Friday, August 6, 2010

PERSOALAN ROH DAN ROH MUQADASAH

Roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti jasad lahir (fizikal) yang akan binasa, namun jasad para kekasih Allah seperti Rasul, Nabi dan para wali tidak binasa dan seolah2 masih hidup. Ini adalah satu tanda2 kebesaran Allah

Roh yang bersih, Allah akan kurniakan rasa yang Tepat atau Firasat. Roh kalau terlalu bersih, matanya lebih tajam dari mata lahir atau mata kepala, sebahagian yang ghaib Allah perlihatkan kepadanya yang dikatakan mukasyafatul Qulub (kasyaf)

Kejadian Yaqazah antara para wali dan Rasululah SAW sesudah wafatnya itu yang menjadi satu isu kontoversi di zaman moden itu adalah sebahagian dari rahsia alam ghaib. Bila dikatakan alam ghaib, ia tidak termasuk Tuhan, Tuhan juga ghaib tetapi Tuhan bukannya alam. Tuhan itu tersendiri. Maha Suci Tuhan daripada menyerupai alam. Alam adalah apa sahaja selain Tuhan. Alam adalah ciptaan Tuhan dan dinamakan makhluk.Tuhan itu Pencipta atau Khaliq.

Ghaibnya Tuhan tidak sama dengan ghaibnya alam. Alam ghaib ini ada beberapa kategori.Yang tertinggi ialah alam malaikat, kedua alam jin dan ketiga alam roh muqaddasah. Malaikat diceritakan di dalam Quran dan Hadis. Roh muqaddasah pula sebenarnya adalah MANUSIA. Muqaddasah itu maksudnya DISUCIKAN. Roh muqaddasah ialah roh yang disucikan.

Roh muqaddasah atau roh yang suci ini peranannya lebih kuat dari peranan jasad. Roh muqaddasah ini dia mutassarif atau aktif, lebih aktif dari fizikalnya. Roh ini kuat semasa hidupnya umpama Roh Asif Barhiya yang dapat mengangkat takhta Ratu Balqis, umpama Roh Imam Mazhab yang empat, roh ulama-ulama muktabar dahulu yang dapat melihat dan bertemu roh Rasulullah SAW, juga umpama Roh Yazid Bustami RH yang dapat menggandakan dirinya menjadi ratusan semasa mahu dipanah skuad pemanah,

Roh-roh ini jika sudah dikeluarkan dari jasadnya, (wafat / meninggal dunia) ia lebih bebas kerana tidak terkurung dalam sarang fizikalnya. Inilah roh-roh muqaddasah yang berperanan dan aktif tetapi tidak disedari manusia.

Teknik’ yang digunakan oleh Allah SWT untuk melakukan yang demikian ( yaqazah ) itu boleh di’baca’ dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW ini: “Akan datang di setiap awal 100 tahun seseorang yang akan membaharui Agama (Mujadid). Dia dapat menzahirkan kebenaran dan tidak dapat dirosakan oleh orang-orang yang menghalangnya”

Sudah ada 14 mujadid yang datang di awal kurun hijrah yang sudah berlalu selama 14 kurun, sejak kewafatan Rasulullah. Di antara mereka ialah Imam Syafie yang datangnya adalah untuk mengaktifkan semula amalan syariat dengan memperkenalkan kaedah ijtihad. Keluarlah darinya penemuan-penemuan kaedah baru untuk menghidupkan agama di zamannya. Pendekatan secara ijtihad ini adalah khusus untuk kaum di zaman itu. Penemuan kaedah ini janganlah kita anggap hasil akal fikiran atau hasil pengajiannya di alam dunia beliau di zamannnya.

Sebenarnya bila Allah SWT dan Rasulullah SAW isytiharkan adanya mujadid disetiap awal kurun ertinya mujaddid itu adalah bikinan dan ciptaan Allah SWT dengan Rasulullah SWT sebagai perantara, di mana monitornya adalah Allah menerusi perantaraan Rasulullah SAW-lah yang mengajarkan mujaddid itu untuk melakukannya, begini, begini samada secara langsung ( yaqazah) beserta/atau berupa ilham yang dicampakkan ke dalam hati.

Roh Rasulullah SAW diizinkan Allah untuk hadir (Yaqazah) lalu ‘mengajarkan’ melalui ilham yang jatuh ke hati para mujadid. Hakikatnya Rasulullahlah yang melakukan tugasannya sebagai Nabi akhir zaman untuk menghidupkan agama Islam atau Al Quran dan As Sunnah setiap 100 tahun sekali. Tetapi mengapakah kaedah ini yang diambil Tuhan?

Allah mahu menunjukkan kuasaNya yang Maha Agung itu terhadap Nabi Muhammad yang mana roh Nur Muhammad itu adalah lebih dominan daripada fizikalnya. Ia kekal wujud sejak awal-awal diciptakan sebagai ciptaan paling utama, hinggalah mampu berperanan sebagai mahluk paling akhir yang akan dimatikan. Ajaran Nur Muhamad akan terus menguasai dan akan bangkit sekali lagi untuk memerintah dunia seluruhnya. Grand design oleh Allah SWT dan Rasul ini adalah percaturan paling licik Allah untuk membuatkan musuh-musuhNya akhirnya menyerah diri kepada Allah dan menerima agama Muhammad.

Mujadid-mujaddid yang datang untuk kurun-kurun mereka dihantar oleh Allah dan Rasul dan dibekalkan kekuatan untuk menghidupkan agama Allah dan Rasul kepada kaumnya semula. Contohnya Imam Ghazali mampu menyatukan semula syariat, tasawuf dan tauhid yang sudah terpisah-pisah. Gabungan tiga bidang ilmu yang dibuat dalam Al Quran dan Hadits oleh Allah dan Rasul terpecah dalam beberapa kurun kemudiannya. Lalu tanggungjawab Allah dan Rasulllah yang membetulkan semula kerosakan itu dengan cara menghantar orangnya selaku mujaddid.

Cuba anda fikir kepada para orangNya,masakan Allah dan Rasul tidak punya apa-apa hubungan, sedangkan misi mujaddid sepertimana hadis tersebut ialah misi Allah dan Rasul.

Selain Imam Syafie dan Imam Al Ghazali, Imam Abu Hassan Asy Syaari pula mengeluarkan kaedah pengajaran ilmu tauhid secara falsafah. Terkenal kaedahnya sebagai ilmu sifat 20. Imam Fakhruddin Ar Razi menghuraikan cara bagaimana mentafsirkan Al Quran. Imam Sayuti menghuraikan bagaimana imam mujtahid berijtihad. Demikianlah karamah-karamah besar yang Allah rezekikan kepada setiap mujaddid yang datang…semuanya memperbaharui agama di awal setiap kurun. Ini adalah mukjizat Nabi Muhammad yang sangat besar yang berlaku selepas wafatnya baginda. Mujaddid-mujaddid itu sebenarnya roh mereka ’bersama’ roh Rasulullah SA W.

Para mujaddid adalah seperti para nabi di zaman tiada nabi. Yaitu peranannya bukan membawa syariat baru. Mereka menyampaikan syariat Rasulullah untuk setiap seratus tahun sekali. Supaya setiap umat sepanjang 1oo tahun mendapat sentuhan Nabi mereka melalui mujaddid. Demikianlah rahmat dan keadilan Allah. Supaya setiap orang diberi peluang untuk selamat dari api neraka.

Sesiapa yang hidup di zaman adanya petunjuk samada Rasul, nabi dan mujaddid tapi tidak mengikut petunjuk maka bersiap-siaplah untuk mendapat pembalasan Tuhan.