RAWATAN PENYAKIT KRONIK & MISTERI
Sunday, August 15, 2010
ESQ MENYELEWENG - PROF.DR.ABDULFATAH HARON IBRAHIM
Panel Syariah ESQ Leadership Center Sdn Bhd
Posted on July 22, 2010 by aouism
BBB, 09 Sya’ban = 21 Julai (Rabu):
Pagi-pagi ini, aku bersama isteri, diikuti saudara Shahrum Abdullah Setiausaha Kerja sebagai juru gambar ke rumah jiran. Ini berikutan jiran berkenaan (Puan Hajjah Zainab) petang kelmarin datang ke rumah membuat aduan tentang pembentungan di rumahnya rosak. Menurutnya, beberapa kali telah dibuat aduan baik kepada Indah Water dan Syabas, tetapi tidak diambil tindakan. Beribu wang telah dibelanjakan membaiki dan berulangkali membuat sedutan. Di atas aduan itulah kami ke rumahnya pagi ini.
Setelah membuat pemerhatian dan mengambil gambar dan berjanji perkara ini akan dibawa ke atas dan bila kami mau pulang ke pejabat, suami Puan Hajjah Zainab – Profesor Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim Profesor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM keluar dari membaca akhbar (dimaklumi oleh isterinya) bagi mengucapkan terima kasih kepada kami. Prof. Abdulfatah Pakar – menyelidik dan sering membicarakan tentang Penyelewengan Akidah & Ajaran Sesat. Pakar Rujuk bagi Jakim dan Jabatan-jabatan Agama Islam yang lain.
Semasa menuruni dari rumahnya dan beliau mengiringi aku ke jalan, dia merapatkan diri kepadaku dan berkata ada dua perkara nak diperkatakan, iaitu, kecoh perpaduan Melayu dan kedua berkenaan ESQ yang kedua-duanya, antaranya dikecohkan oleh Mufti Perak Sahibussamahah Tan Sri Harussani Zakaria. Aku memberi perhatian terhadap persoalan yang disebutkan kepadaku itu – terutama berkenaan ESQ. Soal Perpaduan Melayu aku tak begitu minat, kerana perkara biasa dan telah terlampau banyak diperkatakan. Aku bertanya, “Macam mana pendapat Prof. berhubung dengan ESQ ? Menurutnya dia sedang mengikuti dan terbaru membaca mengenainya dalam sebuah akhbar pagi ini.
Menurutnya dia bersetuju dengan pendapat Sahibussamahah Dato` Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan yang memfatwa dan mengazetkan di dalam Warta Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan diterbitkan dengan kuasa His Majesty`s Government Gazette bertarikh 13 Jun 2010 Jil. 54, No. 12 yang di dalamnya berisi dengan sepuluh ciri penyelewengan ESQ yang menurut Prof. Abdulfatah, boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.
Menurut Prof. Abdulfatah dia meragui adakah pihak yang membela ESQ seperti Tan Sri Harussani Zakaria Mufti Negeri Perak, Dato’ Nooh Gadut Penasihat Majlis Agama Islam Johor dan Dato’ Hasbullah Abdul Halim Bekas Mufti Kedah dan Dr. Adnan Yusof Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah USIM membaca Warta yang digazetkan. Beliau menarik aku naik semula ke anjung rumahnya dan memaklumkan untuk mengambil draft tulisan yang dihasilkannya berhubung dengan ESQ. Aku menunggu di luar dan beliau membawa satu salinan pendapat yang ditulisnya dan salinan kandungan warta yang digazetkan yang diprint daripada internet.
Dia memberi kepadaku satu salinan daripada tulisannya dan meminta aku memperpanjangkan pendapatnya. Aku berjanji untuk membaca dan memahami pokok persoalan terlebih dahulu dan memohon diri. Sebenarnya selama ini aku bukan beri perhatian sangat mengenai ESQ yang telah keluar beberapa kali di dalam beberapa akhbar – sekadar membaca tajuk berita dan memerhati isinya sepintas lalu sahaja.
Pulang dari kunjungan ke rumahnya, setelah memberi arahan kepada Setiausaha Kerjaku untuk mengambil tindakan terhadap aduan pembetungan pecah, aku mulai mencari kembali akhbar-akhbar yang membincangkan tentang ESQ untuk dipadankan dengan tulisan yang diberikan kepadaku.
Setelah separuh hari membaca dan memahami persoalan, aku membuat kesimpulan. Apa yang dikatakan ESQ itu bukanlah sesuatu yang complicated sangat. Ia bergerak dari Rangka Pendekatan (approach) sebuah badan motivasi – Badan ini dikenali dengan – ESQ Leadership Centre Institusi Training Sumber Daya Manusia. Pengasas bagi badan yang ditubuhkan sejuk 2006 diketuai Dr. Ary Ginanjar Agustian dari Indonesia yang mendakwa hingga kini sudah mempunyai satu juta alumni ESQ. Institut bertujuan membentuk Karakter Manusia Melalui Pembangunan tiga potensi – Emosional, Spiritual dan Kecerdasan Q (Minda) yang menjadi singkatan sebagai ESQ itu.
Untuk makluman pendekatan ini bukan baru, Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam membicarakan tentang Falsafah Pendidikan Di Malaysia di dalam buku mengenai Falsafah Pendidikan Di Malaysia – kami panggil Buku Merah, membicarakan falsafah pendidikan ialah bagi memperkembangkan potensi yang ada pada diri manusia dari segi minda, emosi, spiritual dan fizikal. Kami pernah berbincang bagi memperbaiki Falsafah dan Kurikulum Pendidikan itu di Pusat Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada tahun 1980an antaranya bersama Sdr. Rahman Shaari (kini Profesor di Fakulti Pendidikan UM) dan ramai lagi yang dijemput. Falsafah ini juga sering kami bicarakan di dalam merangkakan kurikulum Pelajaran, terutama sastera bagi Tingkatan Enam di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pendekatan terbaru ialah dibuat oleh bahagian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Selangor yang dikenali dengan SPIES (spiritual, physical, intellectual, sosial dan environment) yang pendekatannya tidak jauh beza.
