Thursday, September 2, 2010

SEJARAH ILMU PERUBATAN ISLAM



ABU ALI HUSSAIN IBNU ABDULLAH IBNU SINA (AVICENNA)


PENGENALAN

Perubatan Islam mulai muncul pada zaman selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan ia terus berkembang sepanjang abad-abad ketamadunan Islam. Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak mempunyai bidang perubatannya sendiri. Selepas kedatangan Islam didapati ramai tokoh-tokoh yang terkenal dalam bidang perubatan Islam seperti Al-Razi, Ibn Sina dan Ali Ibn Abbas.

Ilmu perubatan Islam ini diamalkan dengan luasnya ketika tamadun Islam mencapai kemuncak kegemilangannya. Pada mulanya ilmu ini telah dicedok dari pengaruh tamadun kuno dan kemudiannya dimajukan lagi sejajar dengan perkembangan tamadun Islam. Unsur dan pengaruh kuno adalah kebanyakannya berasal dari ilmu perubatan Yunani atau sistem perubatan Hippocrates, dan juga amalan-amalan perubatan dari India dan China. Ibn Sina dan Al-Razi telah terus mengevolusi dan memberi suatu bentuk dan corak tersendiri kepada sistem ilmu perubatan Islam.

Namun selepas empayar Islam yang gemilang mulai lesap, banyak karya perubatan dari zaman Islam mulai muncul dalam bahasa Latin dan mempengaruhi cara pemikiran dan amalan sistem Barat. Di benua kecil India, sistem ini terus bertapak dan diamalkan disamping sistem perubatan Ayurveda dan sistem perubatan Barat moden.

LATAR BELAKANG ILMU PERUBATAN ISLAM

Kira-kira 200 tahun sebelum Hijrah, tapak-tapak tamadun gemilang telah mulai runtuh disebabkan peperangan dan penyakit yang merebak melanda penduduknya. Kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman mulai lumpuh. Syria pula telah mengambil tempat sebagai pelindung bagi pemikiran ilmu perubatan asal dari Yunani. Puak Nestorian telah menubuhkan pusat-pusat pengajian perubatan di Edessa dan Nisibis dan berkembang ke peringkat yang disanjungi ramai menjelang abad ke-5 M. Puak Kristian mazhab Nestorian inilah yang membawa tamadun Yunani bersama mereka ketika diusir. Mereka menterjemah karya-karya perubatan Yunani ke bahasa Syria dan mengembangkannya ke Mesopotamia.

Apabila orang Arab disatukan di bawah pemerintahan Islam dan seterusnya menewaskan Syria dan Parsi, mereka telah menemui tamadun ini. Kuasa Islam terus bertapak sehingga keseluruh Afrika Utara dan Sepanyol. Dalam abad inilah tokoh-tokoh Islam menyerap tamadun yang terdapat di kalangan puak-puak yang ditewaskannya. Khalifah-khalifah Islam telah membina pusat-pusat pengajian di Baghdad. Selepas itu akademi-akademi mulai ditubuh di Samarkand, Isfahan dan Damsyik. Akademi-akademi tersebut berpusat di masjid. Di masjid juga terdapat perpustakaan yang lengkap, klinik dan hospital. Doktor-doktor mazhab Nestorian dan Sabaen telah menterjemahkan buku-buku teks perubatan terutamanya karya-karya Galen.

Kecenderungan umat Islam keturunan Arab terhadap ilmu perubatan terus mencipta suatu sejarah baru dalam perkembangan perubatan. Dengan ini ilmu perubatan mula berkembang semula di bawah naungan Islam mengikut ajaran Hippocrates. Ilmu perubatan Islam berkembang pesat melalui sumbangan dari berbagai sumber dan arus yang mempengaruhinya mengikut tempat dan masa. Sumbangan Islam kepada perkembangan ilmu perubatan bukan sahaja terbatas pada penterjemahan karya-karya Yunani tetapi mereka juga meninggikan bidang kimia dan materia medika. Tidak dinafikan bahawa hingga ke abad ke-18 M masih wujud lagi pusat-pusat perubatan di Eropah yang menggunakan karya-karya ciptaan pakar-pakar perubatan Islam yang terkemuka umpamanya Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Rusyd dan lain-lain. Sumber-sumber dari Parsi dan Hindu juga merupakan asas pengajian umat Islam pada masa itu. Dari arus-arus sejarah inilah unsur-unsur ilmu perubatan Islam mula bertunas dan ini dipadankan pula dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

