tidak akan mencapai cinta Rasul melainkan memiliki akhlak yang mulia kerana salah satu sebab Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dilahirkan adalah untuk membaiki akhlak. Bahkan mereka yang paling hampir dengan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam di akhirat ialah mereka yang memiliki akhlak yang mulia.

Wahai saudaraku,

Umat Islam hari ini hidup dalam jurang kebinasaan akidah, justeru itu mereka amat lemah dan menjadi pemuja kepada sistem dan idealogi kuffar. Mereka menganut ajaran penyembahan berhala “DINAR” (wang), berhala “AKAL” (Mind Power), berhala NAFSU dan berhala TEKNOLOGI yang dibawa oleh ajaran Barat. Aspek- aspek tersebut adalah tuhan baru dalam dunia moden ini yang dianggap boleh membawa kehormatan, kekuasaan, sanjungan, keselamatan, kebahagiaan serta menjadi penjamin, penolong dan pergantungan hidup mereka.

Apabila ajaran ketuhanan baru ini meresap dalam masyarakat, maka akan hancurlah aspek kemuliaan manusia dan akhirnya alam ini akan hancur dari tangan manusia sendiri.

Firman Allah :
“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41)

Kerosakan virus ketuhanan yang sesat kini sudah menjalar ke seluruh alam sehingga menghancurkan aspek agama dan budaya sesuatu kaum. Dalam masyarakat Islam kini khususnya di Malaysia, sudah wujud golongan yang mementingkan diri dalam menuju kekayaan, kekuasaan tanpa memperdulikan batas agama dan budaya. Ikatan masyarakat antarabangsa, ikatan kenegaraan, kemasyarakatan dan kekeluargaan yang mulia juga menuju kehancuran.

Peperangan, pembunuhan, perompakan, penipuan, rasuah, rogol, penindasan, kezaliman, pergaduhan, dendam, dengki, fitnah, sihir dan lain-lain lagi adalah buah-buah yang keluar daripada benih jiwa yang tiada bertuhankan ALLAH yang mencipta insan dan alam.

Keruntuhan ini telah diubati oleh setiap Rasul pada setiap zaman sehingga Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam sebagai penutup para Nabi dan Rasul a.s. Tiada ubat yang dibawa oleh para Nabi a.s pada umat mereka walaupun berbeza zaman melainkan mengajak pada satu kalimah penawar iaitu “Laa ilaaha illaLlah…”. Inilah kalimah yang akan membawa manusia kepada benih yang suci sehingga mewujudkan buah yang indah dalam kehidupan bermasyarakat di alam ini dan pada kehidupan yang abadi di akhirat nanti.

Di Malaysia kini, kerosakan akhlak begitu dahsyat dan berleluasa tidak kira bangsa. Anak menghalau, menyaman, memaki, membiarkan malah membunuh ibu bapa. Begitu juga ibubapa ada yang membuang, mendera, menzalimi, membiarkan, membenci dan merogol anak sendiri. Apa yang menyedihkan lagi ia berlaku di kalangan masyarakat Islam yang menekankan kesucian dan kemuliaan akhlak sesama insan. Kehidupan yang rosak ini adalah disebabkan stress dan kerosakan kesucian jiwa sehingga manusia turun ke martabat haiwan, malah lebih sesat daripada haiwan.

Firman Allah SWT :
”Dan sesungguhnya kami jadikan isi neraka jahanam itu kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai qulub (akal) tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat) Allah, mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat (kebenaran dan kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang yang lalai”. (Al-A’raf : 179)

Kecelaruan jiwa dan tekanan pemikiran adalah punca kepada beberapa permasalahan jenayah dan kerosakan akhlak. Ini disebabkan jiwa kosong tanpa pedoman. Jiwa adalah ghaib dan ia datang dari alam ghaib, maka penawarnya juga dari alam ghaib, antaranya dengan mengamalkan zikrullah yang diambil dari Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah SWT :
“Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (ar-Ra’du: 28)

Begitu juga menjadikan Al-Quran sebagai pedoman akan membawa ketenangan, kerana manusia itu akan berada pada garisan yang betul pada matlamat kehidupan, cara kehidupan dan cara pengabdian.

Jika jiwa manusia ini tiada diperjuangkan agar diisi dengan zikrullah, maka jiwa manusia ini akan dikuasai oleh syaitan yang akan membawa mereka kepada garisan yang salah sehingga berlakunya kecelaruan kehidupan seperti membisikkan, “Allah jangan dilupakan tetapi bukan matlamat”, “akhirat jangan dilupakan tetapi bukan matlamat”, “Al-Quran jangan ditinggalkan tetapi ambil yang sesuai”, “zikir jangan ditinggalkan tetapi sekadarnya saja, jangan berlebihan”, “kemuliaan pada harta bukannya ketakwaan” dan pelbagai lagi ajaran yang akan merosakkan jiwa manusia.

Allah mencipta jiwa dengan penciptaan yang amat rahsia sehingga sedikit pengetahuan sahaja yang dapat diketahui bagi para pengkaji.

Firman Allah SWT :
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (al-Israa’ : 85)

Kita wajib mengenali diri yang di dalam sekadar mana yang diizinkan agar dapat mengenal akan diri sendiri. Apabila kita mengenal siapakan diri kita, maka dengan sendiri kita akan berada pada garisan yang benar dalam kehidupan.

Sesungguhnya merenung di dalam diri adalah diperintah Allah kerana dalam diri mu adanya rahsia, di dalam rahsia adanya jawaban yang amat penting bagi diri mu, ia akan membawa mu kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT :
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (Adz-Dzariyat : 21)

Marilah kita merenung diri kita yang di dalam…
Siapakah dia, dari mana datangnya dan ke mana ia akan pergi?

Wallahu ‘alam.