Monday, May 2, 2011

RISALAH TERAKHIR

Allah berfirman;

“(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”
(Surah Al-Baqarah : 30)

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah 124)

‘Tertib’ bererti yang dulu didulukan dan yang kemudian dikemudiankan . Allah swt menjadikan sesuatu dengan tertib yang tepat dan teratur. Adakah perjalanan agama sekarang mengikut tertib sepertimana yang telah Allah SWT tetapkan? Jawapannya TIDAK. Inilah masalahnya apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya. Mentadbir agama mengikut kehendak Allah swt memerlukan satu ilmu khusus yang tidak diajarkan kepada umum. Ilmu ini hanya diajarkan kepada Pemimpin yang dipilih olehNya sahaja. Sejarah manjadi bukti dan contoh untuk dipelajari.

Kalau Islam ditadbir dengan pilihan dan kehendak manusia maka manusia yang bertanggung jawab sepenuhnya tetapi jika Islam ditadbir mengikut kehendak Allah SWT oleh manusia yang dipilihNya maka manusia itu akan dibantu. Adakah umat Islam dibantu sekarang? Jawapannya juga TIDAK . Umat Islam ditinggalkan oleh Allah SWT kerana umat Islam sendiri yang memilih pemimpin mengikut kehendak mereka . Pemimpin yang tidak dikurniakan ilmu khusus dan petunjuk untuk mentadbir Islam hanya akan menyebabkan ilmu-ilmu baru terhenti dan umat Islam jadi lemah dan mundur. Dalam soal melantik pemimpin adakah umat Islam selama ini mengikut ‘priority’ atau tertib yang betul. Diantara pilhan Allah SWT, pilihan Rasul saw dan pilihan manusia, yang mana satu perlu diutamakan? Jika anda mengatakan kita perlu mengutamakan pilihan manusia lebih dulu maka terimalah apa yang terjadi sekarang tanpa perlu merungut atau mengeloh. Itukan pilihan anda sendiri.

Ahlil Sunnah Wal Jamaah maksudnya apa? Adakah ia bermaksud orang yang mengamalkan sunnah Rasul secara berjemaah? Pada ilmu umum ianya boleh diertikan sebegitu tetapi pada fahaman ilmu khusus ia bermaksud orang yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Sunnah Allah dan Sunnah Rasul dan berilmu pengetahuan pula dalam hal menguruskan kerajaan Allah SWT dibumi dan umat Islam. Pemimpin yang dipilih oleh Allah SWT akan dikurniakan ilmu khusus supaya dia boleh memahami tertib alam, tertib makhluk, tertib masa dan tertib agama. Tanpa ilmu khusus ini pasti pemimpin itu tidak dapat mentadbir agama dan kehidupan dengan seimbang. Malah pemimpin itu akan mencacatkan perjalanan agama dan kehidupan ini tanpa disedarinya. Pembaziran akan semakin memuncak dari semasa ke semasa. Usaha menjadi sia-sia dan pembetulan perlu dibuat berulang-ulang kali. Masalah sebenar tidak pernah selesai malah masalah yang baru pula muncul tanpa diduga. Ini semua lantaran meletakkan pilihan manusia mengatasi pilihan Allah SWT dan Rasul saw. Manakan sama langkah yang diatur dengan langkah yang dilemparkan.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat". Diriwayatkan oleh Bukhari.

Amanah apakah yang telah umat Islam sia-siakan? Urusan apakah yang telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya? Lihatlah kepada keadaan Islam dan umat Islam sekarang.

