Sunday, August 15, 2010

APAKAH KERACUNAN UBAT-UBATAN






Hampir setiap rumah mempunyai atau menyimpan ubat sama ada dalam bentuk ubat biji atau cecair yang boleh dimakan, atau bentuk yang tidak boleh dimakan seperti ubat sedut, supositori, krim, salap, losyen dan ubat titis. Setiap ubat adalah racun sekiranya tidak digunakan mengikut peraturan yang disarankan. Oleh itu, setiap arahan penggunaan pada label atau yang diberitahu oleh doktor dan petugas di kaunter farmasi mestilah difahami dan dipatuhi untuk mengelakkan risiko keracunan. Selain itu, keracunan juga boleh berlaku akibat kelalaian ibu bapa atau penjaga dalam mengambil langkah-langkah tertentu memastikan semua ubat-ubatan dalam rumah sentiasa dijauhkan daripada kanak-kanak.


Bagaimana mencegah keracunan?

Keracunan pada kanak-kanak adalah sesuatu yang boleh dicegah. Usaha-usaha yang gigih untuk mengelakkan keracunan perlu mengambil kira peringkat umur kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami keracunan kerana mereka cenderung untuk memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka. Kanak-kanak pada peringkat umur ini baru belajar merangkak dan berjalan dan terdedah kepada pelbagai barangan di dalam rumah. Langkah-langkah pencegahan keracunan di rumah paling baik dimulakan ketika kanak-kanak berusia enam bulan atau sebelum kanak-kanak tersebut menyusur dan merangkak.

Kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun biasanya akan memakan sebarang ubat atau pil yang mereka temui. Kumpulan ini bersifat ingin mencuba dan mereka juga gemar meniru gelagat orang dewasa. Apabila usia mereka meningkat, usaha-usaha pencegahan akan lebih cenderung daripada melindungi kepada mendidik. Pada peringkat ini, ibu bapa hendaklah memberitahu anak-anak tentang bahaya keracunan ubat-ubatan.

Keracunan boleh berlaku di mana-mana atau pada bila-bila masa. Kanak-kanak merupakan golongan yang sering terdedah kepada keracunan sama ada di rumah mahu pun di luar rumah.

Di Pusat Racun Negara, laporan menunjukkan lebih 26% daripada kes-kes keracunan yang dirujuk dari tahun 1995 sehingga Jun 2001 adalah melibatkan kanak-kanak. Kebanyakan daripada kes-kes tersebut juga didapati melibatkan golongan yang berusia antara satu hingga enam tahun. Golongan ini biasanya suka mencuba sesuatu yang baru dan menarik tanpa mengetahui bahayanya hal ini kepada mereka.

Anda akan dapat mengetahui mengenai jenis-jenis keracunan ubatan dan cara mencegah serta mengendalikan kes keracunan ubatan melalui laman web ini.



HINDARI KERACUNAN UBATAN


Keracunan dikalangan kanak-kanak :-

• Ubat demam

Ubat demam adalah sinonim dengan parasetamol malah ia adalah ubat yang paling kerap digunakan untuk kanak-kanak. Selain demam, juga digunakan untuk meredakan atau menghilangkan kesakitan. Mudah dibeli di kedai-kedai tanpa memerlukan preskripsi doktor serta terdapat dalam pelbagai bentuk formulasi seperti ubat kunyah, cecair dan supositori.

Kebanyakan ibu bapa sering menganggap parasetamol adalah 'sangat selamat'. Tetapi kajian-kajian menunjukkan banyak kes keracunan berlaku kerana sebahagian ibu bapa atau penjaga memberikan dos-dos parasetamol yang tidak betul kepada kanak-kanak. Kesilapan yang paling ketara ialah memberi dos dewasa dalam bentuk ubat biji yang tidak sesuai untuk usia kanak-kanak tersebut. Dalam kes-kes lain pula, keracunan terjadi kerana kesilapan mengira dos yang betul serta kesalahan menyukat dos ubat cecair.

Parasetamol untuk kanak-kanak biasanya didapati dalam warna yang menarik serta mempunyai rasa yang enak. Oleh itu, kanak-kanak cenderung untuk memakannya sendiri sekiranya diletakkan di tempat yang mudah dijumpai oleh mereka. Lebihan dos parasetamol yang dimakan oleh kanak-kanak berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati yang jika tidak menerima rawatan segara dan boleh membawa maut.

