ADAB DENGAN GURU
Jika engkau seorang
penuntut hendaklah engkau punya adab dalam menuntut ilmu. Adab orang
yang belajar ilmu, disebutkan pula oleh Imam Al-Ghazali (رحمه الله
تعالى) di dalam Bidayatul Hidayah (sebanyak) sebelas perkara.
1. Apabila bertemu dengan gurunya, maka hendaklah (dia) mendahulukan memberi salam.
2. Jangan banyak berkata-kata di hadapan gurunya itu (terutama perkataan yang tiada kaitan dengan... pelajaran).
3. Jangan ia berkata dengan barang yang tiada diizinkan dahulu oleh gurunya.
4. Jangan ia bertanya akan gurunya melainkan meminta izin terlebih dahulu daripadanya.
5. Jangan menyangkal akan perkataan gurunya itu misalnya dengan
berkata, “saya dengar ustaz lain berkata …… ( lain daripada apa yang
engkau kata itu), atau sebagainya.
6. Jangan ia menyalahkan
akan bicara gurunya, lalu (murid itu) merasa bahawa (dia) terlebih benar
daripada (apa yang dikatakan) gurunya; atau terlebih tahu ia daripada
gurunya. Maka yang demikian itu kurang adab kepada gurunya lagi kurang
berkat.
7. Jangan ia berbisik-bisik dengan orang yang sama duduk (iaitu duduk bersamanya) di hadapan gurunya itu.
8. Jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan pada hadapan gurunya itu,
(bahkan sebaliknya) hendaklah ia duduk tunduk lagi beradab seolah-olah
ia di dalam sembahyang.
9. Jangan terlalu banyak pertanyaan
kepada gurunya itu tatkala segan gurunya itu daripada berkata-kata
(yakni kurang suka memperkatakan atau membicarakannya), atau tatkala ia
lelah (yakni letih atau penat).
10. Apabila berdiri gurunya
atau baharu datang gurunya itu, maka hendaklah ia berdiri pula kerana
menta’dzimkan akan gurunya itu, dan jangan diikuti pada ketika
bangkitnya itu dengan pertanyaan atau soalan. Dan jangan bertanya
masalah pada ketika ia berjalan hingga sampai kepada tempat duduknya
itu, melainkan kerana dharurat (yakni terpaksa) maka iaitu (yakni yang
mana) tiada tertegah bertanya di dalamnya (yakni pada ketika itu).
11. Jangan buruk sangka akan gurunya itu pada segala perbuatannya yang
dzahir menyalahi i’tiqadnya, atau bersalahan perbuatan gurunya itu
(yakni melakukan sesuatu yang lain daripada) pengetahuannya, atau dengan
adatnya (yakni kebiasaannya); kerana gurunya itu terlebih tahu dengan
segala hukum syara’ dan segala rahsia syariat, seperti hikayat Nabi Musa
(عليه السلام) dan Nabi Khidir (عليه السلام).