Saturday, August 7, 2010

Kecintaan dan Kasih Sayang Kepada Ahlul Baiyt

Nabi s.a.w.bersabda, “Yang terbaik diantara kamu sekalian ialah yang terbaik perlakuaannya terhadap ahlulbaiytku, setelah aku kembali kehazirat Allah.” (Hadis Sahih dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan oleh al-Hakim, Abu Ya’la, Abu Nu’aim dan Addailamiy)

Keutamaan Ahlulbait

Orang-orang seperti mereka itu terdapat di berbagai tempat dan negeri. Mereka terkenal juga dengan gelaran “syarif”. Sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang mengetahui, mereka itu berasal dari keturunan ahlulbait Rasulullah s.a.w. Di antara mereka itu ada yang salasilahnya berasal dari al-Hassan r.a dan ada pula yang berasal dari al-Husein r.a; ada yang dikenali dengan gelaran “sayyid” dan ada juga yang dikenali dengan gelaran “syarif”. Itu merupakan kenyataan yang diketahui umum di Yaman dan di negeri-negeri lain.

“Mereka itu sesungguhnya wajib bertaqwa kepada Allah dan harus menjaga diri dari hal-hal yang diharamkan Allah bagi mereka. Semestinya mereka itu harus menjadi orang-orang yang paling menjauhi segala macam keburukan. Kemuliaan silsilah mereka wajib dihormati dan tidak boleh disalahgunakan oleh orang-orang yang bersangkutan. Jika mereka diberi sesuatu dari Baitul-Mal itu memang telah menjadi hak yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada mereka. Pemberian halal lainnya yang bukan zakat, tidak ada salahnya kalau mereka itu mahu menerimanya. Akan tetapi kalau silsilah yang mulia itu disalahgunakan, lalu ia beranggapan bahawa orang yang mempunyai silsilah itu dapat mewajibkan orang lain supaya memberi ini dan itu, sungguh itu merupakan perbuatan yang tidak patut. Keturunan Rasulullah s.a.w. adalah keturunan yang termulia dan Bani Hasyim adalah yang paling afdhal di kalangan orang-orang Arab. Kerananya tidak patut kalau mereka melakukan sesuatu yang mencemarkan kemuliaan martabat mereka sendiri, baik berupa perbuatan, ucapan ataupun perilaku yang rendah.

“Adapun soal menghormati mereka, mengakui keutamaan mereka dan memberikan kepada mereka apa yang telah menjadi hak mereka, atau memberi maaf atas kesalahan mereka terhadap orang lain dan tidak mempersoalkan kekeliruan mereka yang tidak menyentuh soal agama, semuanya itu adalah kebajikan. Dalam sebuah Hadith Rasulullah s.a.w. berulang-ulang mewanti-wanti: “Kalian ku ingatkan kepada Allah akan ahlulbaitku…kalian ku ingatkan kepada Allah akan ahlulbaitku”. Jadi, berbuat baik terhadap mereka, memaafkan kekeliruan mereka yang bersifat peribadi, menghargai mereka sesuai dengan darjatnya, dan membantu mereka pada saat-saat membutuhkan; semuanya itu merupakan perbuatan baik dan kebajikan kepada mereka…

Panutan Saadah Bani ‘Alawi

Dalam menghadapi fitnah Wahabiyyah, jangan pula kita lupa bahawa puak Syiah juga tidak duduk diam untuk menyebarkan dakyah mereka kepada masyarakat kita yang sedari dahulu majoritinya Sunniyyun Syafi`iyyun. Syiah menyembunyikan kedok dakyah mereka dengan berbagai cara, nama dan samaran, antara yang paling lazim dilaungkan mereka ialah bahawa mereka adalah pengikut Mazhab Ahlul Bait. Benarkah dakwaan dan dakyah Syiah ini??????? Dakwaan dan dakyah ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi segelintir umat, sehingga sempat bikin kecoh di beberapa tempat di Indonesia dan Malaysia. Sebagaimana dimaklumi bahawa bumi kita sebelah Nusantara ini telah diberkati Allah dengan keberadaan sejumlah besar anak cucu Junjungan Nabi kita s.a.w. dan umumnya di Malaysia dan Indonesia, mereka-mereka ini adalah daripada keturunan Imam Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir yang terkenal dengan gelaran para Habaib dan Saadah Ba ‘Alawi. Di samping itu ada juga keturunan Junjungan s.a.w. menurut susur galur nasab yang mulia daripada Imam Hasan r.a., Imam ‘Aun r.a. dan Imam Musa al-Kazim.

