Sunday, August 15, 2010




PENGGUNAAN NAJIS DALAM PERUBATAN

Mukadimah

Islam menganjurkan kepada umatnya kehidupan yang sihat dan menggalakkan
supaya berubat apabila mengalami kesakitan. Ini sejajar dengan hadis nabi s.a.w yang
berbunyi :

"Setiap penyakit itu ada ubatnya, jika tepat ubatnya maka penyakit itu akan sembuh
dengan izin Allah"


"Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan Dia juga menurunkan ubat
baginya."

Namun perkembangan ilmu perubatan yang berjalan seiring dengan keperluan
zaman menyaksikan timbulnya kepelbagaian dalam merawati penyakit. Kajian demi
kajian akhirnya menatijahkan penggunaan alat dan wasilah yang pelbagai juga aliran
perubatan yang bermacam-macam. Tidak kira perubatan moden (alloypathy) atau pun
perubatan alternative, akhirnya terjebak dalam penggunaan bahan-bahan yang tidak
sah dari segi syariat Islam. Secara jelasnya timbulnya penggunaan najis dalam
mengubati penyakit. Adakah ini dibenarkan oleh Islam atau tidak, memerlukan
penekunan kita dalam mengkaji dan mengeluarkan hukum secara tepat.

Anjuran berubat dengan benda yang suci

Sebelum kita meneruskan perbincangan kita, di sini didatangkan beberapa
hadis mengenai penggunaan elemen yang kotor dalam perubatan. Antaranya ialah
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ bahawa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan
dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu
berubat dengan yang diharamkan." (Hadis riwayat Abu Daud)

Imam Bukhari pula ada menyebutkan dalam shahihnya daripada Ibnu Mas‘ud
katanya:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu
pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu." (Dikeluarkan oleh Bukhari)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada ubat yang
kotor." (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)
Skop perbincangan

Ilmu perubatan moden hanyalah satu daripada beribu-ribu jenis ilmu
perubatan yang wujud di muka bumi ini. Memandangkan cara perubatan ini diterima
oleh kebanyakan masyarakat dunia berdasarkan kepada method kajiannya yang jelas
dan diterima secara saintifik. Ilmu perubatan moden yang juga dikenali sebagai
allopathy sentiasa mengalami evolusi yang pesat. Kajian mutakhir ini lebih banyak
dipelopori oleh saintis yang bukan Islam menyebabkan masuknya elemen-elemen
yang disifatkan najis pada pandangan syarak.

Kebanyakan perbincangan kita berkisar dengan penggunaan najis dalam perubatan
moden di samping itu didatangkan beberapa contoh penggunaan najis dalam
perubatan alternative dan juga tibbul nabawi. Antara yang akan dikupas dalam kertas
kerja ini ialah :

1. Penggunaan najis dalam perubatan moden

a. gelatin
b. xeno transplantation
c. hormon
d. vaksin
e. alkohol
f. pemindahan dan pembersihan darah

2. Penggunaan najis dalam tibbul nabawi

3. Penggunaan najis dalam perubatan alternative

a. urine teraphy
b. penyembuhan menggunakan makanan (healing food)

Kertas kerja ini sama sekali tidak akan menyentuh mengenai hukum
penggunaan najis dalam perubatan. Di sini hanya akan dibincangkan contoh
penggunaan najis dari segi aspek perubatan sahaja. Jawapan mengenai hukum
penggunaannya akan djelaskan secara berasingan.

Amatlah penting bagi kita mengetahui gambaran awal sesuatu perkara
sebelum menjatuhkan sebarang hukum, bersesuaian dengan kaedah fekah :


"Hukum ke atas sesuatu perkara itu adalah satu juzuk daripada gambarannya."

