Monday, January 7, 2013


Jenis-jenis Ilmu Dan Bahagian-bahagiannya

Ketahuilah bahawa ilmu terbahagi kepada dua bahagian utama iaiitu:
·  Ilmu Syari'i
·  Ilmu 'Aqli

Ilmu-ilmu Syari'iah adalah bersifat 'Aqliah bagi orang yang mengetahuinya dan kebanyakan Ilmu-ilmu 'Aqliah adalah bersifat Syari'iah bagi orang yang mengenalinya. [Kenyataan di atas jika difahami ianya adalah untuk menunjukkan hubungan yang erat antara ilmu-ilmu Syari'iah dan ilmu 'Aqliah sebagaimana yang akan dinyatakan seterusnya.]
Firman Allah yang bermaksud;

"Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan nur kepadanya, nescaya tidak ada baginya nur."(Surah Al-Nur : 40)


http://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIFBahagian Pertama (Ilmu Syari'ah)

Ilmu Syari'ah terbahagi kepada dua macam iaitu:

A. ILMU USUL(Umbi).
B. ILMU FURU'

A. IlMU USUL

Ilmu Usul (Umbi) ini terbahagi pula kepada tiga jenis iaitu;

1. Ilmu Tauhid.
  • Ilmu ini membicarakan tentang zat Allah Taala, Sifat-sifatnya yang Qadimiah(Sediakala) Sifat-sifatnya yang Fi'liah(berupa perbuatan) dan Sifat-sifatnya yang Zaatiah(berupa Zat) yang berbagai-bagai nama menurut nama-nama sebagaimana yang tersebut.
  • Ia membicarakan tentang Nabi-nabi dan Imam-imam selepas mereka dan sahabat. Juga membicarakan tentang mati dan hidup,
  • membicarakan tentang Qiyamat, kebangkitan, perhimpunan di padang Masyar, kiraan amalan dan kelihatan Allah Taala.
Ahli-ahli fikir dalam ilmu ini berpegang pada:
    • mula-mula sekali dengan ayat-ayat Al-Quran
    • kemudian dengan hadis-hadis Rasulullah SAW.
    • kemudian dengan dalil-dalil 'Aqliah dan bukti-bukti Qiyasiah(Syllogism yang menjadi matlamat tertinggi dalam ilmu mantik atau lojik)
Mereka mempergunakan bahan-bahan qias perdebatan dan 'Anadi' (qias Pertentangan) dan hujungan-hujungan kedua-duanya yang diambil dari Logik(Mantik) Falsafah dan mereka meletakkan perkataan bukan pada tempatnya. Mereka mempergunakan istilah-istilah
  • Jauhar,
  • A'radh
  • Dalil
  • Nazor(tilik)
  • Istidlal dan
  • Hujah
sedangkan berlainan makna tiap-tiap istilah ini bagi tiap-tiap golongan.
Ahli-ahli Tasauf maksudkan suatu yang lain manakala ahli-ahli Ilmu Kalam maksudkan suatu yang lain pula. begitulah seterusnya. Risalah ini tidaklah bermaksud untuk mentahkidkan makna tiap-tiap perkataan itu menurut pendapat tiap-tiap golongan. Oleh itu kita tidak akan bincangkan di sini.
Ahli-ahli fikir dalam usul dan ilmu tauhid yang mengambil bahagian khas ( dalam mengemukakan dan mempertahankan ilmu mereka) dengan "Kalam" atau "Kata-Kata" digelarkan "Mutakallimun" (ahli-ahli ilmu kalam). Oleh sebab ini ilmu tauhid terkenal juga dengan gelaran "ILMU KALAM".