Struktur Putaran Kehidupan

Islam, Manusia, Alam & Masa adalah 4 perkara asas yang diperlukan untuk mewujudkan putaran kehidupan yang lengkap mengikut kehendak dan tertib yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Pada 4 perkara asas diatas terkandung pula 4 komponen pada setiap satunya iaitu:

Islam - 1. Syariat 2. Tarekat 3. Hakikat 4. Makrifat
Manusia - 1. Jasad 2. AKal 3. Nyawa 4. Roh
Alam - 1. Tanah 2. Air 3. Api 4. Angin
Masa - 1. Bumi 2. Bulan 3. Matahari 4. Bintang

Kesemua komponen diatas mempunyai fungsinya yang tersendiri dan terkait diantara satu dengan yang lain untuk mewujudkan putaran kehidupan yang lengkap mengikut sunatullah. Jika mana-mana komponen diatas tidak berfungsi mengikut sunatullah dan tertibnya, maka pincang lah putaran kehidupan didunia.

Tempoh untuk melengkap satu putaran yang sempurna ialah 12 bulan.
Allah swt berfirman:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi,.......
(Surah At Taubah: 36)

Setiap 4 perkara diatas mempunyai segitiganya sendiri. Oleh itu ada 4 segitiga semuanya. Jika diletakkan 4 segitga didalam satu bulatan maka akan terhasil sebuah bintang yang mempunyai 12 bucu. Ini menandakan bahawa untuk melengkapkan putaran untuk 16 komponen didalam satu paksi memerlukan tempoh selama 12 bulan.

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali". Di riwayatkan oleh al Baihaqi.

Apakah fitnah yang dibuat oleh Ulama sehingga mereka dikategorikan sebagai sejahat-jahat makhluk? Fitnah apakah yang menyebabkan Islam hanya tinggal nama dan Al Quran hanya tinggal ayat. Apakah yang menyebabkan mesjid kosong daripada hidayah? Apakah ulama puncanya umat Islam jadi lemah sekarang? Islam tanpa hakikat bererti Islam tanpa isinya. Tanpa makrifat Al Quran hanya tinggal ayat sahaja. Ayat-ayat Al Quran seumpama kulitnya dan cahaya Al Quran itulah isinya. Mesjid indah tetapi jemaahnya tidak mendapat hidayah. Yang ada pada umat slam sekarang semuanya kulit belaka. Baik dari sudut agama mahupun dari sudut harta. Umat Islam mempunyai hasil bumi yang kaya tetapi pada hakikatnya orang kafir yang menguasainya. Apa saja yang Allah SWT berikan kepada umat Islam hanya tinggal kulitnya sahaja. Isinya sudah kosong. Ilmu-ilmu agama yang sepatutnya membawa manafaat kepada umat Islam tetapi bertukar menjadi bahan perdebatan yang memecah belahkan umat Islam sendiri. Hasil bumi yang sepatutnya memantapkan ekonomi umat Islam akhirnya kekayaan itu menyebabkan umat Islam menjadi sasaran oleh orang kafir untuk merampas kekayaan itu.

Diantara 16 komponen dibawah, komponen manakah yang tidak berfungsi sekarang.
Islam - 1. Syariat 2. --Tarekat-- 3.--Hakikat-- 4.--Makrifat--
Manusia - 1. Jasad 2. AKal 3. Nyawa 4. Roh
Alam - 1. Tanah 2. Air 3. Api 4. Angin
Masa - 1. Bumi 2. Bulan 3. Matahari 4. Bintang

Kenapa Perlu Ada Tarekat, Hakikat dan Makrifat?

Kalau kita lihat pada 4 perkara asas diatas tadi, kita boleh mengkaji dimanakah kepincangannya sekarang. Perjalanan Islam tidak mengikut kehendak dan tertib Allah SWT. Kita dapati jurusan Tarekat telah hampir pupus. Pengajian Tarekat mula berkembang di Nusantara pada zaman Kerjaan Melayu Islam sebelum era penjajahan. Kerajaan Islam Pasai dibawah pemerintahan Sultan Al Malikus Salleh berjaya menjadikan Sumatera sebagaii pusat ilmu Islam di Nusantara ini . Dari sinilah pengajian Tarekat mula berkembang. Tetapi apabila penjajahan berlaku, kuasa Raja-Raja Melayu mula terhakis. Raja yang taat berpegang kepada ajaran Islam dijatuhkan dan digantikan dengan Raja yang sanggup menjadi boneka penjajah. Apabila Raja-Raja yang kuat berpegang kepada Islam hilang kuasa maka pengaruh Ulama-ulama didalam Kerajaan Melayu pun turut terhakis sama. Di sinilah punca bermulanya masalah.