Penggunaan najis dalam perubatan moden

1. Gelatin

Gelatin merupakan bahan yang sering kita dengar terutamanya umat Islam
yang betul-betul mengambil berat akan perihal halal dan haramnya sesuatu perkara.
Namun ada di kalangan kita yang tersalah anggap dengan istilah ini. Ada yang

beranggapan semua gelatin adalah haram, seolah-olah gelatin merupakan produk
daripada khinzir. Adakah tanggapan ini betul? Untuk itu marilah sama-sama kita
fahami apakah yang dimaksudkan dengan gelatin.

Gelatin mengikut ta'rifan yang diberikan oleh Professor Muhammad Abdul
Salam, merupakan hasil pengasingan protein yang dihasilkan dengan cara
menceraikan rangkaian kimia yang terdapat dalam protein haiwan yang dikenali
dengan nama collagen. Ianya diasingkan dengan cara pengoksidaan atau pun dengan
menggunakan perantaraan enzim yang akhirnya akan menukarkan struktur kimianya.

Dari manakah sumber gelatin diperolehi?

Kebanyakan sumber gelatin diambil daripada kulit, tulang, sisi tulang dada,
dan tendon manakala gelatin yang besumber daripada ikan masih dalam peringkat
kajian mengenainya dan penggunaannya. Terdapat juga gelatin yang diambil daripada
sumber tumbuh-tumbuhan. Salah satu contohnya ialah daripada bijirin. Di dalam
Ensikloedia Malaysiana dicatatkan bahawa, "gelatin sayur-sayuran adalah sama
dengan gelatin binatang dari segi fungsinya dan ia diperolehi daripada gluten gandum
atau bijirin lain"

Penggunaan gelatin yang bersumberkan daripada tumbuhan sudah tentu sama
sekali tidak dipertikaikan kehalalannya. Yang menjadi masalah ialah penggunaan
gelatin haiwan. Secara umumnya gelatin akan menjadi najis bila diambil daripada
khinzir begitu juga daripada binatang yang halal dimakan tetapi tidak disembelih
secara Islam. Jika sekiranya ia dicampur dalam ubatan maka ubat yang asalnya bersih
akan bertukar menjadi najis.

Dewasa ini penggunaan gelatin digunakan secara meluas terutamanya dalam
pembuatan makanan dan penghasilan ubatan, samada moden mahupun tradisional.
Antara kegunaannya dari sudut perubatan ialah :

a. Kapsul ubat
b. Penyalut kepada ubat untuk melambatkannya larut semasa berada dalam
sistem penghadaman.
c. Krim
d. Ubat yang dimasukkan melalui dubur atau saluran peranakan
e. Penghalang pengeluaran darah dalam pembedahan
f. Pengganti atau penambah plasma darah.
g. Kajian Dr. Troum dan Dalton gelatin khinzir boleh digunakan untuk
menyembuhkan tulang yang patah.
h. Gelatin yang disteril dengan radiasi ultraviolet boleh merangsangkan
pembentukan tulang yang baru (masih dalam kajian)
i. Dalam satu kes seorang yang berumur 72 tahun mengambil 1/4 oz gelatin
sehari dalam jus oren selama 6 bulan sebagai rawatan kepada arthtitis pada
sendi tanganya. Kesannya telah menambahkan flexibility jarinya dan
kesakitan dapat dikurangkan.

Paparan ini merupakan sebahagian daripada kegunaan gelatin yang pelbagai
menerusi skop perubatan. Penggunaannya sudah meluas sama ada disedari oleh umat
Islam atau pun tidak.

Samada gelatin yang digunakan dalam perubatan bersumber daripada sumber
yang halal atau tidak, memerlukan penelitian kita semasa mendapatkan rawatan.
Dalam hal ini pesakit yang beragama Islam sewajarnya bertanya kepada pihak yang
berautoriti semasa mendapatkan rawatan demi memastikan semua ubatan yang
digunakan bebas daripada najis.