Melihat ada kelompok Saadah yang berada di Malaysia dan Indonesia yang terpengaruh dan termakan dengan dakyah “Mazhab Ahlul Bait” puak Syiah, maka para ulama, pemuka, munshib dan sesepuh habaib yang berada Hadhramaut dan al-Haramain telah bertindak mengutus sepucuk surat kepada pihak Rabithah al-’Alawiyyah dan segala keturunan Ba ‘Alawi di Indonesia dan Asia untuk menegaskan dan mengingatkan para ‘Alawiyyin di mana pun mereka berada agar berpegang teguh dengan ‘aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah selainnya termasuklah yang bertopengkan Mazhab Ahlul Bait. Surat tersebut telah ditandatangani antara lain oleh:-

1. Habib ‘Abdullah BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
2. Habib Saalim asy-Syaathiri, Mudir Ribath Tarim;
3. Habib Zain BinSumaith, Pimpinan ribath di Madinah;
4. Habib ‘Ali al-Masyhur BinHafidz, Ketua Majlis Fatwa Tarim;
5. Habib Muhsin al-Muhdhaar, Pemuka Ba ‘Alawi Shan`a;
6. Habib Hasan al-Haddad, Munshib Maqam Imam al-Haddad;
7. Habib ‘Aidrus al-Kaaf, Mudir Kuliah Syariah al-Ahqaaf;
8. Habib ‘Ali BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
9. Habib ‘Aidrus BinSumaith, Pemuka Ba ‘Alawi Tarim;
10. Habib ‘Umar BinHafidz, Pimpinan Darul Musthofa Tarim;
11. Habib Muhammad bin Muhsin bin ‘Ali al-Haamid;
12. Habib Hasan bin Ahmad, Munshib Syaikh Abu Bakar;
13. Habib Haamid Ba ‘Alawi, Imam Masjid Ba ‘Alawi Tarim;
14. Habib Husain ‘Aidiid, Imam Masjid Mawlal ‘Aidiid Tarim;
15. Habib Syaikh bin ‘Abdullah al-Habsyi;
16. Habib Sholeh al-Haamid, Munshib al-Haamid;
17. Habib ‘Abdur Rahman al-Habsyi, Munshib Maqam al-Habsyi;
18. Habib Husain BalFaqih, Munsib BalFaqih;
19. Habib Hasan BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
20. Habib Haamid BinSyihaab, Anggota Majlis Ulama Tarim;
21. Habib ‘Abdullah al-’Aththas, Munshib al-’Aththas;
22. Habib Muhammad al-’Aidrus, Imam Masjid as-Saqqaf;
23. Habib Muhammad as-Saqqaf, Imam Masjid ‘Ali as-Saqqaf;
24. Habib Ahmad al-Habsyi, cucu Imam Ali al-Habsyi;
25. Habib Haasyim al-Habsyi ar-Rausy, Ketua Ulama Hadhramaut & Munshib ar-Rausy.

Antara pesanan mereka buat sekalian muslimin, umumnya dan Alawiyyin, khususnya, ialah:-


"Dan kami menegaskan kepada kalian berhubung urusan ar-Rabithah al-’Alawiyyah agar tetap kukuh dan istiqamah atas segala kaedah, peraturan dan susunan yang telah disusun oleh para pengasas dan pengurusnya yang terdahulu yang berjalan atas thoriqah (perjalanan) Ahlus Sunnah wal Jama`ah, mengikut mazhab yang empat lagi Asyaa`irah serta bertasawwuf. Keluarga Abi ‘Alawi (Ba ‘Alawi) adalah satu bahagian yang tidak terpisah daripada golongan terbanyak umat ini (as-sawadul a’dhzam) iaitu Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Mereka dalam i’tiqad kepercayaan berpegang kepada manhaj al-’Asyaa`irah, dalam furu’ fiqh berpegang dengan mazhab Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i al-Mutholibi serta menjalani manhaj tasawwuf yang suci dan jauh dari segala bid`ah dan penyelewengan. Maka jaga-jaga jangan sampai mengubah sesuatu dari apa yang telah mereka asaskan atau menyimpang dari jalan dan kaedah mereka atau menggantikannya dengan manhaj selain manhaj mereka, walau bagaimana pun rupa bentuknya. Maka thoriqah (perjalanan) mereka adalah (sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Haddad)":-



