Keterangan Mengenai Jiwa Dan Ruh Insani
|
Ketahuilah bahawa Allah Taala menjadikan
manusia ini terdiri daripada dua suatu yang berbeza iaitu:
- Jisim yang gelap, tebal, termasuk di bawah kejadian dan kebinasaan
(Al-Kun Wal-Fasad) yang tersusun, bersifat ketanahan yang tidak dapat
melaksanakan urusannya melainkan dengan yang lain.
- Jiwa Jauhari yang tunggal yang bercahaya, mencapai, bertindak lagi
menggerakkan dan menyempurnakan alat-alat (alat-alat dalam badan manusia
baik yang bersifat ruhaniah seperti Ruh Haiwani, Ruh Tobie dan lain-lain
atau bersifat jasmaniah seperti otak dan bahagian-bahagiannya dan lain-lainnya.
Allah Taala menyusun jasad-jasad dari
bahagian-bahagian makanan dan menjaganya dengan bahagian-bahagian zat makanan
yang lebur menyerap ke dalam jasad, menyediakan asas, menyempurnakan
anggota-anggota penting, menentukan anggota-anggota kaki dan tangan dan melahirkan jauhar jiwa dari urusan yang tunggal,
sempurna menyempurna lagi memberi faedah.
Bukanlah saya(Imam Ghazali) maksudkan 'jiwa' itu
kekuatan untuk mendapatkan makanan;
- bukan kekuatan yang menggerakkan syahwat (Al-Nafsu) dan kemarahan;
- bukan kekuatan yang berada dalam jantung(Al-Kolbu) yang melahirkan hidup, menimbulkan rasa dan
gerak dari jantung kepada seluruh anggota, kerana kekutan ini dinamakan 'Ruh Haiwani'.
Rasa, gerak, syahwat adalah dari tentera Ruh
Haiwani ini.
Kekuatan mendapatkan makanan yang berada dan
menguruskan dalam hati(Al-Kabad) dinamakan 'Ruh Tobie.' Pencernaan dan
penolakan adalah daripada sifat-sifatnya. Kekuatan merupa, melahir, menyubur
dan lain-lain kekuatan tobie semuanya menjadi khadam-khadam bagi jasad dan
jasad pula adalah khadam kepada Ruh Haiwani,
kerana jasad menerima kekuatan-kekuatan dari Ruh Haiwani dan bekerja menurut
geraknya.
Sebenarnya yang saya maksudkan dengan 'JIWA' itu
ialah JAUHAR YANG SEMPURNA
LAGI TUNGGAL (Al-Jauhar Al-Kamil Al-Mufrad) yang kerjanya hanya
- mengingat
- menghafaz
- memikir membeza dan
- mengamat-amati; juga
- menerima segala ilmu dan
- tidak jemu-jemu menerima rupa-rupa abstrak yang bersih dari
benda.
Jauhar ini adalah ketua segala ruh dan raja.
Segala kekuatan semuanya berkhidmat kepada jauhar ini dan menjunjung
perintahnya. Jauhar ini tidak lain tidak bukan dari JIWA BERAKAL (Al-Nafs An-Naathokoh) yang diberikan berbagai-bagai nama. Para ahli
falsafah menamakan jauhar ini sebagai JIWA BERAKAL(Al-Naf An-Naathokah).Al-Quran menamakannya sebagai JIWA YANG
TENANG(Al-Nafsul Mutomainnah). Al-Quran juga menamakannya sebagai RUH
URUSAN (Al-Ruh Al-Amri). Ahli Tasauf menamakannya sebagai QALBU(Al-Qalbi). Perbezaan cuma pada segi nama-nama sahaja tetapi ertinya satu,
tidak ada perselisihan. Oleh itu 'QALBU' dan 'RUH' pada kita juga 'YANG TENANG'
semua nama-nama itu adalah bagi 'JIWA BERAKAL' (Al-Nafs Al-Naathokoh). Jiwa berakal ialah 'Jauhar yang Hidup', 'aktif',
lagi mencapai kalau disebut Ruh Mutlak atau Qalbu. Maksudnya ialah jauhar ini
juga.
Ahli-ahli Tasauf menamakan 'Ruh Haiwani' pula
dengan nafsu. Syarak juga memberikan pengertian yang sama sebagaimana sabda
Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Musuh engkau
yang paling ketat ialah nafsu engkau".
Baginda bersabda lagi dengan maksud:
"Nafsu engkau
ialah yang terletak di antara dua pihak".
Perkataan nafsu yang dimaksudkan oleh syarak di
sini ialah kekuatan 'syahwaaniah' dan kemarahan kerana kedua-duanya muncul dari
jantung yang terletak di antara dua pihak(dari tubuh manusia).
