RAWATAN PENYAKIT KRONIK & MISTERI
Monday, August 23, 2010
PESANAN KEPADA TUAN GURU HARON DIN
APA DAH JADI TUAN GURU ?
Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din menjalani rawatan jantung
Thursday, 19 August
Salam Semua
Dalam kuliah Feqah (Khamis 5-Ogos-2010) di Surau Annur Bandar Baru Bangi dan Kuliah Pengubatan Islam (Isnin 9-Ogos-2010), Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din telah memaklumkan bahawa beliau perlu menjalani rawatan jantung di Stanford Hospital, California USA pada awal bulan Ramadan ini. Keadaan jantung beliau kerap sakit sejak akhir-akhir ini. Kerap sakit dada dan sesak nafas.
Beliau terpaksa membatalkan program menunaikan umrah pada bulan Ramadan ini.
Ketika memaklumkan keadaan kesihatan beliau ini, beliau menitiskan air mata. Beliau berkata dengan penuh perasaan "Kenang Daku Dalam Doa Kalian".
Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan melakukan solat hajat dan berdoa semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Tuan Guru dengan kesembuhan yang berterusan dan Allah SWT memanjangkan umur Tuan Guru dengan keberkatan dan sihat walafiat.
Doakanlah juga semoga segala urusan untuk menjalani rawatan ini dipermudahkan oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din seisi keluarga.
PESANAN TUAN GURU
Pra Syarat Sebagai Perawat
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)
1. Hendaklah memiliki 6 sifat seperti yang disebut dalam Syair Imam Shafie iaitu;
i. Kecerdikan - Boleh memahami ilmu yang dipelajari, boleh menghafal doa-doa dan bukanlah seorang yang benak.
ii. Sensitiviti kepada Ilmu - Suka dan berminat mempelajari ilmu dan boleh memelihara (menyimpan) ilmu dan menjaga amanah ilmu dengan baik.
iii. Mempunyai Pendapatan - Mempunyai wang, harta dan bukan orang yang miskin.
iv. Mempunyai kesungguhan - bersungguh-sunguh dan berterusan dalam belajar ilmu pengubatan bukan sambil lewa sahaja.
v. Rakan seperguruan adalah saudara kita - Jangan ada cemburu-mencemburui, benci membenci sebaliknya tanamkanlah sifat hormat-menghormati dan kasih sayang.
vi. Memerlukan masa - iaitu hendaklah sentiasa bersabar dalam menuntut ilmu dan berubat kerana masa penantian yang panjang.
2. Hendaklah memberhentikan segala bentuk amalan pengubatan yang bercanggah dengan syariat Islam seperti penggunaaan tangkal (walaupun tangkal itu menggunakan ayat-ayat al-Quran), ilmu pengasih, ilmu penunduk dan seumpamanya.
3. Jangan melibatkan diri dengan Ilmu Tariqat atau kebatinan yang ada keraguan terhadapnya seperti Ahmadiah, Martabat-7, Qadiani dan seumpamanya, kalau dah sertai hendaklah ditinggalkan dengan segera.
4. Hendaklan meletakkan diri kita mampu dan boleh untuk berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran.
Syarat-syarat Utama Menjadi Perawat yang Baik
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)
1. Iltizam dengan Ilmu Pengubatan yang dipelajari – iaitu dengan sentiasa beramal dan berdamping dengannya setiap hari.
2. Mempraktikkan ilmu pengubatan yang telah dipelajari, selalu memberikan khidmat sukarela di klinik-klinik darussyifa' dengan memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan bantuan.
3. Jangan campur adukkan ilmu yang diharuskan dengan ilmu yang dilarang iaitu jangan berbohong atau menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul ketika merawat umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau perbuatan khianat oleh orang tertentu.
4. Ada keyakinan pada diri sendiri dan ikhlas bahawa ilmu yang disampaikan oleh guru adalah benar dan tidak meyalahi syarak.
5. Tidak boleh melangkah larangan atau etika yang telah ditetapkan oleh Darussyifa' contohnya tidak boleh menetapkan bayaran kepada pesakit.
6. Hendaklah setiasa berdisiplin dalam semua hal seperti dalam pengubatan, kehidupan, beribadat, berzikir dan seumpamanya.
