Wednesday, August 4, 2010

PENGALAMAN MERAWAT PENYAKIT MISTERI (1)

Bismillah Ar Rahman Ar Rahim.

Kaedah saya berbeza jika di bandingkan dengan pengalaman perawat-perawat lain sepertimana yang di ceritakan di dalam blog masing-masing. Saya nak mulakan dengan pengalaman merawat pesakit di rasuk jin di dalam hutan di Sungai Congkak Ulu Langat.

Saya mendapat panggilan dari seorang Ustazah penyelia kursus motivasi sekumpulan murid sekolah yang di buat di kem motivasi Sg.Congkak. Panggilan secara mengejut pada pukul 8.30 malam dan ketika itu saya sedang menjamu selera bersama keluarga. Saya sebenarnya bertindak secara solo, tiada jemaah dan tiada kumpulan kerana saya lebih suka bersendirian menghadapi siapa sahaja termasuk Jin dan Syaitan. Bukanlah merasa diri serba kuat tetapi merasa “ALLAH SWT” sentiasa bersama walau di mana jua daku berada.

Disebabkan mencari teman untuk memandu ke sana, saya sampai lewat ketempat di tuju dan mendapati ada 4 orang dari penduduk tempatan sedang merawati pesakit yang di rasuk. Ada 2 pelajar yang di rasuk dan setiap 2 dari perawat merawat setiap seorang pelajar. Ustazah berkenaan memberitahu bahawa seorang wanita yang berniaga di situ telah menghubungi perawat berkenaan yang memang selalu hadir merawat kes-kes kerasukan di kem berkenaan.

Dari bacaan yang di perdengarkan, saya tahu kumpulan ini dari Perguruan mana kerana saya juga pernah mempelajari kaedah rawatan ini. Saya tidak mahu campurtangan ke atas rawatan yang telah mereka mulakan kerana menjaga ADAB. Sesi rawatan telah sejam berlalu, perawat mungkin keletihan namun tidak kelihatan akan tanda-tanda pesakit mulai sembuh . Pesakit terus menjerit dan memaki-maki diri sendiri dan orang di sekelilingnya.Pesakit hanya sekadar sedar buat seketika, mungkin pihak Jin memberi sedikit kerehatan kepada pesakit dan memberi peluang untuk pesakit minum dan mengumpul tenaga semula.

Ketua kumpulan tersebut mempelawa saya mengambil alih sesi rawatan, mungkin kerana ingin berehat seketika atau mungkin sebagai menghormati kehadiran saya di situ setelah di beritahu oleh Ustazah berkenaan. Seperti biasa saya akan duduk di bahagian kepala pesakit dan memulakan langkah dengan meletakkan tangan kanan di kepala pesakit. Setelah beberapa minit, pesakit kelihatan diam, tiada bersuara. Biasanya selepas ber NIAT, datang GERAK dan saya makrifatkan apa rawatan yang sepatutnya. Saya perdengarkan Al Fatihah, awal Surah Al Baqarah, Ayatul Kursi, akhir Surah Al Baqarah, 3 Qul dan sebagainya sebelum mengakhirkan dengan bacaan dari Surah Yaasin. Tetapi kali ini kerana tidak mahu memanjangkan sesi rawatan yang telah pun lama berlalu, saya hanya berzikir sir.

Apabila mendapati pesakit diam hanya setelah beberapa minit saya memulakan rawatan, ketua kumpulan tadi membuka surah Yaasin dan membacanya sambil meletakkan tangan di bahu pesakit sedangkan saya masih berzikir dan sedang merawat pesakit berkenaan. Di mana adab kumpulan ini, pembacaan Yaasinnya telah mengganggu alunan zikir di dalam hati sedangkan pesakit itu bukannya meronta-ronta dan memaki sesiapa. Saya memang pantang kalau seseorang tidak menjaga adab apalagi seseorang yang di panggil Ustaz.

Tiba-tiba seorang pesakit lagi yang berada di dalam bilik menjerit dan memaki-maki dirinya sendiri. Tadinya sedar seketika dan sedang minum air bila saya melangkah masuk merawati kawannya. Perawat yang di dalam bilik hanya berdiri memerhati tanpa berusaha untuk memulakan sesi rawatan semula. Kepenatan. Melihatkan keadaan sedemikian, saya tinggalkan pesakit yang di luar kerana tidak senang dengan sikap ketua perawat yang mengganggu rawatan yang sedang saya lakukan. Pertamanya bacaan nya mengganggu konsentrasi saya dan keduanya tiada adab.

Pesakit kedua juga setelah beberapa minit saya memulakan rawatan, mula berdiam diri setelah pada mulanya memaki-maki dan menjerit –jerit dan kaki dan tangannya di pegang oleh kawan-kawannya dari terus meronta-ronta.