Bila kamu telah faham dan mengetahui perbezaan
nama-nama itu ternyatalah bahawa para pengkaji memberikan nama yang
bermacam-macam terhadap Jauhar yang bernilai ini dan mengemukakan
pendapat-pendapat yang berbeza. Para ahli Ilmu Kalam yang pandai dalam debat
menganggap jiwa itu sebagai suatu jisim dan menyatakan bahawa ia adalah jisim
yang halus sebagai tantangan bagi jisim yang tebal ini. Mereka hanya melihat
perbezaan di antara ruh dan jasad dari segi kehalusan dan ketebalan sahaja.
Sebahagian dari mereka menganggap ruh sebagi
'aradh. Sebahagian daripada ahli-ahli kedoktoran cenderung ke arah pendapat
ini. Ada pula yang menganggap darah sebagai ruh.
Mereka semua merasa puas hati dengan pendapat
mereka kerana dipengaruhi oleh kecantikkan pandangan dan mereka 'TIDAK
BERUSAHA' mencari bahagian ketiga sedangkan sebenarnya ada tiga bahagi iaitu Jisim, Aradh dan 'Al-Jauhar-Al-Mufrad'. Ruh Haiwani ialah jisim yang halus seolah-olah
lampu bernyala terletak dalam kaca jantung. Jantung yang dimaksudkan di sini
ialah rangka sanubari yang tergantung pada dada manusia. Hidup adalah lampu
tersebut,
- Darah ialah minyaknya,
- Rasa dan gerak merupakan nurnya,
- Syhwat ialah kepanasannya,
- Kemarahan ialah wapnya,
- Kekuatan mencari makanan yang berada di dalam hati merupakan
khadam atau penjaganya dan wakilnya.
Ruh ini terdapat pada segala binatang. Ruh ini
tidak menerima ilmu dan tidak mengetahi soal yang berhubung dengan alam dan
tidak mengetahui hak-hak Pencipta Alam. Ia hanya merupakan khadam yang terikat.
Ia mati bersama dengan matinya badan. Jika bertambah darah, padam lampu itu
kerana bertambah kepanasan dan sebaliknya jika berkurangan darah, ia akan padam
juga kerana bertambah kesejukan. Padamnya menjadi sebab bagi matinya badan.
Tidak ada 'khitob Tuhan' iaitu (perkataan-perkataan Tuhan yang lazim yang
dihadapkan kepada orang-orang mukallaf berhubung dengan perbuatan-perbuatan
mereka) dan tidak ada 'takhlif'
(pemikul tanggungjawab
yang diamanahkan dari Allah melalui hukum syarak yang lima) tuan punya syarak
terhadap ruh ini. Kerana inilah segala binatang tidak termasuk ke dalam
makhluk-makluk yang menerima 'khitob' dengan hukum-hukum syarak.
Manusia sebenarnya 'ditakhlif' dan 'dikhitob'
kerana suatu makna yang lain terdapat padanya sebagai suatu tambahan yang
dikhaskan untuknya. Maknanya ialah pada manusia ada 'JIWA YANG BERAKAL'
(Al-Nafs-An-Naatokoh), 'RUH URUSAN'(Ruhul-Amri) dan 'JIWA YANG TENANG'(Al-Nafsul
Muthomainnah).
Ruh ini bukanlah jisim dan bukanlah 'aradh', kerana ia datang dari urusan Allah Taala sebagaimana firmannya
yang bermaksud:
'Katakanlah hai
Muhammad bahawa Ruh itu adalah urusan Tuhanku.
(Surah Al-Israk ayat 85)
Allah berfirman lagi yang bermaksud:
'Hai Jiwa yang Tenang, kembalilah kepada
Tuhanmu dengan keadaan redho dan diredhoi." (Surah Al-Tahrim ayat 12)
Urusan Allah bukanlah berupa jisim dan bukan
pula 'aradh', malahan ia adalah suatu
kekuatan 'ILAHIYAH' seperti 'AKAL YANG PERTAMA' (Al-'Aklul-Awal), Luh dan Qalam. Kekuatan Ilahiyah adalah Jauhar-Jauhar Tunggal
yang bukan dari benda, malah ia merupakan sinar-sinar abstrak yang dapat
difahami oleh akal (Ma'quulah). Bukan boleh dirasa. Apa yang kita sebut sebagai
ruh dan Qalbu adalah dari Jauhar-Jauhar itu. Ia
- tidak rosak
- tidak layu
- tidak binasa
- tidak mati bahkan;
- ia terpisah dari badan dan menantikan perkembaliaan pada hari
kiamat
sebagaimana yang dinyatakan dalam syarak dan
telah disahkan dalam ilmu-ilmu 'HIKMIAH' (Falsafah) dengan alasan-alasan yang tidak dapat ditolak lagi.