Untaian mata rantai mereka yang sanadnya
Kepada Junjungan Nabi terpuji lagi pemuji termulia
Thoriqah petunjuk yang telah diambilkan dia
Dari sir orang-orang mulia
Para khalifah orang-orang mulia sebelumnya
Ayah mengambil daripada ayahandanya
Dan demikianlah berlanjut keadaannya
Alangkah mulianya segala ayahanda
Serta anak keturunan mereka

Begitulah antara himbauan para Habaib kita agar kita sentiasa berjalan atas jalan para salaf yang terdahulu dari kalangan ulama dan pemuka Ba ‘Alawi. Awas jangan ada yang cuba menyimpang dari jalan yang ambilannya cukup terang dan nyata tersebut. Memandangkan silsilah dzahabiyyah para Saadah ini yang telah diambil oleh seorang anak daripada bapanya yang mengambil daripada bapanya sehingga ke para leluhurnya yang ke atas, maka Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi berkata:-

من لا سلك طريق ابآئه تخيب وضع
ٍ

Sesiapa (dari kalangan Ba’Alawi) yang tidak menjalani perjalanan para leluhurnya, nescaya dia akan kecewa dan terhina.

Oleh itu, Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi turut melantunkan doa yang berbunyi:-

اللهم إني أبرأ إليك من كل عقيدة لا يعتقدها أسلافنا الصالحون

Allahumma inni abra-u ilaika min kulli ‘aqiidatin
laa ya’taqiduhaa aslaafunaash shoolihuun

Ya Allah, sesungguhnya aku berlepas diri kepadaMu daripada segala ‘aqidah yang tidak dipegangi oleh para salaf kami yang sholeh.

اللهم آمين يا رب العالمين

Titihan Mulia


Aku mengakui kelebihan dan keutamaan serta kemuliaan titihan nasab ini. Ianya merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang telah dijadikanNya tergolong dalam nasab tersebut. Akan tetapi ianya juga merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang mesti dipikul oleh mereka-mereka yang bernasab kepada nasab yang mulia ini. Tanggungjawabnya ialah mereka yang memiliki nasab yang mulia ini hendaklah sentiasa memuliakan darah Junjungan Nabi s.a.w. yang mengalir dalam tubuh mereka. Memuliakannya dengan sentiasa mematuhi ajaran nenda mereka Junjungan Nabi s.a.w. Jika kami yang tidak ternasab dalam titihan yang mulia ini, yakni dalam tubuh kami Allah tidak rezekikan mengalir darah atau DNA Junjungan Nabi s.a.w. dikehendaki untuk sentiasa taat kepada ajaran baginda, maka kamu keturunan yang mulia, anak cucu baginda seharusnya menjadi contoh utama dan pertama dalam mentaati ajaran baginda s.a.w. Kamu wahai habaib kami yang mulia diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga titihan mulia yang mengalir dalam diri kamu. Nama baik Junjungan dan segala ahli keturunan baginda yang mulia jangan sekali-kali kamu khianati dengan cemar dosa dan maksiat. Jangan kotori titihan mulia ini dengan kederhakaan kepada Allah s.w.t. dan kepada ajaran Nenda kamu yang mulia s.a.w. Inilah amanah dan tanggungjawab kamu wahai habaib yang mulia.

