ASSALAMUALAIKUM WBT,
TULISAN INI SAYA PETIK DARI LAMAN EMJAY UNTUK RENUNGAN BERSAMA. SAYA MEMETIK TULISAN INI KERANA BELIAU AMAT MENITIK BERATKAN ASPEK AQIDAH DALAM PROSES RAWATAN MAUPUN KEHIDUPAN SEHARIAN DALAM JAWAPAN BELIAU.
WALAUPUN ADA DIANTARA PENDAPATNYA SAYA TIDAK BERSETUJU NAMUN ASAS POKOK YANG DI BICARAKAN DI SINI ADALAH ASPEK AQIDAH YANG MANA WAJIB BAGI SETIAP UMAT ISLAM MENGETAHUINYA (FARDHU AIN) DIMANA USTAZ-USTAZ KELUARAN PENGAJIAN TINGGI MASAKINI TAHAP PEMBELAJARAN MEREKA BUKANLAH DITEKANKAN KEPADA ASPEK PEMBELAJARAN FARDHU AIN (TAUHID, FEQAH DAN TASAWWUF) TETAPI KEPADA ASPEK FARDHU KIFAYAH YANG MENDALAM.
SAMA-SAMA KITA RENUNGI DAN KAJI, RUJUK LAH KEPADA ULAMA ARIFBILLAH YANG MASIH MENGEKALKAN ILMU YANG BERSANAD KEPADA RASULULULLAH YANG MENYIMPAN SALASILAH GURUNYA YANG BENAR.
..................................................................................
Polis tinggal bersama pencuri? Kes Ustaz Hadi Darussalam
Assalamualaikum wbh
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Pada hari Rabu 8 April 2009 lalu, sebagaimana biasa setiap minggu, seorang hamba Allah datang belajar di rumah saya. Sebagaimana biasa juga, sesi perkongsian ilmu ini dimulakan dengan soal jawab. Kali ini hamba Allah ini telah bersedia dengan satu soalan menarik berkaitan cerita seorang isteri yang mendakwa diganggu makhluk halus. Isteri ini sedang memfailkan kesnya di mahkamah untuk mendapatkan fasakh (cerai) daripada suaminya iaitu seorang pengamal Pusat Rawatan Islam Darussalam. Hamba Allah ini siap menyediakan salinan fotokopi artikel tersebut bagi memudahkan saya menjawab dan membincangkan kes berkenaan.
Berikut adalah salinan artikel tersebut:
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~---------------------------------------------------------
Dianiaya suami, punca minta cerai - Isteri juga dakwa diganggu makhluk halus
Kosmo 7 April 2009
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Isteri penceramah dan pengamal perubatan Islam, Mohamad Hadi Ahmad Talhah mendakwa hidupnya menderita kerana dianiaya dan disakiti suami selain turut terkena tempias gangguan makhluk halus.
Noriza Ali @ Awang, 37, yang juga seorang guru berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan berhubung permohonan tuntutan fasakh yang difailkan di Mahkamah Rendah Gombak Barat, Kuang dekat sini semalam.Noriza selaku plaintif disoal oleh peguam syarie, Amli Embong yang mewakili dirinya manakala Hadi, 41, yang juga Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia merupakan defendan kes.
Guru di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Gombak itu telah memfailkan permohonan menuntut cerai fasakh pada 2 September 2008.
"Hadi kerap kali menjalankan aktiviti mengubat di rumah di Taman Gombak, Batu Caves tanpa mengira waktu hingga ke lewat malam," kata Noriza. Oleh kerana tiada pembantu, Noriza memberitahu, anak-anak mereka terpaksa membantu defendan malah beliau sendiri diminta menyediakan minuman bagi pesakit yang datang.
Cerita ibu kepada lima orang anak tersebut, sejak tinggal bersama defendan, beliau mendakwa seolah-olah dirinya diganggu apabila tidur di ruang tamu iaitu tempat suami sering merawat pesakit. “Saya sering kali terasa kaki dipegang oleh sesuatu (benda) yang sejuk. Malah, anak pun takut berada berseorangan di rumah. Saya juga pernah ternampak kelibat hitam berlari pantas di dalam rumah”, dakwanya. Kata Noriza, beliau pernah mengadu kepada defendan namun defendan tidak mengendahkannya.
Justeru, Noriza berkata, beliau sudah hilang perasaan sayang dan tidak lagi menghormati suaminya itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab terhadap dirinya dan anak-anak. Noriza dan Hadi yang berkelulusan syariah Universiti Yarmouk, Jordan bernikah pada 20 Ogos 1994 dan dikurniakan lima orang anak, dua daripadanya lelaki berusia antara 14 dan 9 tahun. Hadi merupakan penceramah bebas aktif mengajar di jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta, surau dan masjid selain aktif menjadi pengamal perubatan Islam.
