Thursday, September 2, 2010

PERUBATAN ISLAM ATAU PERUBATAN MUSLIM?




BLOG DR.AZWAN
NO.28 JALAN 17/108, TMN SALAK JAYA, SALAK SELATAN, 57100 KUALA LUMPUR
H/P : 012 – 959 7074
------------------------------------------------------------------------------------
Wednesday, October 29, 2008
Perubatan Islam atau Perubatan Muslim? - bahagian 1

Assalamualaikum,

Konsep perubatan Islam difahami dengan pelbagai sudut oleh pelbagai pihak. Perbezaan ini lebih dikelirukan dengan pendapat-pendapat daripada mereka yang tidak berbelakangkan bidang perubatan. Terma perubatan Islam dan perubatan Muslim digunakan secara wewenang seolah ia adalah perkataan yang sama dan membawa maksud yang sama.

Prof Dr Omar Hassan Kasule, pensyarah dari Universiti Brunei telah mengupas maksud derihal terma ini. Beliau seorang pakar epidemiology lulusan Harvard yang merupakan seorang lulusan doktor perubatan. Berasal dari Uganda, mahir di dalam 6 bahasa termasuk bahasa Arab, beliau pernah menjadi professor saya di UIAM di dalam bidang Islamic Reveal Knowledge dan Epidemiology. Beliau adalah di antara yang awal membentangkan kertas kerja tentang perubatan Islam moden di banyak negara termasuk Malaysia. Beliau memperkatakan masalah ini dari sudut yang lebih meluas termasuk perubatan Islam dengan menggunakan al-Qur'an dan Tibb Nabawi.

KENAPA TOPIK INI PENTING?

Ramai yang silap faham atau atau sekadar memahami bahawa perubatan Islam itu hanyalah doa, jampi dan amalan herba dan makanan yang disebut Rasulullah atau yang disebut di dalam al-Qur'an sahaja. Atau ada yang menganggap perubatan Islam itu adalah ketika "melawan JIN" atau "makhluk halus". Ada yang memahami perubatan Islam sebagai bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an sahaja.

Topik ini sangat penting kerana, apabila masyarakat Islam ingin mengadakan sebuah institusi seperti Hospital Islam, kita harus kembali kepada persoalan tuntas. Perubatan yang bagaimana harus dilaksanakan dan dipraktikkan? Tentulah Hospital tersebut perlu melaksanakan perubatan yang bercirikan Islam. Jadi definisi dan terma Perubatan Islam itu sendiri perlu jelas. Pada dasarnya apakah itu Perubatan Islam?

Bagaimana pula Universiti Islam yang ingin mengajar perubatan Islam di Universitinya? Perubatan Islam yang bagaimanakah perlu diajar? Apakah pendekatannya? Perubatan Islam yang sebagaimana?

Oleh itu artikel saya ini sedikit sebanyak akan mengupas isu apa itu perubatan Islam yang diamalkan oleh Hospital-hospital yang berteraskan Islam. Ia harus meluas, fleksibel di dalam kepungannya yang unik dan tersendiri, di mana batas dan ruangannya dan sebagainya.

PERUBATAN BERSUMBERKAN AL-QUR'AN - TIBB QUR'ANI

Ada yang berpendapat bahawa Perubatan Islam itu adalah perubatan yang disebut di dalam al-Qur'an. Al-Qur'an banyak menyentuh tentang penyakit spiritual dan penyakit fizikal di dalam ayat-ayatnya. Al-Quran menegaskan bahawa penyembuh segala penyakit adalah dari Allah SWT kerana DIA adalah Maha Penyembuh.

Al-Quran juga menyentuh tentang halal dan haram makanan yang boleh membawa kepada penyakit, makan berlebihan, dan panduan tentang ubat-ubat yang datang daripada madu lebah. Qur'an juga ada menyentuh tentang kejadian manusia, penyakit berjangkit, keburukan alkohol, kejadian manusia dan kebaikan berpuasa.