Buktinya yang nyata menunjukkan bahawa 'RUH YANG BERAKAL' bukanlah jisim dan
bukanlah 'aradh, malah ia adalah JAUHAR yang sabit(nyata) lagi kekal tiada
binasa. Di sini rasanya tidak perlu lagi kita menyebut alasan-alasan dan
membentangkan dalil-dalil kerana telah dibuat dan disebut orang. Sesiapa yang
mahu mengesahkannya silalah tatap kitab-kitab yang baik mengenai ilmu ini. Cara
kita memberi huraian dalam risalah ini bukanlah dengan mengemukakan alasan,
malah dengan berpegang pada apa yang telah dialami menerusi 'PENGLIHATAN YANG YAKIN DAN PENGLIHATAN IMAM.' Allah Taala ada menghubungkan ruh kepada urusan
dan kadang-kadang kepada 'IZAH'Nya(zat yang tiada boleh dicapai dengan akal dan
fikiran) dengan firmanNya yang bermaksud:
'Dan Aku(Allah) tiupkan padanya ruh dariKU' (Surah Al-Hijr ayat 39).
dan firmanNya lagi yang bermaksud:
'Katakanlah (hai Muhammad) bahawa roh itu
adalah urusan tuhanku' (Al-Israk ayat 85)
dan firmanNya lagi yang bermaksud:
'Lalu kami tiupkan padanya dari roh kami.'(Surah Al-Tahrim ayat 12)
Bila roh itu dihubungkan oleh Allah Taala kepada
diriNya tentulah ia bukan jisim atau A'radh kerana rendah tingkat kedua-duanya,
selalu berubah-ubah dan cepat hilang serta akan rosak. Rasulullah S.W.T.
bersabda yang bermaksud:
"Roh-roh adalah sebagai tentera yang
lengkap"
dan dalam sabda Baginda yang lain lagi Beliau
menyatakan:
"Roh para syuhadah terletak dalam
bayang-bayang burung-burung hijau."
Begitu juga dengan A'radh tidak kekal selepas
hilangnya jauhar kerana A'radh tidak boleh berdiri dengan zatnya sendiri.
Manakala jisim menerima peleburan kembali sebagaimana asalnya sebelum
penyusunan dari benda (Al Madah) dan rupa seperti yang tersebut dalam
kitab-kitab (kitab-kitab falsafah).
Setelah kita mengetahui ayat-ayat, hadis-hadis
dan alasan-alasan akal, ketahuilah
kita bahawa ruh itu adalah JAUHAR MUFRAD YANG SEMPURNA (Al-Jauharul Mufrad
Al-Kamil) hidup dengan zatnya, baik dan buruknya agama adalah datang
daripadanya, manakala ruh Tobie dan
Ruh Haiwani dan kekuatan badaniah seluruhnya daripada tentara Jauhar Mufrad
Yang Sempurna ini.
Jauhar ini menerima rupa-rupa maklumat dan
hakikat maujudah (sesuatu yang wujud di alam ini) dengan tidak diganggui oleh
ain-ain dan peribadinya kerana jiwa berkuasa mengetahui hakikat manusia tanpa
melihat peribadi (manusia) itu sendiri; begitu juga ia mengetahui malaikat dan
syaitan-syaitan dengan tidak perlu melihat peribadi-peribadi mereka. Ini adalah
kerana kedua-dua jenis makhluk itu tiada dapat dicapai oleh deria-deria
kebanyakan orang.
Satu golongan ahli tasauf berkata bahawa ' Qalbu
' mempunyai dua mata, serupa juga dengan dua mata bagi jasad ini. Jasad dapat
melihat benda-benda yang zahir dengan mata-mata zahir dan Qalbu melihat hakikat
dengan mata akal. Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:
'Tiada ada seorang hambapun melainkan Qalbunya
mestilah mempunyai dua mata.'
Dengan kedua-dua mata ini dapatlah dicapai apa
yang ghaib. Bila Allah Taala hendak memberikan kebaikan kepada hambanya, ia
bukakan dua mata Qalbunya supaya dapat melihat sesuatu yang ghaib dari
pemandangan mata lahirnya. Roh ini tidaklah mati dengan matinya badan kerana
Allah Taala menyerunya supaya kembali kepadaNya dengan firmanNya yang
bermaksud:
'Kembalilah kepada Tuhanmua' (Surah Al Fajr Ayat 28).