Ulama-ulama Melayu dulu mewujudkan pengajian Tarekat untuk melengkapkan tanggung jawab mereka terhadap umat Islam dan agama Islam itu sendiri kerana tanpa Tarekat Islam akan pincang. Jika Islam pincang maka kehidupan umat Islam menjadi tidak seimbang. Tanpa Tarekat, maka Hakikat dan Makrifat turut terkubur. Tanpa Makrifat maka Syariat akan menjadi lemah dan ketinggalan zaman kerana ilmu-ilmu dan kaedah-kaedah baru untuk menyeimbangkan Islam dengan kemajuan zaman akan terhenti.

Akibatnya ilmu dunia akan terus berkembang tetapi ilmu akhirat jadi statik. Tanpa Tarekat, Hakikat dan Makrifat adalah seumpama Alam tanpa air, api dan angin, seumpama jasad tanpa akal, nyawa dan roh. Itu kan bertentangan dengan sunahtullah dan tertib. Sebab itu umat Islam sekarang lemah dan Islam nampak ketinggalan zaman dan tidak menarik. Bagaimana nak jual produk yang sebegitu. Apa yang Allah SWT uruskan sendiri berjalan dengan baik tetapi yang diamanahkan kepada manusia untuk uruskan jadi terbengkalai akhirnya. Allah SWT menurunkan Al Quran dengan teliti tanpa kurang satu huruf pun tetapi manusia meninggalkan ayat-ayat Al Quran dengan alasan demi alasan.

Siapa Punca Tarekat Terhakis

Pengkebumian Tarekat bermula apabila orang Kristian melancarkan penjajahan ke hampir semua wilayah-wilayah Islam didunia. Kota Mekah juga tidak terlepas. Dengan kekuatan tentera British pada waktu itu mereka telah memihak kepada Keluarga Al Saud untuk menumpaskan Syarif Husin. Kenapakah mereka membantu Dinasti Al Saud dan bukan Syari f Husin untuk memerintah di Kota Mekah? Rasanya anda sudah bijak untuk berfikir tentang ini. British menjadi penyebab utama kepada putusnya hubungan Ulama-ulama dulu dengan umat Islam sekarang. Malah mereka masih menganggap perang salib belum tamat. British, Yahudi dan Freemason bersekongkol dengan Mustafa Kamal Attartuk untuk melenyapkan Islam di Turki dan mematikan sistem Khilafa Islam. Permusuhan Kristian dan Islam bermula di Jurusalem sewaktu Perang Salib dan berlarutan sehingga sekarang. Pada waktu itu tentera Kristian kecundang ditangan tentera Islam di bawah pimpinan Salehuddin Al Ayubi. Punca kepada masalah ini bermula dizaman Nabi Isa Al Maseh. Yahudi mencipta agama Kristian setelah Nabi Isa Al Maseh diangkat ke langit. Yahudi menyampaikan agama Kristian kepada British. Setelah itu Yahudi menghasut Paderi-Paderi Kristian untuk melancarkan peperangan dengan umat Islam. Matlamat awal Yahudi adalah untuk menguasai Baitul Maqdis. British telah menyempurnakan hajat Yahudi itu setelah mereka berjaya menawan Turki. Sampai sekarang pergolakan diantara Yahudi dan Islam di Paletin masih berlaku.

