Asmaul Husna dan Ismullah al-a’zam
Asmaul Husna
Al-Hashr [24] Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya
Taha [8] Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
Tuhan kita ini mempunyai 1,000 nama. 300 nama terdapat dalam Taurat, 300 dalam Zabur, 300 dalam Injil, 99 dalam Al-Quran dan 1 nama yang tersembunyi. Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi s.a.w bersabda:
”Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama iaitu seratus kurang satu. Siapa menghafalnya masuk syurga.” (Muslim)
Al-A’raf [180] Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu…
Al-Isra [110] Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama “Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia…
Ismullah Al-A’zam
Diantara nama-nama itu terdapat 1 nama yang teragung dikenali sebagai ismullah al-a’zam”, yang bila diucapkan dalam doa, Allah akan mengabulkannya (disebut di dalam hadith).
Daripada Abdullah ibn Buraidah daripada bapanya, bahawa Rasulullah s.a.w. telah mendengar seorang lelaki berkata di dalam doanya yang bermaksud: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan bersaksi bahawa sesungguhnya Engkau adalah Allah. Tiada Tuhan selain Engkau Yang Maha Esa, yang menjadi tempat bergantungnya segala sesuatu, yang tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan dan tidak ada yang menandingi-Nya.”
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Demi zat yang aku ada dalam kekuasaannya, Sesungguhnya anda telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya yang paling Agung yang bilamana Dia dimintai dengan nama (asma)-Nya itu, Dia pasti akan memberi dan jika dimintai dengannya pasti akan dikabulkan“.
Cuma cara untuk berdoa dengan nama itu tidak diketahui. Ulama nahu (grammar) mengatakan nama itu ialah Allah kerana ia adalah satu perkataan tunggal, perkataan yang merdeka iaitu tidak berasal dari perkataan lain. Ada juga ahli tarikat dan sufi seperti Muinuddin Chisti yang mengatakan nama itu ialah “Ya Hayyu Ya Qayyum“. Oleh itu disyorkan agar berdoa dan berzikir dengan menggabungkan keduanya iaitu “Allahu Lailaha illa Huwal Hayyul Qayyum“.
Dari Asma Binti Yazid, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Nama Allah yang paling agung adalah yang ada pada dua ayat berikut. Baqarah [163]Dan tuhan kamu ialah tuhan Yang maha Esa; tiada tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah Yang maha Pemurah, lagi maha Mengasihani. Ali-Imran [1-2] Alif, Laam, Miim. Allah tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya
Sentiasalah sebut nama Allah, sepertimana orang yang menyayangi sesuatu atau seseorang selalu menyebut namanya.
“Tidaklah duduk suatu kaum berzikir (menyebut) nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan dinaungilah mereka oleh para malaikat, dipenuhi mereka oleh rahmat Allah dan diberikan ketenangan kepada mereka, juga Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Imam Tirmizi dan Imam Ibn Majah dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri r.a.)