Tambahan :

Selain daripada gelatin yang menjadi bahan dalam perubatan, pelbagai lagi
produk yang dikeluarkan besumberkan daripada khinzir. Antara penggunaan lemak
khinzir sebagai krim dan alat-alat kecantikan. Kebanyakan penggunaan bahan seperti
krim dan bahan kecantikan boleh dikategorikan sebagai tidak darurat.

2. Hormon

Hormon ialah sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh kelenjar tertentu
dalam badan dan dibawa dalam aliran darah kepada organ yang lain atau mana-mana
bahagian dalam badan bagi menghasilkan tindakbalas atau ransangan yang berkaitan.
Hormon merupakan bahan kimia asas yang penting diciptakan oleh Allah
SWT. Pada masa yang sama, sekiranya berlaku kekurangan atau kelebihan pada aras
hormon dalam tubuh ianya akan menyebabkan berlakunya penyakit yang pelbagai.

Dalam pengamalan ilmu perubatan moden hormon digunakan untuk merawat
beberapa penyakit. Antara contoh penggunaan hormon ialah :

a. Insulin

Insulin merupakan hormon yang penting dalam mengawal kandungan gula
dalam darah manusia. Ianya bertanggung-jawab menukarkan glukosa kepada
glukagon sekaligus mengurangkan aras gula dalam darah. Kekurangan insulin
dalam badan menjadi salah satu penyebab kepada penyakit kencing manis.
Dianggarkan terdapat seramai 120 juta pesakit yang mengalami kekurangan
insulin sukar dipulihkan.

Pesakit kencing manis (jenis pertama) sememangnya berhajat kepada suntikan
insulin setiap hari untuk mengawal kandungan gula dalam darah. Antara
sumber insulin yang digunakan untuk merawat pesakit ini ialah insulin yang
bersumberkan daripada haiwan. Haiwan yang sesuai ialah lembu dan khinzir.
Pun begitu insulin daripada khinzir mempunyai keistimewaan berbanding
dengan insulin lembu kerana ianya hanya berbeza dengan insulin manusia
pada sejenis amino asid sahaja. Manakala insulin lembu berbeza sebanyak 3
amino asid.

Perkembangan ilmu sains perubatan mutakhir ini telah berjaya menghasilkan
insulin yang dihasilkan secara biosintesis daripada insulin manusia. Namun
pengunaan masih belum meluas memandangkan ianya hanya digunakan di
negara barat sahaja.

b. Lain-lain hormon yang dihasilkan daripada khinzir ialah:
• Hormon _- glucagon
• Follicle stimulating hormone daripada kelenjar pituatiry khinzir
• Hormon somatotropin
• Hormon calcitonin
• Hormon secretin
• Melanocyte Stimulating Hormone

Di atas adalah beberapa contoh hormon yang dikategorikan sebagai najis.
Namun begitu perlu dinyatakan di sini, semua hormon yang mampu diperolehi
daripada khinzir juga boleh diambil daripada haiwan seperti lembu, tikus, kuda,
kambing dan arnab juga dengan kemajuan teknologi bio engineering saintis mampu
menghasilkan hormon daripada manusia. Mengenai penggunaan hormon di negara
kita dan negara-negara Islam samada diambil daripada sumber najis atau tidak,
perlulah kita bertanyakan kepada pihak yang berautoriti.

3. Vaksin

Vaksin merupakan salah satu cara perubatan moden yang digunakan sebagai
rawatan pencegahan awal. Antara saintis yang terawal menemui vaksin ialah Edward
Jenner yang menemui vaksin untuk melindungi manusia daripada penyakit small pox
manakala Louis Pasteur pula mencipta vaksin terhadap penyakit rabies.

Tujuan utama penggunaan vaksin ialah untuk mengaktifkan sistem immuniti
tubuh. Ianya akan mengaktifkan sel darah putih (B cell dan T cell) untuk bertindak.
Selain daripada itu vaksin akan mencipta sel-sel memori dalam sistem pertahanan
tubuh. Jesteru itu pendedahan kepada agen penyakit yang sama akan merangsangkan
tindak balas yang segera.