British berjaya merampas ilmu-ilmu yang ada ditangan umat Islam di Parsi. British dan sekutu-sekutunya juga yang merampas kekayaan umat Islam di Nusantara. British juga yang menamatkan sistem Khulafa Islam. Dengan ilmu dan kekayaan yang telah dirampas dari umat Islam itulah mereka membangunkan ekonomi mereka dan menguasai ekonomi dunia sehingga sekarang. Sekarang ini anak didik mereka iaitu Amerika pula yang menyambung kerja-kerja penjajahan berdimensi baru. Pada awalnya tentera Kristian berperang untuk mengisi tabung gereja tetapi sekarang ini mereka berperang untuk memenuhkan tabung kapitalis yang menjadi pembiaya kepada ahli-ahli politik. Melalui kapitalis yang rakus ini muncul pula masalah yang lebih besar iaitu Riba. Keadaan umat Islam menjadi semakin terhimpit. Dengan Al Quran diketepikan dan Riba menjadi terpaksa apakah bermakna lagi KEMERDEKAAN buat umat Islam?

Apabila pengaruh Ulama-ulama dulu dilenyapkan, maka pengajian Tarekat mula terpinggir. Pengajian Tarekat sudah tidak dipantau lagi. Sepatutnya pengajian Tarekat ini perlu dipantau kerana ruang kesesatan di peringkat Tarekat lebih besar berbanding Syariat. Dengan ketiadaan Ulama-ulama yang faham tentang Tarekat maka pengajian Tarekat tidak dapat dipantau secara sempurna. Maka muncul ajaran-ajaran Tarekat sonsang didalam masyarakat Islam sekarang. Masalah yang sedia ada belum dapat diselesaikan timbul pula masalah yang baru. Masalah yang terkini ialah perpecahan Melayu Islam angkaran fahaman dan mazhab yang berbeza-beza. Nusantara kini sudah menjadi pusat lambakkan fahaman dan mazhab.

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." Di riwayatkan oleh Muslim.

Ini sudah berlaku atau belum? Apakah manusia boleh faham Islam keseluruhannya tanpa jalan Makrifat? Adakah akan ada jalan Makrifat tanpa Tarekat dan Hakikat?

Sistem Pendidikan Islam

Pengaruh British didalam bidang pendidikan juga amatlah besar sehingga mempengaruhi kaedah pengajian Islam. Pengajian Islam dijalankan dengan menggunakan kaedah British. Diploma, Ijazah, Masters dan Phd. melayakkan pelajar-pelajar untuk menjadi tenaga pengajar atau memegang jawatan-jawatan besar didalam Kerajaan. Pada mata kasar nampak memang cukup baik dan logik. Tetapi pada konsep Islam yang sebenar ia hanyalah satu kaedah yang akan merosakkan fahaman Islam secara perlahan-lahan. Dengan konsep pengajian cara British ini maka orang yang belum sampai ke peringkat Makrifat sudah boleh jadi Mufti atau Menteri Agama. Apa yang akan jadi kepada Islam jika orang yang belum mencapai Makrifat menjadi Pemimpin agama dan berfatwa?

Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". Di riwayatkan oleh Ibnu Ady

Pembelajaran Ilmu Islam mesti dijalankan secara kaedah Islam. Takkan Allah SWT menyediakan ilmu tanpa menyediakan kaedah pembelajarannya? Kenapa British pula yang menyediakan kaedah pembelajaran Islam. Adakah British lebih faham Islam daripada Allah SWT? Proses pembelajaran Ilmu agama melibatkan proses pembentukkan kerohanian dan bukan pembentukan akal semata-mata. Pembelajaran ilmu dunia tidak memerlukan proses pembentukan kerohanian. Tetapi ini bukan salah pelajar. Yang salah adalah pihak yang mewujudkan sistem pembelajaran tersebut. Kita mesti faham ilmu Islam itu merangkumi yang nyata dan yang ghaib. 70% daripada ilmu yang ada didalam Islam adalah pada ilmu yang berbentuk kerohanian. Pembelajaran kerohanian hanya bermula di peringkat Tarekat sahaja. Tetapi siapakah yang nak menguruskan pengajian Tarekat sekarang?

