Wednesday, August 25, 2010

SOALAN KEPADA PARA DOKTOR

Assalamualaikum Warahmatullah ,

Ke hadapan ikhwan bakal Doktor-doktor Pakar sekalian,
Penuntut ilmu Allah di persada JUST ,
Hamba-hamba Allah yang berjuang untuk agama-Nya.

Firman Allah Ta'ala :-

فسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون
Firman-Nya lagi :

إنما يخشى الله من عباده العلماء

Atas kesedaran yang bertitik tolak atas kefahaman ayat di atas dan berdasarkan kepada kefahaman dalam proses tuntutan ilmu yang dilaksanakan oleh Baginda Junjungan Mulia Muhammad – ucapkanlah selawat ke atasnya - maka ana , sebagai sahabat antum sekalian dalam persada ilmu ini inginkan penjelasan ilmiyyah dan pandangan kalian berhubung persoalan atau isu yang ana kemukakan dalam warkah ini . Ana tujukan secara umum buat kalian . Cuma soalan-soalan ini bukan bertujuan untuk menguji tetapi lebih kepada ingin mendapatkan kebenaran dan in sya Allah untuk setiap soalan ana akan nyatakan tujuannya .

Soalan 1 :

Satu ketika dahulu , TG Nik Abdul Aziz pernah menyatakan antara hikmah yang diperolehi dari pelaksanaan hukum sebat ke atas pelaku zina yang belum menempuh alam perkahwinan dalam hidupnya - adalah dapat menyembuhkannya dari AIDS dan beliau menyatakan bahawa hujah ini adalah berdasarkan kajian sains. Maka ana sebagai insan yang serba kekurangan walaupun ana thiqah pada beliau namun itu bukan alasan untuk ana tidak mencari bukti kata-kata beliau dari sudut sains seperti yang didakwa kerana bagi ana selagi mana hukum itu adalah perintah Allah, kita tidak perlu mencari hikmahnya. Namun di sebalik ucapan beliau timbul beberapa persoalan yang perlu dijawab :-

1 – Bagaimanakan sebatan tersebut boleh menghapuskan AIDS – dengan dakwaan sebatan tersebut akan meransang perkembangan sel T4 secara aktif lalu berupaya untuk menentang sel-sel AIDS - ?

2 - Adakah dengan berzina sahaja , seseorang itu akan dijangkiti AIDS ?

3 – Jika tidak ( rujuk soalan 2 ) , apakah wujud kesan positif hasil sebatan tersebut ?

Namun , jika tiada jawapan sekalipun , sebagai seorang Muslim , ini sama sekali tidak meragukan ana kerana ini adalah ketetapan Allah . Namun pendirian ana di sini , jika ada bukti ilmiyyah yang menyokong kata-kata beliau maka ini merupakan satu hikmah secara tidak langsung yang dianugerahkan buat manusia.

Soalan 2 :

Berikut adalah maklumat yang ana petik dari sebuah artikel yang masih dalam proses oleh seorang yang ana kenali untuk semakan kalian akan kebenarannya dari sudut kajian saintifik :-

Jasad yang tumbuh dari sumber yang haram , cara yang haram dan duit yang haram akan melahirkan individu-individu Muslim yang bebal , gelap hatinya malah rapuh imannya . Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian sesuatu yang menjadi makanan dan minuman kerana ia bakal menjadi darah daging kita . Bahkan soal pemakanan juga berkait rapat dengan aqidah dan keimanan kita . Berikut penulis paparkan beberapa siri sabotaj kuffar terhadap makanan yang dipasarkan di negara umat Islam yang kebanyakan penulis petik dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan , Hizbi UK pada tahun 2000 dan tambahan maklumat terkini Internet yang penulis kumpulkan :-

*Minuman Coca-Cola yang mengandungi slogan La Muhammad La Makkah.
*Minuman Mountain Dew-Pepsi yang mengandungi kandungan dari khinzir dengan kod
label Yellow 5
*Carlsberg telah mengeluarkan 2 jenis minuman dengan nama Jolly Shandy dalam bentuk
dan corak tin seumpama minuman ringan F&N yang lain hingga mengelirukan
pengguna.Malah keterangan 'Contains Alcohol ' sengaja diletakkan di belakang tin
minuman tersebut dalam saiz yang kecil.
*Kuaci Shanghai dengan tulisan Cina dalam pek bewarna coklat pudar yang direbus
dengan tulang khinzir
*Sebarang ubat yang mengandungi alkohol adalah haram
*Semua bahan pencuci yang tidak mengandungi bahan ekstrak seperti gelatin dari
khinzir dibenarkan .

