Pemaparan
Urusan Ghaibi
|
Apabila lalat tercebur dalam madu, semua anggota
badannya kaku dan tidak bergerak lagi. Begitulah juga keadaannya ISTIGHRAQ
yang bermaksud lenyap atau bersatu dengan Tuhan. Jika anda mahu gelarkan
fana pun itulah yang dimaksudkan. Gunakan apa istilah sahaja yang anda
suka seperti Ittihad atau Hulul atau Jami' atau Sakr atau Wahdatul Wujud atau
lain-lain istilah lagi, kesemuanya adalah merujuk kepada atau sebagai
ingin memaksudkan tidak ada kesedaran wujudnya sendiri dan tidak ada daya usaha
dan geraknya sendiri. Tindakan yang dilakukan bukan tindakannya
sendiri. Perkataan yang terluncur keluar bukanlah atas kehendaknya
sendiri. Dia sedang tenggelam dalam lautan keesaan Tuhan.
Sekiranya ia diibaratkan masih tercungap-cungap dalam air
dan berteriak, "Oh, aku tenggelam!!!" maka itu
menunjukkan ia belum bersatu dengan Tuhan. Orang yang Istighraq saja yang
tahu maksud kata-kata "Anal-Haqq".
Orang yang tidak mengerti mungkin menyangka kata-kata itu
keterlaluan dan membesarkan diri. Malah ada lagi yang lebih tidak
mengerti akan mengatakan kata-kata itu ada sesat atau kafir. Padahal
mengatakan "Anal-abd" (Akulah hamba iaitu hamba Tuhan) itulah
yang menyombong dan membesarkan diri. Mengatakan
"Anal-Haqq" itulah penyataan yang paling merendah diri dan menundukkan
diri di Hadrat Tuhan.
Orang yang mengatakan "Anal-abd" mengisbatkan dua
wujud iaitu Wujud Tuhan dan wujudnya sendiri.
Orang yang mengatakan "Anal-Haqq" mengisbatkan
Wujudnya Allah dan menafikan wujudnya sendiri. Dia telah menyerahkan
seluruh dirinya kepada Allah Yang Esa. Itulah sebabnya ia berkata,
"Anal-Haqq" yang bererti ;
"Aku tidak ada apa-apa. Yang ada itu hanya Allah. Dialah
Maha Segala dan Maha Wujud".
Inilah yang dinamakan paling merendahkan diri,
paling menundukkan diri, paling sujud kepada Yang Esa, hingga diri
sendiri tidak wujud.
Jadi kenapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri
tidak ada pengetahuan mengenainya?. Bukankah erti zholim itu ialah
meletakkan sesuatu bukan pada haknya(tempatnya)?. Kamu zholim kerana kamu
menuduh mereka sesat, kamu zholim kerana kamu telah meletakkan kemuliaan
Aulia Allah, kekasih Allah, penzhohiran Allah ditempat yang tidak
sepatutnya.
Ilmu mereka tidak setanding dengan ilmu yang perolehi dari
kitab-kitab atau mulut-mulut manusia. Kamu tidak memiliki ilmu-ilmu
seperti yang mereka miliki malah mereka memiliki sesuatu yang ada padamu dan
sesautu yang tidak ada padamu. Ini adalah kerana ilmu mereka di ambil
terus dari Tuhan. Apabila mereka berkata mereka berkata dengan Kalam
Tuhan tetapi apabila kamu berkata, kamu hanya mengajuk-ngajuk percakapan
orang lain atau atas dorongan keegoan nafsumu.
Sedarlah bahawa pengetahuan, khayal dan kefahaman anda
adalah ibarat kuda kayu yang ditunggangi oleh anak-anak untuk mainan. Ilmu
orang keruhanian meninggikan peribadinya. Ilmu orang biasa jadi beban
kepadanya. Allah berfirman: "seperti keldai yang membawa kitab".
Beratlah ilmu yang tidak diilhamkan olehnya, tetapi jika
anda bawa ilmu bukan untuk kepentingan sendiri, beban itu akan
diringankan dan anda akan senang. Bagaimana anda boleh bebas jika tidak mabuk
dengan dia???.
Wahai anda yang berpuas hati dengan tanda-tandanya saja.
Dari sifat dan nama apa yang lahir? khayal semata-mata. Tetapi khayal menunjuki
jalan ke Hakikat. Adakah sebarang nama tanpa yang dinama?
Naiklah melampaui nama dan huruf. Jadikan dirimu suci bersih
dan lihatlah dalam hatimu semua ilmu Nabi-nabi. Tanpa kitab tanpa belajar dan
tanpa guru.
Belajarlah dari bawah ilmu-ilmu mereka, kenalilah
dahulu hal-ahwal ilmu-ilmu mereka nescaya kamu akan mengerti maksud isyarat
Imam Ghazalii;
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu
adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang
didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.
Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam
mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang
datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi
halus(Lathif).
Kamu jua akan memahami kata-kata Jalaludin Rumi;
Ruh dihembuskan pada tanah liat. Dia zhohir ke dunia
dalam tanah liat yang dibentuk. Dia jadi Nuh dan masuk ke bahtera.
Dengan doanya bumi banjir.
Dia jadi Ibrahim dan masuk ke dalam api. Api jadi
sejuk dan tidak membakar.
Kemudian dia jadi Isa, naik ke langit dan memuji
TuhanNya. Pendeknya Dialah yang datang dan pergi dalam setiap
generasi. Akhirnya Dia zhohir dalam bentuk orang Arab dan menjadi
penakluk kerajaan dunia. Dia jadi pedang di tangan Ali. Dialah juga
yang meneriakkan "Ana al-Haq" dalam bentuk manusia. Yang naik ke tempat pembunuhan
itu bukan Mansur Al-Hallaj sebagaimana sangka si bodoh.
Jalaludin Rumi tidak pernah berbohong. Percayalah
kepadanya.
Wahyu adalah penerangan Urusan
Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Inilah
sebahagian daripada pemaparan Urusan Ghoibi(Wahyu) dari firman Allah;
'Lalu kami tiupkan padanya dari roh kami.'(Surah Al-Tahrim
ayat 12)