Wednesday, August 4, 2010

PENGALAMAN DI UJI OLEH SEORANG GURU SILAT KEBATINAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selawat dan salam untuk Junjungan yang di kasihi nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya.

Kali ini saya nak ceritakan pengalaman bagaimana isteriku yang di kasihi menerima penangan atau jurus atau bisa dari orang yang tak di kenali. Peristiwa ini telah lebih setahun berlalu namun pengalamannya mengajar bahawa seorang yang di kenali dengan nama Ustaz/Guru Silat/Pengamal Perubatan Islam maupun tradisional bukanlah maksum dan boleh dipercayai 100%. Orang yang tidak mengenali dirinya bukanlah kenal Tuhannya dan barangsiapa yang tidak mengenal Tuhannya maka nafsu lah tunggangannya.

Suatu waktu saya mendapat panggilan dari orang Sabah yang ingin mempelajari Silat Batin Sunan Kalijaga. Terlebih dahulu saya memeriksa akan ilmu dan amalannya dan mendapati bahawa amalan Silat batinnya berkhadamkan Jin. Dan beberapa amalan lain yang begitu mencurigakan. Saya memberi syarat bahawa dia terlebih dahulu kena buang segala amalan-amalan yang mencurigakan itu.

Alkisahnya pemuda ini menunjukkan rasa tidak puashatinya dan beriya-iya membela gurunya. Katanya, gurunya seorang ustaz dan beberapa kali mengerjakan Haji dan Umrah, malah seorang pengamal perubatan tradisional . Balas saya, rakan saya sendiri mengalami pengalaman yang meruntun jiwa setelah membaiah dengan gurunya kerana apabila tiap kali mahu solat, terasa sesuatu yang menghalang di tulang belakangnya. Yang lebih menyedihkan, rakannya yang dibawa bersama membaiah dengan guru ini hampir-hampir memperkosa adiknya sendiri. Perbualan kami terputus disitu sahaja.

Seminggu selepas itu isteri saya mulai sakit-sakit perut. Sakitnya ketara pabila mulai menjelang malam. Sewaktu itu saya tidak mengsyakki apa-apa kerana seringkali waktu datang haid, sakitnya kelihatan seperti itulah, begitu juga dengan penyakit gastric dan senggugutnya. Seperti biasalah dengan kaedah penyembuhan tapak tangan (Ilmu Titik 9), saya merawatinya setiap malam. Sakitnya mudah hilang namun esoknya datang kembali.

Suatu hari terkeluar dari mulut isteri saya bahawa sakit perut kali ini hanya ketara di waktu malam sahaja sedangkan pada siang harinya keadaannya normal, langsung tidak sakit. Secara langsung terlintas di hati saya bahawa ini bukan sakit biasa, ini permainan sihir dari seseorang. Lalu saya di datangi ilham agar bila mengubati tukar kaedah NIAT. NIAT yang berkaedah adalah amalan para sufi dan ada di terangkan dalam artikel “Bagaimana Asif Barkhiya memindahkan Istana Balqis”.

Dalam rawatan kali ini, saya menukar niat bahawa sesiapa sahaja yang menghantar jurus berbisa ini, akan dipulangkan kembali kepada pemilik dan yang empunya niat. Selepas 3 hari berturut-turut memulangkan kembali bisa sihir ini, akhirnya kesakitan itu mulai hilang sepenuhnya.

Amalan bertahajud sudah menjadi rutin harian dan biasanya kalau hari esok hari bekerja, saya akan bangun mulai jam 4.30 atau jam 5.00 pagi. Dalam minggu kedua selepas isteri saya pulih dari kesan sihir itu, saya bermimpi bangun jam 5.00 pagi dan terus menjengok dari tingkap , ada sebuah Pajero di luar rumah dan kelihatan 4 orang memerhatikan rumah saya dari pintu pagar rumah. Kata hati saya, biarlah, apa pun tunggu selepas Solat Subuh baru turun tengok apa hajat tetamu yang tak di undang ini.

Sesudah menunaikan Solat Subuh, saya membuka pintu dan kelihatan Ustaz ……..dari Perguruan…………….telah menunggu dan saya mempersilakannya masuk kedalam rumah. Adab orang bertamu walau di ketahui niatnya kurang baik namun akhlak tetap kena jaga. Ustaz ini cuba berbicara namun tiada perkataan keluar dari mulutnya, seperti terkunci. Akhirnya dia dapat juga melafazkan kata-kata tetapi hanya 3 baris ayat sahaja iaitu” saya mahu saman”.

Saya hanya mampu tersenyum dan memberikan sedikit tazkirah. Kelihatan pula pengawal peribadinya terkumat kamit mulutnya seperti melafazkan mentera jurus. Saya hanya tersenyum memandang gelagat mereka dan senyuman ini membawa kepada sedarnya dari tidor. Permainan mimpi ini telah menyebabkan amalan tahajud pada hari itu terlepas. Azan Subuh yang mengejutkan saya dari tidur dan terus aje menunaikan tanggungjawab terhadap Tuhan Rabbul Jalil.

Pada hari bertemu guru, saya menanyakan akan misteri mimpi tersebut. Lalu kata guru,” dialah orangnya yang telah menghantar jurus-jurus berbisa itu bagi menguji tahap keilmuan kamu”. Kata guru lagi, “dia terlebih dahulu menghantar jurus maut itu kepada kamu tetapi setiap kali menjurus, jurus itu berbalik mengena dirinya, itu sebab dia menghantar jurus itu kepada isteri kamu”. Hebat ilmu Ustaz ni namun sayangnya dia meminta pertolongan dari Jin. Kalau lah dia juga bukan seorang pengamal perubatan tradisional, sudah pastinya jurus berbisa ini akan memakan dirinya sendiri. Wallahu a`lam.