• Ubat selsema

Ubat untuk rawatan selesema dan batuk biasanya mengandungi antihistamin di samping bahan-bahan lain. Contoh antihistamin konvensional adalah seperti klorfeniramin, prometazin, trimeprazin, defehidramin, triprolidin dan lain-lain lagi. Pada dos-dos yang selamat, antihistamin konvensional boleh menyebabkan rasa mengantuk akan tetapi jika dos berlebihan kanak-kanak akan mengalami tanda-tanda rangsangan sistem saraf pusat seperti pembesaran anak mata, muka merah, mulut kering, demam, dan ataksia (pergerakan otot yang tidak seragam). Selain itu, keracunan juga menyebabkan sawan, tekanan darah meningkat serta perubahan pada fungsi jantung. Sekiranya tidak diberi rawatan segera, maut mungkin menyusul.

Selain antihistamin konvensional, antihistamin generasi kedua seperti yang tidak menyebabkan rasa mengantuk banyak digunakan masa kini. Lebihan dos boleh menyebabkan kesan toksik kepada jantung dan sawan.

Di samping itu, bahan lain yang terkandung dalam ubat selesema dan ubat batuk ialah pseudoephedrine, dan jika diambil dalam dos berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, sakit kepala, halusinasi penglihatan (visual hallucination), kekeliruan, koma, kekurangan bekalan oksigen kepada otot jantung dan lain-lain kesan toksik pada jantung.

• Zat besi (Iron)

Keracunan zat besi merupakan punca utama kematian kanak-kanak di bawah enam tahun yang dilaporkan berlaku dari tahun 1988 sehingga tahun 1992 di Amerika Syarikat. Zat besi biasanya didapati dalam banyak sediaan ubat vitamin kanak-kanak dan ibu hamil. Zat besi merupakan zat yang penting untuk mencegah anemia atau keadaan kurang darah yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.

Kanak-kanak yang mengalami lebihan zat besi akan mengalami kesan keracunan segera dan kesan keracunan jangka panjang. Kesan segera biasanya berlaku beberapa minit atau beberapa jam selepas mereka menelan ubat tersebut. Antaranya ialah rasa loya, muntah, cirit-birit dan pendarahan perut-usus, yang boleh mengakibatkan kejutan, koma dan maut.

Dalam beberapa kes keracunan, kanak-kanak berkenaan kelihatan sembuh seperti sedia kala, akan tetapi pendarahan perut-usus yang teruk, keletihan berlebihan, kegagalan jantung dan koma boleh berlaku antara 12 jam sehingga dua hari kemudiannya. Walaupun kanak-kanak tersebut selamat, mereka mungkin mengalami masalah-masalah lain seperti saluran perut-usus tersumbat dan kerosakan hati yang teruk dalam tempoh tiga hingga enam minggu selepas tarikh keracunan. Oleh itu, sekiranya anak anda tertelan lebihan ubat yang mengandungi zat besi, bawa dia ke hospital segera walaupun tiada kesan segera keracunan diperhatikan. Kadangkala tanda-tanda yang teruk tidak terjadi dalam tempoh yang singkat dan rawatan yang lambat diberi mungkin tidak lagi berkesan

Keracunan dikalangan dewasa :-

• Ubat antidepresi

Ubat antidepresi digunakan untuk merawat depresi atau kesugulan yang merupakan satu gangguan psikologi. Ini termasuklah perubahan tingkah laku seperti bermuram, cepat marah, gangguan tidur, hilang berat badan dan kurang selera makan. Ciri-ciri kesugulan biasanya ditentukan oleh doktor perubatan. Ini berpandukan kriteria yang ditetapkan mengikut satu piawai untuk penyakit mental. Rawatan kesugulan biasanya melibatkan kedua-dua rawatan kaunseling dan ubat. Daripada segi rawatan ubat, biasanya ubat antidepresi trisiklik seperti imipramin digunakan.
Keracunan akibat pengambilan berlebihan ubat antidepresi trisiklik boleh dilihat daripada ransangan sistem saraf dan gangguan denyutan jantung. Jika dos ubat imipramin yang diambil melebihi 500 mg, ia boleh menyebabkan mangsa menunjukkan gejala suhu badan menurun, sawan, tekanan darah menurun, pernafasan tertekan, anak mata mengembang, penglihatan kabur, gangguan denyutan jantung dan koma. Sebenarnya tiada penawar khusus untuk kes keracunan ini. Rawatan yang biasa diberi merupakan rawatan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin racun dari badan serta berdasarkan masalah kesihatan yang timbul semasa keracunan.