Makanan yang telah diproses semuanya mengandungi perisa tambahan yang mempunyai awalan E seperti pengemulsi ( emulsifier ) , agen penaik ( raising agent ) , pengawet ( preservatives ) , pewarna ( colouring ) dan agen pengagaran ( gelling agent ) . Sehingga maklumat ini dikumpulkan , semua makanan yang mempunyai awalan E adalah halal kecuali yang berikut :-

E - Nombor Perincian
E 120 Cochineal – diekstrak dari kumbang Cochineal
E 160a Alpha , Beta , Gamma , Carotene – haram jika ada gelatin
E471 Pastikan sama ada dari tumbuhan ( soy lecithin ) , jika tidak maka tidak
boleh dimakan.
E472 ( a-e ) Ester Gliserol
E473 Ester Sukrosa yang dihasilkan dari asid lemak – gliserol dan sukrosa
E474 Ekstrak dari minyak kelapa sawit , lemak babi
E475 Asid lemak- dari makmal
E476 Minyak Jarak ( castor oil ) dan ester gliserol
E477 Dari Asid Lemak
E478 Ester Gliserol dan Asid Laktik
E570 Asid dari lemak haiwan
E572 Asid secara sintetik dari lemak haiwan
E631 Dari serangga , haiwan dan ikan
E635 Sama seperti E631
E640 Sama seperti E631
E920 Asid Amino dari bulu haiwan atau ayam

Soalan 3 :

Berikut pula adalah artikel yang ana perolehi dari seorang sahabat yang menyebabkan ana terkeliru sedikit , justeru ana perlukan ulasan kalian , beserta kefahaman dari sudut hukum Islam terhadap isu emulsifier yang turut menjadi salah satu topik soalan di atas ?

Sidang e-PMRAM yang dikasihi sekelian,

Saya terbaca mengenai isu emulsifier 471 yang didakwa sebagai berasaskan lemak babi. Saya adalah individu yang berkecimpung mengenai teknologi emulsifier ini dan kini sedang membangunkan sejenis emulsifier yang berasaskan produk tumbuhan komoditi negara. Saya yakin ramai ahli e-PMRAM tidak faham dengan perkataan emulsifier itu sendiri dan sudah memang menjadi kelaziman orang Melayu malas untuk membelek-belek isu seperti ini kerana dianggap tidak relevan. Melayu biasanya suka lebih menerima daripada menyelidiki kebenaran sesuatu kenyataan.

Berbalik kepada isu emulsifier tadi. Emulsifier sebenarnya adalah agen aktif permukaan yang digunakan dalam teknologi penyerakan bahan kimia dalam semua produk yang berasaskan cecair. Kadang-kadang/selalunya emulsifier juga disebut sebagai surfaktan. Emulsifier ini sangat meluas digunakan dalam industri cat dan salutan permukaan, kosmetik, kosmetiseutikal, farmaseutikal, pembuatan makanan dan minuman, minyak enjin dan pelincir dan lain-lain bidang yang menggunakan aplikasi teknologi berasaskan produk cecair. Untuk fahaman umum, emulsifier digunakan dalam sistem berkoloid yang menbentuk penyerakan sempurna supaya produk lebih stabil dan mempunyai nilai yang tinggi. Tidak dapat tidak, ia mesti digunakan kerana kepentingannya yang sangat signifikan dalam industri-industri tersebut.

Emulsifier secara semulajadi diperolehi daripada tumbuhan dan haiwan. Di makmal kimia, ia ada dihasilkan secara biosintesis atau secara kimia bergantung kepada teknologi yang ada. Atas sebab keagamaan dan kesihatan, pengguna dan ahli kimia sendiri kerap menggunakan emulsifier daripada tumbuhan atau yang dihasilkan di makmal 100%. Walau bagaimanapun, kadang-kadang dalam sesetengah produk tertentu ketiadaan emulsifier yang sesuai (mempunyai Hydrophilic-Lipophilic Balance yang sesuai) akan menyebabkan ahli kimia tersebut menggunakan alternatif dengan mengambil emulsifier berasaskan haiwan. Ketiadaan emulsifier yang lain, faktor harga, kualiti dan kesesuaian (compatibility) produk sangat penting untuk mejaga jangka hayat dan kualiti produk. Saya jelaskan bahawa emulsifier bukanlah bahan tambah tetapi adalah bahan perlu yang menjamin bahan aktif diserakkan secara uniform dalam sistem koloid tersebut. Maka, ia adalah wajib dalam formulasi sesuatu produk berasaskan koloid/cecair.