Aku teringat kata-kata salah seorang guruku yang berketurunan asy-Syathiri yang mulia. Di mana guruku ini sekian tahun telah tinggal dan berdakwah di Negara Brunei Darus Salam. Dimaklumi bahawa di sana para saadah dipandang tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat. Sama seperti generasi ibu-bapa ku dahulu, amat memuliakan keturunan mulia ini berbanding masyarakat zaman aku sekarang. Guruku itu amat tidak menyukai orang membesar-besarkan dirinya kerana nasabnya tersebut, bila dia menyuarakan rasa hatinya itu, maka masyarakat menjawab bahawa mereka sebenarnya memuliakan beliau kerana mungkin dalam diri beliau mengalir setitik darah Junjungan Nabi s.a.w. Justru kita memuliakan para habaib anak keturunan baginda Nabi s.a.w. adalah kerana baginda s.a.w. Allahu … Allah, jagalah kehormatan titihan mulia ini, baik umat biasa seperti diriku ini, apatah lagi mereka-mereka yang dalam diri mereka mengalir titihan ini. Sungguh kamu diberi kemuliaan yang tiada tara, dalam silsilah nasab kalian ada Junjungan Nabi s.a.w., mana ada nasab yang semulia nasab kalian, penghormatan kepada nasab kalian tetap menjadi junjungan umat ini, TAPI harus kamu ingat akan amanah dan tanggungjawab yang berat atas pundak kamu IAITU tetap istiqamah menjaga nama baik dan kemuliaan tersebut.

Mari kita lihat kalam Imam al-Haddad dalam kitabnya “al-Fushuul al-’Ilmiyyah wal Ushul al-Hikamiyyah” dalam Fasal ke-25 halaman 88 – 91, beliau rahimahUllah antara lain menulis:-

… Dan telah berlaku atas lidah sebahagian manusia, apabila dikatakan kepadanya “seseorang dari kalangan Ahlil Baitin Nabawi telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi ajaran agama dan bercampur-baur perbuatannya antara makrufat dan maksiat”, maka mereka menjawabnya dengan kata-kata: “Mereka itu Ahlul Bait Rasulillah s.a.w., Rasulullah adalah pemberi syafaat bagi mereka, dan barangkali dosa-dosa tidak memudaratkan mereka”. Maka ini adalah ucapan yang amat buruk, yang memudaratkan diri orang yang berkata dan juga memudaratkan diri orang jahil yang diperkatakan itu. Bagaimana seseorang boleh berkata sedemikian sedangkan Kitab Allah yang mulia telah menunjukkan bahawasanya Ahlul Bait digandakan bagi mereka pahala atas segala kebajikan mereka dan demikian juga diganda hukuman terhadap dosa kesalahan mereka, sebagaimana difirmankan Allah ta`ala:-

يٰنِسَآءَ ٱلنَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيراً
وَمَن يَقْنُتْ مِنكُنَّ للَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحاً نُؤْتِهَآ أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقاً كَرِيماً

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. Dan sesiapa yang di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang sholeh, Kami beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. [Surah al-Ahzab: 30 – 31)

Dan para isteri Junjungan Nabi s.a.w. adalah dari kalangan Ahlil Bait baginda s.a.w. Maka sesiapa yang berkata atau menyangka yang dengan meninggalkan ketaatan dan melakukan maksiat tidak akan memudaratkan seseorang kerana kemuliaan nasabnya atau kerana kesholehan datuk neneknya, maka dia telah mendustai Allah dan menyalahi ijmak kaum Muslimin. ………..

…. Dan adapun sesiapa daripada kalangan Ahlil Bait yang tidak menjalani jalan-jalan para salaf mereka yang suci, di mana telah masuk pada mereka sesuatu percampuran antara taat dan maksiat kerana kejahilan. Maka sewajarnya juga mereka dimuliakan dan dihormati kerana hubungan kekerabatan mereka dengan Junjungan Nabi s.a.w., dan sesiapa yang berkemampuan memberi nasihat maka hendaklah dia tidak meninggalkan menasihati mereka dan mendorong mereka untuk mengikut perjalanan shalafush sholeh mereka yang terdahulu dari segi ilmu, amal-amal sholeh, akhlak yang baik, sirah perjalanan hidup yang diredhai. Khabarkanlah kepada mereka bahawasanya mereka terlebih utama dan lebih berhak untuk berbuat sedemikian berbanding manusia lain. Dan maklumkan juga bahawa nasab semata-mata tidak bermanfaat dan tidak menjadikan darjat seseorang itu tinggi, selagi mana dia mengabaikan ketaqwaan, mencintai dunia, meninggalkan ketaatan dan mencemar diri dengan berbagai perbuatan yang menyalahi ajaran agama. Para penyair terutamanya dari kalangan para Imam dan ulama telah memberi penekanan mengenai perkara ini dalam syair-syair mereka, sehingga dikatakan oleh sebahagian mereka:-

