RAWATAN PENYAKIT KRONIK & MISTERI
Tuesday, August 10, 2010
DARI ISTANA KE BILIK SULUK - PAK HABIB
Siapakah Umara yang menjadi harapan umat dewasa ini? Umara ada berbagai-bagai jenis - ada umara yang dilantik melalui pilihan raya (pemimpin politik), ada umara yang diterima kerana kekuatannya (pemimpin tentera), dan ada umara yang diterima kerana darah kebangsawanannya (golongan diraja).
Kebangsawanan merupakan nikmat daripada Allah untuk segelintir manusia. Tidak semua manusia dilahirkan dengan darah raja. Islam mengiktiraf kedudukan dan kelebihan kaum bangsawan. Sebab itu kedudukan raja-raja sebelum kedatangan Islam tetap Rasulullah SAW kekalkan setelah mereka memeluk Islam.
Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk menghapuskan golongan diraja, tetapi dalam masa yang sama baginda membawa firman Allah ini:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa."
Taqwa adalah darjat yang lebih tinggi daripada raja atau sultan, baik di dunia atau lebih-lebih lagi, di akhirat. Namun apa yang menarik, kebangsawanan adalah satu nikmat yang boleh digunakan sebagai alat untuk mencapai darjat taqwa. Inilah kelebihan yang sepatutnya disedari dan mula digunakan oleh golongan bangsawan. Sejarah Islam telah memaparkan dua jenis golongan bangsawan - yang menerima Islam dan yang memusuhi Islam. Mereka yang menerima Islam, terbukti telah menjadi pejuang yang baik, dan bagi yang menentang, mereka menjadi musuh yang paling menyusahkan.
Sejarah kegemilangan Islam telah di harumkan oleh rajaraja berjiwa sufi seperti maharaja Najasyi, Umar Ibnu Aziz, Sultan Salehuddin al Ayubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad al Fateh, Maharaja Aurangzeb dan juga sultan-sultan di alam Melayu pada zaman pertengahan. Namun sejarah juga telah memaparkan golongan bangsawan ‘Bersultan di mata, bertuhan di hati" seperti Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Al-Malik Farouq dan Shah Iran.
Kebangsawanan, harta dan kuasa selalunya beriringan. Siapa raja dialah berkuasa. Namun hakikatnya, semua raja adalah hamba yang hina-dina di hadapan Allah SWT. Oleh itu, rajaraja yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah. Harta, kuasa dan pengaruh, semuanya dikorbankan untuk Allah. Mereka inilah yang menjadi raja di dunia dan ‘raja’ di akhirat. Sayangnya, hanya sedikit daripada rajaraja yang pernah berkuasa di dunia ini berjaya berbuat demikian. Mengapa?
Sebabnya, raja-raja sangat terdedah kepada ujian dunia. Bukan mudah untuk membebaskan diri daripada tipuan dunia. Apalagi jika ia telah melimpah ruah di tangan. Rasulullah SAW bersabda: "Dunia adalah kepala segala kejahatan".
Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa tidak ada, daripada ketika ia sudah berada dalam genggaman. Umar AlKhattab menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota Maharaja Parsi, lantas berkata: "Sesungguhnya aku takut perkara perkara inilah (harta) yang akan menjauhkan kita dengan Allah".
Menjadi orang miskin yang sabar adalah payah, namun menjadi orang kaya yang syukur jauh lebih payah. Ini disebabkan manusia sering lupa apabila diuji oleh nikmat daripada diuji dengan bala.
Walaubagaimanapun ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan untuk raja-raja membebaskan diri daripada godaan dunia. Mereka boleh berbuat demikian dengari bantuan para ulama.
Ulama perlu menjadi penasihat kepada raja. Ertinya, ulama mestilah menjadi "the man behind the curtain" dalam mempengaruhi, mendidik dan menasihati raja-raja. Dan kadangkala ulama perlu memberi amaran dan peringatan kepada raja-raja untuk melaksanakan kehendak-kehendak Allah.
Raja mempunyai harta dan kuasa. Ulama mempunyai ilmu dan kekuatan rohani. Jika semua kekuatan ini digabungkan untuk Islam nescaya ia akan menjadi satu kuasa besar yang tidak ada tolok bandingnya.
Pada zaman kegemilangan Islam, raja-raja sering didampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Masih basah dalam ingatan kita bagaimana indah dan menyentuhnya dialog-dialog keramat antara Sayidina Jaafar bin Abi Talib dengan Maharaja Najasyi. Dan masih terpahat kukuh dalam hati setiap orang mukmin bagaimana hebat dan berwibawanya surat-surat yang diutuskan oleh Rasulullah SAW kepada maharaja-maharaja dunia.
Ingatan, didikan dan tiupan angin kesedaran dalam suratsurat Rasulullah SAW dan kata-kata Jaafar At Tayyar itu tidak sedikitpun dicemari oleh kepentingan-kepentingan duniawi. Tidak ada unsur "membodek" dan dalam masa yang sama ia tetap mengekalkan rasa hormat menghormati. Langkahlangkah inilah kemudiannya menjadi panduan dan ikutan ulama-ulama yang mengelilingi Umar Ibnu Aziz, sultan dan Salehuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh dan sultan-sultan Islam yang agung dalam sejarah. Di belakang mereka itu sentiasa ada ulama ul amilin!