Hakikatnya al-Qur'an adalah buku panduan untuk kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Ia adalah dalil kewujudan Allah dan membuktikan bahawa Allah adalah Maha Bijaksana dan Maha Pencipta. Ia bukanlah satu buku teks perubatan khusus. Ia tidak menetapkan ubat yang khusus untuk penyakit yang khusus. Ia menyuruh manusia supaya berfikir, berusaha dan menambah ilmu untuk kebaikan manusia yang lain. Sesiapa yang menyelamatkan seorang manusia seolah-oleh dia menyelamatkan seluruh Umat. Pendekata al-Quran membawa pengertian lebih besar dan luas daripada hanya khusus kepada masalah kecil di dalam perubatan.

Prof Omar Kasule tidak pula menerangkan tentang aspek sesetengah golongan orang Islam mengkomersialkan ayat-ayat al-Qur'an sebagai air-air jampi yang dibotolkan dan dijual untuk meraih keuntungan di atas nama perubatan. (Saya pun tak bertanya pula). Adakah wajar mengambil keuntungan sebegitu dengan menjanjikan sesuatu penawar kepada penyakit yang adakalanya tidak ada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan pada masa ini.

PERUBATAN CARA RASULULLAH SAW - TIBB NABAWI

Selain daripada al-Qur'an, sumber perubatan Islam boleh diperolehi daripada Tibb an-Nabawi.

Tibb An-Nabawi - atau perubatan berasaskan perkataan dan perlakuan Rasulullah juga telah didefinisikan sebagai perubatan Islam. Sahih Bukhari telah meriwayatkan 129 hadis Rasulullah yang berkaitan dengan perubatan Islam. Habbatus Sawda' dicadangkan oleh Rasulullah sebagai ubat secara umum dan telah dibuat kajian secara intensif oleh ramai Professor Islam dan menunjukkan peningkatan sistem imuniti melaluinya.

Banyak juga Tibb an-Nabawi yang menyentuh tentang masalah spiritual. Di dalam perubatan nabi inilah maka sistem asas perubatan Islam diperkenalkan iaitu setiap penyakit itu ada ubatnya. Ini sepatutnya menyedarkan ramai Saintis Islam tentang pencarian ubat-ubatan kepada penawar penyakit yang masih belum dijumpai melalui eksperimen secara piawai mengikut tahap yang diterima dunia.

Penyataan bahawa semua penyakit itu ada ubatnya, pada pendapat saya harus berada di dalam satu konotasi yang betul. Adakah wajar apabila seseorang yang mengatakan di dalam Islam, semua penyakit ada ubatnya, lalu mengambil segenggam daun yang entah dapat dari mana, lepas tuh meletakkan namanya dengan nama "Misai Harimau" dan mempromosikan inilah ubat untuk kanser hati, kanser itu dan kanser ini. Walhal, tiada satu pembuktian pun telah dibuat melalui eksperimen yang diterima pakai oleh ahli bijak pandai? Bolehkan ini diselarikan dengan 'semua penyakit ada ubatnya'?.

Apa-apa yang Rasulullah sebut adalah sentiasa benar dan boleh dipraktikkan. Doktor Islam tidak sewajarnya mempertikaikan tentang perubatan Rasulullah SAW kerana ia sangat berkesan pada zamannya dan juga sebahagiannya kini. Tibb Nabawi banyak mengajar tentang Penjagaan Kesihatan secara "Primary" iaitu rawatan pencegahan. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat oleh itu ia adalah aspek yang sangat penting sehingga kini.

Cara Rasulullah menjaga adab makan sebagai contoh boleh mengelakkan segala macam penyakit yang timbul akibat masalah nutrisi masa kini. Kesihatan mental, kebersihan seksual (membersihkan diri, mandi, berkhitan), menjaga persekitaran dan kebersihan dan menjaga penyakit berjangkit sangat berkesan dan diamalkan setiap hari oleh semua umat Islam. Malah penyakit psikosomatik - penyakit fizikal yang berasal daripada masalah mental - banyak disembuhkan melalui cara-cara spiritual seperti ibadah dan amalan doa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Cuma keterbatasan dari sudut penyakit dan diagnosis pada ketika itu, sumber ubat-ubatan, penyakit-penyakit baru yang timbul dan pelbagai kemajuan dari aspek perubatan menjadikan ilmu-ilmu pada masa itu tidak mencukupi untuk menampung perkembangan ilmu-ilmu perubatan kini yang semakin pesat. Amat sukar untuk memastikan rawatan apa untuk penyakit yang bagaimana pada waktu ini kerana perbezaan penyakit yang ada pada waktu itu dan kini.