Terdapat dua jenis imunisasi :

1. Imunisasi pasif – ini dilakukan dengan menyuntik immunoglobulin kepada
pesakit yang sudah mengalami penyakit.

2. Imunisasi aktif – melibatkan suntikan suntikan patogen yang diubahsuai
atau dibersihkan ataupun produk daripada patogen tersebut.


Vaksin boleh dihasilkan melalui beberapa cara:

1. Organisma yang mati : sebagai contohnya vaksin untuk virus influenza

2. Organisma yang hidup tetapi dilemahkan : contohnya vaksin untuk kuman
measles, mumps dan rubella (MMR)

3. Bahagian tertetentu daripada organisma ataupun produknya : contohya vaksin
untuk tetanus.

4. Secara syntetik

Kemungkinan vaksin boleh menjadi najis ialah berpandukan kepada sumber yang
diambil untuk semasa penyediaanya. Contoh penggunaan vaksin daripada sumber
najis ialah apa yang pernah berlaku di negara kita iaitu suntikan yang dikenakan
kepada jemaah haji. Di mana jemaah haji diberikan 2 suntikan iaitu suntikan vaksin
anti meningicocal meningitis ACYW 135 quadrivalent dan influenza (flu).

Tujuan utama diberi suntikan vaksin anti meningicocal meningitis ACYW 135
quadrivalent ialah untuk mencegah jangkitan kuman Neisserria Meningitis yang boleh
menyebabkan penyakit meningitis (infeksi pada selaput otak). Penyakit ini boleh
membawa ajal.

Perbincangan sama ada boleh atau tidak mengenai penggunaan vaksin ini menjadi
perbahasan hangat dikalangan ulama. Ini kerana ada yang berpendapat ianya tidak
najis kerana telah berlaku istihlah (transformasi). Pada musim haji 1422 hijriah,
Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof. Dr. Musa Mohd Nordin mengeluarkan
kenyataan bahawa vaksin ACYW 135 boleh digunakan kerana telah melalui proses
transformasi yang menjadikannya bahan lain.

Manakala pada musim haji tahun yang berikutnya Menteri Kesihatan Dr. Chua Jui Meng mengumumkan bahawa jemaah haji boleh memilih samada untuk menggunakan vaksin ACYW 135yang bernama menomune yang dihasilkan daripada khinzir atau pun mercevax yang dihasilkan dengan bahan yang bebas daripada unsur khinzir.



4. Xeno transplantation

Dalam membincangkan mengenai pemindahan anggota, tisu atau sel kita akan
berkenalan dengan istilah-istilah yang pelbagai. Antaranya ialah auto graft, isograft, allograft dan xenograft. Perbezaan istilah ini menunjukkan kepelbagaian pemindahan yang dilakukan. Kita hanya akan membincangkan mengenai xenograft ataupun xano transplantation.

Apakah yang dimaksudkan dengan xenotransplantion? Istilah ini secara
dasarnya digunakan pada pemindahan cell hidup, tisu dan organ dari satu spesis
kepada satu spesis yang lain. Sebagai contohnya pemindahan organ dari khinzir
kepada manusia. Xeno trasnsplantation ini biasanya melibatkan pemindahan sel, tisu
dan organ daripada khinzir, babon atau chimpanzi kepada manusia. Namun yang
sering berlaku dan masih dalam kajian yang pesat ialah penggunaan organ khinzir
bagi mengganti dan menampung kekurangan organ manusia untuk merawat pesakit
yang memerlukan. Semestinya apa sahaja yang terhasil dan diambil daripada haiwan
ini adalah najis dari segi syarak.

Antara negara yang menjalankan kajian xeno transplantation ini ialah Amerika
Syarikat, Kanada, Jerman , Spanyol dan Belgium. Ianya berperanan sebagai
alternative kepada organ manusia. Penyelidikan awal juga merancang untuk
menjadikannya sebagai ubat kanser, AIDS, kencing manis, kegagalan fungsi hati dan
merawat penyakit Parkinson ataupun sekurang-kurangnya dengan adanya organ
haiwan boleh digunakan sebagai organ sementara sebelum mendapat organ manusia.