Kemudian kedengaran bunyi suara kesakitan dari mulut pesakit. Perawat tadi mula merenung pesakit , kehairanan. Tiba-tiba pesakit menjerit…..”sakit la bodoh”….gelombang pemusnah telah menjalar kesetiap urat saraf pesakit yang di diami oleh Jin berkenaan. Tiada tempat untuk bersembunyi, gelombang cahaya ini bukannya mengambil masa yang lama untuk bertindak, kelajuan cahaya amat pantas.Saya menyuruh kawan-kawannya melepaskan pegangan masing-masing kerana jin di dalam tubuh pesakit sudah menunjukkan tanda sakit.

Kini Jin itu mula memarahi saya kerana kesakitan teramat sangat sambil menangis-nangis. Seperti biasa saya tidak pernah melayani karenah jin atau pun berkomunikasi dengan Jin. Seperti di khabarkan oleh namun Baginda Junjungan kepada Abu Hurairah bahawa yang mencuri hasil zakat itu adalah Jin. Jin itu tak pernah bercakap benar walau berkali-kali di tangkap oleh Abu Hurairah. Namun kenyataannya bahawa hanya ayatul Kursi sahaja yang mampu menghalau Jin adalah benar. Tiada keraguan padanya bila cukup 11 kali dibaca pasti nya Jin itu akan hangus kalau masih bertahan.

Walaubagaimanapun, hanya mereka yang tertentu sahaja yang dapat menguasai kehebatan Ayatul Kursi. Saya pernah di tanya oleh seorang Ustazah yang juga seorang Guru Al Quran kenapa bila dia membacanya tiada kesan apa-apa terhadap cucunya yang sakit itu.

Perawat asal mula datang dan berkomunikasi dengan Jin tersebut namun tiada sambutan dari pesakit. Pesakit terus meraung-raung kesakitan. Perawat itu mula membacakan ayat-ayat syifa` dengan kuat sekali berdekatan dengan telinga ku. Lagi sekali ahli kumpulan ini tidak beradab malah mengganggu konsentrasi saya merawat. “ Kurang ajar” bisikan hati ku.

Setelah pesakit mendiamkan diri dan menunjukkan tanda-tanda yang Jin sudah keluar dari tubuh pesakit, saya mula bangun dan meminta izin dari Ustazah tersebut untuk terus pulang. Alasan saya bahawa kumpulan perawat itu masih ada untuk meneruskan rawatan. Hakikatnya, hati saya cukup terguris dengan sikap kumpulan perawat tersebut yang tidak beradab dengan saya yang cuma berpakaian T-Shirt dan Jeans sedangkan mereka berjubah serban. Surah Yaasin sepatutnya di hafal dan sebati di dalam dada tetapi kumpulan ini masing-masing membawa surah Yaasin di tangan. Bacaan ayat-ayat syifa` di baca dengan kuat sekali sedangkan saya hanya berzikir di dalam hati.

Guru Utama kumpulan ini tersohor namanya namun pernah mendapatkan khidmat rawatan doktor pakar dari luar negara (non-muslim). Pernah niat saya untuk merawat kawan saya yang menghadapi masalah jantung di herdik oleh seorang Doktor Pakar dari sebuah hospital swasta yang mengatakan kepadanya bahawa “Ustaz ni dan Ustaz ni pun datang buat rawatan kat sini, awak nak berubat cara tradisional?” “Ustaz ni “ yang di maksudkan adalah 2 nama yang tersohor di Malaysia, yang gagal membuktikan bahawa Perubatan Islam bersumberkan Mukjizat Al Quran adalah yang terbaik. Namun murid-murid mereka cukup ramai dan angkuh dengan nama gah guru mereka ini dan seringkali kurang adab dengan perawat lain. Memang di ketahui bahawa guru mereka ini melarang murid-muridnya memasuki mana-mana aliran Tariqat muktabar dan menjauhi ajaran Martabat 7 yang di ragui .

Ketahui lah olehmu bahawa ini lah intipati ajaran Martabat 7 yang dapat menewaskan Jin dan Syaitan dengan mudah. Mengikut Tuan Kelarias, ilmu ini tertutup dan mula diangkat kelangit semenjak 1400Hijrah dulu. Mungkin juga benar dan mungkin juga ilmu ini sudah mula di turunkan kembali kerana akhir zaman kian menghampiri.

Daku hanyalah insan biasa yang lemah lagi hina, daif lagi faqir, tiada daya dan upaya walau sedikit melainkan dengan pertolongan Nya jua. Tiada sedikit pun rasa megah dan takbur di hati akan ilmu yang di curah oleh guru kepadaku, hanya rasa takut dan harap menjelma di hatiku setiap kali memulakan rawatan keatas pesakit-pesakitku, moga-moga Allah SWT sentiasa bersama ku, janganlah dek kerana ketelanjuran dosaku yang sedikit menimbulkan kemurkaan Tuhan dan menjauhkan diri Nya dari ku.

Wassalam.