Apa itu perubatan Muslim?

Sambung ke Bahagian 2
Posted by Dr Azwan at 12:52 PM

-------------------------------------------------------------------------------------

Sunday, November 2, 2008
Perubatan Islam dan Perubatan Muslim - Bahagian 2


Sambungan....

PERUBATAN ISLAM HANYA BERASASKAN NILAI DAN MORAL SAHAJA?

Adakah hanya dengan menetapkan bahawa perubatan moden yang menjaga etika, nilai yang tinggi dan moral sudah menjadikan perubatan itu dipanggil perubatan Islam.

Ini tentulah agak sukar kerana perubatan berdasarkan hanya nilai dan moral sangat subjektif dan sangat sukar untuk didefinisikan. Walaupun begitu, etika dan nilai moral yang tinggi adalah salah satu ciri perubatan Islam tetapi tidak hanya behenti di setakat itu sahaja.

PERUBATAN TRADISIONAL MUSLIM

Pada waktu ini, pengamalan perubatan tradisional orang Islam menggunakan ramuan tradisional pada zaman dahulu digelar perubatan Islam.

Mengapa pengamal perubatan tradisional Islam mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun perubatan semakin moden?

Ada beberapa sebab. Pertama, kegagalan perubatan moden mencapai ke dalam kawasan-kawasan ceruk dan pendalaman. Sebagai contoh-contoh di kawasan kampung yang sukar dari segi akses, maka pengamal perubatan tradisional Islam akan mendapat tempat.

Kedua, adakalanya perubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Islam memang ada keberkesanannya. Ubat tradisional adakalanya telah diuji selama beberapa dekad dan generasi. Sekiranya ia tidak mujarab maka ia sudah lama berkubur, tetapi oleh kerana ia mujarab, ia terus digunakan sentiasa. Contohnya gamat yang boleh menyembuhkan luka telah digunakan selama beratus tahun.

Ketiga, Sikap segelintir orang Islam yang cuba menjauhi daripada perubatan yang ada kena mengenai dengan dunia barat.

Keempat, pengamal perubatan tradisional Islam lebih memandang manusia secara menyeluruh (bukan sekadar penghidap penyakit), mempunyai lebih banyak masa untuk mendengar masalah pesakit dan tidak menggunakan teknologi yang kadang-kadang tidak disenangi oleh segelintir pesakit. Sedangkan di hospital, kebanyakan doktor terpaksa melayan beratus pesakit sehari menjadikan masa bukan berada di pihak mereka.

Malah, kewujudan lebih banyak perubatan tradisional turun temurun yang diamalkan oleh orang Islam sebenarnya bukan satu fenomena lokaliti tetapi menyeluruh ke banyak tempat disebabkan oleh kegagalan perubatan moden untuk menangani isu yang disebutkan di atas.

Walaubagaimanapun, Islam melarang umatnya yang mengamalkan perubatan tradisional menggunakan sihir, menilik nasib dan tangkal. Ada juga yang menggunakan jin atau mengaku mempunyai kuasa mengawal jin. Perbuatan-perbuatan ini telah jelas di dalam Quran dan sunnah adalah syirik dan menghampiri syirik. Ini adalah antara sebab ada perubatan tradisional tidak lagi popular di kalangan umat Islam secara majoriti.


DEFINISI BARU PERUBATAN ISLAM

Cadangan oleh Prof Omar Kasule untuk mendefinisikan Perubatan Islam sebagai amalan perubatan di mana dasar paradigma dan konsep, nilai dan prosedurnya sesuai dan tidak bercanggahan dengan al-Qur'an dan Sunnah. Ia tidak bergantung kepada prosedur dan ubat-ubatan tertentu yang menjadikan ia sebagai perubatan Islam tetapi perubatan Islam itu meluas, mencakupi kesemua dan fleksibel, dan melalui proses perkembangan termasuk cara berubat dan pemeriksaan penyakit.


ADAKAH PERUBATAN ISLAM HANYA UNTUK ORANG ISLAM?