2. Ilmu Tafsir.
Al-Quran adalah sesuatu yang paling agung dan paling penting dalam agama. Di dalam Al Quran terdapat kemusykilan yang tidak dapat diselesaikan oleh akal tiap-tiap orang selain dari orang yang dikurniakan oleh Allah Taala untuk memahami kitabnya. Dalam hal ini Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:
"Tiap-tiap ayat Al Quran itu ada sahaja zahir dan batin dan batinnya itu mempunyai tujuh lapisan pula"

Dalam suatu riwayat yang lain dinyatakan sebagai mempunyai sembilan batinnya.
Rasulullah bersabda lagi dengan maksudnya:
"Tiap-tiap huruf dari huruf-huruf Al-Quran mempunyai had. Maksudmya sama dengan 'Nihayah' yang bermaksud batas) dan tiap-tiap had mempunyai Mutholi'(tempat tinggi untuk meninjau). Allah Taala telah memberitakan dalam Al-Quran mengenai seluruh ilmu, segala maujudah yang nyata dan yang tersembunyi, yang kecil dan yang besar, yang dapat dirasa dan yang dapat difahami oleh akal. Ini ditunjukkan oleh firmannya yang bermaksud:
Dan tidak(gugur) biji yang basah dan tidak kering melainkan terdapat dalam Kitab yang nyata. (Surah Al-An'am, ayat 59).

Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya ingat orang-orang yang mempunyai fikiran".(Surah Al-Shod, ayat 29).

Bila Al-Quran itu suatu yang paling agung, ahli-ahli tafsir manakah yang dapat keluar dari ikatannya???.
Ya!!! tiap-tiap dari ahli tafsir hanya dapat menghuraikan Al-Quran menurut tenaga sahaja, menerangkannya sekadar kekuatan akalnya dan menurut kadar isi ilmunya. Dengan kebolehan-kebolehan yang terbatas ini sekalian ahli tafsir itu berkata-kata sedangkan sebenarnya mereka  patut berkata bahawa dalam ilmu Al-Quran itu terkandung Ilmu Usul dan Ilmu Furu', Ilmu Syarie' dan Ilmu 'Aqli.

Meskipun begitu ahli tafsir mestilah memandang Al-Quran dari segi bahasa, dari segi perumpaannya, dari segi susunan pengucapan, dari segi tingkat-tingkat nahu, dari segi 'adat Arab, dari segi pendapat hukamah-hukamah, dari segi perkataan ahli tasauf hingga dapat mendekatkan tafsirnya kepada tahkiq. Andainya tafsir itu cuma terbatas setakat suatu segi sahaja dan hanya memberikan keterangan menerusi suatu kepandaian sahaja, tidaklah keterangan itu memuaskan hati dan masih memberi peluang kepada hujah dan alasan dari orang lain untuk menentangnya.

3. Ilmu Akhbar(Hadis-hadis)

Bahawa Nabi SAW adalah orang Arab dan A'jam yang paling fasih, ia adalah guru yang diwahyukan kepadanya dari Allah Taala, akalnya adalah meliputi seluruh Alam Atas dan Alam Bawah, tiap-tiap perkataannya , malah tiap-tiap ucapannya terdapat disebaliknya lautan rahsia dan perbendaharaan teka-teki .Maka mengetahui Akhbarnya dan mengenali hadisnya adalah suatu soal yang besar dan suatu kerja yang hebat, sesiapa pun tidak berkuasa untuk menyelami ilmu perkataan Nabawi melainkan dengan cara ia membetulkan diri menuruti perintah-perintah Nabi SAW dan menghilangkan kebengkok-bengkokkan dari Qalbunya dengan pedoman syarak Nabi SAW.

Sesiapa yang ingin memperkatakan tafsir Quran dan Takwil Akhbar(Hadis) dan ingin supaya tepat kata-katanya, orang itu pada mula-mula sekali mesti menguasai Ilmu Bahasa, mendalami Ilmu Nahu dan mempunyai pengetahuan yang dalam bidang 'Irab(perubahan baris-baris akhir kalimah kerana faktor-faktor mendatang menurut Ilmu Nahu)dan pandai dalam berbagai-bagai Tasrik (kepandaian mengubah sesuatu kalimah yang asal menjadi bermacam-macam bentuk untuk pengertian-pengertian yang dikehendaki oleh seseorang),

Ini adalah kerana Ilmu Bahasa adalah tangga untuk mendaki kepada seluruh ilmu. Sesiapa yang ingin naik ke atas satoh rumah, lebih dulu ia perlu menyediakan tangga, kemudian baru mendaki, Ilmu Bahasa adalah jalan yang penting dan tangga yang besar ertinya. Seorang penuntut ilmu tiada dapat memisahkan dia dari hukum-hukum bahasa.