Sebenarnya ruh ini hanya bercerai dan berpaling
dari badan. Oleh kerana berpaling ini maka kakulah segala yang bersangkut
dengan kekuatan-kekuatan Haiwaniah dan Tabii'yah. Maka diamlah yang bergerak
itu dan dikatakan kepada yang diam itu, ialah MATI.
Ahli-ahli Thorikat atau ahli Tasauf lebih banyak
berpegang pada roh dan Qalbu dari berpegang pada peribadi. Apabila roh itu dari
urusan Allah Taala, maka beradanya dalam badan adalah sebagai orang dagang.
Mukanya mengarah pada asalnya dan tempat datangnya. Ia dapat mengambil
faedah-faedah dari pihak asalnya lebih banyak dari apa yang ia dapat dari pihak
peribadi bila ruh itu kuat dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.
Bila anda mengetahui ruh adalah Jauhar Mufrad dan
mengetahui pula jasad memerlukan ruang dan A'Radh maka selain dari ini tidak
ada lagi melainkan Jauhar. Ketahuilah bahawa Jauhar ini tidak menempati pada
sesuatu tempat dan tidak mendiami pada sesuatu ruang. Bukanlah badan adalah
ruang bagi ruh dan bukan pula tempat bagi Qalbu malahan badan adalah alat ruh,
alat Qalbu dan kenderaan jiwa. Zat ruh sendiri tidak bersambung dengan
bahagian-bahagian badan dan tidak berpisah daripadanya bahkan ia menhadap
kepada badan, memberi faedah dan melimpah kepadanya.
Mula-mula lahir nur ruh pada otak kerana otak
tempat kenyataan yang khas.
- Pada bahagian depannya ia menjadi penjaga
- Pada bahagian tengahnya ia menjadi menteri dan pentadbir
- Pada bahagian belakangnya ia menjadi perbendaharaan. Ahli
perbendaharaan dan seluruh bahagian manjadi kakitangan dan kenderaan
- Roh Haiwani menjadi khadam
- Roh Tobie menjadi wakil
- Badan menjadi kenderaan
- Dunia menjadi medan
- Hayat menjadi barang (modal)
- Gerak menjadi perniagaan
- Ilmu menjadi keuntungan
- Hari akhirat menjadi matlamat dan tempat pulang
- Syarak menjadi jalan dan cara
- Terhadap jiwa pendorong kejahatan (nafsu Amarah) menjadi
penjaga dan pemerhati
- Terhadap jiwa pengkritik (nafsu Lawamah) ia menjadi
penyedar.
- Pancaindera menjadi pengikut-pengikut dan pembantu.
- Agama menjadi penghalang
- Akal menjadi mahaguru
- Rasa pancaindera menjadi murid
- Ar-Robh (Allah) menjadi pemerhati
Jiwa dengan sifat-sifat ini bersama dengan
alat-alat ini tidak mengarah kepada peribadi yang tebal ini dan tidak berhubung
dengan zatnya, malahan ia mengarah
kepada Tuhannya dan Tuhannya memerintahkannya supaya mengambil kesempatan
mendapatkan sesuatu yang berguna hingga kepada satu tempoh yang tertentu.
Oleh itu ruh tidaklah menumpukan pemerhatian ke
arah memikirkan yang lain dalam masa perjalanan (hidup di atas dunia) ini,
melainkan berusaha mencari ilmu untuk menjadi perhiasan di dalam negeri
akhirat. Ini adalah kerana perhiasan harta dan anak-anak adalah perhiasan hidup
di dunia sahaja sebagaimana mata menumpukan pemerhatian ke arah mendengar
suara-suara, lidah siap sedia untuk menyusun kata-kata, Ruh Haiwani tunduk kepada
keenakkan marah, Ruh Tobie cintakan kelazatam makan dan minum, maka ruh yang
tenang (AL-Ruh Al-Muthomainnah) ertinya Qalbu tidak menghendaki apa-apa selain daripada ilmu dan tidak
gemarkan sesuatupun selain daripada ilmu. Ia belajar dan belajar sepanjang usianya. Ia menghiasi dirinya
dengan ilmu dalam seluruh zaman hingga waktu bercerainya dari badan. Jika ia
menerima sesuatu yang lain daripada ilmu, maka penerimaannya ini cuma untuk
kepentingan badan, bukan untuk kepentingan dirinya dan kecintaan asalnya. Bila anda telah mengetahui hal ehwal ruh,
kekalannya yang berterusan, kecintaannya dan pemerhatiannya kepada ilm