TOKOH-TOKOH DALAM PERUBATAN ISLAM

HUNAYN IBNU ISHAQ

Beliau merupakan seorang pengamal perubatan dan penterjemah yang terkenal. Beliau juga dikenali sebagai Joannitius yang dilahirkan di Hirah (Iraq) dan mempelajari ilmu perubatan di Baghdad. Khalifah al-Ma’mun (813-833 M ) melantik beliau menjadi pengarah Institut al-Hikmah. Semasa pemerintahan Khalifah al-Mutawakil (847-861 M) beliau dilantik sebagai doktor istana.
Hunayn Ibnu Ishaq telah berjaya menterjemah buku Materia Medika oleh Dioscorides, Aphorisma oleh Hippocrates dan hampir semua karya Galen. Terjemahan buku-buku ini ke dalam bahasa Arab adalah sangat berguna untuk pendidikan perubatan asas.

ABU BAKAR MUHAMMAD IBNU ZAKARIA RAZI ATAU AL-RAZI

Tokoh Islam ini dikenali dengan nama Rhazes dan digelar sebagai Gaken Arab. Meyerhoff dalam buku Legacy of Islam menganggap Al-Razi sebagai seorang pengamal perubatan yang teragung dalam dunia Islam malah di dunia. Al-Razi dilahirkan di bandar Rai berdekatan dengan bandar Taheran. Beliau mendapat pendidikan awal di Baghdad yang menjadi pusat pendidikan. Beliau mempelajari ilmu perubatan dengan Hunayn yang merupakan seorang pakar dalam perubatan Parsi dan India. Al-Razi pulang ke kampung halamannya dan bertugas sebagai pegawai perubatan.

Kemahiran beliau dalam bidang perubatan tertumpu dari segi prognosis penyakit. Analisa beliau amat tajam tentang gejala dan kesan-kesan sesuatu penyakit dan cara perawatan serta pemulihan yang begitu lengkap dan mendalam. Beliau juga merupakan pengasas perubatan psikosomatik. Selain itu Al-Razi mempunyai pengetahuan yang agak mendalam tentang bidang anatomi. Sumbangan Al-Razi yang terkenal di dunia Barat adalah karya beliau. Di antara dua buah karangannya yang terbesar ialah sebuah ensiklopedia perubatan amalan dan terapeutik yang berjudul Kitab Al-Hawi. Buku teragungnya yang kedua ialah Kitab Al-Mansur. Buku ini dianggap suatu hasilnya yang tulen dan tersendiri yang mencerminkan kematangan tokoh perubatan Islam ini tentang amalan perubatan moden. Sumbangan Al-Razi terhadap ilmu perubatan dan farmakologi tidak terkira banyaknya. Beliau merupakan tokoh yang ulung sekali mengenali penyakit cacar serta cara menyembuhkannya dengan berjaya.

ABU QASSIM KHALAF IBNU AL-ZAHRAWI

Abu Qassim Khalaf atau lebih dikenali di Eropah dengan nama Abulcassis. Beliau dilahirkan di bandar Di Raja Al-Zahrah dalam tahun 936 M. Beliau merupakan seorang pengamal perubatan, pakar bedah dan Pharmacist. Sumbangan beliau terhadap bidang perubatan dapat difahami dari buku Al-Tasrif. Buku ini meliputi tajuk-tajuk yang luas dan menyentuh pelbagai bidang perubatan. Pada abad ke-12 M, nama Abu Qassim mulai harum sebagai ahli bedah dan ketokohannya dapat disamakan dengan Celcus dan Paulus dalam bidang perubatan.

ABU ALI HUSSAIN IBNU ABDULLAH IBNU SINA

Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai Avicenna dikalangan orang Barat merupakan seorang tokoh politik dan perubatan, falsafah dan fiologis yang terkenal di dunia. Beliau dilahirkan di Isfahan. Pada masa kecil lagi Ibnu Sina mempelajari bahasa Parsi dan Arab. Semasa berumur sepuluh tahun, beliau telah menghafal Al-Quran dan mula mempelajari ilmu perubatan ketika berumur enam belas tahun. Dua tahun kemudian, beliau menjadi terkenal apabila beliau dapat menyembuhkan sultan setelah doktor-doktor yang berpengalaman gagal. Beliau selepas itu telah dilantik menjadi doktor istana. Dengan itu beliau telah mendapat peluang keemasan kerana beliau telah diberi kebebasan menggunakan perpustakaan istana yang sangat kaya dengan pelbagai jenis buku.

