Oleh AINI JAAFAR
07 February 2006
Ketika ummah berada dalam terumbang-ambing, sains bingkas menguasai raja / pemerintah dan pemikiran politik massa di seluruh dunia.
Demikianlah gambaran ringkas yang dapat digarabkan tentang fenomena sains yang berjaya menguasai kehidupan manusia, tanpa mengira agama atau pun bangsa, bahkan dunia seluruhnya. Ini menjadikan ummah hanyalah sebahagian dari ‘bahan’ yang ditakluki oleh sains. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sains telah mengambil-alih peranan agama dalam kehidupan ummah dan manusia seluruhnya.
Zaman ummah yang dimaksudkan sebagai berada dalam terumbang ambing itu ialah, khususnya, selepas pemerintahan Bani Abbasiyyah hinggalah ke Daulah Uthmaniayah. Bahkan pada era Uthmaniyah, ‘penangan’ terakhir diterima oleh ummah sehingga hancur luluh dan berpecah-pecah mengikut acuan negara-bangsa, yang disadur oleh sistem demokrasi dan beraja.
‘Penangan’ terakhir ini mempunyai unsur sains iaitu kejayaan dalam mencipta senjata pemusnah jarak jauh – bom roket. Selain itu ialah penggunaan kapal terbang sebagai senjata utama dalam menggempur tentera lawan. Senjata-senjata saintifik ini telah digunakan dengan berkesannya oleh pemiliknya – Barat-Eropah.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan kerapuhan perpaduan ummah berlaku di sepanjang masa,
Dengan itu, walaupun penguasaan ummah melebar dari Semenanjung Arab ke utara Afrika dan rantau Balkan, namun penguasaan ini tidaklah segagah kuasa Barat yang memiliki senjata saintifik. Pada masa yang sama, perpaduan ummah adalah rapuh. Ini kerana sejarah pemerintahan ummah sering diwarnai oleh rebutan kuasa, penggulingan, krisis dan tentunya, tidak ketinggalan, peperangan sesama sendiri.
Jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Eropah, terutamanya selepas tercetusnya Rennaisance, negara-negara Barat menjadi semakin kuat, berpengaruh, dan mampu melebarkan sayapnya dengan kekuasaan tentera dan perdagangan ke seluruh dunia. Malah mereka mampu mengambil alih pengaruh pedagang Arab-Islam, sehingga mengenepinya sama sekali dari peta kuasa dan perdagangan. Barat membawa bersama mereka senjata saintifik.
Tegasnya, kebangkitan Barat-Eropah ini adalah hasil daripada bersemaraknya ilmu sains, yang ditumpukan kepada peluasan kuasa-jajah. Kalau adapun negara Barat-Eropah bertelagah dan berperang, pertelagahan dan peperangan itu akhirnya memberi erti yang lebih bermakna kepada mereka iaitu mencari titik persepakatan, selain mengenali siapa musuh mereka sebenarnya. Contoh terbaik dan persepakatan dan mengenali musuh ialah bagaimana kuasa Eropah bersepakat untuk menekan Daulah Uthmaniyah melepaskan Bosnia-Herzhegovina pada pertengahan abad ke-19, dengan pembayaran sejumlah pampasan.
KEBANGKITAN SAINS
Terbingkasnya sains adalah kerana atau melalui penemuan-penemuan. Ilmu sains yang mengenali fenomena alam, telah disusuli dengan ilmu sains-teknologi dan seterusnya sains-kejuruteraan yang membina mekanisme sewajarnya bagi memanfaatkan penemuan-penemuan saintifik.
Weltenschauung saintifik ini, malangnya, tidak kedapatan dalam kegiatan dakwah. Majoriti, malah kesemua, kegiatan-kegiatan dakwah hanya memperkatakan tentang prinsip. Bahkan cara yang disarankan juga tidak terlepas dari sekadar catatan dan rekod, tanpa diteruskan oleh sebarang susulan yang berkesan seperti dalam penemuan sains. Akibatnya, dakwah tetap kekal sebagai satu cabang kegiatan yang tidak ‘menghasilkan’ apa yang didakwahkan, sebagaimana ilmu sains yang ‘menghasilkan’ penemuan mereka.
Weltenschaaung saintifik ini menjadikan potensi penemuan kepada usaha-usaha untuk menjelajah dan menjajah kekayaan dunia yang sebegitu besar dan luas. Raja atau pemerintah semasa pun terus memanfaatkannya dengan begitu ghairah sekali sehingga mengaitkannya pula dengan peranan suci – melebarkan pengaruh agama (Kristian) mereka. Persenjataan saintifik, kelengkapan perang yang semakin canggih, dan hasrat untuk menyebar Kritian, menambahkan lagi azam mereka. Ini konsekwennya, menewaskan ummah dan Islam.