• Ubat analgesik

Kumpulan ubat ini menahan atau meredakan kesakitan akibat sakit kepala, sakit gigi, sakit perut, sakit sendi dan sebagainya. Dalam hal ini kesakitan merupakan satu tanda penyakit dan bukannya sebab utama mengapa sesuatu bahagian badan menjadi sakit. Oleh itu ubat analgesik hanya membantu mengurangkan rasa sakit yang berkaitan. Sekiranya rasa sakit muncul semula ataupun tidak hilang, maka pesakit cenderung untuk menambah atau menggunakan semula dos ubat berulangkali sehingga menghasilkan keracunan. Terdapat dua jenis utama ubat analgesik iaitu jenis narkotik dan bukan narkotik. Jenis narkotik merujuk khususnya kepada dadah narkotik seperti morfin ataupun petidin; satu lagi adalah seperti aspirin dan parasetamol. Ubat analgesik jenis narkotik jarang mengakibatkan keracunan. Ini kerana penggunaan ubat tersebut terhad dan sentiasa diawasi oleh doktor bagi mempastikan bahawa dos yang diambil tidak berlebihan.

Ubat analgesia, jenis bukan narkotik pula dibenarkan untuk digunakan oleh undang-undang Malaysia tanpa pengawasan doktor. Ubat sedemikian boleh diperolehi di kedai farmasi tanpa preskripsi doktor. Kebanyakan ubat seperti analgesia sering mengakibatkan keracunan kerana cara penggunaan yang tidak betul. Mekanisme keracunan yang terhasil akibat dari kumpulan ini akan diterangkan dengan menggunakan dua jenis ubat yang popular iaitu parasetamol dan aspirin.

• Parasetamol

Penggunaan yang disyorkan untuk seorang dewasa ialah 1 gm (2 tablet biasa) digunakan antara 4 hingga 6 jam sehari setiap kali diperlukan. Apabila diambil oleh pengguna, parasetamol akan dimetabolismekan di hati lantas menyebabkan kesan ubat menjadi reda dan penggunaannya perlu diulang. Salah satu hasil metabolit dikenali sebagai metabolit perantara. Ia terbentuk di hati dan merupakan bahan kimia bertoksik kepada sel-sel hati yang boleh menyebabkan sel hati termusnah.

Dalam pengambilan ubat ini secara biasa, metabolit merbahaya ini bergabung dengan sejenis enzim glutation yang terhad menyebabkan metabolit perantara tidak dapat dineutralkan. Akibatnya metabolit tersebut bergabung dengan sel hati dan seterusnya menyebabkan sel hati musnah. Selain hati, parasetamol juga menyebabkan kerosakan buah pinggang melalui mekanisme yang sama. Sekiranya berlaku keracunan parasetamol, penawar, n-asetilsistein boleh digunakan untuk menghalang berlakunya kerosakan hati dan buah pinggang. Sekiranya rawatan diberikan sebelum kerosakan hati dan buah pinggang berlaku, penawar tersebut akan menyebabkan lebih banyak enzim glutation dihasilkan untuk bergabung dengan metabolit perantara.

• Aspirin

Asprin digunakan untuk meredakan sakit, mengurangkan demam dan radang di bahagian sendi. Ia juga boleh meredakan penyakit artritis dan melambatkan pembekuan darah. Untuk merawat kesakitan, aspirin digunakan pada dos sehingga 1gm setiap empat jam. Dos oral maksimum yang dibenarkan dalam sehari ialah lingkungan 4 gm. Dalam badan, aspirin akan ditukarkan di bahagian hati menjadi salisilat. Bentuk salisilat yang terhasil ini merupakan ubat yang terdapat dalam sediaan minyak gosok untuk kegunaan luar seperti linimen metil salisilat.

Penggunaan aspirin di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Ini kerana aspirin didapati mengakibatkan kesan sampingan yang dikenali sebagai penyakit Reye, suatu keadaan yang membawa kepada kerosakan hati, otak dan akhirnya maut. Selain daripada itu, aspirin juga merengsakan perut malah berupaya melukakannya dan menyebabkan perdarahan. Seterusnya ulser boleh berlaku di bahagian perut dan sistem penghadaman. Rasa mual, perut sebu dan muntah sering berlaku sebagai kesan sampingan pada orang dewasa. Sekiranya ini berlaku, hentikan serta-merta penggunaan aspirin dan dapatkan nasihat perubatan.