Masalahnya di dalam pendekatan cuba dimasukkan elemen-elemen keagamaan oleh yang bukan pakar di dalam bidang keagamaan. Dr Ary Ginanjar Agustian bukan dari latar pendidikan agama. Dengan kefahaman agama, falsafah dan pemikiran yang bersimpang siur cuba dimasukkan ke dalam pendekatan dan metodologi ESQ menjadikannya kecamuk dan bercampur dengan elemen agama, fikiran dan falsafah yang kuno dan kini menjadikannya tercemar dari segi keagamaan. Bahkan kefahaman yang mendalam tentang keagamaan boleh jadi tercemar bila diambil pendekatan luar. Misalnya dari segi theology salaf dengan khalaf – Ashari-Maturidi-at-Tahawi banyak menimbulkan tuduhan dari segi kemasukan misalnya ilmu logic Aristotle dari Greek dan sebagainya. Di dalam pendekatan theology mutakhir kita lihat di Indonesia antara tokoh thelogisnya lebih memperlihatkan lebih ketara cenderung kepada pengaruh rasional didukung oleh tokoh-tokoh theology di sana. Contoh pendekatan Theologi oleh A. Hanafi yang ketara lebih cenderung kepada Mu`tazilah dari Ahlussunnah wal Jamaah. Begitu juga dengan Dr Oemar Amin Hossein yang amat mengkagumi dan mencintai filsafat Islam yang ketara dengan pengaruh Greek Yunani.
Dr. Ary Ginanjar Agustian tidak terpisah dengan elemen sedemikian. Bermaksud dia cuba membuat pendekatan berciri Islam, kerana ini barangkali dikehendaki atau hendak disesuaikan dengan khalayak muslim dalam metodologi motivasi ESQ, ternyata kerana dia bukan pakar dalam bidang keislaman, dia juga tertarik misalnya dengan liberalisme, dan pluralisme, maka terjadi kekacauan didalam menyelaraskan akidah, prinsip dan dasar Islam. Di Indonesia disesuaikan dengan keadaan di sana, dinyatakan ESQ adalah penyatuan nilai Nasionalisme (Pancasila), Demokrasi dan Spiritualisme.
Dr. Ary juga cuba mengambil sifat unggul dari tokoh-tokoh terkenal seperti empat sifat utama Rasulullah s.a.w dengan siddiq, amanah, tabligh dan Fatanah dan dengan 4 nilai utama dari Aristotle iaitu berani, bijak adil dan iffah. Beliau menambah tiga lagi sifat unggul bagi pendekatan ESQnya iaitu kerjasama, peduli dan disiplin. Banyak lagi istilah dan pendekatan dalam Islam cuba disesuaikan dengan kekinian yang kadang-kadang mengelirukan.
Kita tidak hairan dengan jawapan terkini yang dijawab oleh Dr. Ary berhubung dengan 10 perkara di dalam pendekatan ESQ yang dianggap menyeleweng. Kerana dalam jawapan boleh diubahsuai dengan keadaan setempat, keperluan semasa dan juga mendepani tekanan-tekanan persoalan yang mau diperbetulkan. Dia mesti mencari jawapan dan dalih yang memperlihatkan kebenaran, sekurang-kurang bagi jawapan semasa yang menuntutnya menjawab sedemikian atau sebagai pelarian?
Satu perkara yang menjadi persoalan bagi kita, tidak adakah pemikir dan pakar motivasi yang mampu merangka pendekatan motivasi berhubung dengan pendidikan Islam, sehingga mengimport pendekatan dari luar yang tidaklah sangat significant dan sebenarnya ramai pakar motivasi dan agama mampu membuat sedemikian.
Mengenai perkara ini secara menyindir Prof Dr. Abdulfatah menyatakan dalam kertas yang diberikan kepada saya:
“Mengenai ESQ, lucu juga pada perasaan saya kerana ESQ ini badan perniagaan, mengaut wang sebanyak mungkin, datang ke Malaysia sudah sekian lama, digunakan mufti-mufti dan Majlis Fatwa untuk mereka dapat perlindungan.” – Prof Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim.
Dalam percakapan lisan saya dengan Prof. Abdul Fatah, kami berpendapat kita tak perlu menyusahkan dengan perkara yang tidak penting ini. Banyak lagi perkara penting yang perlu kita lakukan. Tolak dan hantar pulang saja perkara yang tidak sepatutnya menjadi masalah bagi kita. Jangan menampakkan kelemahan kita. Kita sebenarnya mempunyai pakar, ilmuan dan pemikir yang mampu menyusun metodologi dan pendekatan yang lebih baik dari ESQ itu.
Saya akhiri dengan memetik tulisan Prof. Dr. Abdulfatah:
“Sesiapa membaca Warta Kerajaan SERI PADUKA BAGINDA DITERBITKAN DENGAN KUASA HIS MAJESTY’S GOVERNMENT GAZETTE bertarikh 13 Jun 2010, di dalamnya berisi dengan sepuluh ciri penyelewengan ESQ yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam, terpaksalah dia mengakui hakikat bahawa sepuluh ciri ini membuktikan ESQ ini satu cult murtad terkeluar daripada Islam yang dibawa oleh Muhammad Rasulullah s.a.w.”
Sekian.
Sumber: http://drshafie.blogspot.com/2010/07/esq-menyeleweng-prof-dr-abdulfatah.html