Saya tertarik dengan persoalan ini. Adakah Perubatan Islam hanya untuk orang Islam, atau adakah ia adalah universal dan mencakupi ke seluruh dunia tanpa mengira agama, negara dan warna kulit?

Bila persoalan ini diungkapkan, perubatan Islam tentulah perlu berada pada aras cemerlang atau lebih cemerlang daripada perubatan barat yang ada sekarang.


PERUBATAN BERASASKAN BUKTI CIRI-CIRI PERUBATAN ISLAM

Perubatan empirikal atau perubatan berasaskan bukti (Evidence Based Medicine) adalah satu pembuktian secara saintifik yang telah diamalkan beratus-ratus tahun sejak zaman yunani dan greek dan diteruskan dan didokong oleh saintis Islam pada zaman kegemilangannya kemudian diteruskan oleh saintis barat dan Islam sehingga kini.

Ia adalah prioriti dan dianggap piawai kepada kecemerlangan ilmu saintifik. Malah perubatan berasaskan bukti adalah selari dengan Islam. Walaubagaimanapun, terdapat kelemahan-kelemahan perubatan empirikal yang diamalkan barat seperti "biased", kelemahan dari sudut pemerhatian dan sbg, ia boleh ditambah baik di dalam perubatan Islam.


MENG"ISLAM"KAN BIDANG PERUBATAN

Islamisasi di dalam sistem perubatan adalah perlu kerana sistem perubatan itu sendiri bukanlah hak barat sahaja malah ia adalah satu perkara yang universal. Malah ramai doktor dan saintis Islam telah banyak menyumbang kepada kemajuan bidang perubatan ini.

Perubatan Barat tidak melihat moral dan isu sosial sebagai perkara penting di dalam masalah pesakit. Apabila pesakit datang kerana masalah hati atau liver chirrosis, maka doktor tidak menyentuh tentang keburukan alkohol dan kenapa pesakit perlu berhenti daipada meminum arak. Mereka hanya mahu merawat masalah dan lupa kepada akar masalah tersebut yang bertitik tolak daripada nilai dan moral pesakit.

Begitu juga amalan kapitalis yang menjadikan perubatan hanya untuk mengaut keuntungan dan kekayaan. Ini menjadikan masalah penipuan dan "malpractice" di dalam perubatan adalah tinggi.

Sumber Ilmu di dalam Islam terbahagi kepada 2 iaitu sumber wahyu dan "kawn" atau dunia eksperimen. "Aqal" atau intelektual adalah alat yang diberi kepada manusia untuk menta'kul dan berfikir dan menguruskan 2 sumber ilmu tadi iaitu "wahyu" dan "kawn".

Pemikiran Barat tidak menerima "wahyu" sebagai sumber ilmu. Mereka bersifat materialistik, tidak mempercayai agama dan adalakalanya anti agama. Oleh itu "ghaib" iaitu satu entiti yang tidak dapat dilihat tidak dimasukkan sekali.

Oleh itu mereka bertindak berdasarkan sistem moraliti yang vakum. Tidak ada sistem moral yang berdiri. Oleh itu mereka cuba menyelesaikan masalah perubatan disebabkan oleh moral tadi dengan menggunakan hanya sistem kecanggihan teknologi sahaja. Ini yang menyebabkan kegagalan sistem perubatan barat berbanding Islam.

KESIMPULAN

Keadaan kita sekarang telah diterangkan oleh Imam Shafiie seribu tahun yang lalu yang ditulis oleh Jalaludin as Sayuti di dalam bukunya Tibb an Nabawi.

"Selepas sains yang membezakan di antara halal dan haram, saya tidak mengetahui satu pun ilmu sains yang lebih tinggi daripada ilmu perubatan... benarlah, Ahli Kitab telah mengalahkan kita dan meninggalkan kita jauh dari dalam bidang ini..."

Semoga proses Islamisasi di dalam bidang perubatan dapat meningkatkan lagi kemampuan intelektual dan motivasi kita secara prakikal untuk bekerja keras di dalam bidang penyelidikan perubatan agar Islam dapat kembali lagi sebagai pemimpin di dalam bidang ini.

Wallahu A'lam.