Beliau menghasilkan buku yang pertama ketika berumur dua puluh satu tahun. Sepanjang hayat Ibnu Sina, beliau telah menulis sebanyak 456 buah buku. Karyanya yang paling masyhur dalam bidang perubatan ialah Al-Qanun fi Al-Tibb. Ia dijadikan sebagai buku teks perubatan di negara Islam dan Eropah selama 600 tahun.

Ibnu Sina telah dapat membincangkan penyakit - penyakit seperti tetanus, pleuritis, antraks dan diabetes dengan tepat. Beliau juga memberi gambaran klinikal yang tepat mengenai meningtis dan diagnosis. Sumbangan beliau terhadap bidang farmasi juga tidak kurang pentingnya. Dalam bukunya beliau telah membincangkan tentang proses penyediaan ubat . Beliau menyenaraikan pelbagai jenis ubat seperti antidot, pes, preservatif, jem, lozeng, pil, minyak , salap dan infusi. Beliau juga menyentuh mengenai kepentingan dos. Sumbangan ini telah menggalakkan pertumbuhan sejarah farmasi dengan secara langsung.

Ramai lagi tokoh Islam dalam perubatan yang muncul selepas Ibnu Sina. Sumbangan mereka terhadap perubatan moden tidak boleh diperkecilkan. Boleh dikatakan asas ilmu perubatan moden sekarang berasal dari konsep-konsep yang ditimbulkan oleh pakar-pakar perubatan Islam. Tanpa sumbangan ini perubatan moden tidaklah semaju sekarang. Malangnya, selepas keruntuhan kota Baghdad telah menyebabkan ilmu-ilmu yang dikumpulkan oleh orang-orang Islam terhapus. Orang-orang Barat telah mengambil langkah yang kejam seperti memusnahkan buku-buku hasil karya Islam setelah mereka menguasainya.

ILMU-ILMU ASAS DALAM PERUBATAN ISLAM

Dalam zaman tamadun Islam tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ahli-ahli perubatan Islam pernah membedah mayat manusia
. Walaubagaimanapun ulama fikah yang terakhir telah mengharuskan pembedahan mayat untuk tujuan pembelajaran. Abdul Latif Al-Baghdadi selepas memeriksa beratus-ratus struktur rangka manusia telah merumuskan bahawa tulang bawahan manusia terdiri daripada satu sahaja.

Ahli perubatan Islam mengasaskan pentafsiran mereka tentang fungsi anggora badan manusia dan proses penghayatannya mengikut teori Jalinus. Daripada pentafsiran yang dibuat, mereka mendapati bahawa badan manusia terdiri daripada tiga unsur iaitu cecair, bebeku dan roh. Cecair adalah terdiri daripada humour dan unsur ini terbahagi kepada empat iaitu darah, kahak, hempedu kuning dan hempedu hitam. Keempat-empat unsur ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Darah adalah cecair yang panas dan basah. Darah terjadi di dalam limpa daripada makanan yang dihadamkan. Kemudian darah ini mengalir ke urat-urat halus dalam badan. Kahak adalah cecair sejuk dan basah. Tempatnya ialah di dalam urat-urat, berperam dan masak di sana untuk dijadikan makanan anggota-anggota badan. Manakala hempedu kuning adalah cecair yang panas dan kering. Hempedu kuning adalah berpunca daripada pundi-pundi kuning di dalam limpa dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang mengalir ke dalam usus di mana ia dibersihkan daripada lendir dan bahagian yang kedua menuju ke perut untuk membantu proses penghadaman. Hempedu hitam pula merupakan cecair yang sejuk dan kering. Ia dikeluarkan oleh hati yang menyimpan bahagian yang terbaik daripadanya dan menghantar sebahagian yang lain ke pangkal perut. Ini adalah untuk membuka selera makan. Bebeku adalah yang terdapat dalam badan manusia iaitu daging, tulang dan lain-lain. Roh yang terdapat di dalam manusia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu roh tabi’i yang berpunca dari hati, roh hidup berpunca dari akal fikiran dan roh haiwan berpunca dari otak yang merupakan pusat tertinggi bagi perasaan dan pergerakan.