لعمرك ما الإنسان إلا ابن دينه * فلا تترك التقوى اتكالا على النسب
فقد رفع الإسلام سلمان فارس * و قد وضع الشرك الحسيب ابا لهب

Sungguh tidaklah manusia melainkan anak agamanya
Maka jangan kau tinggal taqwa demi mengunggulkan nasab
Dengan Islam telah ditinggikan darjat Salman orang Farsi
Manakala syirik merendahkan orang berbangsa si Abu Lahab

Al-Mutanabbi pula bersyair:
إذا لم تكن نفس الشريف كأصله * فماذا الذي تغني رفاع المناصب

Pabila diri si Syarif tidak jadi seperti asal keturunannya
Maka apalah faedah ketinggian nasab keturunannya itu

Dan penyair lain berkata:-
و ما ينفع الأصل من هاشم * إذا كانت النفس من باهله

Tidak berfaedah asal keturunan daripada Hasyim
Jika jiwa dirinya daripada Baahilah
***************
Allahu …. Allah. Nasab keturunan Bani Hasyim yang merupakan semulia-mulia nasab Bangsa Quraisy tidak mendatangkan apa-apa jika diri orang itu mempunyai jiwa Baahilah iaitu satu suku ‘Arab yang terkenal dengan keburukan akhlak dan perangai mereka. Harap jangan ada sesiapa yang tersinggung. Aku tidak berniat untuk merendahkan sesiapa, hajatku hanya satu agar semua pihak, baik Saadah, baik Habaib, baik Asyraf, baik ghair munashib, untuk sama-sama memuliakan titihan mulia tersebut. Ambillah perhatian dengan kalam Imam al-Haddad tersebut, sungguh ianya adalah kalam Imam dan Pemuka Ahlil Bait Nabawi yang mulia. Mudah-mudahan dapat kita jadikan pedoman dalam kehidupan.

Dua Kali Lipat

Imam an-Nawawi rahimahUllah dalam himpunan 40 hadits beliau yang masyhur memasukkan sepotong hadits iaitu hadits yang ke-36 di mana pada hujungnya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
و من أبطأ به عمله لم يسرع به نسبه

“Sesiapa yang dilambatkan oleh amalannya, tidaklah dia dipercepatkan oleh nasab keturunannya.”

Ini tidaklah bererti nasab yang mulia tidak mempunyai apa-apa perkiraan di sisi Allah s.w.t., kerana di sisi lain ada jaminan Junjungan s.a.w. bahawa setiap nasab akan terputus pada hari kiamat nanti selain nasab Baginda s.a.w. Tapi maksud yang dikehendaki ialah bahawa syarat untuk bermanfaatnya nasab yang mulia ialah amalan yang selari dengan ajaran para leluhur nasab yang mulia tersebut. Sungguh sesiapa yang mengaku bernasab kepada nasab yang mulia, tetapi amalannya menyalahi ajaran para leluhurnya, maka seolah-olah dia telah menconteng arang di muka para leluhurnya. Oleh itu adakah pelik jika dia mendapat kemarahan para leluhurnya? Perhatikanlah dengan benar wahai mereka-mereka yang bernasab mulia. Sewaktu memberi tausyiahnya, dalam majlis mawlid Subuh rangka peringatan Haul Habib Ali al-Habsyi pada 20 Rabi`ul Akhir 1428 / 8 Mei 2007 di Kota Surakarta (Solo), Habib Najib as-Saqqaf berpesan antara lain:-


“Ahlul Bait kalau melakukan amal yang baik, diberi pahala 2 kali dari orang-orang yang lain. Tetapi kalau Ahlul Bait menunjukkan amal yang bertentangan dengan amalnya Rasul, bertentangan dengan amalnya a-immah, bertentangan dengan amalnya ajdad, bertentangan dengan amalnya aslaf, dan tidak bertobat kepada Allah, diazab 2 kali oleh Allah. Quran yang berbicara bukan saya. Kerna itu bukan kebanggaan seorang mengatakan “Saya Ahlul Bait RasulAllah”, bukan kebanggaan, tetapi justru di atas pundak orang-orang yang mengatakan Ahlul Bait Rasul di atas pundak mereka punya tanggungjawab yang besar – menyelamatkan umat, menebarkan akhlak, menunjukkan jalan yang benar, mengajarkan ilmu, ini namanya Ahlul Bait.”