Memakan aspirin melebihi dos yang disyorkan (biasanya 20-25 gm) telah dilaporkan boleh menyebabkan kematian. Kesan keracunan yang berlaku pada peringkat awal ialah rasa mual, muntah dan sakit perut. Ini kemudiannya diikuti dengan kesan keracunan lebih hebat melalui sakit telinga dan pendengaran terganggu, berpeluh, suhu badan meningkat, pernafasan yang cepat dan kehausan. Peringkat akhir keracunan ialah mangsa tidak sedarkan diri dan pernafasan terhenti. Dalam kes keracunan salisilat, tiada penawar khusus yang boleh digunakan dan rawatan keracunan hanya berdasarkan kepada masalah kesihatan semasa yang timbul dalam kes keracunan.

• Ubat selsema

Ubat selsema mengandungi kumpulan ubat antihistam in. Ubat ini meredakan selsema dengan cara mengurangkan kerengsaan saluran pernafasan terutamanya akibat alahan. Ubat ini juga boleh mengurangkan pengeluaran lendir di tekak dan hidung. Terdapat dua kategori kumpulan ubat antihistamin iaitu ubat antihistamin H1 yang digunakan untuk mengubat selsema (seperti klorfeniramin) dan antihistamin H2. Biasanya ubat antihistamin H1 akan menyebabkan rasa mengantuk. Sekiranya diambil secara berlebihan, gejala keracunan yang dapat diperhatikan adalah kabur penglihatan, mulut kering, rasa mual, suhu badan meningkat dan sawan.
Dalam merawat keracunan ubat antihistamin, tiada penawar boleh digunakan. Rawatan yang dilakukan ditumpukan kepada mengeluarkan sebanyak mungkin bahan racun dari mangsa dan mengatasi masalah kesihatan yang timbul akibat keracunan.

• Ubat tidur yang mengandungi barbiturat

Ubat tidur digunakan untuk mengatasi insomnia, iaitu kesulitan untuk tidur secara berterusan mungkin akibat kerungsingan dan kegelisahan atau masalah psikologi lain. Ubat jenis ini, juga dikenali sebagai sedatif-hipnotik, digunakan untuk membantu seseorang tidur sebagai satu langkah jangka pendek. Terdapat dua jenis utama ubat tidur iaitu kelas barbiturat seperti amilobarbital dan kelas benzodiazepin seperti nitrazepam. Kumpulan ubat barbiturat boleh mengakibatkan ketagihan. Ini berlaku jika penggunaannya dihentikan secara mendadak akibat putus bekalan.

Masalah ini menyebabkan penggunaan barbiturat sebagai sedatif-hipnotik berkurangan. Penggunaannya kini terhad kepada merawat sawan serta menghasilkan kesan bius.
Keracunan barbiturat yang tidak serius boleh menyebabkan mangsa kelihatan seperti orang mabuk alkohol dengan fikiran keliru, percakapan kurang jelas dan pergerakan badan terhoyong-hayang. Keracunan yang lebih serius, akibat pengambilan lebih dari 2 gm dos untuk amilobarbital dapat dilihat apabila mangsa tidak sedarkan diri, suhu badan serta tekanan darah menurun dan berakhir dengan kematian. Tiada penawar khusus untuk merawat keracunan kelas barbiturat. Rawatan hanya tertumpu kepada mengeluarkan sebanyak mungkin racun dari badan mangsa dan merawat masalah kesihatan yang timbul semasa keracunan.

• Ubat sakit jantung

Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan kumpulan ini. Antaranya termasuklah ubat darah tinggi, antiangina, memulih kegagalan jantung dan pengatur denyutan jantung (aritma). Masing-masing berbeza daripada segi kesan dan tindakannya. Oleh itu, maklumat daripada segi keracunan akan ditumpukan kepada sejenis dadah sahaja iaitu digoksin yang digunakan untuk kegagalan jantung dan pengatur denyutan jantung. Digoksin bertindak ke atas jantung secara langsung untuk mengurangkan kadar denyutan. Dengan cara ini, jantung dapat berfungsi dengan lebih baik dan cekap apabila kadar denyutan kembali normal.

Kesan keracunan digoksin diperhatikan pada dos yang rendah iaitu 2 mg untuk kanak-kanak atau 5 mg pada orang dewasa . Apabila keracunan berlaku, gejala yang diperhatikan adalah muntah-muntah, denyutan jantung tidak seragam dan penglihatan berbinar-binar. Dalam merawat keracunan, penawar khusus dikenali sebagai antibodi spesifik digoksin boleh digunakan untuk menghilangkan kesan keracunan.