KESINAMBUNGAN SAINS
Barat seterusnya berjaya memerintah beratus-ratus tahun lamanya. Situasai perubahan dalam kehidupan ini telah mengubah akar sosio-politik mereka. Kesemua ini berlaku tanpa menjejaskan sedikit pun, perkembangan dan pembangunan ilmu yang berteraskan sains. Malah sains ditambah kegunaannya iaitu bukan lagi sekadar untuk menakluki negara dan melebarkan kekuasaan, tetapi untuk mengekalkan kekuasaan.
Apabila ummah yang tertakluk cuba bingkas selepas mencapai kemerdekaan daripada Barat pada pertengahan abad ke-20, mereka turut tiru barat, dan ini khususnya dilakukan melalui pembelajaran ilmu sains. Dari hanya belajar, ummah telah meneruskan kehidupan mereka dengan meniru gaya kemajuan sains yang dilakukan oleh mentor mereka – Barat.
UMMAH DAN SAINS
Maka sains pun dikatakan mampu membawa pembaharuan dan perubahan, sekali gus menapakkan ummah untuk mengekalkan kemerdekaannya. Kata-kata ini seolah-olah bertukar menjadi semacam suatu kepercayaan, terutamanya, apabila negara ummah mula mengorak memenuhi gelodak kehendak negara dan ummah – membangun dan maju.
Ada daripada negara ummah yang gagal dan ada yang berjaya dalam mengorak langkah ke era kemajuan. Kejayaan ini dikatakan kerana memberi ruang yang luas kepada sains, bukannya agama. Malahan dikatakan pula agamalah yang telah menyebabkan ummah menjadi jumud, kolot, dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan dan tuntutan masa.
Sementara itu, dalam situasi ummah giat merencana dan melaksanakan agenda pembangunan dan kemajian, sains semakin berkembang, khususnya dalam bidang pengkomputeran. Ini adalah satu bidang teknololgi-sains yang menggalakkan dan mempercepatkan lagi aspek pengurusan yang sudah menjadi begitu penting dan bermakna. Dengan kata lain, pengurusan merupakan suatu kuasa baru, yang mengambil alih kuasa pemerintah atau pun tentera.
Revolusi Komputer yang berlaku di dua dekad akhir abad ke-20, telah memperkukuhkan bidang pengurusan ini dengan begitu menyerlah sekali. Revolusi Komputer ini pula terus diikuti oleh revolusi teknologi, khususnya apabila teknologi internet dapat direalisasikan. Dengan itu lengkaplah kuasa pengurusan dalam semua bidang, daripada organisasi kepada kerajaan kepada ekonomi, dan tidak ketinggalan juga persenjataan dan ketenteraan.
Sains pun menjadi semakin kukuh. Semua bidang ilmu perlu bercirikan sains dan tempelan nama sains pun dibubuh dalam setiap bidang ilmu. Pemikiran manusia pun terhala ke arah era teknologi yang kini memberi kelebihan ‘edge’ kepada sesiapa yang memperolehinya. Kelebihan ini bererti memperolehi peluang perniagaan yang lebih besar dan lumayan; bakal menguasai barangan dan ekonomi; dan tentunya di titik akhir ialah negara-negara akan menjemput mereka yang memperolehi kelebihan teknologi ini untuk berurusan dalam sumber dan kekayaan sesebuah negara, termasuklah negara ummah.
PERSEBATIAN SAINS DAN ISLAM
Lalu, dengan perkembangan mutakhir… Islam pun disebatikan dengan kemajuan dan kelebihan ini. Maksudnya, sains dan Islam diselaraskan dan dikaitkan pula pembangunan dan kemajuan ummah iaitu dikatakan: kerana kecekapan dalam memajukan dan memanfaatkan ilmu sainslah ummah dan Islam menjadi bertambah maju.
Apa tidaknya. Semua negara-negara Islam dinilai dari sudut kemajuan dan pembangunan. Lalu, negara-negara Islam pun dikatakan kaya, tapi miskin ilmu, dan banyak juga yang dinilai sebagai miskin langsung.
Penilaian-penilaian ini ditambah pula dengan aspek globalisasi dan antarabangsa. Aspek globalisasi menekankan soal kewangan, perniagaan, perdagangan dan seumpamanya, manakala antarabangsa pula menekankan tentang perhubungan diplomatik, dan termasuk juga soal ketenteraan dan persenjataan yang begitu tergantung pada kuasa unipolar dunia, Amerika Syarikat.
Semua ini menggambarkan tiada lagi sempadan pemisah antara Islam dengan ilmu sains, sehingga boleh dikatakan seolah-olah Islam pula yang bergantung pada sains. Ajaran dan maklumat dari Islam tidak sah lagi jika tidak selaras dengan hasil penemuan sains!