Allahu … Allah, mudah-mudahan Allah memelihara terus Ahlul Bait Junjungan Nabi s.a.w. sepanjang zaman setiap masa dan ketika. Moga mereka terus menjadi panduan bagi umat sekaliannya dalam ilmu, amal dan ketaqwaan.

رب فانفعنا ببركتهم و اهدنا الحسنى بحرمتهم
و امتنا في طريقتهم و معافة من الفتن


Artikel – Fadhail AhlulBait

Nash akan hak-hak yang harus diperolehi ahlul-bait
Ahlul-bait mempunyai beberapa hak yang harus dipelihara dengan baik oleh umat Islam. Antaranya, hak ke atas harta ghanimah, hak diselawati, hak untuk dicintai, diutama dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.
Memperolehi harta ghanimah

Allah SWT telah menentukan hak untuk mereka sebanyak seperlima dari harta ghanimah (harta rampasan perang). Firman Allah SWT : “Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil”(Al-Anfal:41)
Tiada perbezaan pendapat mengenai harta ghanimah pada Aal Muhammad SAW, iaitu ahlul-bait baginda, Ummuhatul Mukminin, serta kerabat baginda dari Bani Hasyim.
Nash memperolehi hak selawat dari umat Islam

Ahlul-bait juga memperolehi hak ucapan selawat dari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, yang ertinya seperti berikut:” Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

(Kedudukan selawat ini ialah di belakang rukun tahiyyat akhir setiap solat).
Pernyataan Rasulullah SAW dalam sepotong Hadeeth dari Imam Malik yang berasal dari Nu’aim Al-Mujmar, berbentuk seperti berikut: “Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau.” Ibnu Abdil-Barr menunjuk kepada sebuah Hadeeth Ibnu Humaid As-Saidi yang antara lain dengan erti seperti berikut: ” Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya.” Sebuah Hadeeth lain pula menyebut:” Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad.” Maksud Hadeeth yang kedua ini menyimpulkan makna Hadeeth yang sebelumnya. Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah mengemukakan suatu Hadeeth lain yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda : “Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra.” Para sahabat bertanya “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?”. Baginda menjawab :”Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad.”

Kesimpulannya, para Aal dan ahlul-bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam dimana sahaja mereka berada.

Nash mengenai pengharaman mengambil zakat oleh ahlul-bait

Ahlul-bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima sedeqah (termasuk zakat) yang disebut sebagai kotoran harta manusia.

Dari Abdul Muthalib ibnu Rab’ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda : ” Sesungguhnya sedeqah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad .” (HR Muslim)

Tentang Hadeeth riwayat Muslim ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: “Kotoran manusia artinya ; zakat membersihkan harta dan jiwa mereka . `Allah Ta’aala berfirman : “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkaan dan mensucikan mereka.” (At-Taubah :103)

Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul-bait diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka dan meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, ahlul-bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.” (Al-Ahzab :33)

Alasan inilah yang menyebabkan ahlul-bait Rasulullah SAW tidak mengambil sedekah (zakat) semasa baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya.

Nash kecintaan Rasulullah SAW pada ahlul-bait baginda dan pesanan agar umat Islam mencintai mereka

`Ali RA menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama `Ali, Fatimah, Hassan dan Hussein. Kemudian baginda bersabda : “Ya Allah, ridhoilah mereka sebagaimana aku ridho kepada mereka.” Hadeeth riwayat At-Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hassan dan Al-Hussein.” Imam Muslim pernah meriwayatkan sebuah Hadeeth Rasulullah SAW mengenai Al-Hassan yang menyebut: “Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya.”

At-Thabarani dan lain-lain mengketengahkan sebuah Hadeeth yang bermaksud; “Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri .”

Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tarmizi dari `Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :”Barangsiapa mencintai kedua orang ini, yakni Hassan,Hussein dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat.” Ibnu `Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah ahlul-baitku kerana mencintaiku” Ad- Dailami meriwayatkan sebuah Hadeeth dari `Ali RA yang menyebut sabda Rasulullah SAW: “Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada ahlul-baitku dan para sahabatku.”