• Ubat penambah mineral

Ubat penambah mineral merupakan ubat yang digunakan untuk mengimbangi kandungan mineral di dalam badan supaya fungsi normal badan tidak terjejas. Salah ubat ubat penambah mineral yang sering menyebabkan keracunan ialah ubat zat besi. Biasanya ia diberikan kepada kanak-kanak yang sedang membesar dan ibu-ibu mengandung. Zat besi yang diambil diperlukan dalam pembuatan sel darah merah dan protein tertentu dalam badan serta pengecutan dan pengenduran otot badan. Keracunan ubat ini berpunca daripada bentuknya yang berwarna-warni sehingga kanak-kanak menyangkakannya gula-gula.

Dalam keracunan zat besi, gejala utama yang diperhatikan ialah hakisan dinding saluran usus sehinggakan dinding usus pecah dan berdarah. Selain gejala utama ini, kesan lain yang diperhatikan ialah rasa mual, kesakitan pada bahagian abdomen, kadar nadi menurun, cirit birit, kehausan dan koma. Sekiranya keracunan berlaku, penawar khusus iaitu deferioksamin boleh digunakan. Ia akan bergabung dengan zat besi yang berlebihan. Penawar ini diberikan secara berterusan sehingga gejala keracunan pulih.

• Ubat batuk yang mengandungi narkotik

Ubat batuk jenis narkotik merupakan ubat yang bertindak ke atas pusat batuk di otak supaya batuk dapat diredakan secara langsung dan kekerapannya dikurangkan. Dalam hal ini, faktor sebenar yang menyebabkan batuk tidak terawat. Salah satu jenis ubat batuk dalam kategori ini ialah kodein yang dikelaskan sebagai sejenis dadah berbahaya. Selain menyebabkan ketagihan, ubat jenis ini jika diambil berlebihan akan menyebabkan mangsa kelihatan letih dengan tanda anak mata mengecil, otot anggota lembik serta tekanan darah dan kadar nadi menurun. Sekiranya kuantiti ubat yang diambil tinggi, pernafasan menjadi perlahan sehingga terhenti lantas menyebabkan kematian. Dalam kes keracunan jenis ini, penawar khusus iaitu nalokson digunakan untuk menghalang kesan keracunan. Penawar ini juga digunakan untuk lain-lain ubat yang sejenis dengan kodein seperti opiat dan opioid.

• Ubat penenang

Ubat penenang digunakan untuk mengurangkan rasa resah, tegang dan kejang otot serta dapat menghasilkan rasa mengantuk dan menghentikan serta mencegah sawan(gelugut). Kumpulan ubat penenang yang sering digunakan sekarang ialah kumpulan benzodiazepin seperti klordiazepoksid (Librium), diazepam (Valium), lorazepam (Ativan) dan klorazepat (Tranxene). Dalam keracunan ubat benzodiazepin, kesan yang diperhatikan ialah kesan penindasan sistem otak dan saraf pusat. Antara gejala keracunan yang diperhatikan ialah percakapan tidak lancar, anak mata mengecil, terketar-ketar, koma dan pernafasan terhenti. Dalam keracunan kumpulan ubat ini, penawar khusus iaitu flumazenil boleh digunakan bagi memulihkan kesan keracunan.


Mengendalikan Kes Keracunan

Keracunan pada dasarnya harus dianggap sebagai satu kes kecemasan. Tanggapan sedemikian perlu dibuat pada peringkat awal bagi mempastikan kes-kes ini tidak dipandang ringan dan rawatan yang bersesuaian dapat diberikan segera. Ini penting kerana keracunan boleh membawa kecelakaan dan berakhir dengan maut pada mangsanya. Walaupun tanggapan sedemikian dibuat, analisa kes-kes keracunan yang pernah dilaporkan menunjukkan bahawa kebanyakan kes tidak mengakibatkan kematian. Malahan, lebih kurang 3/4 dari kes-kes keracunan didapati tidak membahayakan dengan sedikit sahaja gejala yang ditunjukkan. Dalam hal begini, pesakit tidak harus pula dikenakan tindakan rawatan yang serius sehingga boleh mengakibatkan komplikasi.

Bagi mempastikan tindakan yang bertepatan dapat dilakukan terhadap kes keracunan yang dikendalikan, maklumat tentang bahan keracunan amat diperlukan. Tujuannya untuk membolehkan penilaian tentang risiko bahaya dibuat dengan segera. Pengetahuan tentang bahaya sesuatu bahan racun terbabit merupakan aspek yang penting dalam rawatan mana-mana kes keracunan. Pengetahuan dapat mengurangkan tekanan psikologi yang dialami oleh pesakit dan ahli keluarganya dapat menentukan sama ada rawatan tertentu perlu dilakukan atau tidak.