7. Bersungguh-sungguh dalam mengubat, berubat dan mencari kesembuhan.
10 Perinsip Asas Rawatan Islam
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)
1. Ada penyakit , ada ubat.
2. Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.
3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta'ala.
4. Manusia boleh berusaha, insya' Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta'ala akan sembuhkan.
5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.
6. Doa'-doa' dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.
7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa', telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat;
i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta'ala sahaja yang akan menyembuhkan.
8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)
9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.
10. Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.
NAMPAK GAYANYA TUAN GURU DAH HILANG KEYAKINAN TERHADAP PERUBATAN AL QURAN & SUNNAH (PENYEMBUH PENYAKIT DI DALAM DADA) SEHINGGA SANGGUP TERBANG KE STANFORD HOSPITAL, CALIFORNIA USA UNTUK MENDAPATKAN RAWATAN JANTUNG.
Jadi pesanan tuan guru di atas saya kembalikan kepada tuan guru.
Telah meriwayatkan Abu Sulaiman dari Hamzah bin Al-Harith Al-Duhqan, dari Al-Abbas bin Muhamad Ad-daury, dari Kathir bin Hisyam, dari Jaafar Ibnu Barqan, dari maimun bin Mehran berkata : Telah berkata Abu Hurairah r.a. :
“Neraka Wail-lah bagi orang yang tidak mengetahui ilmu agama walaupun Allah Taala telah mengkehendakinya untuk belajar dan Neraka Wail-lah bagi orang yang mengetahui ilmu agama sedangkan dia tidak beramal dengannya sebanyak tujuh kali.
Telah meriwayatkan Abu Sulaiman bin Ibrahim bin arras, dari Ahmad bin Ali Al-Maruzy Al-A`raj, dari Al-Fadl bin Abdul Jabar, dari Ibrahim bin Ishak At-Taliqani, dari Abu Jaafar Al-Basry, dari Malik bin Dinar telah berkata :
“Perumpamaan ahli Qari (pembaca AL-Quran) di zaman ini adalah umpama seorang lelaki yang memasang perangkap dan meletakkan bijian gandum padanya lalu datang seekor burung dan menghampiri lelaki seraya berkata kepadanya : “Apa yang menyebabkan kau bergelumang dengan tanah?” Dia berkata : “Kerana sifat tawadu` (merendah diri kepada Allah). Burung itu berkata : “Mengapa kau membongkok?” Dia berkata : “Kerana kuat beribadah.” Burung itu bertanya lagi: “Untuk apa gandum yang ada disisimu itu ?” jawabnya : “Aku menyediakannya untuk orang-orang yang berpuasa.” Burung itu berkata : “Memang kamu seorang jiran (yang baik).”
Berkata Malik bin Dinar : Maka apabila tiba waktu senja dan tenggelamnya mentari burung itu datang menghampiri perangkap tersebut dan di ambil bijian gandum yang ada lalu terperangkap ia oleh perangkap yang dipasang. Berkata burung itu : Kalau sekiranya setiap orang yang beribadah memasang perangkap yang memerangkap dirimu nescaya tiadalah sedikit kebaikan pun bagi orang-orang yang beribadah pada hari ini.”.
Telah meriwayatkan Abu Sulaiman dari Ibnu Al-A`raby, dari Ad-Daury, dari Yahya bin Muin, dari Abu Bakar bin Iyash berkata : Aku dengar Mughirah berkata :
“Demi Allah! Aku lebih takut akan kamu semua (ahli Qari) dari orang-orang fasiq”.
Abu Sulaiman berkata : “Sesungguhnya fitnah ahli Qari yang tidak mempunyai ilmu didada adalah merupakan fitnah bencana yang amat besar terhadap manusia dan merupakan bebanan yang amat berat didalam pergaulan mereka.
Ini adalah kerana kejahilan mereka mendorong mereka untuk merasa kagum dengan diri mereka dan yang nyatanya dari kelompok mereka yang jahil ini akan mengajak orang ramai untuk mengagungkan mereka , cenderung kepada mereka dan bersifat taasub dengan mereka. Maka barangsiapa yang menolak khasnya petunjuk dan pengajaran mereka mungkin akan terdedah kepada kutukan mereka dan menjadi sasaran senjata kejahatan mereka.