SIFAT PENCELA YANG MEMBINASAKAN AMALAN
Firman Allah Taala yang menjelaskan punca kekalahan tentera Islam dalam peperangan Hunain;
"Dan pada hari perang Hunain kerena kamu 'Ajib sebab ramai kamu, maka tiada terkaya daripada kamu akan sesuatu"
Sabda Rasulullah SAW;
- Tiga perkara yang membinasakan manusia
- (Pertama) Kikir yang diikuti
- (dan Kedua) Hawa nafsu yang diikuti yakni mengikut perbuatan yang disukai oleh nafsunya
- (dan Ketiga) 'Ajib seorang akan dirinya.
Kedua; Ujub itu akan merosakkan amal sholeh. Menghancurkan semua ganjaran pahala, malah memadamkan cahaya mata hati. Oleh kerana itulah, Nabi Isa a.s pernah bersabda;
Wahai hawarij-hawarij; sangat banyak lampu yang padam oleh angin, ramai ahli ibadah yang rosak oleh Ujub.
Di kalangan orang awam, penyakit ujub ini tidaklah digeruni sangat oleh mereka. Ini adalah kerena mereka tidak pernah punya cahaya untuk bermusyahadah dengan Allah Taala.
Berbeza dengan golongan Salikin, 'Ujub pada mereka adalah seumpama penyamun dan perompak dalam perjalanan mereka. Mereka amat berhati-hati sekali berhadapan dengan musuhnya yang licik ini. "Ujub boleh muncul dan menjelma secara tiba-tiba sahaja, tidak kira di mana daerahnya, dan dalam berbagai-bagai rupa dan bentuknya.
Pada pandangan Ahli Makrifat pula, bala disakiti tubuh badan atau dikeji oleh manusia itu terlebih baik daripada memandangkan diri yang banyak berbuat amal('Ujub).
Tidak hairanlah Abdullah bin Mas'uud r.a. pernah berkata;
"Keselamatan dalam dua macam; Taqwa dan niat. Dan binasa itu juga dalam dua macam iaitu putus harapan dan 'Ujub"
Sayyidina Omar Al-Khattab pula menanggapi pula sebagai sesuatu yang menjadi terhalangnya syarat-syarat kesempurnaan ibadat sebagaimana berikut;
"Sesungguhnya kesempurnaan taubatmu, bila engkau ingat selalu pada dosamu; dan kesempurnaan amalmu harus menghindarkan 'Ujub; dn kesempurnaan Syukur ialah menyedari kekurangan-kekuranganmu".
Bukan setakat, parasit yang merosakkan ibadat , hama yang menghancurkan pahala, musuh yang licik dan tersembunyi, yang memadamkan cahaya mata hati, yang membinasakan, yang membalakan seorang hamba, malah seorang Aulia Allah Sheikh Abdul Malik Muhummad(Tok Pulau Manis) pernah mengisyaratkan bahawa Ujub itu boleh menjeremuskan seorang yang suka dengan nikmat ibadatnya kepada lembah Kufur Nikmat. sebagaimana berikut;
Suka dengan taat daripada sekira-kira zhohirnya(taat) daripada hamba dengan ikhtiarnya dan iradat(kehendak)nya dan haul(keupayaan)nya dan kuat(kekuatan)nya. Maka inilah suka yang dicela; yang ditegahkan daripadanya "Kufur Al-Nikmat". Inilah setengah daripada 'Ajib yang membinasakan pada amal.
Sayyiditina A'isyah r.a ketika ditanya oleh seorang; "Bilakah saya mengetahui bahawa diriku telah berbuat baik?" Jawabnya; Bila kamu merasa belum baik. Lalu ditanya lagi; Bilakah saya mengetahui bahawa aku jahat(busuk/keliru). Jawabnya; Jika kamu merasa bahawa kamu sudah baik"
Umar bin Abdul Aziz jika khutbah lalu kuatir Ujub, ia hentikan khutbahnya dan bila menulis lalu takut Ujub, ia koyak-koyakkan tulisannya sambil membaca; "Allahumma inni a'udzu bika min syarri nafsi" (Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kejahatan diriku).