Keracunan yang membabitkan kanak-kanak pada keseluruhannya didapati tidak membahayakan. Bahan-bahan yang terbabit terdiri daripada bahan-bahan rumah yang didapati tidak toksik. Kes keracunan yang dilaporkan di negara ini yang membabitkan minyak angin yang mengandungi silisilat dan racun makhluk perosak seperti paraquat dianggap berbahaya. Keracunan yang membabitkan golongan tua biasanya dialami serius dan pesakit akan mengalami komplikasi serta maut.

Dalam kebanyakan kes, ia disebabkan oleh ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mereka alami seperti ubat penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Keracunan berlaku apabila dos ubat-ubatan diambil secara berlebihan.
Dalam kebanyakan kes pengenalpastian bahan sebenar yang terbabit dalam keracunan adalah rumit dan mengambil masa yang lama. Pengesahan hanya dapat dilakukan di hospital ataupun setelah pesakit mati. Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan bahan yang dijual termasuk ubat-ubatan tidak mencatatkan kandungannya. Selain itu, sesetengah pesakit seperti penagih dadah akan cuba merahsiakan maklumat bahan yang diambil, supaya penglibatannya tidak diketahui umum, walaupun ini akan meletakkan dirinya dalam keadaan bahaya. Rawatan yang diperlukan pada ketika itu hanyalah bercorak mengawal gejala sahaja.

Justeru itu, langkah awal tertumpu kepada pengenalpastian dan penilaian risiko. Ini mungkin dapat dilakukan dengan mudah jika kejadian berlaku di depan kita. Maklumat tentang bahaya sesuatu bahan racun dapat diperolehi daripada Pusat Racun Negara.

GEJALA KERACUNAN AKUT

Gejala yang diperhatikan dalam keracunan biasanya tidak khusus. Beberapa sistem organ manusia mungkin terjejas pada satu masa bergantung pada jenis bahan yang terbabit. Jadual 1 dan 3 menunjukkan jenis-jenis gejala yang sering dialami semasa keracunan mengikut jenis-jenis bahan yang terbabit. Keadaan yang boleh mengancam nyawa pesakit seperti keruntuhan aliran darah serta penjejasan fungsi jantung dan pernafasan harus diawasi dengan teliti. Maut biasanya disebabkan oleh saluran darah yang tersekat, penekanan fungsi pernafasan atau apabila pesakit tersedak dengan bahan makanan/racun yang memasuki ke dalam paru-paru. Komplikasi pernafasan merupakan punca utama kematian akibat daripada keracunan.

Jika disebutkan ini berlaku, keracunan harus disyaki terutama apabila pesakit adalah seorang yang tidak siuman. Pesakit diketahui mengalami tekanan yang berat, pesakit koma, atau pesakit muda yang mengalami degupan jantung tidak menentu tanpa diketahui punca sebenar. Kanak-kanak yang mempunyai tahap asid yang tinggi dalam darahnya juga disyaki mengalami keracunan jika punca lain tidak dapat disahkan.

* Rasa loya
* Muntah-muntah
* Rasa pedih/panas seperti terbakar di bahagian mulut,perut
* Melepuh di bahagian bibir
* Sakit kepala
* Pening, bingung, meracau
* Pergerakan terhoyong-hayang, tiada koordinasi
* Sawan
* Koma atau pengsan
* Tidak berbafas, atau pernafasan yang perlahan
* Sukar bernafas
* Bernafas dalam-dalam dan pantas
* Nadi tidak menentu dan perlahan
* Nadi pantas
* Pupil mata mengembang
* Pupil mata mengecil
* Warna kebiruan di bahagian mulut
* Kulit merah padam
* Demam
* Kejutan


Jadual 1: Gejala Keracunan Akut yang sering diperhatikan

PENDEKATAN RAWATAN

Apabila berhadapan dengan kejadian keracunan, pendekatan yang boleh diambil termasuklah memberikan bantuan sokongan untuk menstabilkan keadaan pesakit. Kemudian mengeluarkan racun daripada perut dan usus atau bahagian lain seperti kulit dan mata. Memberi penawar jika ada, menyingkirkan bahan beracun yang telah diserap daripada tubuh pesakit serta rawatan sokongan dan pemerhatian. Dalam kebanyakan kes, langkah untuk menstabilkan pesakit dan bantuan sokongan merupakan pendekatan awal mesti dilakukan. (Rujuk Jadual 2). Ini termasuklah mempastikan sistem jantung dan pernafasan berfungsi dengan baik. Aliran udara dan peredaran darah mesti dipastikan berjalan dengan baik.

Tindakan segera perlu dilakukan dalam menangani sesuatu kes keracunan bergantung pada jenis pendedahan. Pada amnya, beberapa langkah boleh diambil untuk merawat pesakit.