KESAN PERSEBATIAN SAINS TERHADAP UMMAH DAN ISLAM
Di kala inilah sains mula ‘meletakkan’ pengaruh atau kekuasaannya yang boleh melemahkan ummah, dan seterusnya Islam.
Pada mulanya sains mengorak langkah dengan mempengaruhi pemikiran ummah. Kemudian, diikuti dengan pelbagai maklumat, data, rekod, penemuan, pengetahuan dan seumpamanya, yang dirangkumkan kesemuanya sebagai ‘Maklumat’. Seterusnya Maklumat ini diiktiraf sebagai ilmu.
‘Maklumat’ dari sains ini diterima tanpa mengetahui atau memikirkan bagaimana agama Islam memperkatakan tentang maklumat-maklumat ini, yakni bersumberkan al-Quran dan Hadis. Ini kerana dalam ‘Maklumat’ terdapat juga butiran dari sumber agama lain, istimewanya Kristian, iaitu daripada kitab Bible.
Dengan kata lain, ilmu yang disebarkan, dipelajari, dijadikan asas-mula, dijadikan asuhan pendidikan dan sebagainya, adalah dari pelbagai sumber. Dengan itu, Islam hanyalah sebahagian daripada sumber tersebut, yang boleh diterima ataupun dibuang.
Di titik inilah ummah perlu berwaspada dengan kewaspadaan yang sungguh tersusun, ilmiah, serta mendapat dokongan daripada pihak yang berkuasa serta berwang. Ini kerana, pertamanya, Islam memulakan ilmu dengan kepercayaan, sedangkan sains dengan kajian. Inilah perbezaan yang paling nyata dan ummah tidak pernah menyelami bagaimana perbezaan asasi ini boleh melemahkan ummah dan juga Islam, yang sepatutnya dijaga dan dipertahankan.
Islam menekankan kepercayaan dengan menggunakan hukum akal yang terarah kepada kewujudan Tuhan yang berkuasa dalam segala hal – unsur yang paling asasi dalam kepercayaan Islam. Dengan permulaan yang sebegini, ilmu akan hanya dipelajari, ditelaah dan diperolehi bersama-sama dengan kepercayaan dan keyakinan.
Lantas, jadilah ummah sebagai ilmuan yang rabbani. Ilmuan sebegini diperlekehkan pada masa ini sebagai ilmuan yang bernilai dan beretika. Kebenaran yang sepatutnya ada pada ilmu dan ilmuan, tidak lagi diletakkan pada tempat yang sewajarnya, melainkan sebagai sebahagian jutaan ilmu dan ilmuan.
Kepentingan kepercayaan dan keyakinan ini adalah kerana sifat ilmu itu sendiri: sebagai alat. Sifat alat ini bererti bukan sembarangan orang yang boleh menggunapakainya. Bahkan sebelum itu lagi, bukan sembarangan orang yang boleh mempelajarinya. Dengan kata lain, ilmu atau sains tidak boleh dipelajari atau digunapakai dalam konteks sewenang-wenangnya. Kesan atau impak dari mempelajari dan mengguna ilmu perlu diselami terlebih dulu.
Lagi pun sains, sebagai sebuah ilmu, tidak mengira nilai dan etika ini. Sains membuka dan membiarkan sesiapa saja mempelajarnya. Malah menggalak sesiapa saja. Maka sains pun didedahkan kepada orang ramai sepertimana yang terdapat dalam internet. Dan pakar bom pun mengkelasifikasikan sesuatu insiden pengeboman itu sebagai bom buatan tempatan, sendiri atau sebagainya, termasuklah hanya bom yang bersumberkan internet! Jelaslah sains bukan saja mendedahkan ‘kehebatan’ ilmunya kepada golongan termuda mungkin, bahkan juga dari golongan penjenayah.
Tahap ini, sesungguhnya merupakan tahap yang benar-benar mampu mengubah pemikiran ummah khususnya, dan manusia seluruhnya. Pemikiran ummah akan terpisah dari ajaran agamanya. Sebabnya, penemuan-penemuan saintifik di lihat sebagai realiti berbaur benar, sedangkan semua itu hanyalah fakta… dan fakta ini bukanlah seratus peratus tepat atau bertaraf realiti yang mutlak.
Namun, pakar saintis bijak mengelirukan ummah. Mereka tidak meletakkan ketidaksempurnaan ini kepada realiti yang mutlak, tetapi sebaliknya diletakkan sebarang kesilapan itu di dada teknik misalnya. Sebutannya ialah kesilapan teknik, faktor kelemahan manusia, mengguna teknologi yang salah, mendapat tekanan dari ahli politik, kepentingan semasa atau ekonomi dan sebagainya. Hanya yang tidak disebut ialah kesilapan fakta atau pun realiti.