Cukuplah sebagai menyatakan bahawa Ujub ini satu perkara yang besar. Yang amat berbahaya. Sesuatu yang tidak boleh dipandang lekeh dan remeh, terutamanya pada mereka yang ingin berjalan kepada Allah. Jika yang dimaksudkan dalam beribadat akan faedah-faedahnya,
- sedangkan sifat-sifat Ujub boleh menyebabkan tidak diberi faedah,
- sehingga tidak berhasil baginya kebaikan sebaliknya keburukan yang diperolehi
- malah menghapuskan terus kebaikan dan melemparkannya ke lembah Kufur Nikmat,
Ketahuilah olehmu, bahawasanya Ujub itu ialah menganggap agung atas amal sholeh, ilmu yang diperbuat oleh dirinya sendiri. Contohnya dengan mengatakan "Akulah yang paling sholeh, tidak ada orang lain yang melebihi kesholehanku". Menurut perkiraan si hamba bahawa yang menjadi sebab berhasilnya kemuliaan amal sholeh itu ialah dengan sebab adanya suatu perkara, bukan dengan pengantaraan Allah, atau dengan sebab manusia itu sendiri.
Dengan kerana inilah terkadang Ujub itu berbentuk segi tiga. Ketiga-tiga lengkap iaitu dirinya sendiri, makhluk dan barang.
Terkadang Ujub ini dalam rupa dua segi. Ini berupa apabila tersuntik perasaan dan pendapatnya bahawa amal sholehnya disebabkan oleh dirinya dan harta-bendanya. Contohnya;
- Kalau aku tidak punya wang, tentu tidak akan dapat naik Haji
- Kalau aku tidak berusaha lebih, tentu tidak akan berjaya sepertimama sekarang.
- Kalau aku tidak mengajar mereka, tentu mereka semua masih jahil lagi.
- Alangkah mulianya aku
- Betapa rajinnya aku
- Alangkah hebatnya aku
Inilah penjelasan Imam Ghazali sebagaimana yang terdapat dalam Kitab Mukhtasar Ihya Ulumuddin. Adapun yang terdapat dalam Arba'in Fi Usuluddin ialah sebagaimana berikut;
Adapun hakikat Ujub ialah melihat akan kebesaran dirinya dan sifatnya yang nyata daripada beberapa nikmat Allah Taala seperti amal atau ilmu atau lain-lainnya dan tetap hati itu suka kepada nikmat itu serta lupa ia akan idhofah nikmat itu kepada Allah yang memberi nikmat itu di samping sentosa ia daripada hilang nikmat itu daripadanya.
Di sini timbul pertanyaan. Bagaimana bisa terjadi kekeliruan atas hamba Allah yang makrifat sampai lupa dan tidak tahu bahawa Allahlah yang memberi Taufiq kepadanya berbuat amal sholeh, Yang Mengagungkan QadarNya dan memperbanyak pahalanya atas kurnia Tuhan???
Dalam hal ini, dalam Kitab Minhajul 'Abidin, Imam Ghazali ada menjelaskan bahawa dalam perkara 'Ujub ini, manusia itu terbahagi kepada tiga golongan;
Golongan Pertama. Ada yang ujub selama-lamanya, sekalipun dia ingat akan adanya krunia Tuhan, tetapi dia tetap saja ujub. Inilah golongan Mu'tazilah dan Qadariyah. Mereka tidak memandang kepada Allah, sebab menurut pendapat mereka itu, bahawa kelakuan-kelakuannya adalah perbuatannya sendiri, bukan dari Allah, bukan dari Allah. Ini merupakan Aqidahnya sehingga sentiasa Ujub selama-lamanya. Mereka ingkar akan adanya pertolongan dan Taufiq dari Allah yang khusus dan juga adanya LathifNya Allah. Hal ini disebabkan adanya syubhat yang menguasai mereka.
Dalam hal ini aku(suluk) berkata; apa bezanya mereka yang mengaku dan mendakwa beri'tiqadkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, tetapi dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang lebih kurang sama dengan golongan Muktazilah dan Qadariyah ini.