Dalil Hadeeth-Hadeeth di atas amat jelas dan nyata akan suruhan- suruhan dan pesananpesanan Rasulullah SAW agar umat Islam mencintai para ahlul-baitnya demi cinta dan ketaatan mereka pada baginda Rasulullah SAW sendiri.

Nash mengenai keutamaan ahlul-bait

Diriwayatkan oleh At-Thabarani, bahawa Jabir RA mendengar `Umar ibnu Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika mengahwini Ummu Kalthum binti `Ali bin Abu Thalib : “Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ` Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku’. “

Hadeeth ini bermaksud bahawa dalam keadaan kekelamkabutan dan huru- hara yang berlaku pada Hari Kiamat kelak, yakni sebelum berlakunya proses penghisaban, semua manusia akan menjadi `nafsu-nafsi’, iaitu hanya tertumpu semata-mata memikirkan nasib dan keselamatan dirinya sahaja, tidak akan ada orang yang dapat memberi pertolongan kepada orang lain, baik keturunannya mahupun kerabatnya, kecuali Rasulullah SAW sendiri yang diberikan keistimewaan untuk menghulurkan pertolongan kepada nasab dan kerabat baginda yang beriman dengan Allah dan RasulNya, selain kepada umat baginda yang lainnya.

Sebuah Hadeeth Thaqalain riwayat Zaid bin Al-Arqam RA menyebut : “Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya.dan (kedua) :Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!”

Dengan menyebut pesanan mengenai Ahli-Bait Nabi sebanyak dua kali, adalah sebagai suatu bentuk tekanan dan penegasan pada umat supaya perihatin terhadap apa yang menjadi hak dan kewajiban keturunan Rasulullah SAW. Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dalam Hadeeth lain: “Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi.”

Sebuah Hadeeth riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut : “Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkaan ahlul-baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi ahlul-baitku, mereka akan berselisih kemudian menjadi kelompok Iblis.”

Sebuah lagi Hadeeth Rasulullah SAW dari Abu Dzar menyatakan :” Ahlul- baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa.” (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir) Abu Dzar Al- Ghiffari RA menuturkan bahawa ia mendengar sabdaan Rasulullah SAW :”"Jadikanlah ahlul-baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala.”

Tegasnya, keutamaan ahlul-bait Rasulullah SAW diperakukan dalam hukum syarak mengikut nash hadeeth-hadeeth mutawatir yang tidak harus menimbulkan sebarang kekeliruan ataupun perselisihan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh khabar yang sahih bahawa keturunan baginda, Al-Mahdi akan menjadi khalifah akhir zaman kepada umat Islam.
Hadeeth riwayat Imam At-Tarmidzi, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku.” Dari Tufail dari `Ali RA Nabi SAW bersabda : ” Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”

Nash yang menyuruh umat Islam menghormati serta membantu ahlul-bait

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menegaskan:”Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada” Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan sebuah Hadeeth :” Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya.”

At-Thabarani pula mengketengahkan Hadeeth dari Abdullah ibnu `Umar RA yang mengatakan: “Allah SWT menetapkan tiga `hurumat’ (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik tiga `hurumat’ itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya. Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku.”

Nash yang menyuruh umat Islam menjaga hubungan ahlul-bait dan mengelakkan membenci mereka.

Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW :”Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami, ahlulbait melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka.” (HR Al-Hakim) Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk berangkat hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya : “Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka”. Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda dengan nada gusar bersabda : ” Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah.”
At-Thabarani juga meriwayatkan Hadeeth dari Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri dengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: ” Hai manusia, barangsiapa membenci kami, ahlul-bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi.” Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dalam sebuah Hadeeth Marfu’, bahawasanya Rasulullah SWT telah menegaskan: “Siapa yang membenci ahlul-bait ia adalah seorang munafik.”

Umat Islam harus mengambil pengajaran dari pesanan-pesanan baginda Rasulullah SAW dalam menjaga adab dan perhubungan dengan para ahlul- baitnya, serta memelihara diri dari bersikap negatif dan mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan sebahagian dari ajaran agama Islam