Satu lagi cara ialah dengan mengemukakan teori yang dibuktikan melalui susur galur faktual hasil dari kajian dan penyelidikan. Contohnya, tentang kejadian manusia melalui ilmu biologi manusia. Ummah pun, tanpa menyedarinya, meminggirkan tuhan sebagai unsur mutlak yang wujud disebalik kejadian manusia.
Kehebatan dari cabang ilmu ini dibicarakan pula dari sudut ikhtiar. Dalam kes manusia ini ikhtiar itu ialah melalui ilmu kedoktoran dan perubatan. Implikasinya, Tuhan diletakkan sebagai ikhtiar terakhir, bukan sebaliknya sepertimana yang diajar oleh Islam! Lalu ubatan kimia pun digunakan dengan berleluasa, sebelum ubatan semula jadi seperti herbal. Bahkan khasiat herbal perlu mendapat pengesahan saintifik pula.
Rentak pemahaman sebegini menyeberangi ke konsep pengajaran. Dalam kamus sains tidak ada bala. Apa yang ada hanyalah bencana alam atau fenomena alam. Penemuan-penemuan dalam ilmu alam sekitar, membuktikan tiada perlakuan yang boleh disifatkan datang daripada Tuhan. Ini kerana gempa bumi yang mencetuskan tsunami (Acheh), bumi terbalik (Laut Mati), bumi runtuh (Tang Shan, China) dan sebagainya adalah merupakan fenomena-fenomena alam sepertimana yang pernah berlaku sejak jutaan tahun dulu lagi. Bezanya hanyalah dari segi dimensi pemusnahan itu saja.
Bagi sains, bukti amatlah diperlukan, barulah boleh dipercayai. Jika bukti tiada atau tidak diketemui, maka tidak boleh diterima sebagai fakta, ‘real’ ataupun benar. Oleh sebab itu Tuhan dipersoalkan kewujudannya kerana tiada bukti fizikal yang diketemui selama ini. Apa yang diketemui ialah tuhan-tuhan (patung-patung) dari pelbagai zaman dan era, yang hanya dipercayai kekuasaannya, yakni tidak pernah dapat menunjukkan kuasa secara realitinya.
Lanjutan dari itu, kalau terdapat fenomena yang diluar dari kebiasaan, maka diistilahkan sebagai para normal, alien, enigma, atau pun perlakuan-perlakuan bersifat saikologi, minda, illusi, fantasi dan sebagainya. Tiada apa di alam ghaib!
Itulah sains.
Hari ini, sains dikatakan sebagai ‘kesemuanya’. Jika hendak melakukan sesautu dengan berkesan, maka ilmu sains dan teknologi perlu di rujuk. Ini berlaku dalam semua bidang. Ini seolah-olah mengenepikan aspek kuasa, penipuan, pembolotan dan eksploitasi, atau gabungan semua faktor-faktor ini.
Kuasa jua dikatakan boleh diperolehi melalui penciptaan senjata saintifik, dan ummah pun percaya. Lalu mereka pun berlumba-lumba, termasuklah berlumba mengadakan senjata nuklear. Dengan yang demikian hilanglah kepercayaan bahawa kemenangan dan kejatuhan sesebuah bangsa atau negara itu bukan terletak pada sains atau pun kuasa, tetapi ‘restu’ daripada Tuhan.
Sementara itu, ummah tidak pula menjelaskan soal qada dan qadar dengan baik, khususnya, perkaitannya dengan ilmu sains. Ada dari kalangan ummah yang membicarakan tentang qada dan qadar dari sudut akidah semata-mata. Sungguh pun qada dan qadar adalah sebahagian dari akidah (rukun iman) namun pemahamannya adalah lebih kepada ketentuan azali yang seiras dengan ilmu sains. Dengan lain perkataan, apa yang dinyatakan oleh penemuan saintifik adalah mengikut qada dan qadar sesuatu kejadian.
Kekalutan dalam membicarakan qada dan qadar ini begitu ketara apabila soal ini tidak dibicarakan secara terbuka kerana bimbangkan ummah akan tersalah akidah, yakni sesat. Apa yang jelas ialah kesesatan dalam penjelasan atau memberi jawapan kepada persoalan yang berpunca daripada qada dan qadar. Ummah yang faham tentang qada dan qadar, tidak akan sesat pun dan boleh dibicarakan secara terbuka.
Kesimpulannya, ketidakfahaman ummah tentang kekuasaan Ilahilah yang menyebabkan ummah begitu bergantung pada sains dengan segala mekanismenya. Dengan itu wujudlah peraturan-peraturan seperti mesti mendapat pengesahan daripada doktor perubatan sebelum mendapat pembayaran ke atas sebarang rawatan kesihatan. Rawatan daripada pengamal ilmu tradisional tidak di terima.
Ini mengukuhkan lagi kedudukan ilmu sains. Ummah pun terserap ke dalamnya, walaupun sedar sains bukanlah segala-galanya.