BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
DUHAI SAHABAT, KETAHUILAH:
Allah mencipta manusia [al-khalak/INSAN] dengan penuh keistimewaan berbanding makhluk-makhluk lain seperti Malaikat, Syaitan, Jinn dan sebagainya, sehingga Dia menabalkan manusia sebagai KHALIFAH dimuka bumi. Ini adalah kerana Allah mempunyai rencana sehinggakan manusia yang menepatinya; mengenal Allah, asal-usulnya, rahsia dan missi sebenar kejadiannya, akan mencapai kedudukan paling istimewa dan lebih tinggi dan mulia dari para Malaikat yang tidak pernah berbuat dosa. Tetapi andainya manusia mengkhianati rencana tersebut, manusia akan mengundang kebinasaan dan kehinaan,malah menjadi terlebih hina dari haiwan!
Firman Allah,Q.Surah at-Tiin:4-5, bermaksud:
‘ Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Kemudian Kami kembalikan dia ketempat yang serendah-rendahnya.’
Pada hakikatnya, manusia itu terbahagi kepada dua unsur; yakni, unsur Jasmani/materi [dari Adam] dan unsur Rohani, [ bersumber dari Allah], seperti FirmanNya, bermaksud:
‘ Ku tiupkan kedalam jasadnya akan RohKu.’
Dari segi bentuk dan rupa jasmaninya, semua manusia itu kelihatan/memiliki banyak persamaan. Justeru, manusia itu tertakluk dibawah perundangan/peraturan umum kemanusiaan. Dari segi kerohanian pula, yang tersorok/tersembunyi dibalik rupa dan bentuk fizikalnya,setiap manusia itu amat berbeda antara satu dengan yang lain. Justeru, perlunya peraturan yang khusus untuk digunapakai baginya.
Menurut perundangan/peraturan Syariat Islam, umumnya, manusia itu jika patuh seluruhnya,gigih dalam perjalanannya untuk mencari, mencapai dan memperoleh ketinggian Rohaninya, boleh meningkat tahap demi tahap, maqam demi maqam, sehingga mencapai suatu tingkat Kerohanian [SPIRITUAL] yang kemuncak; yakni maqam Pengenalan/Makrifat pada mertabat kerohanian dalam dimensi keakraban, dialam KeTuhanan. Dalam hubungan itu, Rasulullah memuji Maqam tersebut dalam sebuah hadithnya, bermaksud:
' Ada suatu Maqam/tingkatan/tahap dalam mana segala sesuatu dan kesemuanya dikumpulkan - dan itulah Makrifat KeTuhanan.'
Adalah sesuatu yang bukan mudah untuk menggapai tingkatan tersebut kerana sebagai prasyaratnya, kita harus terlebih dahulu menyingkir kepalsuan/hipokrisi diri dan tingkahlaku luaran yang kita pamirkan kepada umum. Seharusnya, kita bersifat telus dan tulus! Sukar tetapi tidaklah mustahil!
Kemudian, kita harus menyediakan tiga matlamat syurga untuk dicapai, yaitu:
1] Syurga Ma'wa -atau syurga dunia.
2] Syurga Naim - atau taman syurga istirehat yang menerima barokah Allah,dialam malaikat,dan;
3] Syurga Firdaus - Syurga dialam KeTuhanan, tempat perhentian keRohanian,
Asma/Nama dan Sifat-Sifat KeTuhanan.
Demikianlah ganjaran-ganjaran, dengan serba keindahan dari Allah yang disediakan bagi manusia materi, setelah ia berjaya menempuh/mengharungi tiga peringkat ilmu, yaitu:
1] Gigih mematuhi Syariat Islam.
2] Gigih dalam Jihadun-Nafs menyingkirkan kepelbagaian [multiplicity] dalam diri sendiri, yakni, nafsu/syahwat/ego diri, menerusi amalan sesuatu Tariqat/Jalan.
3] Dan akhir sekali, gigih dalam menggapai dan mencapai Maqam Pengenalan/Makrifatullah dimana manusia itu beroleh pengenalan dan kehampiran dengan Tuhannya.
Rasulullah, bertitik-tolak dari hadith diatas, meneruskan dan merumuskan dalam Hadith baginda, bermaksud:
' Dengan Makrifatullah, seseorang itu mengetahui kebenaran segala sesuatu
dan bertindak berpaksikan kebenaran tersebut. Ia akan mengenal sebarang
kepalsuan lalu menyingkirkannya.'
Baginda berdoa:
' Oh Tuhan, tunjukkanlah kepada kami kebenaran dan bimbinglah kami mematuhinya;
ajari kami mengenali kepalsuan, dan permudahkan jalan untuk kami menghindarinya.'
Dan lagi sabda baginda, bermaksud:
' Barangsiapa mengenali dirinya dan gigih menghindari ego-diri/nafsu/syahwatnya,
akan mengenali Tuhannya dan menuruti segala kehendakNya.'