Oleh itu Ilmu Bahasa adalah asal segala asal. Yang mula-mula mesti diketahui dalam bahasa ialah mengenai bahan-bahan yang sama tarafnya dengan perkataannya sepatah demi sepatah kemudian mengetahui kata-kata perbuatan seperti kata-kata yang terdiri dari tiga huruf dan empat huruf dan lain-lainnya.
Seorang Ahli Bahasa mesti pula mengetahui syair-syair Arab, dan yang paling penting serta paling rapi ialah syair-syair jahiliah, kerana ia mengasahkan fikiran dan memperhaluskan jiwa. Selepas syair-syair, bahan-bahan (dari perkataan) dan nama-nama itu mesti menguasai ilmu nahu, kerana ia untuk ilmu bahasa serupa dengan timbangan dacing untuk emas dan perak, Manthiq untuk Ilmu Falsafah 'Arudh (Ilmu timbangan syair atau Ilmu Persajakan) untuk syair. Lengan untuk baju dan sukatan untuk biji-bijian. Tiap-tiap suatu tiada ditimbang dengan timbangan yang tiada jelas padanya hakikat pertambahan dan pengurangan.
Oleh itu Ilmu Bahasa adalah jalan menuju kepada Ilmu Tafsir dan Akhbar(Hadis). Ilmu Al-Quran dan Akhbar adalah dalil bagi ilmu tauhid, manakala tauhid adalah ilmu yang hanya dengan dia sahaja baru terselamat para hamba dan dengannya mereka terlepas dari ketakutan hari kebangkitan kembali. Inilah Ilmu Usul secara perincian.


B. Ilmu Furu' (Ilmu Cawangan).

Sesuatu ilmu itu boleh berupa 'Alami atau 'Amali. Ilmu Usul adalah ilmu yang berupa Ilmu 'Alami manakala Ilmu Furu' adalah ilmu yang berupa 'Amali.
Ilmu Amali ini mengandungi tiga hak :

1. Hak Allah Taala :

Ini adalah mengenai bahagian-bahagian ibadat seperti bersuci, sembahyang, zakat, haji, jihad zikir, perayaan-perayaan (Al-'Ayaad dengan makna pertama perayaan agama dan makna kedua pengulangan-pengulangan maksudnya Tajali-tajali yang berulang-ulang atas Qalbu dengan cara mengulangi amalan-amalan) perhimpunan (Jama'ah ), dan lain-lain amalan sunat dan fardhu.

2. Hak para hamba

Ini adalah mengenai bahagian-bahagian 'Aadat (kemasyarakatan) yang terbahagi kepada dua bidang:
  • Mu'amalah (Pergaulan) seperti jual beli, syarikat, pemberian(Al-Hibah), pemberian pinjam dan hutang, Qishos dan segala bahagian Diyat(denda berupa wang dari kesalahan pembunuhan atau pencederaan).
  • Mu'aakodah(Perjanjian) seperti nikah, tholak, pembebasan hamba, perhambaan, pembahagian pesaka dan segala hujungannya.
Dua bahagian yang tersebut di atas ini dinamakan 'FEKAH'. Ilmu Fekah adalah ilmu yang mulia, berfaedah, mengenai semua(manusia) lagi perlu. Tidak terlepas manusia daripadanya kerana keperluannya kepadanya adalah umum.

3. Hak Jiwa.

Hak jiwa ialah sesuatu yang berkaitan dengan Ilmu Akhlak. Akhlak itu kalau tercela wajib disingkirkan dan dibuang. Jika terpuji, wajib dipakai sebagai perhiasan segala jiwa. Akhlak yang tercela dan sifat-sifat yang terpuji memang terkenal dalam Kitab Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripada sifat-sifat yang terpuji itu, ia akan masuk syurga.

http://www.angelfire.com/journal/suluk/AQUA_PULSE_SM_CLR.GIFBahagian Yang Kedua (Ilmu 'Aqli)

Ilmu 'Aqli atau ilmu yang berproblem lagi musykil. Ilmu yang boleh berlaku SALAH atau BETUL. Ia terletak pada tiga tingkat iaitu:


Tingkat Pertama

Tingkat mula-mula, Ilmu Matematik dan Ilmu Logik(Manthiq). Dari Ilmu Matematik lahir Ilmu Hisab yang membicarakan tentang angka-angka, geometri (ilmu ukuran-ukuran dan bentuk-bentuk), Ilmu Astronomi(berhubung dengan falak, bintang-bintang, kawasan-kawasan bumi dan apa-apa yang berhubungan dengannya). Terbit dari Ilmu Astronomi ini sebagai cawangannya ialah Ilmu Astrologi(Ilmu Nujum dan hukum-hukum dan Horoskop). Dari Ilmu Matematik itu lahir pula ilmu-ilmu muzik yang membicarakan tentang nisbah tali-tali alat bunyi.
Ada pun ilmu logik adalah membicarakan tentang cara menentukan had (Al-Had ) dan Resam (Al-Resam) dalam sesuatu yang dapat dicapai dengan konsep (Tasawwur). Juga ia meninjau dari cara qias ( Al-Qias ) dan bukti ( Al-Burhan ) dalam ilmu-ilmu yang dicapai dengan pengakuan (Al-Tasdiq). Ilmu Logik berpusing di sekitar kaedah ini.
  • Bermula dari kata-kata tunggal,
  • kemudian kata-kata bersusun,
  • kemudian khasiat-khasiat
  • kemudian qias
  • kemudian bahagian-bahagian qias
  • kemudian matlamat bukti(Mutholib Al-Burhan).
Inilah dia penghabisan Ilmu Logik.

Tingkat Kedua

Tingkat tengah ini ialah Ilmu Tabie. Ilmu Tabie ini ialah suatu ilmu yang membicarakan tentang:
  • Jisim Mutlak(Jisim semata-mata jisim yang terdiri dari benda dan rupa tanpa ikatan dengan mana-mana ruang. Di sini dibicarakan tentang pembahagian-pembahagian jisim, gerak, perubahan dan apa yang berhubung dengan gerak itu seperti zaman, ruang dan kosong) dan
  • Rukun-rukun Alam (membicarakan tentang langit-langit dan empat anasir yang berada daripada bahagian bawah falak bulan, tabiat-tabiat anasir itu dan lain-lain),
  • Jauhar-jauhar dan 'Aradh,
  • Gerak dan Diam, tentang Hal Ehwal Langit,
  • Sesuatu Yang Berupa Tindakan dan Kesan Tindakan.
Dari ilmu ini, lahir perbicaraan tentang:
  • Hal-ehwal Tingkat-tingkat Maujudah,
  • Bahagian-bahagian Jiwa
  • Mizraj dan
  • Kualiti Deria dan
  • Cara Pencapaiannya Terhadap Sesuatu Yang Dapat Dicapainya.
Kemudian membawa kepada perbicaraan tentang ilmu kedoktoran iaitu ilmu mengenai badan-badan, penyakit-penyakit, ubat-ubat, pengubatan dan apa yang berhubung dengannya. Di antara cawangan Ilmu Tobie ialah
  • Ilmu Kesan-kesan Atas
  • Ilmu Benda-benda Galian
  • Pengetahuan Khasiat Benda dan berakhir pada
  • Ilmu Perusahaan Kimia iaitu pengubatan jasad-jasad yang sakit pada bahagian-bahagian dalam benda-benda galian.
Tingkat Ketiga.