1. Buatkan mangsa keracunan muntah melainkan jika beliau dalam keadaan tidak sedar
diri atau mengalami sawan
2. Dapatkan nasihat doktor jika hendak membuatkan mangsa keracunan muntah
3. Berikan campuran arang teraktif dengan sedikit air
4. Berikan air dan susu pada ketika ini juga
5. Jiruskan air ke bahagian mata atau kulit jka terkena racun
6. Gunakan julap
7. Berikan campuran satu sudu teh natrium bikarbonat dalam 1/2 gelas air
8. Rawat kejutan
9. Terapkan dengan air sejuk
10.Pernafasan bantuan diberikan jika perlu


Jadual 2: Langkah rawatan awal bila berlaku keracunan

RACUN YANG DIHIDU

Mangsa keracunan akibat terhidu gas atau asap mempunyai tanda amaran seperti pening kepala, sakit kepala dan rasa lemah badan. Bergantung kepada jenis racun yang dihidu, mangsa boleh mengalami batuk, sesak nafas ataupun maut. Mangsa ini perlu dibawa keluar ke kawasan lapang dengan segera. Pintu dan tingkap harus dibuka dengan luas. Namun begitu, sebelum memasuki ke tempat yang mungkin dipenuhi asap atau gas, pastikan ia selamat. Ini memerlukan maklumat tentang gas yang terbabit. Selain nama gas yang tercatat pada tong gas, bau dan warna gas tersebut mungkin dapat membantu dalam mengenalpasti dan menilai risiko pendedahan.

Mangsa keracunan gas hendaklah dipindahkan ke tempat yang berudara bersih/segar. Bagi pesakit yang sedar, kepala dan dada mereka perlulah diangkatkan sedikit untuk memudahkan pernafasan. Jika mangsa tidak dapat bernafas dengan baik, pakaian yang ketat hendaklah dilonggarkan dan pernafasan bantuan diberikan sebelum mendapatkan bantuan lanjut. Mangsa keracunan gas hendaklah diuruskan dengan hati-hati supaya badannya tidak bergoncang.

RACUN YANG TERKENA PADA KULIT

Dalam keadaan di mana mangsa terkena racun pada bahagian kulit, tindakan segera perlu dilakukan untuk menanggalkan pakaian yang tercemar dan membasuh kulit dengan air sebanyak mungkin selama sekurang-kurangnya 10 minit. Kemudian, bahagian yang terkena racun perlu dicuci dengan sabun (jika kulit tidak melecur) dan dijirus dengan air sebelum mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

RACUN YANG TERKENA PADA MATA

Mata yang terkena bahan racun hendaklah dicuci dengan menuangkan air suam dari bekas (gelas) pada jarak 2 hingga 3 inci dari mata. Langkah ini hendaklah diulangi sekurang-kurangnya 15 minit. Pesakit hendaklah disuruh mengelipkan-ngelipkan mata seberapa banyak kali yang boleh. Semasa matanya dibasahi dengan air, jangan pula dipaksa pesakit membuka kelopak mata. Selepas keadaan ini selesai, pesakit hendaklah dibawa ke hospital dengan segera untuk mendapatkan penilaian dan rawatan seterusnya.

RACUN YANG DITELAN

Jika bahan tersebut terdiri daripada kumpulan ubat-ubatan, elakkan memberi apa-apa melalui mulut, sehingga nasihat keracunan tersebut diperolehi terlebih dahulu. Jika bahan tersebut bahan kimia yang digunakan di rumah, berikan segera minuman susu atau air kecuali pesakit tidak sedarkan diri, tidak berupaya menelan atau mengalami sawan. Kemudian dapatkan bantuan nasihat dengan menelefon Pusat Racun Negara atau lain-lain para profesional perubatan dan farmasi bagi menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil.



Jadual 3:Senarai bahan-bahan berserta dengan gejala keracunan akut dan langkah rawatan awal

Tanda-tanda yang boleh membantu mengesyaki keracunan yang telah berlaku kepada seseorang kanak-kanak

Tanda-tanda berikut boleh dijalankan panduan:
i. Kanak-kanak tersebut pernah mengalami keracunan sebelum itu.
ii. Kanak-kanak tersebut berusia antara satu hingga enam tahun kerana
kumpulan ini biasanya menunjukkan tanda-tanda sawan tanpa mengalami
demam, atau tidak sedar diri tanpa sebab-sebab yang nyata. iii. Kanak-kanak itu jatuh sakit secara mengejut lebih-lebih lagi sekiranya
dia menunjukkna tanda-tanda sawan tanpa mengalami demam, atau tidak
sedar diri tanpa sebab-sebab yang nyata.
iv. Kanak-kanak tersebut muntah tiba-tiba tanpa sebab.
v. Kesakitan yang dialami melibatkan beberapa bahagian badan tanpa sebab
yang pasti.
vi. Nafas kanak-kanak tersebut berbau aneh atau terdapat kesan-kesan
kekotoran, luka atau pecah-pecah disekitar kawasan mulut dan bibir
mulut.