Demikianlah peraturan-peraturan berhubung-kait dengan manusia materi/zahir/jasmani.
KEROHANIAN
Dari sudut Kerohanian pula, atau disebut disini, manusia spiritual [INSAN KAMIL],
matlamatnya hanyalah memperoleh kedekatan/kehampiran dengan Allah. Kaedah mencapai kedudukan/tingkatan ini hanyalah menerusi Ilmu Hakikat atau, diperingkat alam Ketuhanan Mutlak, dikenali sebagai Ilmu Tauhid Makrifatullah.
Setiap manusia mempunyai harapan untuk menggapai/mencapai ilmu atau jalan tersebut
semasa menjalani kehidupan didunia ini, dimana, jika berjaya memperoleh kedudukan
tersebut, baginya, tiada perbedaan diantara tidur dan jaga, kerana meskipun
dalam keadaan tidur, Roh seseorang itu akan seringkali melepasi/pulang kealam asal-usul kejadiannya, dialam Roh/Arwah, dan kembali semula kedunia membawa sesuatu berita
yang dinamakan mimpi. Mimpi begini adalah benar dan tulen. Mimpi ini boleh merupakan sebahagian, seperti mimpi biasa; dan boleh juga merupakan keseluruhan [total], seperti peristiwa MIKRAJ Rasulullah.
Allah mengesahkan kenyataan ini dalam firmanNya, Q.Surah al-Zumar:42, bermaksud:
' Allah mengambil jiwa [manusia] ketika matinya dan [memegang] jiwa [manusia]
yang belum mati diwaktu tidurnya; maka Dia tahan jiwa [manusia] yang Dia telah
tetapkan kematiannya, dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang
ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda
kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.'
Rasulullah merujuk kepada kedudukan ini dalam sebuah hadithnya, bermaksud:
' Tidur seorang yang Arif itu adalah lebih baik dari ibadah/ pengabdian seorang yang jahil.'
Manusia yang Arif itu adalah mereka yang telah menguasai ilmu kebenaran/haq
[Makrifatullah]. Ilmu Makrifatullah tanpa berhuruf tanpa bersuara ini, mampu diperoleh hanya melalui sebutan/ingatan berterusan/berkekalan akan Asmaul-Tauhid dengan lidah/qalbu rahsia[sirr]. Manusia yang Arif itu memiliki lubuk jiwa bercahaya keTuhanan, dipancarkan oleh NurTauhid-Makrifatullah.
Allah berbicara melalui RasulNya, bermaksud:
' Insan [Manusia itu] adalah RahsiaKu dan Aku Rahsianya. Ilmu al-Batin, yakni,
ilmu spiritual dalaman ini adalah rahsia dari RahsiaKu. Aku taruh ilmu ini didalam
qalbu/hati hamba yang Aku kasihi, dan tiadalah siapa mengetahui keadaannya
melainkan Aku.'
Dan lagi, bermaksud:
' Aku adalah menurut sangkaan hambaKu. Bila ia mencari dan mengingatiKu,
Aku akan bersertanya. Jika ia mengingatiku dalam dirinya, Aku menyertainya
dengan ZatKu. Jika ia mengingatiKu dan menyebutKu dihalayak yang baik,
Aku akan mengingati dan isytiharkan ia sebagai hambaKu yang baik dihalayakKu
yang terlebih baik.'
TAFAKKUR
Dari cetusan seperti telah dicatatkan, kaedah yang boleh dan harus digunapakai bagi mencapai tujuan/maksud kita, hanyalah melalui sesuatu yang amat jarang di gunapakai oleh halayak umum, yakni, TAFAKKUR.
Amalan seharian kita hanya dengan kaedah biasa, seperti berdoa, berwirid, berzikir, bermunajat dan sebagainya; namun jarang sekali dengan kaedah bertafakkur. Barangkali juga disebabkan oleh ketiadaan ilmu, cara bagaimana mengamalkannya!
Rasulullah bersabda, bermaksud:
' Tafakkur sesaat lebih baik/bernilai dari setahun ibadah/pengabdian.'
' Tafakkur sesaat lebih baik/bernilai dari 70 tahun ibadah/pengabdian.'
' Tafakkur sesaat lebih baik/bernilai dari seribu tahun ibadah/pengabdian.'
Kenyataannya ialah setiap ibadah itu memiliki nilai tersembunyi didalam zat/lubuk
kebenaran. Jelas, tafakkur mempunyai tiga nilai yang berlainan, seperti diatas.
Barangsiapa tafakkur/memikirkan sesuatu keadaan, dan dalam pemikiran dan pencarian
penyebabnya akan menemui banyak bahagian, dan setiap bahagian ini adalah penyebab/pemangkin kepada beberapa banyak keadaan yang lain pula.Tafakkur
yang bersifat begini memiliki nilai setahun ibadah.