Saintifiknya, mana-mana emulsifier yang berasaskan haiwan adalah selamat digunakan mengikut garis yang ditetapkan FDA berdasarkan faktor kesihatan. Dan, pada saya mana-mana emulsifier berasaskan haiwan-halal dimakan adalah juga halal jika dan hanya jika ia diekstrak daripada sumber / bahagian bersih. Faktor halal / haram adalah isu terbitan yang sebenarnya perlu dianalisis dengan teliti. Tidak semua emulsifier daripada haiwan (kecuali babi, anjing dan keturunannya) adalah haram. Saya juga tidak fikir yang emulsifier ekstrakkan daripada lembu (misalnya) adalah haram kecuali jika ia diambil di bahagian-bahagian yang kotor. Teknologi hari ini sedang dijalankan dalam kimia sintesis yakni dengan menghasilkan duplicate emulsifier haiwan di makmal. Dalam hal ini, misalan kata emulsifier 471 adalah benar daripada sumber haiwan babi maka ia adalah haram mengikut peruntukan AQ & AS. Tetapi, jika duplicate emulsifier 471 yang dihasilkan di dalam makmal dengan menggunakan teknolohi kimia sintesis maka ia adalah tidak haram. Hal ini kerana, di makmal penghasilannya tidak melibatkan mana-mana sumber haiwan babi langsung. Bahan-bahan asasnya adalah bahan kimia sendiri yang 100% dihasilkan di makmal juga. Perkara ini sering menjadi kekeliruan oleh pengguna umum, malah ulama sendiri tidak faham mengenainya. Itu sebab dalam penetapan hukum halal haram akan sesuatu produk, fatwa ulama selalunya agak meragukan kerana keremehan 'sequence' dalam penentuanya. Adalah lebih baik sekiranya penentuan halal haram hal-hal seperti ini ditetapkan oleh pakar-pakarnya sendiri dan ulama hanya diletakkan sebagai penasihat perundangan sahaja dan bukan sebaliknya yang berlaku hari ini.

di bawah adalah dakwaan bercanggah oleh sebuah syarikat:

Emulsifier 471 is added to some Sanitarium products in small quantities to help ensure the even consistency of those products. It is a fat-based ingredient that comes from vegetable sources. It has no animal content.
http://www.sanitarium.co.nz/qa/qaa.do?qaa-id=78

Umumnya, emulsifier 471 adalah sumber asid lemak yang sememangnya banyak dalam tumbuhan dan haiwan. Untuk sumber haiwan, ahli agama masih meletakkan ia sebagai tidak halal seperti mana penggunaan alkohol dalam kebanyakan produk, yang mana saya bertentangan pendapat mengenai hal ini kecuali haiwan babi dan anjing dan keturunan, haiwan makruh-makan, haiwan kotor, haiwan beracun dan haiwan berpenyakit, bahagian kotor dan bahagian tidak boleh makan. Jika emulsifer ini diambil daripada tumbuhan sekalipun,'kesihatan' tumbuhan perlu diambil kira. Biasanya, sumber tumbuhan adalah halal mengikut takrifan ulama (umumnya saya setuju) dan sebaliknya bagi sumber haiwan pula. Jadi, atas faktor kewaspadaan saya bersetuju dengan pendapat ulama supaya produk/bahan tidak jelas sumbernya ini diletakkan dalam kategori haram (atau boleh dipersoalkan) untuk kepentingan umat Islam sejagat.

Di bawah adalah sebuah homepage yang umum untuk semua golongan. Ia menggunakan medium BI sebagai bahasa pengantaran. Jadi, pemalas-pemalas Melayu sekelian, azhari dan azhariah yang lemah BI dan ahli-ahli e-PMRAM yang kronik BInya perlulah belajar BI. Biasanya, maklumat spesifikasi hanya diterbitkan dengan ter'latest' dalam BI bukan BA atau BM. Itu sebabnya saya selalu menekankan penguasaan BI sebagai sangat penting!

http://www.go4halal.com/halal-haram%20Guide.htm

Sekian.
wati_mashimaro

Jika antum dah baca perenggan ini , ada beberapa perkara penting yang ini ana maklumkan bahawa ana mengharapkan antum turut rujuk laman web yang dinyatakan sebab ana pun tak rujuk lagi , maaf untuk itu . Kedua , ana tak anggap isu ini remeh , walaupun penulis artikel ini ( wati_mashimaro ) telah menyatakan kesimpulannya dengan menyatakan menyokong pendirian ulamak secara umum atas dasar berhati-hati dengan mengharamkan bahan-bahan yang tidak jelas sumbernya , namun lihat bahagian ana gariskan dan ana boldkan, hujah tidak sepatutnya disandarkan pada pendapat peribadi . Justeru ana perlu komen dan hasil kajian antum , dan soalan-soalan ana :-

-1- Ada pihak yang kata kita lihat pada makanan tersebut jika dinyatakan E-471 ( soy lecithin ) maka kita boleh makan , benarkah ?