Sementara itu, dia yang kemudiannya ditemui di luar mahkamah juga mendakwa, Hadi telah mengahwini salah seorang daripada pesakit yang baru dikenali selama dua bulan di selatan Thailand. Dia mendakwa tidak menyangka wanita yang berkunjung ke rumah dan dianggap sebagai salah seorang pesakit suaminya itu adalah madu sendiri.
Noriza berkata, kini penceramah terbabit tidak lagi kerap pulang ke rumah untuk menjenguk anak-anak. Selain disakiti secara kerohanian hingga menderita mental, dia turut mendakwa didera secara fizikal oleh penceramah terbabit dan mempunyai bukti.
Defendan yang menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Wilayah Persekutuan tidak hadir di mahkamah dan peguam syarie, Zulkarnain Lukman memaklumkan anak guamnya kini bercuti sakit.
Perbicaraan hadapan hakim syarie, Salehan Yatim bersambung pada 22 Jun depan.
Sebahagian sedutan artikel ini juga terdapat di http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Apa yang lebih menarik berhubung kes petikan akhbar ini ialah pada hari yang sama juga saya mendapat email dari seorang hamba Allah bertajuk “Subject: apakah ini satu Balasan & hukuman?”
Berikut adalah email dari hamba Allah tersebut:
~~~~~~~~~~~~~~~~~
SALAM,
Ustaz, saya dpt artikel ini dari akhbar Sinar Harian 7/4/09. Saya forwardkan just utk pengetahuan saja.
Isteri tuntut cerai tidak tahan gangguan makhluk halus
SUNGAI BULOH: - Ekoran tidak tahan gangguan makhluk halus, isteri pertama penceramah bebas dan pengamal perubatan Islam terkenal, Mohamad Hadi Ahmad Talhah menuntut cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini, semalam.
Noriza Ali @ Awang, 37, berkata, penceramah terbabit yang juga anak murid Ustaz Ismail Kamus aktif mengubat pesakit menghadapi gangguan makhluk halus selain penyakit-penyakit tertentu di rumah mereka kadang-kadang sehingga lewat malam.
Menurutnya, disebabkan keadaan itulah kehidupannya anak-beranak menderita ketakutan kerana sering diganggu makhluk halus.
Noriza yang bertugas sebagai guru mendakwa, adakalanya beliau berasa seolah-olah seperti dipegang sesuatu ‘benda’ sejuk ketika sedang tidur selain cerita anak-anak yang pernah melihat ada orang naik tangga di rumah.
“Anak-anak takut dan saya juga pernah melihat kelibat hitam berlari pantas dalam rumah,” katanya.
Noriza berkata, ketika merawat pesakit, Hadi, 41, menggunakan lada hitam dan tiada penolong sebaliknya dia serta anak-anak sering membantu.
“Kadang-kadang dia (suami) minta saya ambil dan buatkan air kepada tetamu. Anak-anak kadang-kadang pergi tengok,” beritahu Noriza yang memberi keterangan kali pertama perbicaraan selepas memfailkan fasakh tahun lepas.
Noriza selaku plaintif memfailkan fasakh mengikut Seksyen 53 Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 setelah tidak tahan dengan tekanan mental akibat gangguan makhluk halus kesan aktiviti rawatan tersebut.
Noriza mendakwa, keadaan itu menjadi suatu bentuk penganiayaan berikutan kegagalan Hadi bertanggungjawab menjaga kebajikan serta membiarkan dirinya dan anak-anak mengalami tekanan.
Menurutnya, dia juga pernah cuba berbincang bagaimanapun tiada respons positif dan sebarang perubahan daripada suaminya itu.
Wanita berkenaan hadir ditemani keluarganya bagaimanapun Hadi selaku defendan tidak hadir kerana cuti sakit dan hanya diwakili peguamnya, Zulkarnain Lukman.
Noriza melalui peguamnya Amli Embong, menyatakan empat alasan menuntut fasakh terhadap Hadi di hadapan Hakim Syarie Salehan Yatim.
Alasan itu menyatakan, defendan telah lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita selain tiada lagi kasih sayang serta rasa hormat terhadap defendan.
Dia turut mendakwa tiada persefahaman dengan penceramah terbabit serta menyatakan apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah oleh syarak bagi membubarkan pernikahan mereka pada 20 Ogos 1994.