Bagaimana ulama-ulama ini mendidik hati raja-raja berdarah bangsawan hingga jiwa mereka menjadi jiwa sufi meskipun darah mereka masih darah raja? Untuk itu marilah kita dengar apa kata Imam Auzai’ kepada Khalifah Abu Jaafar Al Mansur:
Wahai Amirul Mukminin, Rasulullah bersabda:
"Sesiapa sahaja di kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya".
Wahai Amirul Mukminin! sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan. Hendaklah Tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaipan) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah Tuanku, atau mengadakan hijab (penghalang) di antara Tuanku dengan mereka. Hendaklah Tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, tetapi bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka.
Wahai Amirul Mukminin! Urwah bin Ruwain berkata: "Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi hingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibrail bertanya: Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?"
WahaiAmirulMukminin!Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah:
"Sesungguhnya panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya."
Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.
Wahai Amirul Mukminin! Ingatlah kata-kata Umar Al Khattab: ‘Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertangungiawabkan mengenainya di akhirat kelak!"
Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?"
Peringatan seperti ini sebenarnya hanya berani disuarakan oleh ulama yang mempunyai kekuatan jiwa yang luar biasa dan bekerja kerana Allah. Dalam suratnya kepada khalifah itu, Imam Auzai’ menyambung:
Wahai Amirul Mukminin! Allah telah berfirman:
"Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara di antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah’:
Shad: 26
Wahai Amirul Mukminin! Rasulullah bersabda:
"Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota daripada badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu hitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia lepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun)."
Wahai Amirul Mukminin! Umar r.a. berkata:" Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:
Amir yang kuat; yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. la seperti mujahid (orang yang berjihad). Tangan (kekuasaan) Allah dan rahmatNya terhampar ke atasnya.
Amir yang lemah; yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. la dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah: "Pengembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri. "
Dan Amir yang membiarkan dirinya dan pegawaipegawainya menurut hawa nafsunya. Mereka kesemuanya akan binasa."
Wahai Amirul Mukminin! Umar Al-Khattab telah berdoa:
"Wahai Tuhanku. Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh, apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata".
Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia dihina dan direndahkan oleh Allah.
Itulah strategi ulama-ulama dahulu dalam mempengaruhi raja supaya institusi istana digunakan untuk agama. Cara yang sama telah digunakan oleh ulama-ulama sufi atau guru tareqat apabila mereka mula membawa agama Islam ke alam Melayu. Dengan jiwa yang penuh dengan kekuatan iman, fizikal yang tahan lasak dan pemikiran tahap tinggi, ulama-ulama sufi rajaraja Melayu yang asalnya beragama Hindu.
Ini zaman kebangkitan Islam. Sudah sewajarnya golongan di raja muncul sekali lagi untuk mendaulatkan agama. Pilihan terletak sepenuhnya di tangan mereka; Apakah mereka ini mengikuti jejak Kisra Parsi yang menolak Islam ataupun mahu menjadi najasyi yang tunduk kepada ajaran Islam? Kebangkitan Islam bukanlah satu gelombang anti feudal yang memusuhi golongan bangsawan. Rasulullah SAW sendiri telah mengisytiharkan, barang siapa yang memasuki rumah bangsawan Mekah, Abu Sufian, ketika peristiwa penaklukan Mekah (Futuh Mekah), orang itu dijamin keselamatannya. Ini menunjukkan kemaraan Islam bukanlah satu revolusi yang menumpahkan darah raja sepertimana revolusi Peranchis ataupun revolusi Rusia. Islam hanya memusuhi kebathilan dan kemungkaran, Islam tidak akan menghapuskan perbezaan-perbezaan fitrah yang sedia wujud dalam kehidupan manusia.
Namun sehingga saat ini, hubungan antara ulama-ulama sufi dan raja-raja masih jauh daripada tahap yang pernah berlaku dalam sejarah. Ini disebabkan ‘ulama-ulama’ yang mengelilingi raja-raja belum mampu menjadikan raja sebagai ‘murid’ mereka.
Kita masih kekurangan ulama yang mampu mencontohi Imam Malik, yang dengan berani berkata kepada Khalifah Harun Al- Rashid:
"jika Khalifah ingin belajar Kitab Muwattuk daripadaku, hendaklah ia datang ke mari, bukan aku ke istananya. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi.
Ulama mesti berdiri teguh sebagai tunggak peribadi yang berani menegur kesalahan pemerintah. Mereka bebas daripada belenggu cinta dunia hingga dengan itu tidak berasa takut ataupun segan berdepan dengan sultan ataupun raja. Inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Alangkah baiknya seorang raja yang berada di pintu para ulama, dan alangkah buruknya seorang ulama yang selalu berada di pintu para rajanya".