Sebab utama penggunaan khinzir ialah memandangkan ianya senang didapati
dan saiz organnya yang hampir menyamai organ manusia. Faktor utama
berkembangnya kajian untuk menggunakan organ khinzir ialah kerana berlaku
kekurangan organ. Sebagai contohnya apa yang berlaku di Kanada, 3 daripada 10
orang pesakit mati semasa menunggu untuk mendapatkan organ. Manakala Amerika
sahaja membeli sebanyak 200 hingga 300 organ setiap tahun dari negara membangun.


Antara pemindahaan yang telah pernah dilakukan ialah pemindahan injap
jantung khinzir untuk mengganti injap jantung manusia yang bermasalah. Kajian
saintifik bependapat kebanyakan organ khinzir seperti jantung, buah pinggang dan
hati boleh digunakan untuk pemindahan organ. Bagi mengatasi masalah penolakan
organ, di Edinburgh Scotland telah dicipta khinzir melalui teknologi genetic
engeneering yang diberi nama "double knock-out pig". Khinzir ini berbeza daripada
khinzir biasa, di mana ianya dipercayai tidak mempunyai gen yang menyebabkan
penolakan (rejection) pada penerima.

Walaubagaimanapun banyak masalah yang sememangnya dibimbangi berlaku
dengan pemgunaan khinzir dalam pemindahan organ ini. Apa yang ditakuti sekali
ialah kuman dan virus yang ada pada khinzir yang boleh menyerang pesakit. Setakat
ini kejayaan yang dicapai masih berada pada tahap rendah dan ramai pesakit yang
mencuba akhirnya menemui ajal. Biar apa pun yang berlaku, xeno transplantation
merupakan projek saintifik jangka masa panjang yang pesat dikaji oleh saintis barat,
yang berpendapat perlunya pemindahan organ bagi melangsungkan kehidupan pesakit

5.Pemindahan dan pembersihan darah

Darah merupakan cecair yang cukup penting dalam badan manusia.
Kandungan utamanya terdiri daripada plasma dan sel darah ( sel darah merah dan sel
darah putih) merupakan elemen penting untuk meneruskan kehidupan normal
manusia.

Fungi utama darah ialah sebagai pengangkut kepada gas seperti oksigen dan
karbon dioksida, makanan yang dicerna dalam bentuk molekul yang ringkas dan ejen
yang menjaga tubuh daripada serangan kuman.

Pemindahan dan pendermaan darah berlaku apabila tedapat pesakit yang
mengalami kehilangan darah yang kronik seperti dalam kes kemalangan, pembedahan
dan lain-lain. Sebenarnya kaedah pendermaan darah ini baru sahaja terjadi pada kurun
ke-20 dan kejayaan pertama pemindahan darah berlaku di London pada tahhun 1921.
Manakala pembersihan darah bisanya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami
kegagalan fungsi buah pinggang.

Mengapa pemindahan dan pembersihan darah diletakkan dalam topik
perbincangan kita? Jawapannya, kedua-dua proses ini melibatkan keluarnya darah
daripada tubuh manusia. Darah yang keluar dari tubuh manusia pada pandangan Islam
merupakan najis mutawasittah. Contohnya dalam kes pemindahan darah yang mana
darah dipindahkan daripada penderma kepada pesakit yang memerlukan. Dalalm kes
pembersihan darah (heamodialisis) darah dari pesakit dikerluarkan dari badan dan
dicuci menggunakan alat heamodialisis sebagai ganti buah pinggang yang berperanan
untuk menapis dan membersihkan darah.