Ini adalah tingkat tertinggi yang membicarakan tentang
  • MAUJUD kemudian
  • membahagikan kepada "WAJIB"(tiap-tiap apa yang wujudnya dari zatnya sendiri bukan dari yang lain. Wujud yang begini keadaannya ialah wujud Allah, sebab inilah diistilahkan dengan "WAJIBAL WUJUD" ertinya "Yang Wajib Ada") dan
  • "MUMKIN" (tiap-tiap yang wujudnya bukan dengan zatnya sendiri, malah bergantung dengan zat yang lain. Kalau tidak ada zat yang lain ini, maka ia tidak. Wujudnya yang begini keadaannya adalah wujudnya makhluk. Sebab itulah makhluk diistilahkan dengan "MUMKINAL WUJUD"ertinya "Yang Mungkin Ada"). kemudian
  • membicarakan tentang Penciptanya dan ZatNya
  • segala sifat-sifatNya,
  • perbuatan-perbuatanNya,
  • perintah-perintahNya,
  • hukum dan qadaNya serta
  • susunan kelahiran maujudah daripadaNya, kemudian
    • membicarakan tentang sesuatu yang tinggi(Al-'Uluyah)
    • Jauhar-jauhar Mufrad,
    • Akal-akal Abstrak, dan
    • Jiwa Yang Sempurna kemudian
    • membicarakan tentang malaikat-malaikat dan syaitan-syaitan
    • dan berakhir dengan Ilmu Nubuwah,
    • soal-soal mukjizat dan
    • hal-ehwal keramat, dan kemudiannya
    • membicarakan hal-ehwal Jiwa-jiwa Suci,
    • hal-hal tidur dan sedar dan maqam-maqam mimpi.

Di antara cawangan-cawangannya ialah
      • Ilmu Tillasmaat (Ilmu membuat tangkal atau azimat) dan
      • Ziijaat (ilmu yang membicarakan tentang kedudukan falaniah-falaniah) dan
      • apa yang berhubungan dengannya.
Ilmu-ilmu ini mempunyai perincian-perincian, lapangan-lapangannya dan tingkat-tingkatnya yang memerlukan ruangan yang lanjut. Tetapi sudah cukuplah dengan ringkasan ini.
http://www.angelfire.com/journal/suluk/fairyku.gif

 
Ringkasan Fasal Di Atas
Ilmu yang menjadi kecintaan jiwa manusia itu terbahagi kepada dua bahagian yang penting iaitu:
  • 1. Ilmu Syari'i
  • 2. Ilmu 'Aqli
Ilmu Syari'i terbahagi kepada dua iaitu:
    • i. Ilmu Usul (Ilmu Umbi) atau Ilmu 'Alami
    • ii.Ilmu Furu'(Ilmu Cawangan) atau Ilmu Amali
Ilmu Usul terbahagi kepada kepada tiga iaitu:
    • Ilmu Tauhid
    • Ilmu Tafsir dan
    • Ilmu Hadis
Ilmu Furu' pula terbahagi kepada dua iaitu :
    • Ilmu Feqah
    • Ilmu Akhlak (Hak Jiwa)
Ilmu Fekah pula terbahagi kepada dua iaitu;
    • Haq Allah (Ibadat)
    • Hak para hamba yang terbahagi kepada dua iaitu
      • Mu'amalah dan
      • Mu'aqadah
Manakala Ilmu Aqli pula terbahagi kepada tiga tingkat iaitu:
  • Tingkat Pemulaan
  • Tingkat Pertengahan dan
  • Tingkat Tinggi.
Tingkat Permulaan terbahagi kepada dua iaitu:
    • Ilmu Matematik dan
    • Ilmu Logik
Ilmu Matematik terbahagi kepada;
      • Ilmu Hisab
      • Geometri
      • Astronomi
      • Astrologi
      • Horoskop dan
      • Muzik
Tingkat Pertengahan ialah Ilmu Tabie yang terbahagi kepada:
  • Ilmu Kedoktoran
  • Kaji Jiwa
  • Benda-benda galian dan
  • Perusahaan Kimia
Tingkat Tinggi ialah;
  • Ilmu Ketuhanan
  • Ilmu Tillasmaat dan
  • Ilmu Ziijat
Persoalannya kini dimanakan kedudukan Ilmu Tasauf di antara kesemua ilmu di atas????. Ikutilah perbincangan seterusnya yang akan menghuraikan asal Ilmu Tasauf, tempat duduknya di antara kesemua ilmu yang ada. Jika anda mengikuti tajuk ini dan tajuk seterusnya dengan serius akan akan mendapat jawapan ini sekaligus jawapan kepada teka-teki Imam Ghazali dengan kenyataannya pada awal tajuk ini iaitu:

Ilmu-ilmu Syari'iah adalah bersifat 'Aqliah bagi orang yang mengetahuinya dan kebanyakan Ilmu-ilmu 'Aqliah adalah bersifat Syari'iah bagi orang yang mengenalinya.