Apakah yang perlu anda lakukan apabila berlaku keracunan?

Sebahagian tanda-tanda keracunan berlaku dengan segera. Antaranya ialah rasa mengantuk, keletihan, pening, loya, muntah, sakit perut, susah bernafas, kegelisahan, dan hiperaktiviti.

• Sekiranya anda mengesyaki anak anda termakan ubat-ubatan berlebihan,
tenangkan fikiran dan jangan panik.
• Cari bekas ubat berkenaan untuk memudahkan ubat dikenal pasti daripada
label yang tertulis.
• Telefon doktor anda atau Pusat Racun Negara di 04-6570099 atau talian
kecemasan 911 dengan segera.
• Jangan beri makan atau minum sesuatu sebelum mendapatkan nasihat atau
arahan dari doktor anda atau Pusat Racun Negara.
• Sebelum menelefon, pastikan anda bersedia dengan maklumat-maklumat
berikut:

o Berat badan, umur dan sebarang penyakit yang dihadapi oleh anak anda.
o Nama ubat berkenaan yang boleh dibaca dari label bekas ubat.
o Jumlah ubat yang diambil oleh anak anda
o Masa ubat ditelan
o Tanda-tanda yang dialami
o Bantuan kecemasan yang telah diberikan.

Maklumat-maklumat ini penting untuk membantu mengenal pasti jenis racun yang terlibat, risiko yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak tersebut serta mempengaruhi kaedah perawatan yang akan dicadangkan.

Melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada keracunan ubat-ubatan, dan lain-lain bahan beracun di rumah merupakan satu tanggungjawap yang penting bagi ibu bapa dan penjaga.

Panduan mengelakkan keracunan perlu diberi perhatian serius dan dipraktikkan supaya kanak-kanak yang masih mentah sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat untuk mereka membesar dan berkembang dengan baik. Setelah semua usaha pencegahan dan langkah keselamatan dilaksanakan, pastikan juga anda mengetahui bagaimana, siapa, dan di mana boleh hubungi untuk memdapatkan bantuan sekiranya berlaku kes keracunan.



PENUTUP

Sebagai langkah mengatasi kemungkinan berlakunya keracunan akibat ubat-ubatan moden, langkah berjaga-jaga perlu diamalkan. Amalan yang boleh diikuti bagi tujuan mengatasi keracunan ubat-ubatan moden termasuklah:

• Simpan ubat di tempat berkunci yang sukar dicapai oleh kanak-kanak.
• Guna penutup bekas ubat yang sukar dibuka oleh kanak-kanak. Penutup jenis
rintang kanak-kanak boleh diperolehi di kedai-kedai farmasi.
• Tutup bekas ubat selepas menggunakannya dan kembalikan bekas ubat yang
digunakan pada tempat simpanan ubat yang sesuai.
• Tandakan tarikh pemerolehan ubat dan sentiasa mengambil perhatian kepada
tarikh lupus ubat dan jangan gunakan ubat yang telah lupus.
• Gunakan ubat yang dipreskripsikan kepada anda dan jangan guna ubat yang
diberikan kepada orang lain.
• Simpan ubat dalam bekas asal dengan label yang jelas.
• Minta doktor dan farmasi anda merekodkan jumlah ubat di atas bekas. Ini
menolong dalam memberi maklumat jumlah ubat yang diambil oleh pesakit dalam
kes-kes keracunan.
• Baca label ubat dengan teliti sebelum mengambil apa-apa ubat
• Jika label telah rosak dan anda tidak pasti dengan cara penggunaan ubat
tersebut, buang ubat tersebut.
• Galakkan kanak-kanak untuk mengecam ubat sebagai bahan beracun dan jangan
sesekali merujuk ubat sebagai gula-gula.

Sekiranya anda mempunyai masalah mengguna ubat anda dengan betul dan memerlukan maklumat tambahan, sila hubungi doktor atau farmasi anda. Jika anda memerlukan maklumat keracunan, hubungi Pusat Racun Negara dengan menelefon talian bebas tol 800-8099.