Barangsiapa tafakkur/memikirkan tentang ibadah/pengabdiannya dan mencari penyebab
dan natijahnya lalu memperolehinya, maka nilai tafakkur yang bersifat begini
ialah tujuh puluh tahun ibadah.
Barangsiapa tafakkur/memikirkan tentang pengenalan/Makrifatullah [KeTuhanan]
dengan sepenuh kesungguhan dan kekuatan/iltizam untuk mengenali dan menghampiri Allah Yang Maha Tinggi, maka tafakkur yang begini sifatnya bernilai seribu tahun ibadah/pengabdian.
FAHAMKAN
Aduhai Sahabat! Renungkanlah dan carilah kaedah untuk memikir dan memahaminya!
Sesungguhnya, ilmu yang sebenar ialah Ilmu Haq, Ilmu KeTuhanan, dalam maqam
penyatuan/Tauhid. Didalam maqam ini Sang Arif/Kekasih bersatu dengan Kekasihnya
[Beloved]. meskipun dari alam materi, namun dengan sayap kerohanian [spiritual],
ia terbang membumbung dan melangit kearah alam pencapaian, KeTuhanan dan Kekasih [Beloved]. Kerana, Si'Alim/Wara' hanya berjalan keSyurga, namun,tidak dengan Si'Arif, yang pastinya terbang melangit untuk berdekatan/berhampir dengan Tuhannya!
Kekasih tulen/sejati memiliki mata didalam Hati,
Mereka melihat, namun yang lain butamata,
Bukan dari darah daging, sayap mereka miliki,
Mereka membumbung/melangit, kearah Tuhan untuk bersama.
Penerbangan ini, sebenarnya terlaksana dialam spiritual Si'Arif, dan selayaknya,
Allah memuliakan, mengiktiraf dan menggelar mereka manusia sejati, WaliNya,
KekasihNya, MaksyukNya dan PasanganNya. Malah, barangsiapa yang berhampir dengan Allah akan menjadi Kekasih Allah!
Walaupun demikian, para Kekasih/Wali Allah tersebut dipakaikan Allah dengan rupa
dan tingkah manusia biasa, seperti firmanNya dalam Hadith Qudsy, bermaksud:
' Para KekasihKu tersembunyi dibawah langitKu.Tiada yang mengenali mereka
melainkan Aku.'
Seperti juga Si-rupawan yang berselindung dibalik hijabnya, tiada wajah yang kelihatan melainkan hijab jua!
Berkata Yahya ibn Muadh al-Razi: ' Para Kekasih Allah adalah wewangian Allah
didunia ini, meskipun, hanya mereka yang benar-benar beriman sahaja yang memiliki penciuman mencium wangian tersebut.'
Sewajar dan selayaknya, manusia harus mencari/menghambat haruman dari wangian ini, kerana haruman ini akan menerbit/mencetus, menyala dan meletuskan api kerinduan didalam hati mereka terhadap Allah S.W.T. Setiap jiwa yang tersentuh, akan terus meningkatkan kegigihan dan pengabdian diri dalam ibadah mereka untuk mendekatiNya. Kerana tiadalah ertinya hidup atau wujud diri ini jika kita jahil ilmu, tidak mengenaliNya, lalu tersingkir jauh dari Rahmat dan CintaKasih Allah!
Namun, kelajuan dalam mendekatiNya dan darjah/tahap kerinduan terhadap Allah adalah bergantung kepada kemampuan manusia itu menyingkirkan beban kedunian yang ditanggungnya.Kerana, kehampiran dengan Allah itu amat bergantung kepada darjah penyingkiran kepalsuan materi/kebendaan, diri, dan keduniaan.
Kekasih Allah itu ialah dia yang berjaya mengembalikan dirinya ketahap tidak memiliki sesuatu dan tidak pula dimiliki sesuatu. Hanya dari dalam kerangka ' tiada diri' dan 'tiada aku', manusia itu dapat menyaksikan kewujudan Kebenaran [Truth].
PERUMPAMAAN
Ikatlah kaki kedua ekor burung,
Pasti ia tak mampu terbang membumbung,
Apakah ini hukum alam terjadi,
Meskipun burung memiliki empat sayap kini?!
KESIMPULAN
Duhai Sahabat!
Kenalilah Allah Maha Pencipta dan Maha Tinggi;
kerana selayaknya Dia dikenali,
Dicintai dan dirindui.
Agar mudah kita kembali!
Tanpa pengenalanMu, ya Robbi,
semua ibadah tidak akan punya erti,
dan hidup adalah seumpama mati!
Silalah renungi!!
'ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK TEMPAT KEMBALI'
AMIN YA ROBBUL 'IZZATI!