6. Alkohol

Alkohol merupakan sejenis bahan yang sudah digunakan sejak turun temurun
dalam sejarah peradaban manusia. Bukan sahaja sebagai minuman, alkohol juga
mempunyai nilai perubatan yang tidak kurang pentingnya. Firman Allah SWT :

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi
manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka
bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?
Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebihan dari keperluan (kamu).
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan
hukumNya) supaya kamu berfikir."
Surah al-baqarah ayat 219

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa arak mempunyai manfaat,
namun dosanya lebih besar daripada faedah yang ada.
Alkohol merupakan bahan cecair tanpa warna yang dihasilkan menerusi dua
cara pemprosesan. Pertama menerusi fermentation (penapaian), iaitu proses khas
untuk menghasilkan arak, dan kedua menerusi bahan kimia, iaitu suatu proses bagi
menghasilkan alkohol daripada petroleum.

Hasil pemprosesan ini dikenali juga sebagai etanol atau etil alkohol. Dalam
bidang perubatan, alkohol digunakan sebagai antiseptik dan sebagai pelarut disamping
juga sebagai bahan untuk mencucikan kulit. Metanol yang dikenali sebagai alkohol
metil atau alkohol kayu ialah satu bahan yang sangat beracun.

Jadi di sini terdapat 2 jenis alkohol yang berpunca daripada sumber bebeza
satu daripada proses penapaian dan daripada petroleum. Perbincangan mengenai najis
atau tidak alkohol yang berasal daripada petroleum turut menjadi khilaf dikalangan
ulama.

Pengguanaan najis dalam tibbul nabawi

Rasullah s.a.w sebagai Rasul terunggul, Nabi akhir zaman telah menunjukkan
beberapa teladan yang berguna kepada umatnya termasuklah dalam bidang perubatan.
Nabi s.a.w sendiri pernah menganjurkan supaya meminum air kencing unta sebagai
penawar kepada penyakit yang mereka alami. Hal ini tercatit dalam hadis sahih
bukhari yang berbunyi,


Maksudnya: "Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi
untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda kepada mereka:

"Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya,
kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya." Mereka menjawab: "Baiklah."
Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun
sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya."
(Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis di atas Nabi s.a.w mengarahkan supaya air kencing unta diminum
sebagai rawatan kepada sakit pada tubuh akibat keadaan cuaca di Madinah. Jelasnya
air kencing merupakan najis, namun dibenarkan oleh Nabi s.a.w untuk diminum
sebagai penawar penyakit. Persoalannya sejauh manakah Islam membenarkan
penggunaan najis dalam merawat penyakit?

Tambahan :

Selain daripada kisah minum air kencing unta dan susunya dijadikan sebagai
ubat semasa hayat Nabi s.a.w, terdapat juga penggunaan elemen yang haram tapi
bukan najis dalam perubatan Nabi s.a.w. Sebagai contohnya Nabi s.a.w membenarkan
Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin Al-awwam memakai sutera kerana sakit yang
dialami oleh kedua-duanya, dan ini dikiaskan dengan penggunaan najis dalam
keadaan darurat. Juga Nabi s.a.w membenarkan Arfajah bin Asad memakai hidung
yang dibuat dari emas kerana darurat.

Penggunaan najis dalam perubatan alternative

1. Terapi air kencing

Bunyinya sahaja sudah memualkan. Percaya atau tidak, ada segolongan
manusia yang menggunakan air kencing sendiri sebagai rawatan pencegahan
penyakit. Dalam amalan perubatan ini, air kencing diminum untuk mencegah dan
merawat penyakit-penyakit tertentu.

Manusia yang pertama menjumpai kaedah ini ialah bekas perdana menteri
India, Moraji Dasai. Ada juga yang mengatakan ianya dijumpai oleh petani dari
China. Sudah tentunya masalah utama yang timbul bagi pengamal perubatan ini ialah
masalah psychology sebelum mencubanya. Bagi pengamal terapi air kencing ini,
keistimewaannya sudah tentulah kerana kos yang tidak perlu dikeluarkan dan ianya
boleh didapati di mana sahaja kita berada.