-2- Bagaimanakah ketetapan hukum agama terhadap permasalah emulsifier ini menurut kajian dan kefahaman antum semua ?

-3- Benarkah duplicate emulsifier tidak melibatkan sumber lain melainkan bahan-bahan kimia sahaja sebagaimana yang didakwa ?

-4- Adakah wujud mana-mana persatuan doktor Muslim yang menjadikan ulamak sebagai rujukan dalam kajian mereka , atau lebih mudah mereka berusaha untuk memanfaatkan masyarakat dengan hasil kajian ilmiyyah mereka tentang sumber-sumber makanan dengan mendapat nasihat dari ulamak berhubung penentuan halal dan haram ?

-5- Adakah mana-mana institusi sama ada CAP atau agensi perubatan tertentu di Malaysia yang menjalankan usaha memaklumkan masyarakat Islam tentang kesucian secara syar'ie makanan dan minuman mereka ?

-6- Soalan ini berkaitan dengan soalan di muka surat sebelum ini , apakah itu Yellow 5 yang dikatakan berasal dari babi dan terdapat dalam minuman Mountain Dew ?

Di sini ana sertakan alamat home page untuk perubatan Islam yang ana tahu :-
http://www.islamset.com/index.html

Soalan 4 :

Bagaimanakah pandangan perubatan moden terhadap Farmasi Nabawi iaitu semua ubatan yang telah dinyatakan oleh Junjungan kita seperti madu , zaitun , habbatus sauda' , kayu siwak , buah tin , berbekam dan sebagainya yang turut dinyatakan al-Qur'an dan as-Sunnah . Adakah suatu perkara yang mustahil , jika semua ubat-ubatan moden yang kini berpaksikan dadah semata ditukar kepada perubatan berasaskan bahan yang dinyatakan tadi ? Begitu juga dengan ubatan berasaskan homeopati yang didakwa tidak melibatkan dadah , sejauh manakah keberkesanannya sebagai alternatif ubatan moden kini yang berasaskan dadah ?

Soalan 5 :

Apakah benar pada lalat ada agen penyakit dan agen penawar , jika lalat tersebut terjatuh dalam minuman , secara saintifik apa yang akan terjadi pada minuman tersebut ?

Soalan 6 :

Sepanjang kajian saintis terhadap anatomi manusia , adakah terdapat beberapa keajaiban atau beberapa kajian yang tidak mampu diselesaikan dengan logik akal , namun hanya diselesaiakan dengan andaian teori sahaja? Atau wujud tak sebarang kajian terhadap anatomi manusia yang masih belum ditemui penyelesaiannya sehingga kini ?

Soalan 7 :

Jika seseorang mati lemas , mayatnya dikatakan akan terapung ? Apa yang menyebabkan apungan tersebut setelah dia mati dan yang menghalangnya sebelum dia mati ? Adakah faktor ruh yang ada padanya atau faktor lain ?


Setakat ini dahulu soalan ana . In sya Allah , jika ada lagi ana akan tanya sebab kalian rujukan dan berkeahlian untuk soalan seumpama ini. Harapan ana adalah langkah awal antum menjawab adalah perhatikan soalan ana dahulu , jika soalan ana sudah salah , tolong baiki soalan ana dengan sebaik mungkin , kerana boleh jadi ana menyoal sesuatu dengan keadaan ana sangat-sangat kurang ilmu dan jahil tentang aspek tersebut , ana mohon maaf atas kelemahan tersebut . Ana hargai atas jasa antum baca soalan-soalan ini, tak jawab pada ana pun tidak mengapa . Cuma harap ada yang jawab , sekurang-kurangnya adalah ilmu sikit dari jahil. Boleh jadi di Malaysia antum akan disoal semula , jadi baik stand-by dari sekarang . Anyway , jazakumullahu khoiran kathiran.



Dari sahabat kalian yang jahil,

Said Muhammad Jamaluddin b Bachik
Jabatan Usuluddin , Fakulti Syari'ah
Universiti Mu'tah , Karak , Jordan
00 962 77 794 221 ( aljuasehi@yahoo.com )