- Kita yang merancang, kita yang melaksanakan sehingga kini kita yakin kita boleh berdiri sama tegak dengan mereka yang telah maju. Yakinlah pada diri kita sendiri dan yakinlah pada kebolehan kita. Sememangnya kita boleh. Kemajuan diri dan negara adalah bergantung dengan keyakinan kepada slogan "Kita boleh".
- Jikalah aku tidak mengadakan program itu dan itu, maka adakah kamu semua akan dapat menikmati semua kemudahan yang dinikmati sekarang ini? Dari itu percayalah kepada aku dan golongan yang menyokongku kerana hanya mereka yang boleh membawa anda menuju ke gerbang kejayaan.
Golongan Kedua. Golongan kedua ini adalah golongan yang ingat adanya kurnia dari Allah. Semua perilakunya walau bagaimanapun tidak terluput dari memandang kurnia Allah. Golongan inilah golongan yang lurus. Tidak pernah ujub sedikitpun atas amal-amalnya. Hal ini kerana adanya kewaspadaan hati/batin yang diberikan oleh Allah, dan dikhususkan dengan pemeliharaan tersebut dari Allah Taala.
Golongan Ketiga. Golongan yang campuraduk. Kadang-kadang ujub dan kadang tidak, iaitu umumnya Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Terkadang ingat akan kurnia Tuhan, tetapi terkadang lupa. Rasa "AKU"nya terkadang muncul secara mendadak. Hal ini kerana kelemahan dalam ijtihad dan kewaspadaan mereka.
Sememangnya sebagai seorang manusia yang lemah, sifat lupa dan ingat silih berganti. Penyakit ini bukan boleh diubati semata-mata dengan ibadat yang banyak, bukan dengan kebajikan yang banyak, kerana ianya sesuatu hal yang bersangkutan dengan tempat tilik hati. Jika hati sentiasa sahaja menilik diri dan amal, maka bagaimana bisa terselamat daripada mengakui dan merasai bahawa kita yang beramal dan diri yang mengerjakannya.
Pada suatu masa Nabi Daud a.s. keluar ke pesisir untuk beribadat dan ketika telah genap setahun, ia berdoa; "Ya Rabbi, Ya Tuhanku, telah bongkok punggungku dan lemah mataku dan kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku"
Maka Allah menyuruh katak untuk menjawab doa Nabi Daud itu. Lalu katak berkata;
"Hai Nabi utusan Allah, apakah anda mengungkap dan mengingat-ingatkan pada Tuhan ibadatmu yang setahun. Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi, saya di hutan ini selama tiga puluh tahun (atau enam puluh tahun) bertasbih, bertahmid kepada Tuhan, sedang persendiaanku tetap gementar kerana takut kepada Tuhanku".
Maka menangislah Nabi Daud mendengar kata-kata katak yang menyedarkannya.
Itu yang berlaku pada seorang Nabi lagi Rasul. Walaupun ianya sebagai jalan dan cara bimbingan Allah untuk mentarbiyahkan Rasul dan Nabinya, namun iktibar dan pengajarannya adalah untuk umat dan hamba-hamba Allah yang mahu berfikir. Yang nyatanya, hama Ujub yang cukup bahaya ini, bisa menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal taraf dan kedudukan, maka sewajarlah bagi kita yang serba kekuangan ini mengambil usaha yang bersungguh-sungguh untuk menjauhkan penyakit ini. Lupakan dulu seketika tilikan hati untuk mengira-ngira amal ibadat yang penuh dengan aib itu. Lupakan dahulu perbuatan menghitung-hitung kebajikan yang bercampuraduk dengan nafsu syahwat itu. Pendek kata lupakan dulu ketaatanmu baru dikerjakan beberapa tahun lalu untuk membuat sedikit koreksi. Adakah hama atau parasit 'Ujub ini dalam diriku?
Untuk itu, marilah sama-sama kita jelujuri pula perbahasan mengenai Pokok-pokok Penyakit Ujub ini.di samping mengenal kepelbagaian wajah dan bentuknya.