Hasil perkahwinan dikurniakan lima anak berusia dalam lingkungan sembilan hingga 14 tahun dan Hadi merupakan penceramah bebas aktif mengajar di jabatan-jabatan kerajaan mahupun swasta, surau dan masjid selain aktif menjadi pengamal perubatan Islam.
Sementara itu, dia yang kemudiannya ditemui di luar mahkamah juga mendakwa, Hadi telah mengahwini salah seorang daripada pesakit yang baru dikenali selama dua bulan di selatan Thailand.
Dia mendakwa tidak menyangka wanita yang berkunjung ke rumah dan dianggap sebagai salah seorang pesakit suaminya itu adalah madu sendiri.
Noriza berkata, kini penceramah terbabit tidak lagi kerap pulang ke rumah untuk menjenguk anak-anak.
Selain disakiti secara kerohanian hingga menderita mental, dia turut mendakwa didera secara fizikal oleh penceramah terbabit dan mempunyai bukti.
Tentang ketidakhadiran Hadi pada perbicaraan itu pula Amli menjelaskan, pihaknya tidak menerima sebarang bukti sijil sakit tetapi tidak membantah berikutan mahkamah telah bersetuju meneruskan kes di mana plaintif memberi keterangan secara lisan hari ini (semalam).
Noriza akan menyambung keterangan dengan alasan-alasan lebih jelas pada perbicaraan 22 Jun depan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Apabila kes Hadi dan Noriza ini telah keluar di dua akhbar iaitu KOSMO dan SINAR HARIAN, kini kes mereka telah menjadi kes nasional. Ini adalah kerana pertamanya kes mereka sudah tersebar ke seluruh negara, keduanya adalah kerana Hadi adalah perawat serta pengerusi Pusat Rawatan Islam Darussalam dan ketiganya adalah kerana Hadi adalah seorang orang penting yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Wilayah Persekutuan. Selama seminggu saya menanti sebarang ulasan berkaitan kes ini tetapi tidak saya temui. Umat Islam ternanti-nanti apakah sebenarnya masalah disebalik kes mereka ini sehingga Allah SWT memberikan musibah sebesar ini.
Di dalam kesempatan ini saya ingin mengupas isu yang berkaitan dengan kes Hadi Noriza ini. Kepada mereka yang terbabit, terimalah pandangan saya ini sebagai satu perkara yang perlu di ambil iktibar untuk membaiki diri ke arah jalan yang diredhai Allah.
Daripada kisah yang terpapar di dua akhbar seperti petikan di atas, jelas bahawa isteri Hadi iaitu Noriza mengalami gangguan makhluk halus di dalam rumahnya. Anak-anak mereka juga mengalami gangguan makhluk halus. Berdasarkan kenyataan ini dan berdasarkan ilmu yang dipelajari dari arwah guru serta dari pengalaman saya serta pengalaman mereka yang berurusan dengan saya, apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah Hadi ada mengamalkan amalan yang tidak diredhai Allah.
Apabila seseorang mula mengumpul tangkal azimat sebagaimana di http://emjayjb.multiply.com/photos/album/27/Tangkal_masyarakat_melayu dan di http://emjayjb.multiply.com/photos/album/24/Azimat insya-Allah mereka akan diberikan balasan berat dari Allah dan lazimnya adalah dalam bentuk pelbagai gangguan di dalam rumah mereka. Di antara pelbagai bentuk gangguan tersebut antaranya ialah :-
1. Pelbagai bunyi seperti bunyi orang berjalan, bunyi peralatan elektrik
seperti mesin basuh sedang berfungsi, bunyi di atas syiling dan pelbagai
bunyi pelik lainnya.
2. Ahli keluarga kerap ditindih lembaga sewaktu tidur
3. Tubuh seperti dipegang oleh makhluk halus
4. Bunyi orang memasak di dapur
5. Ternampak lembaga di dalam rumah dan di dalam bilik air
6. Anak kecil bermain dengan makhluk asing
7. Anak kecil terutamanya yang masih belum berumur 1 tahun kerap menangis tidak
henti-henti terutama sekali di waktu maghrib dan tengah malam.
8. Objek di dalam rumah boleh berpindah randah secara sendiri dan boleh
bergerak seperti buaian anak bergerak sendiri
Selain gangguan seperti di atas, rumah yang terdapat barang-barang tidak diredhai Allah ini juga kerap menyebabkan penghuninya mengalami ketakutan kerana bulu roma kerap menegak. Kesemua gangguan yang berlaku ini sebenarnya adalah ALLAHlah yang mentadbirkan kejadian ini melalui tingkah laku gangguan jin syaitan sebagai musibah kepada manusia kerana melakukan perkara yang ditegah Islam. Musibah ini juga adalah satu ujian di mana sekiranya mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat serta menyingkirkan kesemua tangkal azimat ini, bermakna mereka luluslah ujian ini dan Allah insya-Allah akan membalas lulus ujian ini dengan rahmat besar iaitu Allah akan mentadbir dengan memberikan rahmat perlindungan kepada penghuni rumah ini daripada segala macam gangguan dari jin syaitan.
