Saturday, September 19, 2015

~Fitnah~ via Ibnu Batoota


Para ulama mursyid yang haq akan melihat sesuatu (dengan mata firasat mukmin dengan izin Allah) fitnah (kerosakan) pada umat sebelum ianya berlaku dan mereka akan ingatkan umat akan kerosakannya agar masing-masing selamatkan diri. Orang awam yang tidak dipimpin mursyid pula, mereka akan terlibat dalam fitnah tersebut dan merekalah sebahagian daripada fitnah itu dan mereka akan mencaci maki sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan mereka termasuklah para ulama dan akan menganggap ulama yang beza pendapat dengan mereka itu sebagai ulama jahat, ulama "tak kaji habis", ulama "tak belajar habis", ulama "tak research dulu sebelum buat statement", ulama "ke laut" dan lain-lain gelaran. Mereka akan hanya sedar mereka dilanda fitnah selepas semuanya sudah rosak dan keadaan tidak dapat diselamatkan lagi. Ketika itu mereka terpaksa menjilat ludah mereka sendiri....
Itulah yang berlaku sejak dulu, dan dulu, dan dulu dan dulu... Dan ia akan terus berlaku sampai sekarang dan sampai kiamat... Tambahan lagi di akhir zaman ni, penuh dengan fitnah Dajjal... Yang putih dikatakan hitam, yang hitam dikatakan pelangi, yang busuk dikatakan kasturi.... Orang yang tiada mursyid, tiada sohbah dengan mursyid, tiada berada di dalam pimpinan mursyid, mereka tidak mungkin selamat dari fitnah ini. Walaupun mereka bergelar ulama.
Kewujudan ulama suu' (jahat) itu memang benar berdasarkan hadis dan ia merujuk kepada ulama yang pengajiannya tidak bersanad, terputus sanad, kosong tasawwuf, melebihkan dunia dari akhirat dan tiada mursyid. Yang mengenal fitnah Dajjal dan mengenal siapa Imam Mahdi hanyalah wali-wali Allah, yang mendampingi mereka hanyalah orang soleh, yang mendampingi orang soleh adalah orang-orang terpilih yang tawadhuk hatinya. Bahkan Imam Mahdi sendiri tidak tahu dirinya merupakan Al-Mahdi. Beliau akan dibaiat oleh para wali yang diberi ilham oleh Allah akan ke khalifahannya.
Oleh sebab itu, mana-mana "gerakan Islam" yang tidak dinusrah (dibantu) oleh golongan Auliyaa' (para wali), maka gerakan itu BATIL. Kerana mereka hanya akan membantu perjuangan Islam yang haq sahaja, yang mirip dengan standard Nubuwwah walaupun berbeza manhaj dan berbeza jemaah di seluruh dunia. Golongan yang haq yang akan bersama Al-Mahdi melawan Dajjal BUKANLAH golongan yang siang malam sibuk mengkaji peristiwa akhir zaman... Itu hanyalah pekerjaan sia-sia.... Tapi yang akan bersamanya ialah mereka yang kini sedang berada di dalam "latihan riadah" untuk bersamanya dan sebagai persediaan bertemu Dajjal.
Mereka tiada senjata, melainkan zikir. Nafas dan pandang mata mereka sudah cukup mencairkan ejen-ejen Dajjal. Tapi untuk membunuh Dajjal, tiada wali bahkan Mahdi sendiri tidak mampu untuk membunuhnya dengan kerohanian, hanya Nabi Isa 'alaihissalam yang layak dan akan membunuhnya dengan pembunuhan rohani, cahaya mata dan zikir nafas berbisa...
"Hanya jauhari mengenal manikam."
Note: Saya bukanlah ulama, jauh sekali mursyid, apatah lagi wali. Tapi saya ada guru mursyid yang saya jadikan rujukan sentiasa walau sekecil perkara. Saya tidak akan menyokong atau menentang sesuatu kecuali dengan perkenan dari mursyid saya.
Note 2: Untuk tahu seseorang guru rohani itu mursyid atau tidak, mereka akan sentiasa bersepakat setuju sesama mereka dalam sesuatu perkara walaupun tidak pernah berjumpa. Kerana kesepakatan mereka itu ilham dari Allah, bukan dari akal, nafsu atau pertolongan teknologi.
note 3: Untuk mencari mursyid, perlu kepada solat hajat dan amalan soleh dan sunnah. Kemudian, hadirilah majlis ulama-ulama soleh. Jika mereka bercakap dan menyeru perkara yang sama dan perasaan tenang bersama mereka dirasai sama. Itulah mursyid. Orang yang melazimi hadir ke majlis para mursyid akan sedar perkara ini dengan mudah. Orang yang selalu lari dari majlis ulama pula akan diharamkan Allah untuk mereka bertemu mursyid.