Tarekat tidak boleh diuruskan tanpa guru Tarekat yang mempunyai hubungan dengan guru Mursyid. Hanya Guru Mursyid sahaja yang boleh membimbing ikhwan Tarekat untuk mempelajari ilmu ghaib. Itu pun pada ikhwan yang layak sahaja. Tanpa ilmu ghaib manusia tidak akan sampai ke peringkat Hakikat dan Makrifat kerana asas kepada ilmu Hakikat dan Makrifat berbentuk ghaib. Seseorang yang belum sempurna menjalani proses-proses syariat tidak sesuai untuk mengikuti pengajian Tarekat. Dia juga mesti seorang yang tidak melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Tetapi yang menjadi masalahnya sekarang ialah Riba. Pengajian Tarekat akan menjadi sia-sia jika ikhwan-ikhwan Tarekat masih terlibat dengan Riba. Tapi siapa yang tidak terlibat dengan Riba sekarang?

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya". Diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Pembelajaran ilmu dunia ada sistem dan kaedahnya dan pembelajaran ilmu akhirat puln ada sistem dan kaedahnya juga. Inilah angkara urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya. Sistem pembelajaran Islam sekarang hanya mengambil soal syariat sahaja. Ini merugikan Islam kerana ianya tidak selaras dengan matlamat Islam diturunkan. Sifat syariat ialah memanafaatkan apa yang sudah dihasilkan oleh Ulama-ulama terdahulu. Manakala makrifat pula bersifat menyediakan keperluan untuk umat Islam untuk menuju ke hadapan. Maknanya Islam menguasai yang dulu, yang sekarang dan yang akan datang. Bukankah Al Quran juga bersifat begitu? Ini menunjukkan Islam itu sesuai untuk semua zaman. Tetapi apabila yang dulu diamalkan sekarang dan yang dulu juga akan dipakai untuk yang akan datang, makanya Islam jadi tidak relevan dengan semua zaman. Bukankah ini yang berlaku sekarang? Ini semua adalah angkara umat Islam ketandusan ilmu-ilmu baru untuk menghadapi dan menguasai kehidupan.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"”. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Adakah hadis diatas ini belum berlaku dizaman kita?
Nanti akan terjawab jua.

Umat Islam adalah pencetus kepada ketamadunan ilmu-ilmu moden. Al Kindi adalah antara Ulama Sufi yang terawal membawa ilmu-ilmu baru seperti matematik, perubatan, astronomi dll kedalam masyarakat Islam. Al Kindi berjaya memecahkan kod-kod rahsia ‘Cryptograf’. Al Kindi juga mengambil sebahagian ilmu falsafah Yunani dari Aristotle dan Plato untuk disesuaikan dengan akidah Islam supaya ilmu itu boleh dimanafaatkan oleh umat Islam. Selepas Al Kindi muncul pula Al Farabi dan Ibnu Sina untuk memperkayakan umat Islam dengan ilmu-ilmu baru yang seterusnya menyumbang kepada terbentuknya Tamadun Islam di Parsi. Semasa Perang Salib banyak ilmu-ilmu yang dimiliki oleh umat Islam pada waktu itu telah mengalir ke tangan orang Kristian melalui satu proses yang dipanggil Artes Arabum(pengaliran ilmu-ilmu Arab ke barat). Proses ini berlaku setelah Kristian merampas kembali Spanyol daripada tangan umat Islam. Ramai umat Islam yang berbangsa Arab telah dipaksa masuk Kristian supaya ilmu-ilmu umat Islam jatuh ke tangan orang Kristian melalui kaum Moor dan kaum Mozarabes(Moses-Arab) ini. Petros Alphonsi adalah dari kaum Mozarabes yang telah menjadi doktor pertama kepada King Henry 1.