Secara umumnya, bila simpan tangkal, Allah berikan bermacam gangguan. Bila tidak melakukan perkara ini, Allah berikan rahmat dengan melindungi dari gangguan jin syaitan. Secara umumnya, gangguan seperti ini diberikan Allah kerana kesilapan penghuni yang berkaitan dengan dosa mensyirikkan Allah kerana sesungguhnya menyimpan tangkal azimat adalah sejenis perbuatan syirik.
Marilah kita tinjau agaknya apakah kesilapan Hadi sehingga Allah memberikan gangguan besar di dalam rumahnya yang mengganggu isteri dan anaknya. Saya tidak pernah kenal dengan Hadi sebelum ini dan bagaimanakah caranya saya boleh mengkaji kesilapannya? Saya tidak kenal Hadi tetapi kita semua tahu bahawa Hadi ini telah belajar ilmu rawatan daripada Tok Gurunya Dato’ Ismail Kamus. Dato’ Ismail Kamus bukanlah kawan saya jadi bagaimana saya nak menilai Dato’ Ismail Kamus?. Namun saya tahu bahawa Dato’ Ismail Kamus berkawan dengan seorang ustaz Hamid (bukan nama sebenar) di *****. Arwah guru saya mengajar, untuk menilai seseorang, lihatlah anak, isteri atau kawan-kawan rapat mereka. Ustaz Hamid agak popular di daerah ini dan kerap berceramah di beberapa masjid dan orang kuat sebuah parti. Ustaz Hamid ini pun sudah bercerai dengan isterinya. Apa yang sangat menarik dengan ustaz Hamid ini adalah beliau juga ada mengamalkan rawatan yang kononnya secara Islam tetapi peliknya bila beliau sakit, ustaz Hamid berurusan dengan beberapa BOMOH yang sangat SESAT. Saya suka menggelarkan ustaz Hamid ini sebagai orang yang Sesat dan Menyesatkan tambahan pula ustaz Hamid ini amat percaya dengan keris puaka dan beliau pun memang ada menyimpan keris puaka.
Oleh kerana Hamid ini belajar ilmu rawatan dari Dato’ Ismail Kamus dan kedua-dua mereka berkawan rapat, maka dapatlah dinilaikan siapa Dato’ Ismail Kamus. Tambahan pula berdasarkan satu peristiwa beberapa tahun lepas di Masjid Bandar Baru Uda Tampoi Johor Bahru, Dato’ Ismail Kamus telah memberikan fatwa sesatnya. Ismail Kamus menasihati jemaah masjid ini untuk melakukan amalan berikut untuk mengelakkan pencuri dari masuk rumah:
“Ambil kertas kosong dan tuliskanlah ayat Al Quran dari surah Kahfi sehingga habis dan gantungkan di dinding rumah. Insya-Allah usaha ini akan menghalang pencuri dari masuk rumah”.
Berdasarkan nasihat SESAT dari Ismail Kamus inilah saya pada ketika itu telah membuat keputusan bahawa Dato’ Ismail Kamus ini ada mengamalkan ilmu sesat. Hanya orang seperti Ismail Kamus ini sahaja yang akan mengajarkan serta mengamalkan perkara bidaah dengan menjual kismis doa, habbatusauda berdoa serta barangan berdoa lainnya.
Kata-kata arwah guru saya seterusnya, nak menilai Nabi Muhamad, nilailah anak-anak muridnya seperti Abu Bakar dan Umar. Begitulah juga kalau ingin menilai Abu Bakar dan Umar, nilailah tok gurunya iaitu Nabi Muhamad SAW. Menggunakan analogi ini, secara kasarnya kita boleh menilai Hadi dengan melihat Dato’ Ismail Kamus dan kawan-kawan baiknya dan begitulah sebaliknya. Jikalau bab mudah menggunakan tulisan ayat dari surah Al Kahfi sebagai pendinding pun tak faham, mungkin Dato’ Ismail Kamus ini hanya mahir bab syariat sahaja manakala bab tauhid / akidah ini mungkin beliau tidak faham. Bila tidak faham bab akidah ini maka mudahlah disesatkan oleh syaitan.