Sejarah telah membuktikan ulama-ulama ul ‘amilin tidak pernah gentar berdepan dengan penyelewengan pemerintah. Mereka mewarisi sifat nabi Musa ketika berdepan dengan Firaun, nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud dan nabi Muhammad SAW ketika berdepan dengan bangsawan-bangsawan Quraisy. Ulama-ulama ini sedar, rakyat sangat dipengaruhi oleh raja-raja mereka.
Contohnya, pada zaman pemerintahan Khalifah Al Walid yang sukakan bangunan cantik, minat rakyat ketika itu pun kepada seni bina. Pada zaman Khalifah Sulaiman yang sukakan perempuan dan arak, minat dan perbualan rakyatnya pun berlegar sekitar perempuan dan arak. Namun, pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibnu Aziz yang warak dan beramal soleh, tindakan rakyat jelata pun ikut ke arah amal soleh.
Atas dasar inilah ulama-ulama ul ‘amilin yang berjiwa sufi bekerja keras bagi mempengaruhi, bukan dipengaruhi oleh raja-raja. Ini hanya mampu dilakukan oleh ulama yang bekerja kerana Allah, dan berkhidmat untuk manusia. Namun apabila dilihatnya raja-raja masih berdegil, ulama berjiwa sufi ini akan menjauhkan diri daripada raja-raja. Mereka tidak mahu menjadi tukang angguk kepada kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan oleh golongan bangsawan.
Zaman keruntuhan Islam bermula apabila ulama-ulama suk mengelilingi raja-raja, seperti Haman dan Qarun mengelilingi Firaun. Bangsa Tartar datang memusnahkan Baghdad ketika ulama-ulamanya leka berbahas soal-soal khalifah. Malah sampai satu ketika raja-raja dan rakyat Baghdad telalu bersuka ria pada Hari Raya sehingga sembahyang Hari Raya ditangguhkan sampai menjelang waktu Asar. Ke mana perginya Ulama ul ‘amilin ketikaitu? Mengapakemungkaran rakyat dan rajanya tidak mendapat teguran dan peringatan?
Sebenarnya ulama ul amilin ditindas dan ada antaranya dibunuh atau terpaksa menyembunyikan diri daripada rajaraja. Yang tinggal hanya ulama cinta dunia yang bersifat sebagai ‘orang gaji’ kepada tuannya (raja)! Hakikatnya merekalah yang menjahanamkan raja-raja, rakyat dan negara seluruhnya. Sabda Rasulullah SAW:
"Ada dua golongan manusia, jika baik keduaduanya, baiklah manusia dan apabila keduaduanya rosak, rosaklah manusia, iaitu ulama dan para pemimpin."
Golongan bangsawan mesti bangkit semula menyahut seruan kebangkitan Islam. Lupakah mereka bahawa Rasulullah SAW pernah memuliakan rumah Abu Sufian setaraf dengan Kaabah ketika penaklukan kota Mekah?
"Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufian... selamat." "Siapa yang masuk ke dalam Kaabah... selamat."
Ini menunjukkan istana amat penting kedudukannya jika ia dijadikan tempat membersihkan hati dan pusat mendaulatkan Islam. Istana mulia kerana peribadi penghuninya (raja) yang berjiwa sufi, bukan kerana keindahan dan kemewahannya. Seorang raja yang memiliki jiwa tawaduk di dalam istananya adalah lebih mulia daripada seorang sufi yang beruzlah di dalam bilik suluknya. Sesungguhnya raja-raja seperti itulah yang mewarisi sifat Nabi Sulaiman, jasadnya di atas takhta tetapi hatinya tunduk menyembah Allah.
Islam akan bangkit sekali lagi. Krisis ekonomi, budaya dan politik yang melanda dunia kini pasti terhapus, dengan munculnya pemimpin-pemimpin yang mewarisi sifat-sifat kepimpinan Rasulullah SAW, para sahabat dan raja-raja yang berjiwa Islam. Dunia ditadbir semula oleh individu yang tidak mencintainya. Keamanan dan kebahagian akan berkumandang apabila umat diperintah oleh orang seperti:
Umar Al Khattab, yang telah berkata: ‘Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat, nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak".
Umar Abdul Aziz, yang berkata: "jauhkanlah aku daripada jawatan khalifah seperti jauhnya timur dan barat. Sesungguhnya urusan ini telah menggulungkan bala di atas bahuku."
Ali Bin Abi Talib yang berkata: "Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu aku. "
Raja-raja atau pemerintah seperti ini tidak akan wujud selagi tidak ada ulama seperti Nizam Al Muluk, yang telah berkata kepada Raja Malik Syah sewaktu bersiap sedia untuk menawan Konstantinopel:
"Saya telah menyediakan untuk Tuanku satu angkatan tentera yang disebut ‘tentera malam’. Apabila tentera bersenjata telah tidur, merekalah yang menjadi tentera Tuanku. Mereka berdoa ke hadrat Allah dengan linangan air mata dan lidah yang terus menerus berzikir kepada Allah..."
Siapakah raja yang akan melalui jalan yang mulia ini? Dan siapakah ulama ul amilin di belakang mereka? Mereka akan muncul kerana sejarah gemilang Islam pasti berulang....
Raja akan berjiwa sufi apabila ulama mencintai mati!
Dari buku
Lima Raja Terakhir -