Para ahli perubatan Islam telah membina teori yang mengatakan bahawa penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan atau kerosakan struktur keempat-empat cecair di dalam badan. Ketidakseimbangan ini menyebabkan badan tidak stabil. Rawatan diperlukan untuk membantu badan mengembalikan keseimbangannya iaitu dengan memberikan makanan atau ubat yang berupaya melawan penyakit tersebut.

SUMBANGAN ISLAM DALAM PERUBATAN

Tidak dinafikan tokoh-tokoh perubatan Islam banyak menyumbangkan ilmu perubatan mereka kepada dunia perubatan. Kejayaan mereka telah mendapat penghargaaan yang tinggi di kalangan pengarang dunia Barat. Oftalmologi merupakan sumbangan yang terkemuka dalam perubatan Islam. Istilah-istilah seperti retina dan katarak yang digunakan dalam oftalmologi sekarang adalah berasal dari orang Arab. Orang Arab juga telah membuat sumbangan yang penting terhadap beberapa jenis penyakit mata dan rawatannya. Satu keadaan yang dinamakan Pannus terdapat dalam penyakit Trakoma telah dijelaskan oleh orang Arab. Glaukoma merupakan suatu keadaan peningkatan tekanan dalam bebola mata telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh orang Arab.

Sumbangan tamadun Islam terhadap farmasi, farmakologi fan farmakognosi masih ketara hingga kini. Materia media penulisan orang Islam masih lagi digunakan di Afrika Utara, India, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain di Asia. Secara umumnya tokoh-tokoh Islam telah menghasilkan tiga prinsip penting.

Dalam bidang kimia ubat dan alkemi, tokoh-tokoh Islam telah memperkenalkan kepada dunia betapa pentingnya kejituan pemerhatian, kawalan percubaan dan penyimpanan rekod. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini masyarakat Islam telah merangsang dan menggalakkan pertumbuhan serta perkembangan kimia di Eropah. Orang Islam buat pertama kalinya telah menubuhkan kedai apotekari dan dispensari yang mempelopori pusat pengajian farmasi.

Umat Islam merupakan masyarakat yang pertama sekali melaksanakan pengawalan etik farmasi melalui undang-undang pemeriksaan. Formulasi farmaseutikal terkawal telah diterbitkan oleh umat Islam dan menggariskan secara rasmi penyediaan dan penyimpanan ubat.

Di samping itu pelbagai bentuk dos ubat telah dikemukakan oleh tamadun Islam. Diantaranya ialah dalam bentuk salap, serbuk, minyak, pes, pil tablet, rebusan, sirap dan lain-lain. Selain cara-cara membuat ubat, umat Islam adalah umat yang pertama sekali melaksanakan kawalan mutu ke atas hasilnya. Seorang pegawai khas akan dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan pengawalan mutu.

KESIMPULAN

Islam dalam zaman kegemilangannya telah memberi sumbangan yang terbesar dalam bidang perubatan kepada manusia dengan menghasilkan beberapa tokoh yang ternama dalam bidang tersebut. Mereka bukan sahaja mahir dalam perubatan tetapi juga dalam beberapa ilmu di luar perubatan yang diwarisi dan dimajukan oleh dunia Barat.
Sementara itu beberapa inovasi baru telah dibuat seperti pengawasan ubat, kod etnik perubatan dan kursus lanjutan perubatan. Sumbangan tokoh-tokoh pengamal perubatan Islam kepada dunia ialah dari segi mengenalpasti penyakit dan juga cara rawatannya. Sementara itu pula, oftalmologi merupakan suatu bidang yang sangat maju pada masa itu. Ubat-ubatan tradisional pula masih boleh digunakan sampai kini.

RUJUKAN

Konsep Perubatan Islam oleh Danial Zainal Abidin. (Pustaka Nahnu, Pulau Pinang, 1988)

Islam dan Perubatan oleh Alwi Mohd Yunus (ED). (Institut Perkembangan Minda Kuala Lumpur, 1997)

Kedoktoran Islam oleh Ahmad Taha. (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur 1992)

Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan oleh Ismail Samad. (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia Kuala Lumpur, 1985)