Apabila Hadi merawat pesakit menggunakan barangan seperti garam, lada hitam, kacang hijau, daun kacang botor dsbnya maka menurut saya beliau telah mensyirikkan Allah. Apabila seseorang melakukan perbuatan syirik, Allah sesuai dengan ayat dari surah Az Zukhruf: 36
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
akan memberikan pelaku tersebut syaitan (Qarin) dan dalam kes ini Qarin inilah yang akan sama-sama menghuni rumah beliau dan mereka akan mengganggu mereka yang turut tinggal di dalam rumah ini. Inilah yang menyebabkan isteri Hadi serta anak-anak beliau sering diganggu oleh makhluk halus (Qarin) ini.
Mereka yang telah sekian lama mensyirikkan Allah dengan mengamalkan pelbagai perkara serta menyimpan tangkal azimat, apabila mereka bertaubat serta melupuskan tangkal azimat ini, insya-Allah Allah akan menjauhkan Qarin ini serta memberikan rahmat perlindungan dan dengannya amanlah rumah dari gangguan sebarang jin syaitan / makhluk halus dan sebagainya.
Seorang pensyarah U**** yang pernah mendapat ijazah perawat dari Dato’ Harun Din satu ketika dahulu, isterinya telah diazab Allah dengan mengalami kerasukan teruk. Perkara seperti ini adalah perkara lumrah apabila ada amalan sesat di dalam rumah pensyarah tersebut. Bukan setakat gangguan malahan Allah SWT memberikan pula musibah yang lebih berat iaitu kerasukan. Apa yang menarik dalam isu ini ialah semua pengamal-pengamal perawat Darus Syifak dari U**** tidak dapat merawat isteri perawat Darus Syifak ini dan saya dengar kesudahannya, isterinya pulih setelah berurusan dengan bomoh sesat di Batu Pahat.
Ketua pertubuhan Al Mansur satu ketika dahulu juga mengalami masalah yang sama dengan ustaz Hadi dan isterinya mendapatkan perceraian melalui mahkamah juga. Saya amat kenal selok belok kesesatan ketua Al Mansur ini. Memang beliau SESAT dan menyesatkan. Sebagai salah satu balasan dari Allah, diberikan perceraian dengan isterinya. Saya yakin isterinya juga mengalami pelbagai gangguan di rumahnya. Al Mansur kelihatan begitu Islamik termasuk mempunyai pelajar tahfiz.
Polis yang amat baik, mustahil terdapat pencuri atau perompak yang tinggal bersama di dalam rumahnya. Hanya polis jahat sahaja yang membenarkan pencuri dan perompak tinggal bersama dengannya. Begitulah juga perawat gangguan syaitan mustahil mengalami gangguan syaitan di dalam rumahnya. Arwah guru saya adalah perawat gangguan syaitan dan juga penyakit secara tradisional. Saya amat kerap ke rumah beliau dahulu dan juga sekarang. Tidak pernah pula anak isteri arwah guru, saya, anak-anak dan isteri saya mendapat gangguan selama saya menginap di rumah arwah guru tersebut. Saya amat yakin bahawa amalan yang diamalkan arwah guru adalah jauh dari kesesatan dan sebagai balasan dari Allah, diberikan pelbagai rahmatNya. Semua anak-anak beliau berjaya memasuki universiti dan kini sudah bekerja dengan pendapatan yang mantap, berkeluarga dan alhamdulillah sudah ada anak dan ada yang sedang mengandung. Keharmonian keluarga arwah guru dahulu sentiasa menjadi harapan dan model bagi membina keluarga saya.
Kes Hadi ini sebenarnya amat memalukan umat Islam di Malaysia. Tambahan pula beliau adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Wilayah Persekutuan. Umat Islam di Malaysia sudah cukup dimalukan apabila sekolah beraliran agama menghadapi masalah gangguan makhluk halus di kawasan sekolah. Kini orang kuat Persatuan Ulama Malaysia mengalami masalah gangguan makhluk di dalam rumah beliau sendiri dan kisahnya tersebar di dalam dua akhbar. Adakah ini satu imej yang baik untuk ditonjolkan kepada umat Islam dan umat bukan Islam di Malaysia?
Kepada mereka-mereka yang mengaku merawat menggunakan kaedah secara Islam, berdoalah secara bersungguh-sungguh semoga Allah sentiasa menunjuki jalan lurus yang diredhai Allah SWT. Janganlah menjadi lilin yang menerangi tetapi memusnahkan diri sendiri. Lebih parah lagi jikalau menjadi orang yang sesat lagi menyesatkan dengan membekalkan pesakit dengan pelbagai tangkal seperti garam dsbnya.
Sekian wassalam wallahuaqlam
Emjay