Berkata Kalam Hikmah Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari :
Tiada nafas yang engkau keluarkan itu, melainkan adalah bagi nafas itu kadar (nilai) yang dilaluinya.
Pengertian dan Huraiannya :
Sesungguhnya segala nafas seorang hamba itu dikira-kirakan (dihitung
dan dinilai) atasnya, kerana bahawasanya setiap nafas itu menghendaki
ia Tajali (pembukaan/pendzahiran hakikat) dan demikian Tajali
mewajibkan ma'rifat dan demikian ma'rifat mewajibkan bagi hamba itu
'Ubudiah dan sekurang-kurang 'Ubudiah itu diam di bawah segala takdir
Allah kerana melihat hamba akan lemah dirinya (Hakikat Kehambaan) dan
bersendirian Tuhannya dengan Kebesaran-Nya (Hakikat Ketuhanan).
Keterangan Suluk
Setiap nafas menghendaki ia Tajali.
Dalam setiap detik kehidupan yang dihitungkan dengan kiraan nafas
yang ada pada kita, sememangnya setiap nafas yang kita sedut dan
hembus itu sentiasa menanti-nanti dan bersedia untuk menerima Tajali
daripada Al-Haq. Tajali inilah yang akan membukakan sirr (rahsia terhalus dari mata
hati) kita untuk melihat hakikat kewujudan Allah dan bagaimana
hakikat itu didzahirkan.
(* namun ini bukanlah berarti bahwa Allah Ta'ala akan mewujud sebagai sosok makhluq. Inilah Hakikat Tajalli yang Sebenarnya. Dzat Allah tetaplah sebagai Dzat-Nya, dan dzat makhluq tetaplah sebagai dzatnya. Allah Ta'ala lah Sang Dalang/Sutradara atas semuanya, dan kita semua sebagai makhluq-Nya tetaplah sebagai wayang/aktor-Nya. )
Contohnya apabila seorang kawan memberi hadiah kepada kita, pandangan
mata hati kita pada saat dan ketika itu akan terbuka dan melihat
Allah yang menganugerahkan hadiah itu. Tidak terlihat lagi (hilang/fana)
kawan kita tadi. Jika kita nampak juga kawan kita tadi, pandangan
kita akan melihat bagaimana Allah mendzahirkan nikmat itu melalui
pentadbiran-Nya, dengan menghantar kawan kita sebagai pembawa hadiah
dari-Nya. Terbukanya hakikat pendzahiran inilah dikatakan sebagai
Tajali dari Allah Ta'ala. Dengan demikian Tajali mewajibkan ma'rifat.
Apabila terbuka hakikat ketuhanan dan terdzahir pada kita Tauhid
Rububiyah melalui Tajali di atas, bererti seseorang itu telah
dikatakan mencapai ma'rifat ('Arif Billah). Dengan ma'rifat ini
seorang hamba itu dapat membezakan:
- antara yang haq (Allah) dan yang bathil (makhluq)
- antara yang benar-benar Wujud (Zat Allah) dan Wujud yang
'Aridi/baru (Wujud Makhluq)
- antara hakikat ketuhanan dan hakikat kehambaan
Inilah apa yang dikatakan dengan Tajali Allah.... seorang hamba itu
mendapat ma'rifat.
Dan demikian ma'rifat mewajibkan bagi hamba itu 'Ubudiah.
Apabila seorang hamba yang memiliki ma'rifat tadi dapat membezakan
bahawa Allah bersifat dengan Qhani (Kaya), Qawi (Kuasa), Qadir
(Kehendak), 'Aziz (Mulia) dan Kamalat (Sempurna), sedangkan hamba
bersifat dengan Fakir, Dhoif, Lemah, Kurang dan Hina, sudah tentulah
hamba itu mempunyai kesedaran yang tinggi tentang tanggung jawab yang
harus dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Kesedaran
yang tinggi inilah akan meningkatkan darjah keimanannya di mana ia
harus taat dan patuh kepada apa sahaja yang Allah khitabkan
(perintahkan). Hamba ini akan menjadi hamba yang tahu diri di mana
sekurang-kurangnya ia wajib redho atas apa yang berlaku dalam
kehidupannya sama ada nikmat, taat dan bala.
Samalah seperti kita katakan matahari ma'rifat itu menghapuskan
kegelapan perjalanan Salik.
Maka adalah tiap-tiap nafas itu merupakan Salik berjalan kepada
Tuhannya. Kerana inilah telah mengisyaratkan Ulama/Sufi dengan
perkataannya :
"Bermula jalan kepada Allah Ta'ala itu adalah sebanyak bilangan nafas
makhluk. Maka dalam bilangan nafas dalam sehari semalam itu ialah dua
puluh empat ribu (24.000)."
Demikianlah adab hamba itu dalam segala nafasnya dijadikan bagi
Tuhannya agar tiada dipergunakan untuk membuat maksiat kepada Allah.
Ini adalah kerana bahawasanya nafas itu merupakan gedung tempat simpanan segala
amalnya yang memberi manfaat bagi sang hamba.
Terdapat setengah daripada kaum sufiah berpandangan ....dibilangkan
(dihitungkan) juga sesuatu yang dapat meluputkan setengah daripada
nafasnya itu ialah pada ketika mengunyah makanan apabila makan. Ini
adalah bertujuan supaya janganlah sang hamba Istighol (bimbang)
pada segala nafas dalam makan, selain daripada zikir.
Inilah muraqabah yang tinggi pada makam Al-Suluk. Telah
menghitungkan akan kepentingan nafas itu dari segala orang-orang yang
dahulu. Tetapi setengah daripada mereka itu berpendapat yang terlebih
akmal (sempurna) padanya ialah muraqobah "Thorfatal 'Aini", iaitu
setiap kerlipan mata.
Dan adalah pengertian muraqabah itu ialah mentahkidkan hati dengan
menilik hak Allah Ta'ala dalam batinnya dan dalam zahirnya pada tiap-
tiap masa. Barangsiapa memeliharakan (menilik hak Allah) dalam
setiap nafasnya, maka hendaklah dihentikannya (tetap dan istiqomah)
sekelian ahwalnya (hal dan gerak geriknya). Maksudnya adalah kehidupan
hariannya sentiasa tetap dengan ibadat dengan perhatiannya kepada
menilik kepada Allah dalam setiap kelakuan makhluk.
Setengah daripada faedah ataupun hikmah memandang takdir Ilahiyah itu
ialah dapat meninggalkan tadbir (usaha dan ikhtiar kita) seperti yang
dikata oleh setengah kaum sufiah dengan kata mereka :
Telah luluslah (berlaku) segala takdir Tuhan dan hukum-Nya. Maka
senangkanlah hatimu daripada mengharap-harap dan daripada menyesal.
Keterangan Suluk
Inilah sebahagian daripada kunci ketenangan dan kebahagian yang ada
pada kaum sufiah. Benarlah kata kaum ini kerana kita banyak penat dan
lelah dalam mengusahakan keperluan kehidupan harian kita kerana kita
merasakan kita mampu membuat banyak pilihan dan menentukan sesuatu
sedangkan hakikatnya memang Allah yang sudah memilih dan menentukan
sesuatu untuk kita.
Sebagai pengakhirnya, renungilah dengan ikhlas kata-kata Imam Besar Tasauf Sheikh Junaid Al-Bagdadi, iaitu : "Orang yang paling agung ialah orang yang menyerahkan kehendaknya
kepada kehendak Allah dan dia sentiasa redho sepenuh hatinya dengan Allah".