Membangunkan Semula Islam

Untuk membangunkan semula Islam maka Islam mesti ditadbir oleh pemimpin yang Allah SWT pilih. Pada tangan pemimpin inilah Allah SWT kurnikan ilmu, kaedah dan kemampuan untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Dengan melantik Pemimpin pilihan Allah SWT ini bererti manusia telah menyerahkan semula hak Allah SWT untuk melantik siapa yang Dia kehendaki. Pemimpin yang Allah SWT lantik akan mengembalikan hak Allah SWT dengan meletakkan kehendak Allah SWT mengatasi segalanya. Apabila hak Allah SWT dikembalikan maka hak umat Islam juga akan turut dikembalikan secara otomatis kerana begitulah tertib yang telah ditentukanNya. Sejarah sudah sepatutnya mengajar kita tentang tertib Allah SWT. Apabila umat Islam mengenepikan dan merampas hak Allah SWT maka hak umat Islam pun akan diketepikan dan dirampas juga.

Kesimpulan:

Sudah jatuh terimpa tangga. Itulah nasib umat Islam kini. Umat Islam sudah jauh tertinggal dalam soal dunia dan akhirat. Kejahilan umat Islam tentang ilmu-ilmu Islam menyebabkan umat Islam hanya fokus kepada Al Quran dalam soal ibadah dan hukum sahaja. Padahal kekuatan tentera Amerika itu dapat ditumpaskan dengan cara yang lebih bijaksana melalui ilmu-ilmu Islam yang terkandung didalam Al Quran. Salah faham tentang Tarekat menyebabkan Islam lemah hari ini. Malah umat Islam tidak sedar pun dengan terhakisnya pengajian Tarekat maka Islam hanya tinggal nama. Salah faham tentang ilmu-ilmu Islam bermula di zaman penjajahan apabila terputusnya umat Islam hari ini dengan Ulama-ulama dulu yang menyimpan sebahagian rahsia-rahsia tentang ilmu-ilmu Islam. Pengajian Tarekat perlu dikembangkan semula dan dijalankan secara sistematik dan teratur mengikut kesesuaian keadaan dan zaman. Sistem pengajian Islam yang disesuaikan semula dengan kaedah Islam supaya Ilmu ilmu khusus yang diperlukan untuk mentadbir agama dan kehidupan di akhir zaman ini dapat dikembangkan. Tiada Tarekat maka tiada ilmu baru. Tanpa ilmu ilmu baru umat Islam tidak boleh mentadbir dunia ini dengan seimbang dan sempurna.

Manusia perlu memastikan 4 perkara asas diatas dijalankan dengan sempurna untuk mewujudkan keseimbangan didalam kehidupan mengikut kehendak dan tertib Allah SWT. Islam perlu seimbang dari sudut Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat. Manusia perlu seimbang dari sudut keperluan jasad, akal, (nyawa)jiwa dan roh. Semuanya adalah berkaitan menegakkan Keadilan. Kebenaran hanya wujud setelah keadilan terlaksana. Manusia yang mewujudkan kebenaran didunia ini bererti dia telah meletakkan Allah SWT pada tempat yang mulia didunia ini. Apabila hanya Al Quran sahaja yang menjadi peraturan maka itu juga bererti Allah SWT lah yang memerintah didunia ini. Sepertimana manusia yang mewujudkan kebenaran didalam dirinya bererti dia meletakkan Allah SWT ditempat yang paling mulia didalam dirinya iaitu di hatinya pada setiap ketika. Allah SWT hendak melihat dimana kita hendak meletakkan diriNya didalam diri kita, didalam masyarakat kita dan didalam wilayah kita. Kalau letak ringgit dihati kita maka ringgitlah Tuhan kita. Apakah dengan meletakkan Islam sebahagian dan kufar pada sebahagian yang lain itu kita tidak akan dikira sebagai menyekutukan Allah SWT ? Amatlah hina perbuatan itu. Janganlah diperkotak katikkan Allah SWT sebegitu rupa. Pedih balasannya. Kalau sudi katakan sudi. Buktikan kesudian kita itu dengan kembalikan lah semula hak Allah SWT yang telah diketepikan dan dirampas itu . Selesai semua masalah.

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak."
(Al-Kahfi, Ayat 103-ayat 105)