Jijik atau tidak, suci ataupun najis, penggunaan terapi air kencing ini, ianya sudah
diterima oleh sekelompok masyarakat yang percaya akan khasiatnya. Antara
kandungan yang ada dalam air kencing dan faedahnya ialah:

a. Menurut pakar bedah Itali, Stanislau R Burzynski, anti neoplastin yang ada
secara berasingan dalam urine menunjukkan keputusan yang menakjubkan
dalam merawat penyakit kanser.

b. DHEA (dehydroepindrosterone) yang ada hubungan dengan hormon
testosterone dipercayai bertindak sebagai anti penuaan, anti kanser dan anti
kegemukan.

c. Urea yang dikitar oleh mulut akan ditukarkan kepada amino acid yang
penting, bermanfaat untuk badan.

d. 95% urine adalah air, 2.5 % adalah urea dan 2.5% adalah mineral, garam,
homon dan enzyme. Semua bahan-bahan ini menjadi steril selepas dikeluarkan
dari badan.

e. Untuk merawat allergic terutamanya penyakit asma.

f. Rawatan sembelit yang konik

g. Rawatan penyakit kulit


2. Penyembuhan melalui makanan (healing food)

Dikalangan pengamal perubatan moden dan tradisional ada yang
mengamalkan pencegahan dan penyembuhan penyakit melalui pemgambilan
makanan. Ada di antara makanan tertentu yang dipercayai mempunyai nilai perubatan
dalam menyembuhkan penyakit.

Sebenarnya Islam telah mengajar umatnya dengan menganjurkan pengambilan
makanan sekadar perlu dan tidak berlebihan bagi menjamin kesihatan tubuh badan.
Ianya terbukti berkesan. Bahkan sekiranya dirujuk dalam kitab tibbul nabawi
karangan Ibnu Qayyim Al-jauziyah, di sana terdapat perbincangan yang menyentuh
kelebihan makanan tertentu dalam menjaga kesihatan.

Namun, pengamal perubatan penyembuhan menggunakan makanan, yang
bukan Islam sudah tentunya tidak terikat dengan hukum hakam syariah. Justeru itu
timbullah pengamalan makanan yang tidak dibenarkan oleh Islam bertujuan untuk
menjaga kesihatan.

Antara yang dianjurkan ialah minuman yang beralkohol atau dengan nama
lainnya arak. Masyarakat barat melalui kajian mereka berpendapat bahawa dengan
meminum alkohol dengan kadar yang sederhana dapat mengurangkan penyakit
jantung. Manakala flavonids dalam wine merah dikatakan dapat menurunkan kadar
LDL cholesterol dalam tubuh. Namun begitu, risiko bagi wanita pula dengan hanya
pengambilan yang kecil boleh meningkatkan risiko mendapat kanser payudara. Arak
juga boleh digunakan untuk menambahkan selera makan, meningkatkan kawalan diri
dan menambahkan berat badan.

Perubatan cina pula tampil dengan pengunaan khinzir sebagai makanan untuk
merawat penyakit. Doktor mereka percaya khinzir amat bagus untuk merawat batuk
kering dan bagi pesakit yang mengalami kelemahan saraf.

Sebenarnya umat Islam sudah tentunya tidak menggunakan kaedah meminum
alkohol dan memakan daging khinzir sebagai rawatan. Tujuan didatangkan contoh di
atas hanyalah sebagai maklumat tambahan.

Penutup.

Kertas kerja ini hanya memberi gambaran kasar mengenai pengunaan najis
dalam perubatan moden dan tradisional. Sangat mustahil untuk kita membincangkan
semua kaedah perubatan yang ada di dunia ini dengan keadaan pengetahuan yang
terbatas. Mudah-mudahan kertas kerja ini dapat membantu menambahkan thaqafah
kita bersama.


31 ogos 2004
disediakan oleh :
Ahmad Muhaimin bin Mustapha